12 minute read

Pengajaran Pembezaan dengan Menggunakan Jamboard

Faezah Binte Noorahman

Guru Kanan

Sekolah Menengah Edgefield

Dengan penularan pandemik COVID-19 serta bermulanya Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB); yakni suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan profil pelajar yang pelbagai, guru-guru bagaikan lebih tercabar untuk mengusahakan PdP yang bukan sahaja berkesan diaplikasikan baik dalam proses belajar dalam talian mahupun bersemuka. Hal ini juga diharapkan tidak mengkompromi kepentingan wujudnya budaya bilik darjah yang positif dan selamat untuk menangani keperluan pembelajaran, kebolehan dan minat pelajar yang rencam. Papan tulis tetap diperlukan oleh sekumpulan pelajar yang akan lebih terinspirasi dan faham apabila dapat ditunjuk ajar secara eksplisit oleh guru mereka. Makanya, sesi perbincangan berkolaboratif dan interaktif dengan menggunakan wadah papan tulis Jamboard ini dijalankan agar idea yang ditukar serta fahaman yang tergambar bukan sahaja dapat dipantau guru dengan mudah malah mampu diberi maklum balas yang lebih efektif secara langsung oleh guru. Justeru, ia amat diharapkan bakal menarik minat pelajar untuk memperbaik usaha mereka.

Pengenalan

Pembelajaran dalam talian bukanlah sesuatu yang baharu kepada guru-guru sebelum pandemik COVID-19 ini berlaku, namun kaedah pembelajaran ini hanya sebagai sokongan kepada pembelajaran konvensional yang dijalankan di bilik darjah. Apabila berlakunya pandemik ini, pembelajaran dalam talian melalui pendekatan Home Based Learning (HBL) telah menjadi satu keperluan kepada para pendidik untuk melaksanakan sepenuhnya bagi menggantikan pembelajaran secara bersemuka. Kemudian, meskipun dengan terkawalnya penularan pandemik ini, HBL tetap dijalankan di sekolah-sekolah sekurang-kurangnya sekali dwimingguan.

Selain COVID-19; wujudnya keperluan dalam menghubungkaitkan setiap titik nadi yang hadir di dalam kelas telah mencetuskan idea untuk perkongsian ini. Kebanyakan sekolah hanya menempatkan pelajar-pelajar sealiran di dalam sebuah kelas Bahasa Melayu. Malangnya sekolah saya bukan sahaja mengambil pendekatan seperti itu. Nisbah antara guru dan pelajar yang tidak seimbang memerlukan penggabungjalinan kelas-kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang rencam aliran pembelajarannya. Jika tahun-tahun lalu hanya melihat pelajar beraliran Ekspres sahaja yang memenuhi kelas Bahasa Melayu Biasa, hanya pelajar beraliran Normal (Akademik) dalam kelas Bahasa Melayu (Normal); ataupun pelajar beraliran Normal (Teknikal) yang memenuhi kelas Bahasa Melayu Asas. Dewasa ini, sebuah kelas Bahasa Melayu yang dikelolakan oleh seorang guru, boleh merangkumi gabungan pelajarpelajar aliran i) Bahasa Melayu Normal (Akademik) – gabungan pelajar NA dan NT (SBB) dan ii) Normal (Teknikal). Sekali gus, hal ini memerlukan guru untuk mempertimbang profil pelajar iaitu keperluan 2 kumpulan pelajar pelbagai pencapaian (High Progress - HP, Middle Progress - MP dan Low Progress - LP) demi memperkasakan mereka. Hal ini belum lagi termasuk perbezaan latar keluarga, sifat dan sikap yang mungkin terlalu pemalu, pendiam, berkeyakinan diri yang terlalu tinggi, kompetitif, mudah leka, mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang mencabar mahupun suka menunda-nundakan kerja.

Objektif perkongsian

Dengan adanya Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB), Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang disediakan guru bukan sahaja sesuai malah harus mampu menggalakkan lebih banyak keterlibatan pelajar, memerlukan wadah pembelajaran yang memotivasikan dan pastinya mengharapkan prestasi kejayaan yang memberangsangkan. ‘Homogeneous Classroom’ atau ‘One size fits all’ bukanlah suatu kaedah yang dapat diterapkan dalam acuan penyediaan bentuk pembelajaran masa kini. Bayangkan dalam kelas Bahasa Melayu Ekspres sahaja boleh terdiri daripada kumpulan pelajar yang berbahasa Melayu Ekspres (Biasa), pelajar SBB Normal (Akademik) serta pelajar SBB Normal (Teknikal).

Kajian Lepas

Kaedah Home Based Learning (HBL) ialah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa (Radzi Jidin, 2020). Menurut Li Mingyong et al. (2020), HBL merupakan kaedah pembelajaran dari rumah dan bukannya di sekolah ataupun di kampus. Ini memberi fleksibiliti kepada pelajar dan guru untuk menyesuaikan diri dengan komitmen lain termasuk keluarga, pekerjaan atau aktiviti rekreasi. Kaedah pembelajaran HBL tidak berlaku seperti di sekolah sebaliknya memberi peluang kepada pelajar dan guru untuk mengalami bentuk pengajaran dan pembelajaran alternatif dengan penggunaan teknologi.

Untuk membantu murid-murid mencapai potensi mereka dalam kemahiran menulis, lebihlebih lagi bagi murid yang tergolong dalam kelas pengelompokan kebolehan yang pelbagai, guru boleh membantu dengan menyediakan perancahan yang sesuai untuk pelajar-pelajar mereka. Untuk memberikan sokongan yang lebih berkesan, guru boleh menggunakan pendekatan Pengajaran Pembezaan (Tomlinson, 1995).

“Kita menghargai setiap pelajar sebagai seorang individu. Pelajar kita mempunyai keperluan pembelajaran yang berbeza dan mereka juga mempunyai pengalaman, kepercayaan, pengetahuan dan kemahiran yang luas. Untuk memastikan pembelajaran yang berkesan, kita sesuaikan rentak pengajaran, pendekatan dan amalan penilaian mengikut pembangunan pelajar. (Falsafah Kurikulum Singapura, Amalan Pengajaran Singapura, 2017)

Pedagogi dan pengajaran yang berpusatkan pelajar adalah sangat penting untuk menjadikan pembelajaran secara maya efektif. Sekiranya digunakan oleh guru yang boleh memanfaatkannya, peranti yang paling mudah sekalipun mampu menyampaikan pelajaran yang paling menarik dan berinspirasi.

Google Jamboard ialah papan putih digital yang membolehkan kerjasama dalam ruangan berkongsi secara jarak jauh atau bersemuka. Pelajar boleh melakar idea, menyelesaikan masalah, atau melukis secara kolaboratif dan serentak. Aplikasi ini juga membolehkan guru memeriksa cara kerja pelajar dan meminta pelajar untuk berkongsi kaedah penyelesaian masalah dan jawapan mereka dengan seluruh bilik darjah. Peranti dan kaedah pembelajaran interaktif seperti ini membolehkan pelajar menerajui proses pembelajaran mereka sendiri. Yang paling penting adalah bagaimana alat-alat ini dapat dimanfaatkan dalam membantu mempermudah proses pembelajaran.

Pengajaran Pembezaan dengan menggunakan Jamboard

Terdapat banyak cara untuk menggunakan Jamboard untuk membina pelajaran yang berkolaboratif, menarik serta bersesuaian dengan pencapaian kebolehan pelajar. Sebagai guru Bahasa Melayu, saya menggunakan Jamboard meliputi spektrum pembelajaran yang lebar – Tatabahasa, Peribahasa, Pemahaman, Karangan ataupun Perbincangan Topik Lisan. Pengajaran dan pembelajaran ini telah dapat saya jalankan dalam pelbagai peringkat – menengah 1 hingga 4, Bahasa Melayu Lanjutan, Ekspres, Normal (Akademik) mahupun Normal (Teknikal).

Google Jamboard dapat berfungsi dalam Bilik Darjah Google, jadi memudahkan untuk guru membuat siaran pertemuan Google (Google Meet). Guru harus pastikan pelajar diberi keupayaan untuk mengedit supaya mereka boleh menaip respons mereka. Beberapa minit kemudian bingkai Jamboard akan mula dipenuhi dengan pelbagai jawapan mereka. Ketika itulah, pelibatan pelajar meningkat dan perbincangan kelas bermula!

Dengan menggunakan Jamboard untuk pelajaran Bahasa Melayu bukan sahaja meningkatkan pelibatan, ia membantu saya mengukur pemahaman pelajar. Ini juga merupakan cara terbaik untuk mendapatkan maklum balas dan melihat hasil kerja pelajar individu. Jamboard juga boleh diberikan kepada peranti individu pelajar untuk mereka gunakan sebagai ruang kerja semasa Kuiz Bahasa Melayu digital. Disebabkan jumlah maksimum bingkai satu Jamboard ialah sebanyak 20, menugaskan latihan-latihan mudah sama ada berbentuk sekelas, berpasangan mahupun individu akan terlihat sebagai terdaya dilaksanakan pelajar.

Menggunakan Google Jamboard juga merupakan cara terbaik untuk membuat kumpulan kecil bekerjasama serta membezakan arahan. Mereka akan berbincang seraya berkongsi strategi dalam menyelesaikan masalah. Hasil perbincangan ini dapat dikongsikan sekali lagi kepada kelas. Saya boleh memuat naik masalah yang berbeza untuk setiap kumpulan. Pada bingkai kumpulan tertentu, saya hanya memasukkan kotak teks untuk nama ahli kumpulan dan membuat tugasan untuk setiap kumpulan untuk diakses dalam Bilik Darjah Google kami. Sudah menjadi kelaziman, pelajar-pelajar saya akan digolongkan dalam kumpulan Beruang Koala, Labah-labah atau Burung Hantu. Nama-nama kumpulan ini menggantikan pelabelan LP/ MP/ MP sekali gus mengelakkan stigma dari berlaku.

Keberkesanan strategi

Dalam memikirkan perkara yang berkesan dalam bilik darjah maya, guru telah membantu mengembangkan amalan guru dalam bilik darjah fizikal berjarak sosial. Jamboard ialah satu contoh yang baik. Walaupun COVID-19 telah menjadi lensa norma pendidikan pada tahun 2020, saya perlu mempertajam penglihatan jarak jauh saya dan melihat bagaimana kemahiran “kecemasan” boleh menjadi kemahiran harian pada masa hadapan.

Permasalahan

Pedagogi menggunakan Jamboard ini mungkin dilihat sama seperti yang lain. Makanya, ia boleh dijadikan sebagai suatu pendekatan alternatif.

Terdapat tiga cabaran yang saya hadapi dan mahu atasi. Cabaran pertama adalah berpasaknya persepsi malas mencuba sesuatu yang baharu, cabaran kedua adalah wujudnya tanggapan pasti adanya banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memulakan sesuatu yang baharu; serta cabaran terakhir ialah kurangnya keyakinan diri untuk memastikan bentuk apapun pedagogi yang diusahakan dengan ikhlas akan membuahkan hasil yang lumayan.

Dalam menyemai dan menggalakkan pelajar-pelajar kita sendiri untuk mempertajam ilmu di dada, guru sering menguar-uarkan kepentingan untuk pelajar-pelajar terus kekal berusaha dan tidak berputus asa, sebagai contoh dengan meneroka pelbagai cara alternatif asalkan mereka tetap dapat menjawab sesuatu soalan. Ada kalanya sesuatu teknik pembelajaran itu tidak sesuai dengan keperluan pembelajaran dan pemahaman pelajar. Sejajar dengan konsep itulah, maka sama penting untuk guru mendidik diri sendiri dalam memperkasakan diri sebelum berkongsi ilmu.

Langkah-langkah

Saya mulai mengenali Jamboard pada tahun 2020 secara tanpa sengaja apakala jari-jemari mulai sibuk meneroka kemudahan-kemudahan yang ada di Google. Dahulunya saya suka menggunakan wadah penultimate atau procreate sebagai papan tulis sewaktu mangajar. Namun begitu; disebabkan ia hanya bersifat Bimbingan-Guru (Teacher-Led); saya bagaikan terpanggil untuk meninjau-ninjau sesuatu yang bersifat kolaboratif. Kolaboratif ini bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi yang dapat melibatkan saya berperanan sebagai pemudah cara (fasilitator). Saya mulai mencari-cari wadah berbentuk ICT tetapi ibarat penggunaan kertas sabak yang dapat menggalakkan sekumpulan pelajar mencatat idea pada waktu yang sama di atas kertas yang sama. Dokumen Google seperti slaid Google yang bersifat kolaboratif turut saya terokai, namun ia tidak dapat memberikan saya suatu kepuasan seperti sebuah papan tulis yang besar.

Jamboard bukan sahaja merupakan suatu lagi alat bantu mengajar yang dapat digunakan dalam pelaksanaan pedagogi yang menggalakkan pertukaran dan perkongsian idea yang kreatif dan kritis. Malah ia dapat menjadi jawapan bagi persoalan-persoalan seperti pembezaan dengan i) menggabungjalinkan aplikasi berlandaskan teknologi ii) menyediakan suatu platform pembelajaran yang aktif; dan iii) mampu memperboleh pengguna mendapatkan lapor balik dalam masa sebenar.

Sebagai guru, kita haruslah kekal relevan dan efektif dalam menangani permasalahan dan keperluan PdP dalam sistem Pendidikan Singapura. Dan sebagai seorang Ketua Pedagogi, saya percaya bahawa saya perlu mencuba sesuatu kaedah pengajaran yang baharu dalam kelas-kelas saya dahulu, faham akan keterbatasan pedagogi tertentu atau alat bantu pengajaran yang digunakan - sebelum ia diperkenalkan kepada guru-guru lain.

Sesuatu pedagogi baharu tidak sewajarnya diterapkan secara agresif. Andai hal in terlaksana, lebih segeralah kita akan kehilangan mereka. Seorang Ketua Pedagogi tidak sepatutnya mengarah atau mengerah. Sebaliknya, Ketua Pedagogi seharusnya bersedia menghulur tangan untuk menuntun atau memasang telinga untuk mendengar keluhan guru-guru yang menemukan masalah ketika mencuba. Pastinya hal ini perlu juga disulami dengan kesabaran ketika menggalakkan teman-teman guru dalam menerima strategi baharu.

Demi menyemai keyakinan dan keperluan pembelajaran guru yang berbeza untuk menggunakan Jamboard dalam PdP, sesi perkongsian dan tunjuk ajar (modelling) perlu dijalankan oleh Ketua Pedagogi. Setiap kali adanya mesyuarat guru Bahasa Melayu yang turut melibatkan perkongsian idea sama ada berpasangan mahupun kumpulan, wadah Jamboard digunakan. Ibarat sesi amali, alah bisa tegal biasa. Guru-guru Bahasa Melayu di sekolah kami menjadi lebih selesa untuk menggunakan kaedah yang sama di bilik darjah masing-masing.

Setelah guru-guru Bahasa Melayu diperkasa dengan pengetahuan ini, wadah Jamboard ini secara tidak langsung digunakan secara aktif dalam PdP Bahasa Melayu di kelas. Tugasan dan aktiviti berkolaboratif antara kelas beberapa peringkat juga dapat dijalankan; contohnya dalam pertukaran idea atau memberikan respons mengenai isu-isu semasa dalam kalangan pelajar-pelajar menengah 1, 2 dan 3 Bahasa Melayu Lanjutan. Kuiz-kuiz Bahasa yang diterapkan dalam Aktiviti Jejak Kembara @Edegfield sempena Program Dwimingguan Bahasa Ibunda 2022 dapat dijalankan serentak dengan pantauan guru pengelola melalui Jamboard

Peranan Guru Kanan sebagai Ketua Pedagogi

Sebagai guru kanan, saya juga digalakkan untuk menyumbang kepada pembelajaran profesional guru-guru baik seunit, sejabatan mahupun sesekolah.

Bukanlah setiap tahun sesebuah sekolah itu bernasib baik untuk menerima guru permulaan (Beginning Teacher) yang sama unit dengan diri kita dari Institut Pendidikan Nasional. Ada kalanya pula, jika kita berperanan sebagai Mentor Koordinator Sekolah (School Coordinating Mentor), guru-guru pelatih yang diamanahkan kepada kita turut dapat tempias perkongsian ilmu. Sebagai mentor pedagogi, saya turut menggalakkan guru-guru saya mencuba strategi pedagogi yang dikongsi di dalam kelas mereka. Hasilnya, ada yang gemar menggunakan Jamboard dalam sesi perbincangan topik-topik isu semasa dan ada yang gemar pula menggunakannya sebagai suatu proses membina peta minda. Apapun cara yang mereka gunakan, pokoknya adanya usaha permulaan yang dibuat.

Sekolah Menengah Edgefield juga menggalakkan guru-guru mereka menerapkan konsep kelas terbuka; dalam mengundang rakan-rakan guru untuk datang bertandang, mereka boleh mempelajari strategi atau pedagogi baharu. Disebabkan budaya sedemikian, pelajarpelajar tidak akan terasa kekok lagi apabila tibanya masa guru subjek mereka dinilai oleh ketua masing-masing sewaktu adanya sesi Pemerhatian Pelajaran (Lesson Observation). Nilai Belajar Sepanjang Hayat dapat disaksikan sendiri oleh pelajar-pelajar di sekolah kami. Sasaran tetamu kelas-kelas terbuka saya bukan sahaja guru-guru Bahasa Ibunda. Hari ini mereka mengunjungi kelas saya, Hari esok, tibalah peluang untuk mengunjungi kelas-kelas terbuka yang dijalankan guru-guru mata pelajaran yang berbeza.

Setelah memasuki kelas saya untuk Pemerhatian Pelajaran (Lesson Observation), naib pengetua saya telah mencabar saya untuk berkongsi beberapa contohan penggunaan Jamboard ini kepada pengajaran subjek-subjek seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Ilmu Hisab dan Ilmu Alam. Cabaran ini telah saya sambut dan hasilnya, ada beberapa teman seperjuangan dari jabatan yang lain turut mengaplikasikan wadah Jamboard di kelas.

Selain dari usaha-usaha yang telah disebutkan sebelum ini, guru-guru juga disyorkan untuk menyumbang kepada Portal Discover Edgefield. Sudah tentu, portal ini diteraskan oleh guru-guru peneraju dan guru kanan yang merupakan Ketua Pedagogi. Portal ini merupakan sebuah platform yang disediakan demi menyokong pembelajaran profesional kerjaya kami. Portal yang bersifat dari guru untuk guru ini memuatkan perkongsian pengetahuan pelbagai seperti Pengajaran Pembezaan (Differentiated Instructions) atau Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (Inquiry-Based Learning). Guru hanya perlu menyisihkan 10 hingga 15 minit lamanya untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Hal ini dapat dilaksanakan guru pada bila-bila masa sahaja.

Refleksi

Mungkin ada guru yang merasakan untuk menerapkan pengajaran pembezaan dalam kelas sahaja merupakan suatu tugasan yang mencabar; apatah lagi perlu menyediakan bingkaibingkai Jamboard yang rencam. Saya percaya akan benarnya kekata ‘buang masa untuk menjimat masa’. Proses mempelajari sesuatu yang baharu berbeza antara individu. Ada yang cepat menangkap dan ada pula yang sebaliknya. Namun, jika ia tetap diusahakan saya yakin ia akan menjadi salah satu kemahiran yang berfaedah.

Kesan kepada Guru dan Pelajar

Selain daripada guru menjalankan pengajaran sewaktu Pembelajaran dari Rumah atau Pembelajaran dalam Talian tanpa bersemuka dengan pelajar-pelajar, guru berupaya menghantar tugasan kepada beberapa kumpulan keupayaan pelajar yang ada sekali gus dengan hanya menyalin Jamboard yang sedia ada sebelum membuat berberapa perubahan kecil. Jika kita mengajar kelas yang sama lebih daripada sekali, kita boleh menduplikasi keseluruhan Jamboard untuk kelas lain. Hal ini sebenarnya dapat menjimatkan masa penyediaan.

Pelajar pula boleh menarik fail daripada Google Drive dan bekerjasama antara satu sama lain semasa menggunakan Google Meet. Projek kumpulan, kerja berpasangan mahupun aktiviti kendiri masih tetap dijalankan. Ternyata, Jamboard merupakan alat kolaboratif yang hebat, sama ada jauh atau bersemuka.

Keberkesanan Jamboard

Sesuatu ciptaan tidaklah 100% sempurna. Jamboard turut datang dengan beberapa kelemahan. Sebagai contoh, dengan kurang keupayaan Jamboard untuk pengguna menambah kandungan media seperti muzik dan video, mungkin bakal mudah mematikan semangat penerokaan guru mahupun pelajar. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Dengan mengubah alamat-alamat siaran URLnya sebagai satu kod QR, pengguna masih lagi dapat mengimbas kod tadi dan menyaksikan video yang dimaksudkan dalam tab yang berbeza. Hal keterbatasan ini sama juga seperti apabila guru manaipkan sambungan pautan kepada mana-mana artikel ataupun lelaman tertentu pada mana-mana bingkai Jamboard; pengguna tidak akan dapat mengakses pautan tersebut secara langsung. Pautan kepada lelaman maya yang dimaksudkan itu hanya dapat diakses seandainya ia ditukar kepada satu kod QR.

Bagi mereka yang menggemari apa jua bentuk estetika, bingkai Jamboard masih boleh dihias oleh pengguna dengan menggunakan gambar animasi, Bitmoji, imejan daripada Google mahupun yang tersedia ada di komputer pengguna dan Sambungan Google Chrome untuk fail-fail dokumen (Google Chrome Extensions). Pengguna dapat juga menaipkan teks, menulis atau melukis dengan menggunakan pena stylus atau menaipkan respons mereka melalui nota pelekat pelbagai warna. Sesetengah guru dan pelajar mungkin mendapati sukar untuk melukis di papan tulis dengan tetikus seandainya mereka tidak dapat menggunakan kemudahan tablet atau iPad. Namun, inilah masanya untuk pengguna mengaktifkan minda kreatif mereka baik dalam usaha mengajar mahupun belajar.

Penggunaan emoji seperti menunjukkan wajah emoji tersenyum atau muram, penanda tombol jari bagus ataupun tidak; serta tanda pangkah dan tanda betul adalah antara grafik ringkas dan mudah yang boleh diaplikasikan pengguna sebagai satu cara memberi maklum balas yang tidak kurang efektifnya ketika menjalankan penilaian guru ataupun rakan sebaya.

Kesan terhadap Pelajar

Lumrah manusia yang gemar menconteng (doodling); hal ini tetap akan timbul baik ketika menggunakan kertas kosong ataupun papan tulis berteraskan teknologi. Sikap ingin tahu (curiosity) akan menjadi seperti pemangkin untuk pelajar-pelajar kita mulai menggunakan perkakas berfungsi seperti pencerah warna, pena ataupun pemadam untuk dimain-mainkan di atas bingkai. Memandangkan ia merupakan suatu papan kolaboratif, setiap catatan atau pemadaman yang dilakukan akan sedikit sebanyak dapat merosakkan atau menghilangkan entri rakan sebaya mereka. Di sinilah guru perlu menguatkuasakan beberapa peraturan sebelum memulakan PdP menggunakan Jamboard. Sikap saling menghormati dan disiplin perlu diwujudkan agar tiada pelajar akan ditinggalkan dalam keadaan menjeruk rasa pada akhir kelas.

Jika guru melihat Jamboard hanya sebagai kertas kosong dan tiada yang istimewa, maka biasa-biasalah bentuk Jamboard itu. Namun jika guru menganggap Jamboard itu ialah kanvas putih yang belum lagi dicorakkan; makanya ia mampu menjadi sebongkah wadah ilmu yang dapat dibezakan dan disesuaikan mengikut kekreatifan masing-masing.

Refleksi

Saya cuba menggunakannya di dalam bilik darjah untuk menyampaikan apa sahaja bentuk pengajaran; baik yang biasa mahupun pengajaran pembezaan. Perkongsian wadah ini saya turut kongsikan kepada rakan-rakan guru apabila saya berjaya melihat betapa seronoknya pelajar-pelajar saya belajar menggunakan Jamboard, betapa Jamboard yang dapat disokong melalui bilik darjah Google untuk ditugaskan kepada pelajar baik dalam kelas-kelas bersemuka mahupun sewaktu kelas dalam talian; ataupun betapa mudah untuk saya berikan maklum balas secara langsung bukan hanya dengan bertutur tetapi diserlahkan lagi dengan adanya nota-nota kecil yang dicatatkan atau emoji-emoji yang dapat diberikan buat entri jawapan pelajar. Kesilapan dapat diperbetul untuk meningkatkan lagi fahaman pelajar akan kenapa ia salah. Jawapan yang baik pula dapat diiktiraf dan diperkukuh sekali gus memberikan suatu maklum balas yang memberangsangkan bagi pelajar untuk terus memberikan yang terbaik.

Kesimpulan

Cabaran dan Saranan Pembaikan

Disuguhkan dengan sesuatu bersifat teknologi kepada pelajar, mereka yang rata-ratanya celik IT akan dengan cepatnya hilang minat setelah mendapati peranti atau aplikasi tersebut kurang memukau. Makanya, guru perlulah turut berevolusi dengan berlegarnya zaman agar kaedah yang kita gunakan untuk mendekati pelajar-pelajar tetap kekal relevan dan tentunya menarik.

Pada saat yang sama, kita perlu akur bahawa tidak semestinya sesebuah pedagogi PdP itu harus berlandaskan teknologi untuk memastikan ia menarik dan boleh diterima ramai.

Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai suatu kayu ukur pencapaian pelajar ataupun betapa berkesannya teknik kita sebagai guru dalam mengajar dan mendidik. Ada beberapa teman guru yang mapan dan berpengalaman gemar mempersoal dan memperkecil usaha guruguru yang dilihat sebagai cuba menunjuk-nunjuk kebolehan mereka menggunakan IT. Dalam menangani hal sedemikian, selain kesabaran dan kecekalan; sokongan dari pihak sekolah seperti Ketua Jabatan, Jabatan ICT dan pegawai-pegawai IT, ketua-ketua sekolah memainkan peranan yang besar untuk guru-guru kita tidak berhenti untuk terus mencuba.

Kesimpulan

Selain menjadi suatu lagi wadah menyokong dan menyediakan respons pelajar yang semakin rencam profilnya, diharapkan perkongsian ini dapat memperteguh kepercayaan guru-guru dalam pembangunan pelajar yang lebih berbentuk holistik. Bertitik tolak dari kepercayaan guru bahawa setiap pelajar ingin dan boleh belajar; justeru kepercayaan inilah yang membentuk pedagogi seorang guru.

Rujukan

Li, M., An, Z., & Ren, M. (2020). Student-centred webcast+ home-based learning model and investigation during the covid-19 epidemic. Inteligencia Artificial, 51-65.

Pusat Bahasa Melayu Singapura (2018), Amalan Pengajaran Singapura, Singapura: Oxford Graphic Printers Pte. Ltd

Radzi Jidin, (2020). Teks ucapan Sidang Media Pembukaan Semula Sekolah bagi Murid Bukan Kelas Peperiksaan Awam; 1 Julai 2020.

Tomlinson, Carol A. How to differentiate Instruction in Mixed-Ability Classrooms. Alexandria, Va.: Association for Supervision and Curriculum Development, 1995

This article is from: