Bestari Berbicara 2022
Perkongsian Profesional Guru Kanan dan Guru Peneraju
PUSAT BAHASA MELAYU SINGAPURA
AKADEMI GURU SINGAPURA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN SINGAPURA
e-Penerbitan Mac 2023
Hak cipta terpelihara @ 2023 Pusat Bahasa Melayu Singapura, Akademi Guru Singapura, Kementerian Pendidikan Singapura. Tidak dibenarkan mengulang cetak atau menerbitkan semula mana-mana bahagian isi kandungan e-buku ini dalam apa jua bentuk sama ada secara elektronik, fotokopi, rakaman atau cara lain sebelum mendapat keizinan bertulis daripada pemilik hak cipta e-buku ini.
ISBN: 978-981-18-6980-8
Diterbitkan oleh
Pusat Bahasa Melayu Singapura
Akademi Guru Singapura
Kementerian Pendidikan Singapura
Reka bentuk oleh
Oxford Graphic Printers Pte Ltd Tel: 6748 3898
Catatan
Pendapat dan pandangan yang terkandung dalam penyelengaraan bahan perkongsian ini merupakan pendapat dan pandangan penulis masing-masing dan tidak semestinya mencerminkan pendapat dan pandangan Pusat Bahasa Melayu Singapura.
Sekapur Sirih
NORHAYATI AWANG
Pengarah Pusat
Pusat Bahasa Melayu Singapura
Akademi Guru Singapura
Kementerian Pendidikan Singapura
Salam sejahtera para guru yang budiman.
Syukur Alhamdullillah. Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Akademi Guru Singapura, Kementerian Pendidikan Singapura telah berjaya menjalankan pelbagai program pembelajaran profesional bagi para guru Bahasa Melayu sejak penubuhannya pada Julai 2010.

MLCS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru atas sokongan padu yang diberikan kepada setiap kursus dan program pembelajaran profesional yang dianjurkan. Hal ini memacu semangat kami untuk terus menawarkan pelbagai program pembelajaran profesional bagi guru-guru Bahasa Melayu di Singapura.
Bermula dari 2021, MLCS mengorak langkah untuk melakukan beberapa perubahan bagi membawa kesegaran dan mempertingkat mutu program pembelajaran profesional yang dianjurkan. Ini termasuklah program bagi Guru Kanan dan Guru Peneraju iaitu Program Bestari Berbicara. Program yang dikhususkan untuk Ketua Pedagogi berkongsi kepakaran dan membudayakan belajar bersama-sama telah diperbaik corak
i Membudayakan Kecemerlangan Profesional Guru Bahasa Melayupenganjurannya. Di samping itu, program ini juga menyediakan ruang bagi perbincangan dan interaksi antara Guru Pakar dan Ketua Pedagogi bagi menjalin hubungan dan rangkaian kerja demi mempertingkat keupayaan bersama.
MLCS adalah milik kita bersama dan aset bersama ini perlu tekal relevan dalam usahanya memperkasakan guru, mempercekap pelajar dan memperkaya kurikulum. Lantas, kami amat mengalu-alukan maklum balas dan saranan para guru bagi meningkatkan mutu sokongan yang diberikan kepada para guru Bahasa Melayu di Singapura.
Marilah kita terus membudayakan kecemerlangan profesional dan mengukuhkan bahasa lambang jati diri kita.
Guru cemerlang, pelajar budiman.
Kandungan
Perkongsian Profesional Bestari Berbicara 2022
Perkongsian 1
Komuniti Pembelajaran ProfesionalPengajaran Pembezaan
Mohd Zaki Bin Hashim
Guru Kanan
Sekolah Rendah North Vista
SinopSiS
Komuniti Pembelajaran Profesional Jabatan Bahasa Melayu
Sekolah Rendah North Vista yang memfokuskan kepada
Pengajaran Pembezaan dengan menggunakan kitaran
Perkongsian Ilmu, Pengamalan Ilmu dan Perkongsian Refleksi
telah berjaya meningkatkan tahap amalan guru daripada tahap
amalan Permulaan (baharu) kepada tahap amalan Mahir serta
memenuhi prinsip-prinsip Pengajaran Pembezaan.

Pengenalan
Bagi meningkatkan kecekapan guru dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, Kementerian Pendidikan Singapura telah memperkenal “SkillsFuture untuk pendidik”, iaitu satu pelan hala tuju Pembelajaran Profesional untuk para guru.
Bermula pada tahun 2021, kelompok Utara 1, aktif dalam meningkatkan tahap amalan dan kemahiran guru dalam keenam-enam bidang amalan SFED iaitu 1. Penilaian Literasi, 2) Pembelajaran berasaskan pertanyaan, 3) Pengajaran Pembezaan 4) Bantuan untuk para pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas, 5) E-pedagogi, dan 6) CCE. Inisiatif ini dimulakan dengan mengumpulkan guru-guru kanan serta guru-guru peneraju dari kelompok N1 dan membahagikan mereka dalam kumpulan bidang amalan yang berbeza-beza dalam komuniti pembelajaran profesional. Ini bertujuan agar mereka dapat bekerjasama untuk meningkatkan tahap amalan masing-masing dalam setiap bidang amalan yang disertai mereka. Setelah itu, guru-guru kanan ini bertemu pula di peringkat sekolah untuk membincangkan bagaimanakah setiap bidang amalan itu dapat disampaikan kepada guru-guru di setiap jabatan agar tahap amalan dan kemahiran guru dalam bidang amalan itu dapat dipertingkatkan. Maka bermulalah pada tahun 2021, para guru kanan Sekolah Rendah North Vista telah melakarkan hala tuju penyebaran maklumat dan peningkatan kemahiran setiap bidang amalan SFED secara berperingkat bagi para guru iaitu bermula dengan bidang amalan Penilaian Literasi dan E-pedagogi. Pada tahun 2022, kami fokus pula pada bidang amalan Pengajaran Pembezaan. Kami telah bersetuju untuk meluaskan bidang amalan ini dalam kalangan guru melalui Komuniti Pembelajaran Profesional.
Pengenalan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) guru di sekolah-sekolah di Singapura, menurut visi yang dinyatakan oleh mantan Menteri Pendidikan, Encik Ng Eng Hen (2009), adalah untuk membantu mengasah “perkhidmatan pendidikan bertaraf dunia” dengan “mengukuhkan kepakaran guru”. Dikenal pasti sebagai satu jenis rangkaian sokongan profesional yang diperkenalkan untuk membina profesionalisme guru-guru di Singapura, PLC membentuk sebahagian penting daripada komunikasi kementerian mengenai profesionalisme guru dalam perkhidmatan (Kementerian Pendidikan, 2014).
Pelaksanaan
PLC
Pada tahun 2022, guru-guru di Sekolah Rendah North Vista telah membuat tinjauan awal untuk melihat tahap amalan mereka dalam Pengajaran Pembezaan. Melalui maklumat yang kami dapati, ramai guru yang meletakkan diri mereka dalam tahap amalan Permulaan (Emerging). Maka para guru kanan Sekolah Rendah North Vista meletakkan misi untuk mempertingkatkan tahap amalan tersebut daripada tahap amalan Permulaan kepada tahap amalan Mahir (Proficient). Kami telah mengambil keputusan untuk melakukannya melalui Komuniti
Pembelajaran Profesional supaya dengan jumlah ahli yang kecil dalam setiap kumpulan akan dapat memastikan bahawa setiap anggota kumpulan lebih proaktif dalam perbincangan dan pelaksanaan strategi intervensi Pengajaran Pembezaan. Kami juga melakarkan format atau struktur PLC yang menggunakan langkah-langkah 1) Perkongsian Ilmu dari Ketua PLC (Guru Kanan), 2) Pengamalan Ilmu dari setiap ahli PLC dan 3) Perkongsian Refleksi oleh setiap ahli kumpulan PLC.
Permasalahan
Seperti PLC sebelumnya yang sering dijalankan di sekolah-sekolah lain, ahli PLC akan mengenal pasti permasalahan dalam pembelajaran. Mereka menentukan kelompok murid yang akan menjalani strategi intervensi yang akan dibincangkan secara kritikal sebelum strategi tersebut dipilih. Bagi PLC kami, kami menghasilkan strategi intervensi setelah mengambil kira serta mendalami Prinsip-prinsip Pengajaran Pembezaan. Permasalahan sebelum PLC ialah, kami di pihak guru, sering mengandaikan bahawa murid-murid tergolong dalam golongan tertentu seperti High Progress (HP), Middle Progress (MP) dan Low Progress (LP). Lantaran itu, guru sendiri yang memutuskan untuk memberi bentuk tugasan yang berbeza mengikut tahap keupayaan murid tanpa mengambil kira tahap kesediaan, minat dan pengalaman pembelajaran mereka. Kini, ahli kumpulan kami telah bersetuju untuk memberikan murid-murid pilihan tugasan yang ingin dilakukan sama ada dalam bentuk pemadanan, MCQ atau mengisi tempat kosong.
Langkah-langkah Pelaksanaan
Guru Kanan yang bertindak sebagai Ketua Pedagogi pula akan memastikan bahawa ahli-ahli kumpulannya telah melakukan dan memenuhi kriteria dalam tahap amalan Mahir (Proficient).
Kriteria tersebut adalah seperti berikut iaitu:
1. Mengumpulkan data mengenai konsep/perspektif prainstruksional subjek ini, seperti menggunakan teknologi, untuk merancang pengalaman pembelajaran pelajar yang optimum. Dalam hal ini, ahli kumpulan mengumpulkan maklumat pradata dengan menjalankan pilihan sama ada murid mahu membuat latihan berbentuk pemadanan, MCQ atau mengisi tempat kosong. Ini bertujuan untuk memenuhi prinsip Pengajaran Pembezaan iaitu kesediaan murid, minat serta persekitaran pembelajaran.
2. Mencermin dan mengkaji semula kepercayaan, andaian dan nilai yang mendasari amalan Pengajaran Pembezaan untuk menilai perancangan dan pelaksanaan dalam perkara ini. Perkara ini dapat dilakukan dalam langkah Perkongsian Refleksi yang telah disebutkan sebelumnya.
Setelah setiap ahli PLC melakukan strategi intervensi yang dipersetujui dalam langkah Pengamalan Ilmu (Apply), kami dapati bahawa kini Pengajaran Pembezaan jauh meninggalkan kesan mendalam pada murid dan juga guru jika dibandingkan dengan pemahaman guru sebelumnya tentang Pengajaran Pembezaan tanpa PLC. Kini, Pengajaran Pembezaan lebih membawa bermakna setelah guru-guru melaluinya bersama dalam Komuniti Pembelajaran Profesional kerana kriteria tahap amalan Mahir sudah tercapai.
Refleksi
Setelah strategi intervensi berjaya dilakukan melalui pengamalan ilmu, ahli kumpulan kembali duduk untuk membuat refleksi. Melalui sesi Perkongsian Refleksi, kami teruja kerana banyak andaian awal yang membelenggu pemikiran kami terhadap Pengajaran Pembezaan sehingga memberikan tanggapan negatif terhadapnya, kini berubah positif sehingga kami mula berasa yakin akan pelaksanaan Pengajaran Pembezaan yang lebih berkesan di dalam kelas pada masa yang akan datang.
5 Membudayakan Kecemerlangan Profesional Guru Bahasa MelayuKami juga berjaya untuk mengikuti prinsip-prinsip Pengajaran Pembezaan yang dapat menghapuskan pelabelan terhadap murid yang sebelum ini dirasakan agak sukar kerana
sebahagian besar kandungan, proses dan produk ditentukan oleh guru dan tidak ditentukan oleh kesediaan murid, minat mereka dan suasana pembelajaran yang menurut prinsip Pengajaran Pembezaan.
Kesimpulan
Setelah mendapat kesedaran baharu akan pelaksanaan Pengajaran Pembezaan, kini setiap anggota kumpulan berasa lebih yakin untuk menjalankan Pengajaran Pembezaan dengan lebih benar dan baik. Malah keyakinan tersebut menjadi lebih terserlah apabila sebahagian ahli kumpulan telah mengorak langkah seterusnya untuk mencapai tahap amalan Meneraju (Leading) dengan melakukan perkongsian profesional di Simposium Pembelajaran di peringkat sekolah serta perkongsian profesional di peringkat nasional. Semoga usaha-usaha ini dapat dipertingkatkan dan dipergiatkan lagi pada masa hadapan.
Rujukan
Ministry of Education. (2014b). Career information: Supporting you in every way – TEACH Framework Retrieved July 7, from http://www.moe.gov.sg/ careers/teach/images/teachframework.jpg
Carol Ann Tomlinson (1999). Differentiated Classroom: Responding to the Need of All Learners Association for Supervision & Curriculum Deve
Carol Ann Tomlinson and Jay McTighe (2006). Integrating Differentiated Instruction and Understanding by Design: Connecting Content and Kids. ASCD
Carol Ann Tomlinson (2017). How to Differentiate Instruction in Academically Diverse Classrooms. ASCD








Perkongsian 2
Taksonomi SOLO dalam PdP Bahasa Melayu
Dr. Zainaba Omar

Guru Peneraju
Sekolah Rendah Clementi
SinopSiS
Taksonomi SOLO (Structure of Observed Learning Outcomes) ialah model pembelajaran yang mempunyai lima peringkat
pencapaian bagi setiap hasil pembelajaran yang hendak dicapai. Bermula dengan tidak tahu langsung perkara yang telah diajarkan hinggalah ke peringkat cemerlang. Simbolsimbol tertentu digunakan untuk menunjukkan pencapaian pada setiap peringkat. Dengan menggunakan rubrik yang diubah suai mengikut konsep SOLO, guru merencah dan menilai kemahiran membaca bagi murid yang berkeupayaan rendah.
Pengenalan
Perkongsian ini bertujuan mengemukakan kaedah penilaian kendiri yang menggunakan rubrik yang dibina dengan menggunakan konsep Taksonomi SOLO. Menurut Hooks dan Mills (2011), dengan melihat struktur bagi hasil pembelajaran yang telah dikuasai dan perlu dikuasai, murid akan memikirkan langkah-langkah untuk mencapai hasil pembelajaran tersebut. Shintani (2013) pula menekankan kepentingan maklum balas yang tepat pada masa dan eksplisit. Dalam SOLO maklum balas pada setiap peringkat pencapaian membantu menjadi kompas bagi murid memikirkan ‘Di mana saya sekarang’ dan ‘Apakah harus saya lakukan untuk maju’ (Hattie, 2012). Selain itu, menurut Hattie, dengan SOLO guru dapat memilih tugasan yang mudah ke tugasan yang mencabar dan merencah pembelajaran dengan menggunakan prinsip pengajaran pembezaan sehingga mereka menjadi mahir. Keberkesanan SOLO selari dengan teori Vygotsky (1978) tentang zon perkembangan proksimal, zon yang membantu murid mencapai hasil pembelajaran dan menguasai kemahiran dengan berkesan.
Taksonomi SOLO untuk PdP Bahasa Melayu
Perkongsian ini adalah untuk berkongsi kejayaan menggunakan SOLO bagi murid Darjah 3. Murid-murid diajar semula huruf, bunyi, suku kata, pembentukan perkataan. Setiap komponen ini mempunyai hasil pembelajaran untuk dicapai. Mereka dinilai dari kemahiran asas sehingga matlamat yang ingin dicapai, iaitu membaca perenggan dengan jelas dan lancar. Masa yang diambil bagi kesemua hasil pembelajaran ini adalah tujuh minggu.
Dapatan dari kajian ini menunjukkan SOLO dapat meningkatkan pelibatan murid dan mereka menunjukkan keterujaan untuk membuktikan kebolehan mereka. Mereka secara sedar tahu apa yang perlu mereka capai pada akhir program. Selain menyokong metakognisi, SOLO juga mengemukakan bahasa penilaian yang sama dan simbol-simbol yang mudah untuk murid. Hasilnya murid boleh membuat penilaian kendiri pada setiap peringkat dan berupaya memberikan kesan positif kerana mereka dapat mengecap kejayaan pada setiap peringkat sebelum ke peringkat seterusnya. Selepas menggunakan rubrik ini, murid-murid didapati dapat mengenali dan menyebut setiap suku kata bahasa Melayu dengan betul. Mereka juga berupaya membentuk perkataan dan membaca perenggan pendek dengan jelas dan lancar. Secara keseluruhan SOLO dapat menyuntik minda untuk berjaya, iaitu cuba hingga berjaya.
Permasalahan
Kementerian Pendidikan dan Perkembangan Kurikulum Singapura (Unit Bahasa Melayu) telah menyediakan pakej bagi Program Sokongan Bahasa Ibunda bagi menangani masalah murid yang menghadapi masalah mengikuti pengajaran bahasa Melayu pada peringkat Darjah 3 dan Darjah 4 dengan menggunakan pakej CEKAP. Namun, pada hakikatnya masih terdapat bilangan murid yang menghadapi masalah mengenali suku kata, membentuk perkataan mudah dan membaca perenggan dengan betul dan lancar. Oleh itu, mereka menghadapi masalah dalam pembelajaran bahasa, Oleh itu tujuan utama perkongsian ini adalah untuk mengenalkan penilaian kendiri dengan menggunakan rubrik penilaian yang diubahsuai bagi membantu guru-guru yang mempunyai masalah murid-murid yang masih tidak tahu atau tidak lancar membaca. Untuk membantu kumpulan ini, konsep penilaian kendiri daripada SOLO digunakan untuk merencah pembelajaran mereka. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini dapat membantu guru membina jambatan bagi murid-murid mempunyai masalah membaca untuk melintas ke zon yang memudahkan pembelajaran bahasa Melayu.
Langkah-langkah
Yang berikut merupakan langkah-langkah menjalankan pengajaran dengan menggunakan SOLO.
Masa: 7 Minggu (minggu ke-8 untuk mereka yang masih belum menguasai kemahiran membaca)
Bahan Pengajaran : Bahan Bacaan (Lampiran 1)
: Rubrik Menilai secara Kendiri (Lampiran 2)
: Rubrik Penilaian Bacaan Guru (Lampiran 3)
Minggu Aktiviti Catatan
1 Menerangkan objektif pelajaran/penilaian
Menerangkan bahan-bahan yang akan digunakan
● Mengenalkan simbol-simbol SOLO
● Menerangkan cara penilaian
● Mengenalkan abjad dan bunyi
● Menilai
2 Pengenalan semua suku kata bahasa Melayu
Membentuk perkataan
3 Ulang semua suku kata bahasa Melayu
Membentuk perkataan
4 Ulang semua suku kata bahasa Melayu
Membentuk perkataan
Menilai suku kata dan pembentukan perkataan
5 Menggunakan suku kata membentuk perkataan
Mengenal pasti perkataan dari Buku Teks
Menyebut/menulis perkataan
Membaca ayat dari Buku Teks
6 Menggunakan suku kata membentuk perkataan
Mengenal pasti perkataan dari Buku Teks
Menyebut/menulis perkataan
Membaca ayat dari Buku Teks
Menilai bacaan
Lampiran 2
Lampiran 2
Lampiran 2
7 Ujian bacaan Lampiran 1 Lampiran 3
8 Mengulang kaji bagi yang memerlukan
Refleksi
Kajian ini akan membantu guru untuk merencah dan mengajar kemahiran membaca bagi murid-murid yang masih belum bersedia atau menghadapi masalah untuk menggunakan bahan CEKAP. Murid pula dapat secara kendiri mengenal pasti kelemahan mereka dan mencari penyelesaian dengan menggunakan peringkat-peringkat pencapaian dalam SOLO dan bekerja keras bagi mencapai matlamat pembelajaran. Namun, saya dapati masa dan kemahiran diperlukan bagi membina hasil pembelajaran yang berperingkat daripada kemahiran asas menuju ke kemahiran beraras tinggi. Untuk menangani masalah ini, kita boleh
mengadakan sesi latihan profesional untuk mengenalkan kaedah ini. Guru Kanan atau Guru Peneraju boleh menggunakan kaedah ini di dalam kelas mereka dan mengajak guru-guru ke kelasnya untuk melihat dan memberikan komen. Kemudian diikuti pula dengan guru-guru mencuba di dalam kelas mereka. Saya mempunyai keyakinan bahawa jika digunakan dengan bijak, SOLO dapat menangani masalah murid-murid yang tidak tahu membaca.
Kesimpulan
Secara keseluruhan SOLO dapat menjadikan pengajaran lebih bermakna dan seronok. Namun, terdapat cabaran yang perlu ditangani sebelum menggunakannya dengan berkesan. Salah satu hambatan ialah guru perlu membina hasil pembelajaran berperingkat bagi setiap kemahiran dan objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Hal ini memerlukan masa dan juga kemahiran. Masa juga diperlukan bagi setiap murid memahami rubrik, simbol dan dapat menggunakan dengan yakin. Selain itu, guru juga harus memastikan kelestarian penggunaan kaedah ini bagi membiasakan murid dengan simbol-simbolnya. Bagi kelas yang mempunyai bilangan murid yang ramai, guru mungkin akan menghadapi masalah jika tidak ada pengurusan dan rutin bilik darjah dari awal lagi.
Oleh itu, memandangkan SOLO dapat menjadikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu lebih berkualiti, guru kanan atau guru peneraju disarankan agar mengenalkan model ini kepada guru-guru. Jalankan latihan tentang cara-cara menggunakan simbol SOLO dan rubrik penilaian kendiri. Untuk pembinaan deskriptif bagi rubrik, ajaklah guru bekerjasama untuk membina hasil pelajaran berperingkat dengan merujuk kepada sukatan pelajaran. Tekankan kepada mereka bahawa SOLO mengajak murid bertanggungjawab terhadap pembelajaran kendiri yang selaras dengan kemahiran abad ke-21. Berikan masa untuk guruguru mencubanya di dalam kelas. Kemudian adakan sesi perkongsian untuk sama-sama belajar tentang SOLO. Jadikanlah penilaian kendiri sebagai suatu budaya penilaian di sekolah.
Rujukan
C. A. Tomlinson and T. R. Moon. (2013). Assessment and Student Success in a Differentiated Classroom. ASCD.
E. A. Sprecher. (2019). Back to the chalkboard: Lessons in scaffolding using SOLO taxonomy from school teachers for university educators. Psychology Teaching Review Vol. 25 No. 2, 2019.
Hattie, J. (2012). Visible learning for teachers: Maximizing impact on learning. Routledge/ Taylor & Francis Group.
J. Biggs. SOLO Taxonomy. Retrieved from https://www.johnbiggs.com.au/academic/solotaxonomy/
P. Hook and J. Mills (2012). SOLO Taxonomy: A Guide for Schools Bk 2: Planning for differentiation. Essential Resources Educational Publishers Limited.
P. Hook and J. Mills (2012). SOLO Taxonomy: A Guide for Schools Bk 1. Essential Resources Educational Publishers Limited.











Lampiran 1
Ibu baru pulang dari klinik bersama adik. Sejak malam tadi adik demam. Badannya panas. Dia kelihatan lemah dan terus berbaring di sofa. Ibu masuk ke dapur, kemudian kembali semula dengan segelas air jarang.
“Apa kata doktor, tinggikah suhu badan adik?” saya bertanya.
“Tiga puluh sembilan darjah. Itulah kalau orang degil. Bila suruh bawa payung, banyak sangat alasan. Malaslah! Lecehlah!” ibu mula mengomel.
Lampiran 2

Kelantangan Terlalu perlahan, hingga tidak dengar.
Boleh dengar tetapi tidak lantang sangat.
Lantang dan boleh didengar dengan baik.
Kelantangan yang baik sekali dan boleh tinggikan untuk menegaskan.
Kejelasan Tidak dapat difahami langsung.
Kelancaran Sebut satu-satu perkataan dan berhenti untuk jangka masa yang lama untuk mengenal pasti perkataan.
Dapat difahami sedikit.
Menyebut hampir kesemua perkataan dengan jelas.
Menyebut semua perkataan dengan amat jelas.
Tersekat-sekat sebentar untuk mengenal pasti perkataan.
Ekspresi Amat mendatar. Membaca macam menyanyi atau tidak mengubah suara, apabila diperlukan.
Kefahaman Tidak dapat menjawab soalan kefahaman.
Dapat menjawab 1/2 soalan kefahaman.
Amat lancar tanpa kesilapan.
Amat lancar dan tahu mempercepatkan atau melambatkan mengikutkan kandungan.
Menggunakan intonasi yang amat sesuai dan amat menarik.
Bacaan menarik umpama profesional, intonasi dan mimik muka yang amat sesuai.
Dapat menjawab hampir semua soalan kefahaman dengan betul tetapi ayat yang digunakan tidak betul.
Dapat menjawab semua soalan kefahaman dengan betul.
Perkongsian 3
Penerapan Visi Arif Budiman dalam PdP Bahasa Melayu di Maktab Rendah
Dr. Nor Hanisah Saphari
Guru Kanan
Maktab Rendah Catholic
SinopSiS
Perkongsian ini bertumpu pada penerapan Visi Arif Budiman dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Maktab Rendah Catholic. Secara sedar, visi diterapkan dalam
kalangan pelajar agar memiliki nilai-nilai dan matlamat yang diharapkan. Istilah seperti Arif yang Budiman dan Budiman yang Arif akan diapungkan di samping persoalan makna dan takrifan Keseronokan Pembelajaran atau Joy of Learning.

Pengenalan
Visi Arif Budiman (AB) berperanan sebagai nadi dan landasan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu (BM) di Singapura. Maka itu, ia selayaknyalah dijadikan panduan kepada guru BM. Perkongsian ini memberi gambaran bagaimana visi ini diterjemah dan diterapkan dalam PdP di Maktab Rendah Catholic. Pengerusi jawatankuasa semakan kurikulum BM pada 2004, Prof. Hadijah Rahmat menegaskan pentingnya untuk memahami falsafah di sebalik visi bagi mendepani masa depan demi pelestarian bahasa dan budaya Melayu.
Penerapan Visi Arif Budiman
Perkongsian ini menunjukkan cara dan contoh bagaimana visi Arif Budiman diterapkan menerusi pelajaran, aktiviti dan program Bahasa Melayu peringkat H1 dan MLB. Perancangan dan implementasi langkah untuk menerapkan elemen atau nilai visi memastikan agar unsur Joy of Learning dapat dialami oleh para pelajar. Ini bertujuan agar suasana pembelajaran yang menggembirakan, selesa serta selamat dapat dicapai, dialami dan dihargai.
Permasalahan
Nilai Arif Budiman kurang diberi perhatian dalam perancangan dan perlaksanaan PdP BM (Nor Hanisah, 2021). Hakikatnya, visi ini dapat diserlahkan dengan mencapai Keseronokan Pembelajaran dalam kalangan pelajar. Cabarannya adalah agar visi ini dapat diterjemah dalam bentuk yang sesuai dengan tahap penerimaan pelajar dan mencapai objektif pembelajaran yang diharapkan. Misi “Insan berpengetahuan yang menyumbang kepada masyarakat” masih memerlukan kupasan dan perhatian yang sewajarnya.
Langkah-langkah
Antara inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan ialah Projek Mini Arif Budiman, Projek Nusantara, Projek Pustaka, Projek NITRA (Nilai dalam sastera) dan Dapur Kreatif. Inisiatif ini memberi peluang untuk mencapai matlamat visi di peringkat maktab rendah, “Membina bahasa dan budaya Melayu secara kreatif dalam kesediaan menghadapi cabaran dan peluang dalam dunia yang berubah.” Sebagai Pemimpin Pedagogi, guru dapat mengamalkan dan memodelkan pengaplikasian nilai AB. Pelajar pula lebih faham akan rasional di sebalik pembelajaran dan sekali gus meningkatkan minat dan kecenderungan terhadap bahasa dan budaya. Keyakinan untuk menggunakan bahasa Melayu juga dapat dilihat. Kolaborasi antara guru-guru dari institusi yang berbeza juga membantu menyokong pembelajaran profesional guru-guru BM yang lain khususnya dalam projek NITRA.
Refleksi
Inisiatif ini memberi impak dari sudut makna dan manfaat. Pemberatan dan tumpuan terhadap visi Arif Budiman memberi peluang kepada guru untuk mengaplikasikannya secara sedar dan usaha untuk merealisasikannya dalam PdP berhasil dilakukan. Ia juga membantu guru untuk membentuk jati diri dan meningkatkan keyakinan para pelajar sebagai pelajar BM di Singapura. Peluang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu termasuk memanfaatkan sumber sedia ada, sama ada di maktab sendiri atau institusi lain harus dimaksimumkan. Erti
Joy of Learning perlu dikupas melampaui dan melangkaui faktor hiburan. Sikap cintakan ilmu dan menyebarkannya demi kebaikan bersama perlu diutamakan. Ini juga yang harus disemangati setiap guru apabila mengangkat visi Arif Budiman.
Kesimpulan
Cabarannya adalah untuk memudahkan makna dan falsafah di sebalik visi kepada para pelajar. Tanpa melekehkan kepentingannya, visi dan falsafahnya diterangkan dengan tahap pemahaman pelajar. Penerangan tersebut digandingkan dengan tuntutan kekreatifan bagi pihak pelajar. Kreatif ditakrifkan kepada yang baharu dan berguna. Di akhir setiap pelajaran, pelajar diharapkan dapat mencapai apa yang disebut sebagai Arif yang Budiman serta Budiman yang Arif dan mengalami Joy of Learning atau Keseronokan Pembelajaran. Visi ini sewajarnya terus dipacu secara sedar oleh guru bagi memupuk pelajar sebagai warga jagat.
Rujukan
Hadijah Rahmat. (2006). Visi Arif Budiman: Peranan dan cabaran pengajaran sastera dalam pendidikan bahasa Melayu. Paper presented at PGBM Sembang Bahasa, Singapura.
Hadijah Rahmat. (2008). Membina Semula Rumah Budaya Melayu di Perkampungan Jagatraya – Visi Pendidikan Bahasa Melayu pada Tahap Selanjutnya. Jurnal e-Utama, Jilid 1.
Ministry of Education Singapore. (2007). Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah. CPDD: Singapore.
Ministry of Education Singapore. (2020). Singapore Teaching Practice.
Nor Hanisah Saphari, 2021, “Penerapan nilai melalui sastera kanak-kanak dalam kelas bahasa Melayu di sekolah rendah di Singapura, PhD thesis, National Institute of Education, Nanyang Technological University, Singapore.












Perkongsian 4
Mikrofilem dan Penilaian Patchwork dalam Pengajaran Karangan Darjah 3
Sabrina Samsuri
Guru Kanan
Sekolah Rendah Zhenghua
SinopSiS
Projek ini mengandungi dua pendekatan pedagogi yang ditonjolkan iaitu penggunaan mikrofilem dan penilaian
Patchwork dalam pengajaran karangan kepada murid-murid
Darjah 3. Rangka kerja penulisan sekolah ‘SAFER’ (Speech, Action, Feelings, Expression & Remarks) serta penilaian kendiri dan rakan membantu murid-murid menulis. Penggunaan
Taksonomi SOLO turut membantu murid membuat renungan kendiri terhadap penulisan mereka.

Pengenalan
Kajian ini berkongsi tentang objektif, kaedah dan hasil kajian projek kolaboratif merentas 3 Bahasa Ibunda untuk mengkaji penggunaan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork dalam penulisan karangan. Objektifnya adalah untuk meningkatkan kemahiran menulis karangan pelajar dan memperkasakan pelajar untuk menjadi pelajar terarah kendiri, berkolaboratif dan mengambil langkah untuk merapatkan jurang pembelajaran. Mikrofilem dan Penilaian Patchwork membolehkan pelajar memvisualisasikan watak, menjana idea dan menulis dengan lebih mendalam serta melibatkan mereka dalam penyuntingan dan maklum balas rakan sebaya. Pelajar menggunakan alat refleksi kendiri taksonomi SOLO untuk merenung tulisan mereka. Pada akhir dua kitaran penulisan, kualiti penulisan meningkat, pelajar dapat membuat refleksi, menilai karangan sendiri dan memberi maklum balas rakan sebaya dengan lebih tepat dan lebih ramai pelajar bertindak berdasarkan maklum balas dan menunjukkan tahap motivasi intrinsik, pelibatan dan kerjasama yang lebih tinggi.
Objektif
Kami merancang pelajaran ini dengan mengambil kira objektif berikut:
A. Objektif untuk guru:
1. Guru akan mempelajari cara menggunakan Mikrofilem dengan Penilaian Patchwork untuk meningkatkan kemahiran menulis karangan pelajar dan tahap pelibatan dalam pembelajaran.
2. Guru akan belajar menggunakan rangka kerja penulisan SAFER (Speech, Actions, Feelings, Expression, and Remarks) - (Pertuturan, Perbuatan, Perasaan, Ekspresi, dan Komen) dan alat refleksi kendiri Taksonomi SOLO untuk meningkatkan keupayaan pelajar untuk pembelajaran terarah kendiri (SDL) dan membimbing pelajar merenung penulisan mereka secara kendiri, memantau tindak balas mereka terhadap maklum balas yang diberi rakan sebaya dan melibatkan diri secara aktif dengan maklum balas tersebut serta mengambil langkah untuk menutup jurang pembelajaran mereka.
B. Objektif untuk pelajar:
1. Pelajar akan belajar untuk menggambarkan watak, menjana idea dan menulis dengan lebih mendalam menggunakan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork.
2. Pelajar akan dapat melakukan penyuntingan sendiri dan rakan sebaya serta memberi maklum balas rakan sebaya menggunakan rangka kerja penulisan SAFER
3. Pelajar akan dapat menggunakan templat refleksi SOLO untuk merenung pembelajaran mereka, memantau kemajuan mereka dalam tugasan penulisan.
Penggunaan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork
Kajian kami menggunakan beberapa pendekatan pedagogi untuk melibatkan pelajar kami dalam pembelajaran yang lebih mendalam dan berkesan sambil menyuntik unsur keseronokan. Penggambaran mikro menggalakkan pelajar untuk memvisualisasi dan membayangkan watak dalam gambar yang digunakan untuk penulisan karangan dan berfikir dengan lebih mendalam. Emosi positif daripada video mikrofilem juga merangsang kreativiti
pelajar dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menulis cerita yang lebih menarik dan kreatif, berpandukan rangka kerja penulisan sekolah iaitu ‘SAFER’. Penilaian Patchwork membantu pelajar memfokus pada satu gambar pada satu masa, membolehkan mereka menulis dengan lebih mendalam.
Menurut Peter G. Knight, terdapat beberapa kelebihan untuk Penilaian Patchwork. Pelajar lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dengan modul pembelajaran mereka kerana mereka boleh mengumpul, mencipta dan menyusun komponen Patchwork mereka berdasarkan aktiviti mingguan semasa modul berlangsung. Ia juga menggalakkan penilaian untuk pembelajaran (AfL) dan menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar, iaitu pelajar terlibat dalam penyuntingan karangan diri dan rakan sebaya serta memberi maklum balas rakan sebaya (https://petergknight.wordpress.com/2020/06/29/ patchwork-assessments/).
Memberi dan menerima maklum balas membantu pelajar kami mengatur pemikiran mereka dan mengawal pembelajaran mereka semasa mereka terlibat dalam pemikiran reflektif (Hattie dan Timperley, 2007).
Penggunaan templat refleksi SOLO mendorong pelajar untuk merenung pembelajaran mereka, memantau kemajuan mereka dalam tugasan penulisan dan membuat keputusan yang bijak mengenai langkah seterusnya. Dengan Taksonomi SOLO, kedua-dua guru dan pelajar tidak perlu menulis maklum balas yang panjang lebar dan langkah seterusnya ke arah penambahbaikan adalah jelas (Biggs dan Collins, 1982).
Penyediaan pilihan untuk pelajar kami dalam tugas menulis mereka disokong oleh prinsip Pengajaran Pembezaan atau Differentiated Instruction (DI) kerana kami berusaha untuk memenuhi pelbagai profil pelajar, memotivasi dan membantu mereka terlibat dalam pengalaman pembelajaran yang bermakna dengan membezakan mengikut minat dan kandungan (Tomlinson, C.A, 2017).
Keberkesanan Pendekatan
Untuk mengkaji keberkesanan pendekatan pedagogi kami, kami menjalankan praujian sebelum kitaran pertama penulisan dan pascaujian selepas kitaran akhir. Keputusan menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam markah penulisan karangan pelajar. Pelajar dapat menggunakan dialog, simpulan bahasa dan ekspresi atau frasa deskriptif dengan lebih berkesan dalam penulisan karangan mereka.
Menjelang akhir kitaran 2, kami dapati para pelajar kami menjadi pelajar yang reflektif dan terarah kendiri. Mereka menunjukkan keupayaan untuk merenung pembelajaran mereka dan menilai karangan mereka dengan lebih tepat. Terdapat peningkatan dalam bilangan pelajar yang menghayati dan bertindak atas maklum balas rakan sebaya. Mereka tidak mengulangi kesilapan mereka dan terdapat peningkatan dalam kualiti kerja yang dihasilkan.
Pemindahan pembelajaran terbukti dalam tugasan penulisan mereka yang seterusnya. Sungguh menggembirakan melihat pelajar kami maju ke peringkat yang lebih tinggi dalam Taksonomi SOLO. Pelajar juga membina keyakinan untuk memberi maklum balas kepada rakan sebaya mereka dan dapat menyunting hasil kerja rakan sebaya mereka, memberikan maklum balas rakan sebaya yang membina tanpa campur tangan atau bimbingan guru.
Kami juga melihat peningkatan dalam tahap pelibatan pelajar. Pelajar mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam perbincangan kelas dan lebih bersedia dan yakin untuk berkongsi pandangan mereka. Apabila pelajar berupaya untuk melibatkan diri dalam penyuntingan dan maklum balas rakan sebaya, mereka semakin bersemangat kerana mereka dapat mencontohi peranan guru semasa melaksanakan aktiviti tersebut.
Refleksi Guru
Kajian kami ini telah memupuk agensi dan kerjasama pelajar. Sebagai guru, kami melihat perubahan besar dalam amalan pedagogi kami apabila kami melihat kesan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar terhadap perkembangan pelajar sebagai pelajar yang reflektif, terarah kendiri, penulis yang yakin dan penyumbang aktif.
“Pada mulanya, apabila saya memulakan perjalanan Penggambaran Mikro dengan Penilaian Patchwork ini, saya fikir pengajaran ini terlalu mencabar untuk pelajar saya. Namun, semasa pengajaran dan pembelajaran bermula, saya berasa amat terkejut. Dengan penyerapan Patchwork Assessment, pelajar saya lebih berminat kerana mereka memfokuskan pada setiap gambar dan menulis mengikut kemampuan mereka. Ini adalah platform yang selamat dan baik untuk pelajar saya memberi maklum balas rakan sebaya sambil mengamalkan nilai prihatin. Mereka menggunakan bahasa yang mesra pelajar untuk menyatakan fikiran dan pendapat mereka. Mereka sangat menghormati perasaan rakan-rakan mereka yang menunjukkan bahawa mereka adalah ‘Pemimpin Perwatakan’ (Leaders of Character) yang menunjukkan nilai-nilai sekolah kami. Sungguh memuaskan melihat pelajar terlibat dalam perbualan yang bermakna dan memberi maklum balas yang membina kepada rakan sebaya mereka semasa mereka melakukan penyuntingan karangan rakan sebaya dan memberi maklum balas rakan sebaya. Pelajar saya gemar menggunakan templat refleksi SOLO kerana ia memberi inspirasi kepada mereka untuk merenung pembelajaran mereka dan mengenal pasti jurang pembelajaran mereka. Saya merasakan bahawa ia berbaloi dengan masa dan usaha!”
Tanuja Raj (Guru Peneraju Bahasa Tamil)
“Pengajaran karangan menjadi lebih menarik dengan memberi peluang kepada pelajar menggunakan imaginasi dan kehadiran rakaman video untuk membantu mereka secara visual. Penilaian Patchwork membantu pelajar memfokuskan pada satu gambar pada satu masa. Mereka mampu melakukan penilaian rakan sebaya dan kendiri.
Walaupun mengambil masa untuk fokus pada satu bahagian gambar, saya berpuas hati kerana pelajar saya dapat menerangkan setiap bahagian gambar dengan cukup baik. Pelajar juga lebih berfikiran terbuka dalam menerima cadangan rakan sebaya dengan menggunakan teknik PQP. Kesimpulannya, mereka menjadi pelajar yang aktif meningkatkan mutu kerja mereka bersama-sama.
Selepas kitaran kedua, pelajar saya memberi maklum balas bahawa mereka ingin saya mengajar mereka tatabahasa menggunakan penilaian patchwork. Ini kerana saya memberi tumpuan kepada pembinaan kandungan dalam penulisan mereka dan mereka ingin melihat cara mereka boleh menambah baik komponen bahasa mereka. Bagi saya, ini merupakan satu kejayaan!”
“Projek ini mempunyai dua ciri penting yang telah memberi inspirasi kepada saya. Pertama sekali, penggunaan mikrofilem membantu pelajar saya mengembangkan aliran untuk cerita yang mereka tulis. Menggunakan rangka kerja penulisan SAFER telah membantu pelajar saya menulis karangan yang sangat kreatif dan menarik. Saya melihat peningkatan dalam gaya penulisan mereka dan juga dalam kandungan.
Melalui Penilaian Patchwork, pelajar saya dapat melakukan penyuntingan rakan sebaya dan memberi maklum balas rakan sebaya menggunakan strategi PQP. Ini membantu pelajar saya menulis karangan yang lebih baik.”
Ding Caihong (Guru Kanan Bahasa Cina)Kesimpulan
Keaslian penyelidikan ini ialah kajian ini memberi perhatian kepada pendekatan berpusatkan pelajar. Sebagai pendidik, kami ingin memperkasakan pelajar untuk mengambil tindakan untuk memupuk agensi pelajar, keyakinan diri dan kerjasama. Oleh itu, pendekatan penulisan ini membantu pelajar mengembangkan kemahiran advokasi yang mereka perlukan untuk melibatkan diri dalam pembelajaran yang lebih mendalam dan lebih berautonomi. Langkah seterus kami adalah untuk menerapkan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork dalam pengajaran karangan dalam pelajaran e-Pedagogi.
Rujukan
https://petergknight.wordpress.com/2020/06/29/patchwork-assessments/
http://www.columbia.edu/~mvp19/ETF/Feedback.pdf
Biggs, J. dan Collins (1982). Evaluating the Quality of Learning: The SOLO Taxonomy
Hattie dan Timperley (2007). The Power of Feedback. https://journals.sagepub.com/doi/ abs/10.3102/003465430298487
Tomlinson, C.A. (2017). How to Differentiate Instruction in Mixed-Ability Classrooms













Perkongsian 5
Penggunaan Strategi Stesen Putaran
dalam Pembelajaran Teradun bagi
Kemahiran Interaksi Lisan
Irmawati Mascom

Guru Peneraju
Sekolah Menengah Tanglin
SinopSiS
Dalam pembelajaran Bahasa Melayu ini, pengalaman pembelajaran perbincangan menjadi fokus untuk menjana idea, iaitu pelajar diberi ruang dan masa untuk berfikir dan berbincang dengan rakan-rakan untuk membina isi-isi interaksi lisan dengan lebih baik. Pendekatan pembelajaran teradun yang memfokuskan strategi putaran stesen, membantu guru mengamalkan pengajaran pembezaan dan mengalihkan tanggungjawab belajar kepada para pelajar.
Pengenalan
Guru-guru bahasa Melayu sering mendapati bahawa pelajar menghadapi cabaran menjana idea untuk bertutur dalam kelas. Mereka berasa tertekan apabila diminta bertutur lalu memerlukan lebih masa untuk berfikir dan menjana idea sebelum berasa yakin bertutur dalam kelas atau bersama guru. Oleh itu, guru-guru ingin mencuba strategi putaran stesen ini untuk membantu pelajar memikirkan isi-isi dengan baik.
Objektif perkongsian ini adalah untuk menerangkan keberkesanan strategi Stesen Putaran dalam Pembelajaran Teradun, untuk membantu pelajar belajar secara aktif semasa pembelajaran dalam bilik darjah dan menjana idea agar dapat bertutur mengenai sesuatu topik bagi mengasah kemahiran bertutur.
Strategi Stesen Putaran
Perkongsian ini mengenai strategi stesen putaran yang telah dilaksanakan dalam pembelajaran Bahasa Melayu di dalam bilik darjah.
Dalam model ini, pelajar bergerak dari satu stesen aktiviti pembelajaran ke stesen yang lain. Tucker (2017) menyarankan satu stesen bimbingan guru yang penting disediakan agar guru boleh memberikan perhatian kepada pelajar dalam kumpulan yang lebih kecil.
Satu stesen aktiviti pembelajaran dalam talian untuk menggalakkan pelajar melakukan tugas kendiri agar lebih berdikari dalam pembelajaran.
Satu stesen perlu secara bersemuka (Offline station) agar pelajar dapat berehat daripada skrin komputer atau alat peranti dan berbincang dengan rakan-rakan.
Guru boleh menyediakan pembelajaran dalam kumpulan yang lebih kecil, dengan menerapkan pembelajaran pembezaan untuk memenuhi keperluan pembelajaran pelajar dan dapat meluangkan masa dengan pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan bagi meningkatkan pembelajaran mereka.

Permasalahan
Ingin pelajar rasa lebih selesa melakukan tugasan kecil pada satu-satu masa kerana selalunya pelajar berasa tertekan kerana perlu ikut rentak rakan-rakan sekelas dalam menyiapkan tugasan di dalam kelas.
Ingin pelajar lebih yakin bertutur dalam kumpulan yang lebih kecil kerana terdapat pelajar yang tidak berpeluang bertutur di dalam kelas.
Ingin pelajar belajar secara kendiri agar lebih berdikari kerana pelajar perlu bertanggungjawab atas pembelajaran sendiri bukan guru.
Ingin pelajar berkolaborasi dengan rakan-rakan dengan lebih mudah dalam kumpulan agar dapat menggalakkan pembelajaran kolaboratif.
Guru mahu memudah cara perbincangan dengan pelajar dalam kumpulan yang lebih kecil pada satu-satu masa kerana selalu tiada masa untuk berinteraksi dengan pelajar secara individu dalam pelajaran biasa.
Guru mahu berikan maklum balas yang lebih khusus semasa pelajar bertutur dalam kumpulan yang lebih kecil. Untuk interaksi lisan, amat mencabar bagi guru untuk memberikan maklum balas kepada semua pelajar dengan cepat.
Guru mahu memberi peluang kepada para pelajar untuk menjana idea mengikut rentak, masa dan keupayaan masing-masing.
Langkah-langkah
Guru Kanan atau Guru Peneraju boleh menggalakkan guru-guru Bahasa Melayu (BM) yang lain mencuba strategi baharu jika menghadapi cabaran untuk melibatkan pelajar dalam pembelajaran BM. Setelah mengenal pasti cabaran pelajar dan kemahiran yang perlu dipertingkatkan, Guru Kanan atau Guru Peneraju boleh memperkenalkan strategi baharu.
Guru-guru BM di Sekolah Menengah Tanglin (TSS) ingin memberikan pelajar kami lebih masa dan ruang untuk menjana idea di dalam bilik darjah sebelum mereka bertutur bagi menjawab soalan-soalan lisan. Oleh itu, strategi ini diperkenalkan dalam sesi PLT sekolah. Dari situ, kami pelajari mengenai strategi ini dan melakarkan rancangan pelajaran yang sesuai.
Guru Kanan atau Guru Peneraju perlu membimbing guru-guru untuk mencorak rancangan pelajaran yang baik dan menunjukkan keberkesanan strategi ini dahulu. Oleh itu Guru Kanan atau Guru Peneraju perlu mencuba strategi ini dengan kelas sendiri dahulu dan kongsi keberkesanannya.
Refleksi
Sebagai ketua, saya perlu berikan masa untuk guru-guru memahami strategi yang diperkenalkan. Strategi ini harus sudah dilaksanakan dalam PdP sendiri (Ketua). Guru-guru akan lebih teruja mencuba strategi baharu jika dapat melihat keberkesanannya atau dapat melihat strategi ini dilaksanakan dalam kelas ketua.
Kesediaan pelajar – Terdapat peluang melaksanakan pengajaran pembezaan, namun pelajar masih perlu pelajaran bersemuka. Oleh itu stesen bersama guru amat penting agar pelajar dapat bertutur dengan guru dan guru boleh terus memberikan maklum balas.
Pelajar suka bentuk pembelajaran berkumpulan yang lebih kecil dan diberi masa menjana idea berdasarkan aktiviti yang diberi dalam kumpulan masing-masing. Menurut pengamatan guru-buru BM, pelajaran tidak membosankan seperti pelajaran yang dijalankan secara seluruh kelas.
Kesimpulan
Semasa merancang dan melaksanakan Strategi Stesen Putaran ini, terdapat cabaran yang dihadapi.
Cabaran dan Saranan
Sebagai ketua pedagogi, saya perlu meyakinkan guru-guru BM akan faedah dan keberkesanannya dalam PdP. Saya perlu jalankan PdP di dalam bilik darjah sendiri dan kongsi keberkesanannya. Boleh juga menjemput guru-guru untuk masuk dan melihat sendiri bagaimana PdP dijalankan dengan strategi ini.
Guru-guru perlukan masa untuk membina Pakej PdP. Oleh itu perlu merancang seluruh projek dengan baik dan berikan masa kepada guru-guru untuk berbincang. Semasa pelajaran dijalankan, pelajar memerlukan masa untuk berfikir dan menjana idea di setiap stesen (terhad pada waktu pelajaran 50 minit pada satu masa).
Guru perlu sediakan soalan-soalan sampingan dan pemerencahan di setiap stesen agar pelajar boleh berfikir dengan lebih cepat dan ada bimbingan selanjutnya yang disediakan oleh guru.
Rujukan
Brookhart, Susan M. (2010). Formative Assessment Strategies for Every Classroom. Virginia: Association for Supervision and Curriculum Development.
Tucker, Catlin R, Wycoff, Tiffany & Green, Jason T, (2017). Blended Learning In Action, A Practical Guide Toward Sustainale Change. Corwin: SAGE Company.










Perkongsian 6
Penggunaan Penanda Wacana bagi
Meningkatkan Kemahiran Lisan
Melati Binte Hallel

Guru Kanan
Sekolah Rendah Si Ling
SinopSiS
Penggunaan Penanda Wacana melalui strategi menceritakan semula dapat meningkatkan kemahiran bertutur murid.
Penanda Wacana yang telah didedahkan kepada murid
dalam kemahiran menulis disesuaikan dengan kemahiran bertutur. Strategi ini juga memberi ruang bagi guru untuk mengajar kemahiran bertutur dengan lebih berstruktur, lantas mempunyai objektif yang jelas.
Pengenalan
Saya ingin membuat perkongsian ini disebabkan dua perkara:
1. Terdapat sebilangan guru yang tidak menyedari bahawa Penanda Wacana yang diajarkan dalam penulisan karangan sebenarnya dapat disesuaikan dan digunakan bagi meningkatkan kemahiran bertutur murid-murid .
2. Kelemahan murid untuk bertutur dengan baik, khususnya dalam mengetengahkan idea secara bertaut lagi tersusun.
Objektif perkongsian adalah untuk memberi ruang kepada guru meneroka kaedah mengajar kemahiran lisan kepada murid selain memperluas penggunaan Penanda Wacana bagi kemahiran yang berbeza.
Menurut Lu-Fang Lin (2010), teknik ‘Bercerita Semula’ membenarkan pembaca menyusun semula fakta cerita dan kemudian mampu menghubung kait pertalian dari satu perenggan ke satu perenggan. Kebolehan membuat tautan ini biasanya dilakukan oleh pembaca yang mempunyai pemahaman yang tinggi ke atas petikan kefahaman tersebut.
Maka dengan strategi tersebut, murid berpeluang menggunakan Penanda Wacana yang telah guru kenal pasti kesesuaiannya. Lantas, penggunaan Penanda Wacana membantu murid menyusun kata-kata serta isi mahupun idea mereka dengan lebih baik lagi.
Teknik Penggunaan Wacana
Perkongsian ini mengetengahkah bagaimana Penanda Wacana yang diselaraskan dengan penggunaan Teknik Menceritakan Semula dapat meningkatkan kemahiran bertutur murid. Murid-murid diperkenalkan kepada fungsi penanda wacana yang pelbagai dan mengetahui bila sesuatu penanda wacana itu digunakan. Murid menonton video dan diberikan lima Penanda Wacana yang perlu mereka gunakan dalam pertuturan mereka. Bagi membantu murid, mereka dibenarkan untuk menuliskan apa yang hendak mereka tuturkan mengenai video tersebut dengan mengambil kira Penanda Wacana yang telah diberikan.
Kemudian, murid akan merekodkan pertuturan mereka. Langkah serupa dijalankan berterusan untuk jangka masa 4 minggu. Pada minggu ke 5-8, murid-murid tidak digalakkan untuk membuat sebarang catatan. Sebaliknya mereka diberi masa selama 10 minit untuk menyusun apa yang hendak mereka tuturkan. Secara rawak, guru akan memanggil beberapa orang murid untuk membuat perkongsian.
Permasalahan
Murid-murid sering kali menghadapi kesukaran untuk menuturkan idea yang tersusun. Guru mendapati bahawa:
● penggunaan bahasa dan struktur ayat yang kurang gramatis;
● kelemahan dalam membentangkan idea yang bertautan; dan
● ketidakupayaan murid berbahasa dengan baik menjadi hambatan murid bertutur dengan lancar, sekali gus menjejas markah yang mereka peroleh.
Langkah-langkah
Strategi ini dijalankan selama 8 minggu. Sebelum strategi ini dijalankan di bilik darjah, guru terlebih dahulu melihat bagaimana pengajaran tersebut dilakukan oleh Guru Kanan selaku Ketua Pedagogi.
Guru Kanan mengadakan ‘Open Classroom’ dan menjemput guru-guru untuk menghadirkan diri.
Guru-guru berpeluang bertanyakan soalan mahupun memberikan pendapat bagi menambah baik bahagian-bahagian yang kurang sesuai.
Guru yang hadir memberi maklum balas sewaktu Professional Development Time yang dijalankan seminggu sekali tentang pengenalan pada Penanda Wacana, fungsi-fungsi yang berbeza dan penggunaannya dalam ayat.
Refleksi
Pemantauan yang kerap perlu dijalankan bagi memastikan keberkesanan strategi yang dijalankan.
Pada awalnya, murid-murid mendapati canggung menggunakan Penanda Wacana dalam pertuturan mereka, namun menjadi terbiasa pada Latihan yang ke-3.
Murid lebih yakin untuk bertutur setelah mengetahui fungsi Penanda Wacana dan mengetahui Penanda Wacana apa yang akan mereka gunakan
Murid-murid tergolong dalam kebolehan yang pelbagai, maka memerlukan masa yang lebih lama dalam merancah murid yang lemah (Low Progress - LP)
Guru memberi peluang kepada murid untuk memperluas penggunaan Penanda Wacana ketika kemahiran bertutur dijalankan.
Satu saranan adalah menjalankan strategi ini berdasarkan pengajaran pembezaan dengan memperhalusi kaedah yang digunakan, bagi mendapatkan manfaat yang maksimum bagi murid-murid.
Kemahiran bertutur merupakan kemahiran yang paling awal sepatutnya dikuasai oleh murid tetapi tidak semua murid dapat bertutur dengan lancar dan jelas.
Guru perlu menggiatkan langkah membantu murid mengatasi masalah tersebut.
Kesimpulan
Selain mengasah kemahiran bertutur murid, secara tidak langsung, strategi ini juga membantu kemahiran menulis murid-murid terutamanya dalam menulis idea yang berkesinambungan. Strategi ini memperlihat jumlah murid yang menggunakan Penanda Wacana ketika ujian lisan meningkat beserta penggunaan bahasa yang jauh lebih gramatis dan idea yang lebih tersusun dan bertaut.
Rujukan

Robert J. Marzano dan Debra J. Pickering, (2005). Building academic vocabulary: Teachers manual. USA: ASCD.
McKeown, M. G., dan Beck, I.L., (2004). Direct and rich vocabulary instruction dalam Practice hlm 13-27. New York: Guliford Press.








Perkongsian 7

Penggunaan Teknik Akronim JoCKeRS dalam PdP Bahasa Melayu
Noraishah Mostapa
Guru Kanan
Sekolah Menengah Meridian
SinopSiS
Strategi mempertingkat kemahiran berbahasa secara kritis dan kreatif melalui teknik akronim JAMPI, CINTA, KASIH, RINDU dan SAYANG (JoCKeRS) dalam komponen 5K
iaitu Karangan, Kefahaman, Kosa Kata, Kiasan Peribahasa dan Komunikasi Lisan bagi memudahkan guru mengajar
secara berstruktur dan sekali gus membimbing para pelajar menganalisis soalan serta menjawab dengan lebih tuntas dan tersusun. Strategi JoCKeRS ini digunakan selaras dengan
jadual pengkhususan (TOS) dan sukatan Bahasa Melayu peringkat menengah.
Pengenalan
Tercetusnya idea untuk perkongsian ini lahir kerana melalui pengamatan peribadi, para pelajar didapati mengalami kesukaran untuk menjawab serta menyusun jawapan mereka secara berstruktur dan tersusun. Kebanyakan pelajar mempunyai idea yang bercelaru atau idea tersekat (brain blank). Ada juga gagal memahami serta menganalisis soalan dengan kritis dan efektif terutama ketika berdepan dengan soalan-soalan dalam Peperiksaan Nasional GCE ‘O’ atau GCE ‘N’ (2012-2023).
Objektif utama strategi JoCKeRS ini adalah untuk memudahkan guru mengajar secara berstruktur dan sekali gus membimbing para pelajar menganalisis serta menjawab soalan dengan lebih tuntas dan menghasilkan para guru yang kreatif dan pelajar yang kritis lagi holistik.
Strategi JoCKeRS ini ialah lanjutan dari perkongsian NLPD (Network for Leaders in Professional Development) dengan Prof. Dr. Kidman bertajuk Making Malay Reading and Comprehension Thinking Visible pada tahun 2018 yang memperlihat kemajuan yang memberangsangkan dalam menjawab soalan kefahaman dan menggalakkan membaca serta memahami apa yang dibaca. Maka dari aspek kefahaman dilanjutkan ke aspek Bahasa Melayu yang lain.
Semasa membuat kertas kerja bersama Prof. Dr. Kidman, beliau telah memberi bimbingan untuk memikirkan masalah Membaca dan Memahami dengan melemparkan beberapa persoalan seperti yang dipaparkan dalam Lampiran 1.
Dari hanya fokus pada bahagian Membaca dan Memahami pada awalnya telah membawa impak positif dalam diri para pelajar maka lahirlah strategi JoCKeRS demi mempersiap pelajar menghadapi Kertas Bahasa Melayu dalam komponen-komponen berikut:-
Komponen Bahasa Melayu (GCE ‘O’ 2012-2023)
Kertas 1: Penulisan Fungsional dan Penulisan Esei
Kertas 2: Penggunaan Bahasa dan Pemahaman
Kertas 3: Lisan dan Kefahaman Mendengar
Strategi JoCKeRS
Di bawah ini ialah ringkasan tentang strategi JoCKeRS dan bagaimana setiap strategi memfokuskan pada komponen dan kemahiran yang spesifik.




Kebaikan strategi JoCKeRS ini dapat membantu guru dan pelajar semasa berdepan dengan sesuatu kemahiran yang hendak diuji. Sebagai contoh: sekiranya pelajar ingin menulis karangan, maka teknik J.A.M.P.I digunakan sebagai rangka dan senarai semak agar hasil karya pelajar lebih baik dan dapat meyakinkan pemeriksa untuk memberikan markah yang sewajarnya.
Begitu dengan kemahiran-kemahiran dan komponen-komponen Bahasa Melayu yang lainnya. Sila rujuk rajah di bawah.
Nota : J -JAMPI C-CINTA K-KASIH R-RINDU S-SAYANG
Kertas 1
E-Mel (J)
Memberi Respons (JATI) (S)
Karangan (J)
Kertas 2

Imbuhan (S)
Kertas 3
Kefahaman Mendengar (K)
Peribahasa (R)
Lengkapkan Teks (Kosa Kata) (S)
Kefahaman Objektif (K)
Kefahaman Subjektif (K) & Terangkan Perkataan/ frasa (S)
Video Lisan (C)
Setelah para pelajar menggarap kelima-lima strategi JoCKeRS ini, mereka boleh menyesuaikan strategi JoCKeRS ini secara bertindan dan meluas. Sebagai contoh: pelajar boleh menggunakan strategi JAMPI untuk membantu mereka semasa menjawab bukan sahaja karangan tetapi boleh digunakan untuk menjawab kefahaman atau untuk Lisan.
Pencapaian para pelajar dalam peperiksaan GCE ‘O’ 2022 membuktikan bahawa strategi JoCKeRS ini amat berkesan dan efektif dalam membantu pelajar memahami soalan dalam minda dan membantu mereka menjawab secara berstruktur dan tersusun bagi dianugerahkan gred B3 ke atas untuk Bahasa Melayu dan gred Merit/ Distinction untuk Peperiksaan Lisan mereka.
Permasalahan
Akronim JoCKeRS ini dapat melengkapkan para guru dan para pelajar dengan kemahiran abad ke-21 serta melahirkan pelajar yang yakin dan berwibawa. Melalui kerja kumpulan dan akitiviti-aktiviti yang pelbagai yang diselaraskan dengan strategi JoCKeRS ini dapat memberikan pembelajaran yang seronok dan menghiburkan.
Aktiviti-aktiviti yang dipilih dimantapkan dengan penggunaaan SLS, video, permainan, nota kecil dan kad emoji dapat memudahkan pemahaman pelajar dalam menggarap informasi dan kemahiran yang ingin diajar.
Cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang sering dihadapi guru dan pelajar adalah terlalu banyak informasi yang perlu diingat dan dihafal. Kelima-lima akronim mempunyai penjelasan dan makna yang tersendiri. Oleh yang demikian, guru dan pelajar perlu sering menggunakannya agar dapat melihat keberkesanan strategi tersebut.
Cabaran utama ialah masa. Bagi setiap strategi perlu diperuntukkan sekurang-kurangnya 3 minggu dan perlu mengikut TOS, SOW dan buku teks serta buku aktiviti. Minggu 1 ialah minggu pengenalan setiap abjad akronim. Minggu 2 ialah minggu mengaplikasikan satusatu strategi dan Minggu 3 ialah minggu melihat sama ada para pelajar mampu dan berjaya mengaplikasikan strategi yang diajar.
3 daripada 5 strategi JoCKeRS ini telah dikongsi dengan semua guru di Sekolah Menengah Meridian dan juga dikongsi di peringkat nasional melalui e-pameran @ MTL Symposium 2022 dengan tajuk Strategi Mempertingkat Kemahiran Berbahasa Secara Kritikal dan Kreatif melalui Strategi JaCK (Jampi, Cinta dan Kasih).
Strategi JoCKeRS ini juga dimantapkan lagi dengan hasil perkongsian dari projek E1 NLC 2021-2022 tentang Kewartawanan dan Penyiaran demi meningkatkan kosa kata pelajar dan melahirkan penutur yang yakin menggunakan Bahasa Melayu.
Apa yang diperoleh daripada pengalaman mengajar serta menghadiri sesi perkongsian, peranan guru dan harapan pelajar masih tidak berubah iaitu menjadi guru yang bijak yang dapat melahirkan pelajar yang bestari.
Langkah-langkah
Strategi JoCKeRS ialah 5 strategi yang menyeluruh bagi mengajar atau menjawab Kertas 1, Kertas 2 dan Kertas 3 Bahasa Melayu. Ia baik dijalankan dan diselesaikan pada Semester 1 sebelum peperiksaan GCE ‘O’ yang selalunya hadir pada akhir bulan Mei. Bagi kohort Menengah 1 hingga 3 , boleh dijalankan dalam masa 9 bulan sebelum peperiksaan akhir pada bulan Oktober.
Secara ringkas, strategi JoCKeRS ini amat memanfaatkan guru dan pelajar kerana ia boleh dijadikan sebagai sandaran untuk senarai semak ; rangka peta minda dan rubrik penilaian. Ia juga mengajar guru dan pelajar untuk mempunyai ‘photographic memory’ iaitu kemampuan untuk mengingat peristiwa, gambar, angka dan hal-hal lain dengan terperinci. Seorang pakar ilmu saraf Dr. Barry Gordon menjelaskan bahawa daya ingat fotografi mirip seperti fotografi dengan kamera. Kita memotret suatu peristiwa atau objek dengan fikiran kita. Kemudian potret tersebut kita simpan dan ketika memerlukan informasi tertentu, kita membuka ‘album foto’ itu. Kita tinggal mengamati, memperbesar (zoom in) atau memperkecil (zoom out) bahagian yang diinginkan (lelaman hellosihat.com).
Ia dapat mempertingkat pembelajaran kerana guru tahu apa yang hendak diajar dan pelajar faham apa yang telah diajar dan apa yang perlu diaplikasikan semasa menjawab kertas Bahasa Melayu.
Walaupun strategi JoCKeRS ini seolah-olah berpusat pada aspek akademik namun ia juga dapat membantu guru dan pelajar untuk berfikir di luar zon keselesaan (think out of the box and out of the comfort zone) kerana ia mampu melahirkan generasi yang berfikir dan bertindak secara rasional.
Refleksi
Maklum balas daripada guru-guru dan para pelajar amat memberangsangkan dan mengukuhkan lagi kepercayaan pada diri sendiri bahawa sebagai guru, kita haruslah sentiasa akur dan dapat mengadaptasikan diri dengan apa jua perubahan dalam sistem pendidikan yang sentiasa berubah-ubah.
Kesimpulan
Melalui strategi JoCKeRS yang telah dijalankan, dapat dirumuskan bahawa terdapat peningkatan dari segi kualiti gred dalam peperiksaan. Para guru dan pelajar secara sedar dapat menggunakan akronim JoCKeRS dengan baik dan yakin. Penggunaan akronim dan latihan serta aktiviti di dalam kelas dapat membantu pelajar menjana isi dan idea yang lebih banyak lagi relevan. Ini memberi impak positif bagi mendapat gred yang lebih baik dalam Bahasa Melayu.
Rujukan
Ritchhart, R., Church, M., & Morrison, K. (2011). Making Thinking Visible. USA: Jossey Bass Wiley.
Saphier, J., Haley-Speca, M.A. and Gower, R. (2008) The Skillful teacher: Building Your Teaching Skills. 6th Edition, USA: Research for Better Teaching, Inc.
Pusat Bahasa Melayu Singapura (2018). Amalan Pengajaran Singapura. Singapura: Oxford Graphic Ptd Ltd.
Lampiran 1
Literature to be reviewed:
1. How to teach a child to read? (are these the strategies you and the teachers are using?)
2. How to teach reading when teaching a second language?
3. Teaching strategies (text annotations – how to teach highlighting underlining etc, study skill literature?)
4. Bloom’s questioning taxonomy (what is it used for? Using with students)
Sub-Question: How will the explicit use of Blooms Taxonomy of questions improve reading and comprehension in Malay mother tongue? (having Bloom’s Taxonomy pyramid visible to the students and the principle explained to the studetns. Then as questions are read and comprehended, they taxonomy is explored. The notion is that by understanding different types of questioning, the essence of exam questions will become clearer)

GAMBAR Aplikasi Strategi JoCKeRS











Perkongsian 8
Pembelajaran Teradun dalam
Pengajaran Lisan dan Karangan
Rabi’ah Rahmat
Guru Kanan
Sekolah Rendah White Sands
SinopSiS
Secara amnya, pembelajaran teradun ialah pendekatan gabungan yang melibatkan interaksi dalam bilik darjah dan juga penggunaan teknologi untuk menyampaikan pengajaran.
Pembelajaran teradun dapat membantu proses pembelajaran agar ia menjadi lebih terancang, menarik dan mudah digarap oleh pelajar. Pendekatan ini telah diterapkan dalam pengajaran lisan dan karangan bahasa Melayu di Sekolah Rendah White Sands.

Pengenalan
COVID-19 telah mengubah proses pelaksanaan dan pengolahan dalam pelbagai industri termasuk bidang pendidikan. Para guru harus menyesuaikan pendekatan pengajaran supaya pembelajaran dapat dijalankan tanpa genjotan yang ketara. Dengan adanya teknologi maklumat yang digunakan secara meluas dalam pembelajaran, proses pemerolehan ilmu para pelajar dapat terus dijalankan.
Pembelajaran teradun merupakan pembelajaran yang berpusatkan pelajar melalui pengantaraan teknologi maklumat, komunikasi dan multimedia bagi mewujudkan pembelajaran yang berkesan dan menggalakkan pembelajaran secara kendiri (Nor Saadah dan Nik Mohd Rahimi, 2022). Pendekatan ini menyarankan agar guru mempraktikkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan mengintegrasikan elemen teknologi dan elemen pembelajaran konvensional dalam proses menyampaikan ilmu (Marhabo, 2020).
Pembelajaran teradun secara umumnya melibatkan dua jenis mod, iaitu synchronous dan asynchronous. Pembelajaran secara synchronous terjadi apabila guru dan murid berada bersama dan proses penyampaian ilmu berlangsung secara bersemuka. Mod pembelajaran secara synchronous ini dilaksanakan sama ada secara fizikal di dalam bilik darjah atau secara langsung melalui aplikasi pendidikan seperti Google Meet, Zoom, Telegram Video dan aplikasi lain. Manakala, sesi pembelajaran secara asynchronous pula ialah proses pemindahan ilmu secara kendiri berdasarkan bahan yang disediakan oleh guru (Simah et al., 2021). Kedua-dua mod pembelajaran ini boleh dilaksanakan secara berasingan atau bergabung sebagai aktiviti PdP untuk satu tajuk pembelajaran.
Pelaksanaan
Pembelajaran Teradun dalam Pengajaran Bahasa Melayu
Melihat kepada keperluan yang amat ketara bagi guru-guru meningkatkan kepakaran dalam mengolahkan PdP menggunakan teknologi, Komiti Pembangunan Guru (PD Comm) Sekolah Rendah White Sands telah bersepakat untuk menggerakkan kajian-kajian oleh Kumpulan Pembelajaran Profesional (PLT) fokus kepada penerapan pembelajaran teradun. Latihan dan sesi bimbingan telah diadakan untuk memperkasakan kemampuan guru-guru menghasilkan skema pengajaran bagi satu unit pembelajaran bagi kesemua subjek berasaskan pembelajaran teradun. Setiap Kumpulan Pembelajaran Profesional ini akan dibimbing dan dipantau oleh guru fasilitator yang terdiri daripada ahli Komiti Pembangunan Guru.
Bagi Jabatan Bahasa Melayu, kami telah membentuk enam Kumpulan Pembelajaran Profesional dan masing-masing harus menyediakan rancangan pengajaran yang bersandarkan pembelajaran teradun berdasarkan peringkat sasaran masing-masing. Pembelajaran teradun membolehkan kami merancang dengan lebih tuntas sesuatu kemahiran yang hendak diajarkan kepada murid-murid. Perancangan yang dibuat bukan hanya mengambil kira satu sesi pengajaran bahasa tetapi melibatkan beberapa sesi pengajaran.
Permasalahan
Lisan dan karangan merupakan dua komponen kemahiran yang mempunyai pemberatan yang besar dalam penilaian subjek Bahasa Melayu. Ini merupakan salah satu motivasi utama yang mendorong Kumpulan Pembelajaran Profesional Darjah 6 berminat untuk memfokuskan
kajian kami kepada kedua-dua komponen ini. Mentelah, para pelajar didapati mempunyai
kesukaran untuk mengembangkan hujahan dan penulisan mereka kerana kekangan kosa kata. Dengan mengolah PdP menggunakan pembelajaran teradun berasaskan kaedah
‘Flipped Classroom’, kami dapat memaksimumkan masa yang ada bersama pelajar dalam sesi pembelajaran di sekolah untuk memberi penilaian dan maklum balas terhadap prestasi mereka dalam setiap latihan.
1. Langkah-langkah Pelaksanaan
Kami melihat kepada keperluan para pelajar dan merancang skema pengajaran kami berdasarkan kemahiran yang hendak diterapkan.
Berikut ialah secara ringkas rancangan pengajaran kami bagi pengajaran lisan dan karangan.
4.1 Lisan
Sesi Pembelajaran Aktiviti Catatan
1. Asynchronous Pelajar mengikuti pengajaran lisan dalam talian melalui SLS. Guru mengajar kembali teknik 4P yang digunakan bagi mengembangkan jawapan dalam lisan.
Video rakaman pengajaran guru menggunakan LOOM.
4P – Perbuatan
Punca
Pendapat
Pengajaran
2. Synchronous Guru mengetengah beberapa contoh jawapan. Pelajar harus menilai sama ada jawapan tersebut mengandungi 4P.
Pelajar diminta menjawab soalan lisan secara bertulis dalam kumpulan masingmasing dan berkongsi jawapan mereka. Penilaian rakan sebaya diterapkan.
3. Asynchronous Pelajar diberikan pautan Nearpod untuk membolehkan mereka mendalami topik perbincangan lisan selanjutnya. Dalam pautan ini pelajar diberikan pendedahan kepada video informasi, kosa-kata, permainan dan kuiz berkaitan dengan topik yang dipilih.
Nearpod digunakan untuk membolehkan kolaborasi.
Pautan Nearpod diberikan melalui SLS.
Sesi Pembelajaran Aktiviti Catatan
1. Synchronous Guru membincangkan topik lisan dengan pelajar. Disebabkan pelajar mempunyai pelbagai input awal, perbincangan dapat dilakukan dengan lebih baik.
Pelajar menjawab soalan lisan secara berpasangan menggunakan menggunakan teknik 4P. Guru memberikan input kepada beberapa jawapan yang diketengahkan. Guru meminta pelajar memperbaik jawapan masing-masing.
2. Asynchronous Guru memberi input kepada jawapan pelajar. Pelajar kemudian merakam jawapan masing-masing menggunakan fungsi audio dalam SLS.
3. Synchronous Guru mengingatkan pelajar kembali kepada rubrik pelajar bagi menilai audio rakan-rakan mereka. Rubrik ini sering digunakan dalam penilaian.
Beberapa audio dimainkan dan pelajar menilai rakaman yang diberikan. Sebahagian penilaian dikongsi.
Guru memberi maklum balas kepada hasil lisan pelajar.
SLS telah digunakan. Walaupun bekerja secara berpasangan masingmasing menaip jawapan dalam latihan SLS sendiri.
Latihan di SLS.
Rubrik pelajar diolah untuk membolehkan pelajar menilai kerja mereka.
4.2 Karangan Bergambar
Sesi Pembelajaran Aktiviti Catatan
1. Synchronous Guru mengingatkan pelajar kepada teknik 4P dalam mengembangkan isi karangan.
Pelajar membuat satu perenggan bagi setiap gambar karangan menggunakan 4P dalam kumpulan masing-masing. 2 gambar karangan telah digunakan.
Perenggan isi 4P – Perbuatan
Perasaan
Punca
Perbuatan
Seterusnya
Perenggan akhir 4P – Perbuatan
Perasaan
Punca
Pengajaran
2. Asynchronous Pelajar membelajari beberapa kosa kata berkaitan dengan tema karangan yang akan digunakan menggunakan nearpod dan bermain permainan bahasa dalam Wordwall.
3. Synchronous Guru memperkenal pelajar kepada cara untuk mengembangkan ‘Perbuatan’ dan ‘Perasaan’ dalam perenggan mereka menggunakan kosa kata emotif.
4. Asynchronous Aktiviti kuiz diadakan bagi menguji pemahaman pelajar.
Pelajar membuat dua perenggan berdasarkan karangan baharu.
5. Synchronous Guru memberi maklum balas kepada penulisan pelajar.
Beberapa penulisan telah dipilih untuk dibincangkan di dalam kelas. Dalam kumpulan, pelajar memperbaiki hasil penulisan rakan mereka dan berkongsi perubahan yang telah dilakukan.
Nearpod dan Wordwall digunakan yang dapat diakses melalui pautan dalam SLS.
Nearpod digunakan untuk pelajar membuat latihan. Penilaian dapat diberikan secara langsung.
Latihan di SLS.
Sesi Pembelajaran Aktiviti Catatan
6. Asynchronous Pelajar menghasilkan 3 perenggan lain berdasarkan karangan yang sama.
Guru memberi maklum balas kepada hasil kerja pelajar.
7. Synchronous Pelajar membaca perenggan rakan mereka dalam talian dan memberi tanda suka dan komen pada jawapan yang baik.
Guru mengingatkan pelajar kepada teknik menulis perenggan akhir.
Pelajar menghasilkan perenggan akhir dalam kumpulan masing-masing.
8. Asynchronous Guru memberikan beberapa contohan teknik menulis perenggan akhir.
Pelajar membuat perenggan akhir dalam SLS.
9. Synchronous Guru memberi maklum balas kepada jawapan pelajar.
Pelajar diminta untuk menulis kembali karangan mereka untuk dihantar dalam salinan keras.
Refleksi
Latihan di SLS.
Padlet digunakan.
Latihan di SLS.
Pada mulanya, para guru agak keberatan kerana proses menghasilkan pembelajaran teradun memerlukan perancangan yang terperinci dan lebih lama. Terutama sekali jika tumpuan projek itu berkaitan dengan suatu kemahiran tertentu. Hambatan masa merupakan salah satu halangan utama yang membimbangkan guru. Para guru amat khuatir jika komponen bahasa lain yang terabai. Mentelah, guru-guru harus senantiasa ‘mengejar’ pelajar untuk menyelesaikan latihan yang diberikan.
Namun, disebabkan kami merancang kedua-dua projek ini tepat pada masanya, contonhya, projek lisan diadakan pada Penggal 2 sebelum ujian lisan sekolah, guru-guru lebih bermotivasi untuk menyelesaikannya.
Tuntasnya, pembelajaran teradun, memberikan kami peluang yang lebih fleksibel untuk mengolah PdP dengan lebih berkesan dan menarik.
Penutup
Setelah melalui proses ini, kami berasa lebih yakin untuk menggunakan pembelajaran teradun. Kami juga berkesempatan untuk berkongsi tentang pembelajaran teradun dalam sesi Bilik Darjah Terbuka (Open Classroom) yang dianjurkan oleh kelompok E6. Kami berharap untuk memperkukuh lagi pengetahuan kami terhadap pembelajaran teradun dengan meneroka kaedah-kaedah lain yang diperkenalkan oleh para cendekiawan pendidikan. Pembelajaran bersama dapat memperkasakan kita semua.
Rujukan
Marhabo Avasmatova (2020). Significance of Blended Learning in Education System. The American Journal of Social Science and Education Innovations (ISSN – 2689-100x)
Nor Saadah Azahari dan Nik Mohd Rahimi (2022). Amalan Pembelajaran Teradun Sebagai Satu Pendekatan Pembelajaran Norma Baharu. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia. Asian Scholars Network.
Simah Mamat, Che Aleha Ladin, Azni Yati Kamaruddin, Intan Marfarrina Omar & Nor Asiah Ismail (2021). Covid-19: Cabaran dan Inisiatif dalam Mendepani Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Teradun Covid-19. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan





Perkongsian 9
Pengajaran Pembezaan dengan Menggunakan Jamboard
Faezah Binte Noorahman

Guru Kanan
Sekolah Menengah Edgefield
Dengan penularan pandemik COVID-19 serta bermulanya Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB); yakni suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan profil pelajar yang pelbagai, guru-guru bagaikan lebih tercabar untuk mengusahakan PdP yang bukan sahaja berkesan diaplikasikan baik dalam proses belajar dalam talian mahupun bersemuka. Hal ini juga diharapkan tidak mengkompromi kepentingan wujudnya budaya bilik darjah yang positif dan selamat untuk menangani keperluan pembelajaran, kebolehan dan minat pelajar yang rencam. Papan tulis tetap diperlukan oleh sekumpulan pelajar yang akan lebih terinspirasi dan faham apabila dapat ditunjuk ajar secara eksplisit oleh guru mereka. Makanya, sesi perbincangan berkolaboratif dan interaktif dengan menggunakan wadah papan tulis Jamboard ini dijalankan agar idea yang ditukar serta fahaman yang tergambar bukan sahaja dapat dipantau guru dengan mudah malah mampu diberi maklum balas yang lebih efektif secara langsung oleh guru. Justeru, ia amat diharapkan bakal menarik minat pelajar untuk memperbaik usaha mereka.
Pengenalan
Pembelajaran dalam talian bukanlah sesuatu yang baharu kepada guru-guru sebelum pandemik COVID-19 ini berlaku, namun kaedah pembelajaran ini hanya sebagai sokongan kepada pembelajaran konvensional yang dijalankan di bilik darjah. Apabila berlakunya pandemik ini, pembelajaran dalam talian melalui pendekatan Home Based Learning (HBL) telah menjadi satu keperluan kepada para pendidik untuk melaksanakan sepenuhnya bagi menggantikan pembelajaran secara bersemuka. Kemudian, meskipun dengan terkawalnya penularan pandemik ini, HBL tetap dijalankan di sekolah-sekolah sekurang-kurangnya sekali dwimingguan.
Selain COVID-19; wujudnya keperluan dalam menghubungkaitkan setiap titik nadi yang hadir di dalam kelas telah mencetuskan idea untuk perkongsian ini. Kebanyakan sekolah hanya menempatkan pelajar-pelajar sealiran di dalam sebuah kelas Bahasa Melayu. Malangnya sekolah saya bukan sahaja mengambil pendekatan seperti itu. Nisbah antara guru dan pelajar yang tidak seimbang memerlukan penggabungjalinan kelas-kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang rencam aliran pembelajarannya. Jika tahun-tahun lalu hanya melihat pelajar beraliran Ekspres sahaja yang memenuhi kelas Bahasa Melayu Biasa, hanya pelajar beraliran Normal (Akademik) dalam kelas Bahasa Melayu (Normal); ataupun pelajar beraliran Normal (Teknikal) yang memenuhi kelas Bahasa Melayu Asas. Dewasa ini, sebuah kelas Bahasa Melayu yang dikelolakan oleh seorang guru, boleh merangkumi gabungan pelajarpelajar aliran i) Bahasa Melayu Normal (Akademik) – gabungan pelajar NA dan NT (SBB) dan ii) Normal (Teknikal). Sekali gus, hal ini memerlukan guru untuk mempertimbang profil pelajar iaitu keperluan 2 kumpulan pelajar pelbagai pencapaian (High Progress - HP, Middle Progress - MP dan Low Progress - LP) demi memperkasakan mereka. Hal ini belum lagi termasuk perbezaan latar keluarga, sifat dan sikap yang mungkin terlalu pemalu, pendiam, berkeyakinan diri yang terlalu tinggi, kompetitif, mudah leka, mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang mencabar mahupun suka menunda-nundakan kerja.
Objektif perkongsian
Dengan adanya Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB), Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang disediakan guru bukan sahaja sesuai malah harus mampu menggalakkan lebih banyak keterlibatan pelajar, memerlukan wadah pembelajaran yang memotivasikan dan pastinya mengharapkan prestasi kejayaan yang memberangsangkan. ‘Homogeneous Classroom’ atau ‘One size fits all’ bukanlah suatu kaedah yang dapat diterapkan dalam acuan penyediaan bentuk pembelajaran masa kini. Bayangkan dalam kelas Bahasa Melayu Ekspres sahaja boleh terdiri daripada kumpulan pelajar yang berbahasa Melayu Ekspres (Biasa), pelajar SBB Normal (Akademik) serta pelajar SBB Normal (Teknikal).
KAJIAN LEPAS
Kaedah Home Based Learning (HBL) ialah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa (Radzi Jidin, 2020). Menurut Li Mingyong et al. (2020), HBL merupakan kaedah pembelajaran dari rumah dan bukannya di sekolah ataupun di kampus. Ini memberi fleksibiliti kepada pelajar dan guru untuk menyesuaikan diri dengan komitmen lain termasuk keluarga, pekerjaan atau aktiviti rekreasi. Kaedah pembelajaran HBL tidak berlaku seperti di sekolah sebaliknya memberi peluang kepada pelajar dan guru untuk mengalami bentuk pengajaran dan pembelajaran alternatif dengan penggunaan teknologi.
Untuk membantu murid-murid mencapai potensi mereka dalam kemahiran menulis, lebihlebih lagi bagi murid yang tergolong dalam kelas pengelompokan kebolehan yang pelbagai, guru boleh membantu dengan menyediakan perancahan yang sesuai untuk pelajar-pelajar mereka. Untuk memberikan sokongan yang lebih berkesan, guru boleh menggunakan pendekatan Pengajaran Pembezaan (Tomlinson, 1995).
“Kita menghargai setiap pelajar sebagai seorang individu. Pelajar kita mempunyai keperluan pembelajaran yang berbeza dan mereka juga mempunyai pengalaman, kepercayaan, pengetahuan dan kemahiran yang luas. Untuk memastikan pembelajaran yang berkesan, kita sesuaikan rentak pengajaran, pendekatan dan amalan penilaian mengikut pembangunan pelajar. (Falsafah Kurikulum Singapura, Amalan Pengajaran Singapura, 2017)
Pedagogi dan pengajaran yang berpusatkan pelajar adalah sangat penting untuk menjadikan pembelajaran secara maya efektif. Sekiranya digunakan oleh guru yang boleh memanfaatkannya, peranti yang paling mudah sekalipun mampu menyampaikan pelajaran yang paling menarik dan berinspirasi.
Google Jamboard ialah papan putih digital yang membolehkan kerjasama dalam ruangan berkongsi secara jarak jauh atau bersemuka. Pelajar boleh melakar idea, menyelesaikan masalah, atau melukis secara kolaboratif dan serentak. Aplikasi ini juga membolehkan guru memeriksa cara kerja pelajar dan meminta pelajar untuk berkongsi kaedah penyelesaian masalah dan jawapan mereka dengan seluruh bilik darjah. Peranti dan kaedah pembelajaran interaktif seperti ini membolehkan pelajar menerajui proses pembelajaran mereka sendiri. Yang paling penting adalah bagaimana alat-alat ini dapat dimanfaatkan dalam membantu mempermudah proses pembelajaran.

Pengajaran Pembezaan dengan menggunakan Jamboard
Terdapat banyak cara untuk menggunakan Jamboard untuk membina pelajaran yang berkolaboratif, menarik serta bersesuaian dengan pencapaian kebolehan pelajar. Sebagai guru Bahasa Melayu, saya menggunakan Jamboard meliputi spektrum pembelajaran yang lebar – Tatabahasa, Peribahasa, Pemahaman, Karangan ataupun Perbincangan Topik Lisan. Pengajaran dan pembelajaran ini telah dapat saya jalankan dalam pelbagai peringkat – menengah 1 hingga 4, Bahasa Melayu Lanjutan, Ekspres, Normal (Akademik) mahupun Normal (Teknikal).
Google Jamboard dapat berfungsi dalam Bilik Darjah Google, jadi memudahkan untuk guru membuat siaran pertemuan Google (Google Meet). Guru harus pastikan pelajar diberi keupayaan untuk mengedit supaya mereka boleh menaip respons mereka. Beberapa minit kemudian bingkai Jamboard akan mula dipenuhi dengan pelbagai jawapan mereka. Ketika itulah, pelibatan pelajar meningkat dan perbincangan kelas bermula!
Dengan menggunakan Jamboard untuk pelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja meningkatkan pelibatan, ia membantu saya mengukur pemahaman pelajar. Ini juga merupakan cara terbaik untuk mendapatkan maklum balas dan melihat hasil kerja pelajar individu. Jamboard juga boleh diberikan kepada peranti individu pelajar untuk mereka gunakan sebagai ruang kerja semasa Kuiz Bahasa Melayu digital. Disebabkan jumlah maksimum bingkai satu Jamboard ialah sebanyak 20, menugaskan latihan-latihan mudah sama ada berbentuk sekelas, berpasangan mahupun individu akan terlihat sebagai terdaya dilaksanakan pelajar.
Menggunakan Google Jamboard juga merupakan cara terbaik untuk membuat kumpulan kecil bekerjasama serta membezakan arahan. Mereka akan berbincang seraya berkongsi strategi dalam menyelesaikan masalah. Hasil perbincangan ini dapat dikongsikan sekali lagi kepada kelas. Saya boleh memuat naik masalah yang berbeza untuk setiap kumpulan. Pada bingkai kumpulan tertentu, saya hanya memasukkan kotak teks untuk nama ahli kumpulan dan membuat tugasan untuk setiap kumpulan untuk diakses dalam Bilik Darjah Google kami. Sudah menjadi kelaziman, pelajar-pelajar saya akan digolongkan dalam kumpulan Beruang Koala, Labah-labah atau Burung Hantu. Nama-nama kumpulan ini menggantikan pelabelan LP/ MP/ MP sekali gus mengelakkan stigma dari berlaku.
Keberkesanan strategi
Dalam memikirkan perkara yang berkesan dalam bilik darjah maya, guru telah membantu mengembangkan amalan guru dalam bilik darjah fizikal berjarak sosial. Jamboard ialah satu contoh yang baik. Walaupun COVID-19 telah menjadi lensa norma pendidikan pada tahun 2020, saya perlu mempertajam penglihatan jarak jauh saya dan melihat bagaimana kemahiran “kecemasan” boleh menjadi kemahiran harian pada masa hadapan.
Permasalahan
Pedagogi menggunakan Jamboard ini mungkin dilihat sama seperti yang lain. Makanya, ia boleh dijadikan sebagai suatu pendekatan alternatif.
Terdapat tiga cabaran yang saya hadapi dan mahu atasi. Cabaran pertama adalah berpasaknya persepsi malas mencuba sesuatu yang baharu, cabaran kedua adalah wujudnya tanggapan pasti adanya banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memulakan sesuatu yang
baharu; serta cabaran terakhir ialah kurangnya keyakinan diri untuk memastikan bentuk apapun pedagogi yang diusahakan dengan ikhlas akan membuahkan hasil yang lumayan.
Dalam menyemai dan menggalakkan pelajar-pelajar kita sendiri untuk mempertajam ilmu di dada, guru sering menguar-uarkan kepentingan untuk pelajar-pelajar terus kekal berusaha dan tidak berputus asa, sebagai contoh dengan meneroka pelbagai cara alternatif asalkan mereka tetap dapat menjawab sesuatu soalan. Ada kalanya sesuatu teknik pembelajaran itu tidak sesuai dengan keperluan pembelajaran dan pemahaman pelajar. Sejajar dengan konsep itulah, maka sama penting untuk guru mendidik diri sendiri dalam memperkasakan diri sebelum berkongsi ilmu.
Langkah-langkah
Saya mulai mengenali Jamboard pada tahun 2020 secara tanpa sengaja apakala jari-jemari mulai sibuk meneroka kemudahan-kemudahan yang ada di Google. Dahulunya saya suka menggunakan wadah penultimate atau procreate sebagai papan tulis sewaktu mangajar. Namun begitu; disebabkan ia hanya bersifat Bimbingan-Guru (Teacher-Led); saya bagaikan terpanggil untuk meninjau-ninjau sesuatu yang bersifat kolaboratif. Kolaboratif ini bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi yang dapat melibatkan saya berperanan sebagai pemudah cara (fasilitator). Saya mulai mencari-cari wadah berbentuk ICT tetapi ibarat penggunaan kertas sabak yang dapat menggalakkan sekumpulan pelajar mencatat idea pada waktu yang sama di atas kertas yang sama. Dokumen Google seperti slaid Google yang bersifat kolaboratif turut saya terokai, namun ia tidak dapat memberikan saya suatu kepuasan seperti sebuah papan tulis yang besar.
Jamboard bukan sahaja merupakan suatu lagi alat bantu mengajar yang dapat digunakan dalam pelaksanaan pedagogi yang menggalakkan pertukaran dan perkongsian idea yang kreatif dan kritis. Malah ia dapat menjadi jawapan bagi persoalan-persoalan seperti pembezaan dengan i) menggabungjalinkan aplikasi berlandaskan teknologi ii) menyediakan suatu platform pembelajaran yang aktif; dan iii) mampu memperboleh pengguna mendapatkan lapor balik dalam masa sebenar.
Sebagai guru, kita haruslah kekal relevan dan efektif dalam menangani permasalahan dan keperluan PdP dalam sistem Pendidikan Singapura. Dan sebagai seorang Ketua Pedagogi, saya percaya bahawa saya perlu mencuba sesuatu kaedah pengajaran yang baharu dalam kelas-kelas saya dahulu, faham akan keterbatasan pedagogi tertentu atau alat bantu pengajaran yang digunakan - sebelum ia diperkenalkan kepada guru-guru lain.
Sesuatu pedagogi baharu tidak sewajarnya diterapkan secara agresif. Andai hal in terlaksana, lebih segeralah kita akan kehilangan mereka. Seorang Ketua Pedagogi tidak sepatutnya mengarah atau mengerah. Sebaliknya, Ketua Pedagogi seharusnya bersedia menghulur tangan untuk menuntun atau memasang telinga untuk mendengar keluhan guru-guru yang menemukan masalah ketika mencuba. Pastinya hal ini perlu juga disulami dengan kesabaran ketika menggalakkan teman-teman guru dalam menerima strategi baharu.
Demi menyemai keyakinan dan keperluan pembelajaran guru yang berbeza untuk menggunakan Jamboard dalam PdP, sesi perkongsian dan tunjuk ajar (modelling) perlu dijalankan oleh Ketua Pedagogi. Setiap kali adanya mesyuarat guru Bahasa Melayu yang turut
melibatkan perkongsian idea sama ada berpasangan mahupun kumpulan, wadah Jamboard digunakan. Ibarat sesi amali, alah bisa tegal biasa. Guru-guru Bahasa Melayu di sekolah kami menjadi lebih selesa untuk menggunakan kaedah yang sama di bilik darjah masing-masing.
Setelah guru-guru Bahasa Melayu diperkasa dengan pengetahuan ini, wadah Jamboard ini secara tidak langsung digunakan secara aktif dalam PdP Bahasa Melayu di kelas. Tugasan dan aktiviti berkolaboratif antara kelas beberapa peringkat juga dapat dijalankan; contohnya dalam pertukaran idea atau memberikan respons mengenai isu-isu semasa dalam kalangan pelajar-pelajar menengah 1, 2 dan 3 Bahasa Melayu Lanjutan. Kuiz-kuiz Bahasa yang diterapkan dalam Aktiviti Jejak Kembara @Edegfield sempena Program Dwimingguan Bahasa Ibunda 2022 dapat dijalankan serentak dengan pantauan guru pengelola melalui Jamboard
Peranan Guru Kanan sebagai Ketua Pedagogi
Sebagai guru kanan, saya juga digalakkan untuk menyumbang kepada pembelajaran profesional guru-guru baik seunit, sejabatan mahupun sesekolah.
Bukanlah setiap tahun sesebuah sekolah itu bernasib baik untuk menerima guru permulaan (Beginning Teacher) yang sama unit dengan diri kita dari Institut Pendidikan Nasional. Ada kalanya pula, jika kita berperanan sebagai Mentor Koordinator Sekolah (School Coordinating Mentor), guru-guru pelatih yang diamanahkan kepada kita turut dapat tempias perkongsian ilmu. Sebagai mentor pedagogi, saya turut menggalakkan guru-guru saya mencuba strategi pedagogi yang dikongsi di dalam kelas mereka. Hasilnya, ada yang gemar menggunakan Jamboard dalam sesi perbincangan topik-topik isu semasa dan ada yang gemar pula menggunakannya sebagai suatu proses membina peta minda. Apapun cara yang mereka gunakan, pokoknya adanya usaha permulaan yang dibuat.
Sekolah Menengah Edgefield juga menggalakkan guru-guru mereka menerapkan konsep kelas terbuka; dalam mengundang rakan-rakan guru untuk datang bertandang, mereka boleh mempelajari strategi atau pedagogi baharu. Disebabkan budaya sedemikian, pelajarpelajar tidak akan terasa kekok lagi apabila tibanya masa guru subjek mereka dinilai oleh ketua masing-masing sewaktu adanya sesi Pemerhatian Pelajaran (Lesson Observation). Nilai Belajar Sepanjang Hayat dapat disaksikan sendiri oleh pelajar-pelajar di sekolah kami. Sasaran tetamu kelas-kelas terbuka saya bukan sahaja guru-guru Bahasa Ibunda. Hari ini mereka mengunjungi kelas saya, Hari esok, tibalah peluang untuk mengunjungi kelas-kelas terbuka yang dijalankan guru-guru mata pelajaran yang berbeza.
Setelah memasuki kelas saya untuk Pemerhatian Pelajaran (Lesson Observation), naib pengetua saya telah mencabar saya untuk berkongsi beberapa contohan penggunaan Jamboard ini kepada pengajaran subjek-subjek seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Ilmu Hisab dan Ilmu Alam. Cabaran ini telah saya sambut dan hasilnya, ada beberapa teman seperjuangan dari jabatan yang lain turut mengaplikasikan wadah Jamboard di kelas.
Selain dari usaha-usaha yang telah disebutkan sebelum ini, guru-guru juga disyorkan untuk menyumbang kepada Portal Discover Edgefield. Sudah tentu, portal ini diteraskan oleh guru-guru peneraju dan guru kanan yang merupakan Ketua Pedagogi. Portal ini merupakan sebuah platform yang disediakan demi menyokong pembelajaran profesional kerjaya kami. Portal yang bersifat dari guru untuk guru ini memuatkan perkongsian pengetahuan pelbagai
seperti Pengajaran Pembezaan (Differentiated Instructions) atau Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (Inquiry-Based Learning). Guru hanya perlu menyisihkan 10 hingga 15 minit lamanya untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Hal ini dapat dilaksanakan guru pada bila-bila masa sahaja.
Refleksi
Mungkin ada guru yang merasakan untuk menerapkan pengajaran pembezaan dalam kelas sahaja merupakan suatu tugasan yang mencabar; apatah lagi perlu menyediakan bingkaibingkai Jamboard yang rencam. Saya percaya akan benarnya kekata ‘buang masa untuk menjimat masa’. Proses mempelajari sesuatu yang baharu berbeza antara individu. Ada yang cepat menangkap dan ada pula yang sebaliknya. Namun, jika ia tetap diusahakan saya yakin ia akan menjadi salah satu kemahiran yang berfaedah.
Kesan kepada Guru dan Pelajar
Selain daripada guru menjalankan pengajaran sewaktu Pembelajaran dari Rumah atau Pembelajaran dalam Talian tanpa bersemuka dengan pelajar-pelajar, guru berupaya menghantar tugasan kepada beberapa kumpulan keupayaan pelajar yang ada sekali gus dengan hanya menyalin Jamboard yang sedia ada sebelum membuat berberapa perubahan kecil. Jika kita mengajar kelas yang sama lebih daripada sekali, kita boleh menduplikasi keseluruhan Jamboard untuk kelas lain. Hal ini sebenarnya dapat menjimatkan masa penyediaan.
Pelajar pula boleh menarik fail daripada Google Drive dan bekerjasama antara satu sama lain semasa menggunakan Google Meet. Projek kumpulan, kerja berpasangan mahupun aktiviti kendiri masih tetap dijalankan. Ternyata, Jamboard merupakan alat kolaboratif yang hebat, sama ada jauh atau bersemuka.
Keberkesanan Jamboard
Sesuatu ciptaan tidaklah 100% sempurna. Jamboard turut datang dengan beberapa kelemahan. Sebagai contoh, dengan kurang keupayaan Jamboard untuk pengguna menambah kandungan media seperti muzik dan video, mungkin bakal mudah mematikan semangat penerokaan guru mahupun pelajar. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Dengan mengubah alamat-alamat siaran URLnya sebagai satu kod QR, pengguna masih lagi dapat mengimbas kod tadi dan menyaksikan video yang dimaksudkan dalam tab yang berbeza. Hal keterbatasan ini sama juga seperti apabila guru manaipkan sambungan pautan kepada mana-mana artikel ataupun lelaman tertentu pada mana-mana bingkai Jamboard; pengguna tidak akan dapat mengakses pautan tersebut secara langsung. Pautan kepada lelaman maya yang dimaksudkan itu hanya dapat diakses seandainya ia ditukar kepada satu kod QR.
Bagi mereka yang menggemari apa jua bentuk estetika, bingkai Jamboard masih boleh dihias oleh pengguna dengan menggunakan gambar animasi, Bitmoji, imejan daripada Google mahupun yang tersedia ada di komputer pengguna dan Sambungan Google Chrome untuk fail-fail dokumen (Google Chrome Extensions). Pengguna dapat juga menaipkan teks, menulis atau melukis dengan menggunakan pena stylus atau menaipkan respons mereka melalui nota pelekat pelbagai warna. Sesetengah guru dan pelajar mungkin mendapati sukar untuk melukis di papan tulis dengan tetikus seandainya mereka tidak dapat menggunakan
kemudahan tablet atau iPad. Namun, inilah masanya untuk pengguna mengaktifkan minda kreatif mereka baik dalam usaha mengajar mahupun belajar.
Penggunaan emoji seperti menunjukkan wajah emoji tersenyum atau muram, penanda tombol jari bagus ataupun tidak; serta tanda pangkah dan tanda betul adalah antara grafik ringkas dan mudah yang boleh diaplikasikan pengguna sebagai satu cara memberi maklum balas yang tidak kurang efektifnya ketika menjalankan penilaian guru ataupun rakan sebaya.
Kesan terhadap Pelajar
Lumrah manusia yang gemar menconteng (doodling); hal ini tetap akan timbul baik ketika menggunakan kertas kosong ataupun papan tulis berteraskan teknologi. Sikap ingin tahu (curiosity) akan menjadi seperti pemangkin untuk pelajar-pelajar kita mulai menggunakan perkakas berfungsi seperti pencerah warna, pena ataupun pemadam untuk dimain-mainkan di atas bingkai. Memandangkan ia merupakan suatu papan kolaboratif, setiap catatan atau pemadaman yang dilakukan akan sedikit sebanyak dapat merosakkan atau menghilangkan entri rakan sebaya mereka. Di sinilah guru perlu menguatkuasakan beberapa peraturan sebelum memulakan PdP menggunakan Jamboard. Sikap saling menghormati dan disiplin perlu diwujudkan agar tiada pelajar akan ditinggalkan dalam keadaan menjeruk rasa pada akhir kelas.
Jika guru melihat Jamboard hanya sebagai kertas kosong dan tiada yang istimewa, maka biasa-biasalah bentuk Jamboard itu. Namun jika guru menganggap Jamboard itu ialah kanvas putih yang belum lagi dicorakkan; makanya ia mampu menjadi sebongkah wadah ilmu yang dapat dibezakan dan disesuaikan mengikut kekreatifan masing-masing.
Refleksi
Saya cuba menggunakannya di dalam bilik darjah untuk menyampaikan apa sahaja bentuk pengajaran; baik yang biasa mahupun pengajaran pembezaan. Perkongsian wadah ini saya turut kongsikan kepada rakan-rakan guru apabila saya berjaya melihat betapa seronoknya pelajar-pelajar saya belajar menggunakan Jamboard, betapa Jamboard yang dapat disokong melalui bilik darjah Google untuk ditugaskan kepada pelajar baik dalam kelas-kelas bersemuka mahupun sewaktu kelas dalam talian; ataupun betapa mudah untuk saya berikan maklum balas secara langsung bukan hanya dengan bertutur tetapi diserlahkan lagi dengan adanya nota-nota kecil yang dicatatkan atau emoji-emoji yang dapat diberikan buat entri jawapan pelajar. Kesilapan dapat diperbetul untuk meningkatkan lagi fahaman pelajar akan kenapa ia salah. Jawapan yang baik pula dapat diiktiraf dan diperkukuh sekali gus memberikan suatu maklum balas yang memberangsangkan bagi pelajar untuk terus memberikan yang terbaik.
Kesimpulan
Cabaran dan Saranan Pembaikan
Disuguhkan dengan sesuatu bersifat teknologi kepada pelajar, mereka yang rata-ratanya celik IT akan dengan cepatnya hilang minat setelah mendapati peranti atau aplikasi tersebut kurang memukau. Makanya, guru perlulah turut berevolusi dengan berlegarnya zaman agar kaedah yang kita gunakan untuk mendekati pelajar-pelajar tetap kekal relevan dan tentunya menarik.
Pada saat yang sama, kita perlu akur bahawa tidak semestinya sesebuah pedagogi PdP itu harus berlandaskan teknologi untuk memastikan ia menarik dan boleh diterima ramai.
Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai suatu kayu ukur pencapaian pelajar ataupun betapa berkesannya teknik kita sebagai guru dalam mengajar dan mendidik. Ada beberapa teman guru yang mapan dan berpengalaman gemar mempersoal dan memperkecil usaha guruguru yang dilihat sebagai cuba menunjuk-nunjuk kebolehan mereka menggunakan IT. Dalam menangani hal sedemikian, selain kesabaran dan kecekalan; sokongan dari pihak sekolah seperti Ketua Jabatan, Jabatan ICT dan pegawai-pegawai IT, ketua-ketua sekolah memainkan peranan yang besar untuk guru-guru kita tidak berhenti untuk terus mencuba.
Kesimpulan
Selain menjadi suatu lagi wadah menyokong dan menyediakan respons pelajar yang semakin rencam profilnya, diharapkan perkongsian ini dapat memperteguh kepercayaan guru-guru dalam pembangunan pelajar yang lebih berbentuk holistik. Bertitik tolak dari kepercayaan guru bahawa setiap pelajar ingin dan boleh belajar; justeru kepercayaan inilah yang membentuk pedagogi seorang guru.
Rujukan
Li, M., An, Z., & Ren, M. (2020). Student-centred webcast+ home-based learning model and investigation during the covid-19 epidemic. Inteligencia Artificial, 51-65.
Pusat Bahasa Melayu Singapura (2018), Amalan Pengajaran Singapura, Singapura: Oxford Graphic Printers Pte. Ltd
Radzi Jidin, (2020). Teks ucapan Sidang Media Pembukaan Semula Sekolah bagi Murid Bukan Kelas Peperiksaan Awam; 1 Julai 2020.
Tomlinson, Carol A. How to differentiate Instruction in Mixed-Ability Classrooms. Alexandria, Va.: Association for Supervision and Curriculum Development, 1995








Sekalung Budi
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dihulurkan kepada:
● Cikgu Mohd Zaki Hashim dari Sekolah Sekolah Rendah North Vista sebagai pembentang perkongsian;
● Dr. Zainaba Omar dari Sekolah Rendah Clementi sebagai pembentang perkongsian;
● Dr. Nor Hanisah Saphari dari Maktab Rendah Catholic sebagai pembentang perkongsian;
● Cikgu Sabrina Samsuri dari Sekolah Rendah Zhenghua sebagai pembentang perkongsian;
● Cikgu Irmawati Mascom dari Sekolah Menengah Tanglin sebagai pembentang perkongsian;
● Cikgu Melati Halel dari Sekolah Rendah Si Ling sebagai pembentang perkongsian;
● Cikgu Noraishah Mostapa dari Sekolah Menengah Meridian sebagai pembentang perkongsian;
● Cikgu Rabi’ah Rahmat dari Sekolah Rendah White Sands sebagai pembentang perkongsian;
● Cikgu Faezah Noorahman dari Sekolah Menengah Edgefield sebagai pembentang perkongsian; dan
● Cikgu Rita Zarina Mohd Nazeer dari Sekolah sebagai pengacara program Bestari Berbicara
dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan perancangan, pengurusan dan pelaksanaan Program Bestari Berbicara 2022.
Pusat Bahasa Melayu Singapura
Akademi Guru Singapura
Kementerian Pendidikan Singapura
