
1 minute read
Sekapur Sirih
Norhayati Awang
Pengarah Pusat
Pusat Bahasa Melayu Singapura
Akademi Guru Singapura
Kementerian Pendidikan Singapura
Salam sejahtera para guru yang budiman.
Syukur Alhamdullillah. Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Akademi Guru Singapura, Kementerian Pendidikan Singapura telah berjaya menjalankan pelbagai program pembelajaran profesional bagi para guru Bahasa Melayu sejak penubuhannya pada Julai 2010.

MLCS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru atas sokongan padu yang diberikan kepada setiap kursus dan program pembelajaran profesional yang dianjurkan. Hal ini memacu semangat kami untuk terus menawarkan pelbagai program pembelajaran profesional bagi guru-guru Bahasa Melayu di Singapura.
Bermula dari 2021, MLCS mengorak langkah untuk melakukan beberapa perubahan bagi membawa kesegaran dan mempertingkat mutu program pembelajaran profesional yang dianjurkan. Ini termasuklah program bagi Guru Kanan dan Guru Peneraju iaitu Program Bestari Berbicara. Program yang dikhususkan untuk Ketua Pedagogi berkongsi kepakaran dan membudayakan belajar bersama-sama telah diperbaik corak penganjurannya. Di samping itu, program ini juga menyediakan ruang bagi perbincangan dan interaksi antara Guru Pakar dan Ketua Pedagogi bagi menjalin hubungan dan rangkaian kerja demi mempertingkat keupayaan bersama.
MLCS adalah milik kita bersama dan aset bersama ini perlu tekal relevan dalam usahanya memperkasakan guru, mempercekap pelajar dan memperkaya kurikulum. Lantas, kami amat mengalu-alukan maklum balas dan saranan para guru bagi meningkatkan mutu sokongan yang diberikan kepada para guru Bahasa Melayu di Singapura.
Marilah kita terus membudayakan kecemerlangan profesional dan mengukuhkan bahasa lambang jati diri kita.
Guru cemerlang, pelajar budiman.