8 minute read

Penerapan Visi Arif Budiman dalam PdP Bahasa Melayu di Maktab Rendah

Dr. Nor Hanisah Saphari

Guru Kanan

Maktab Rendah Catholic

SinopSiS

Perkongsian ini bertumpu pada penerapan Visi Arif Budiman dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Maktab Rendah Catholic. Secara sedar, visi diterapkan dalam kalangan pelajar agar memiliki nilai-nilai dan matlamat yang diharapkan. Istilah seperti Arif yang Budiman dan Budiman yang Arif akan diapungkan di samping persoalan makna dan takrifan Keseronokan Pembelajaran atau Joy of Learning.

Pengenalan

Visi Arif Budiman (AB) berperanan sebagai nadi dan landasan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu (BM) di Singapura. Maka itu, ia selayaknyalah dijadikan panduan kepada guru BM. Perkongsian ini memberi gambaran bagaimana visi ini diterjemah dan diterapkan dalam PdP di Maktab Rendah Catholic. Pengerusi jawatankuasa semakan kurikulum BM pada 2004, Prof. Hadijah Rahmat menegaskan pentingnya untuk memahami falsafah di sebalik visi bagi mendepani masa depan demi pelestarian bahasa dan budaya Melayu.

Penerapan Visi Arif Budiman

Perkongsian ini menunjukkan cara dan contoh bagaimana visi Arif Budiman diterapkan menerusi pelajaran, aktiviti dan program Bahasa Melayu peringkat H1 dan MLB. Perancangan dan implementasi langkah untuk menerapkan elemen atau nilai visi memastikan agar unsur Joy of Learning dapat dialami oleh para pelajar. Ini bertujuan agar suasana pembelajaran yang menggembirakan, selesa serta selamat dapat dicapai, dialami dan dihargai.

Permasalahan

Nilai Arif Budiman kurang diberi perhatian dalam perancangan dan perlaksanaan PdP BM (Nor Hanisah, 2021). Hakikatnya, visi ini dapat diserlahkan dengan mencapai Keseronokan Pembelajaran dalam kalangan pelajar. Cabarannya adalah agar visi ini dapat diterjemah dalam bentuk yang sesuai dengan tahap penerimaan pelajar dan mencapai objektif pembelajaran yang diharapkan. Misi “Insan berpengetahuan yang menyumbang kepada masyarakat” masih memerlukan kupasan dan perhatian yang sewajarnya.

Langkah-langkah

Antara inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan ialah Projek Mini Arif Budiman, Projek Nusantara, Projek Pustaka, Projek NITRA (Nilai dalam sastera) dan Dapur Kreatif. Inisiatif ini memberi peluang untuk mencapai matlamat visi di peringkat maktab rendah, “Membina bahasa dan budaya Melayu secara kreatif dalam kesediaan menghadapi cabaran dan peluang dalam dunia yang berubah.” Sebagai Pemimpin Pedagogi, guru dapat mengamalkan dan memodelkan pengaplikasian nilai AB. Pelajar pula lebih faham akan rasional di sebalik pembelajaran dan sekali gus meningkatkan minat dan kecenderungan terhadap bahasa dan budaya. Keyakinan untuk menggunakan bahasa Melayu juga dapat dilihat. Kolaborasi antara guru-guru dari institusi yang berbeza juga membantu menyokong pembelajaran profesional guru-guru BM yang lain khususnya dalam projek NITRA.

Refleksi

Inisiatif ini memberi impak dari sudut makna dan manfaat. Pemberatan dan tumpuan terhadap visi Arif Budiman memberi peluang kepada guru untuk mengaplikasikannya secara sedar dan usaha untuk merealisasikannya dalam PdP berhasil dilakukan. Ia juga membantu guru untuk membentuk jati diri dan meningkatkan keyakinan para pelajar sebagai pelajar BM di Singapura. Peluang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu termasuk memanfaatkan sumber sedia ada, sama ada di maktab sendiri atau institusi lain harus dimaksimumkan. Erti

Joy of Learning perlu dikupas melampaui dan melangkaui faktor hiburan. Sikap cintakan ilmu dan menyebarkannya demi kebaikan bersama perlu diutamakan. Ini juga yang harus disemangati setiap guru apabila mengangkat visi Arif Budiman.

Kesimpulan

Cabarannya adalah untuk memudahkan makna dan falsafah di sebalik visi kepada para pelajar. Tanpa melekehkan kepentingannya, visi dan falsafahnya diterangkan dengan tahap pemahaman pelajar. Penerangan tersebut digandingkan dengan tuntutan kekreatifan bagi pihak pelajar. Kreatif ditakrifkan kepada yang baharu dan berguna. Di akhir setiap pelajaran, pelajar diharapkan dapat mencapai apa yang disebut sebagai Arif yang Budiman serta Budiman yang Arif dan mengalami Joy of Learning atau Keseronokan Pembelajaran. Visi ini sewajarnya terus dipacu secara sedar oleh guru bagi memupuk pelajar sebagai warga jagat.

Rujukan

Hadijah Rahmat. (2006). Visi Arif Budiman: Peranan dan cabaran pengajaran sastera dalam pendidikan bahasa Melayu. Paper presented at PGBM Sembang Bahasa, Singapura.

Hadijah Rahmat. (2008). Membina Semula Rumah Budaya Melayu di Perkampungan Jagatraya – Visi Pendidikan Bahasa Melayu pada Tahap Selanjutnya. Jurnal e-Utama, Jilid 1.

Ministry of Education Singapore. (2007). Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah. CPDD: Singapore.

Ministry of Education Singapore. (2020). Singapore Teaching Practice.

Nor Hanisah Saphari, 2021, “Penerapan nilai melalui sastera kanak-kanak dalam kelas bahasa Melayu di sekolah rendah di Singapura, PhD thesis, National Institute of Education, Nanyang Technological University, Singapore.

Perkongsian 4

Mikrofilem dan Penilaian Patchwork dalam Pengajaran Karangan Darjah 3

Sabrina Samsuri

Guru Kanan

Sekolah Rendah Zhenghua

SinopSiS

Projek ini mengandungi dua pendekatan pedagogi yang ditonjolkan iaitu penggunaan mikrofilem dan penilaian

Patchwork dalam pengajaran karangan kepada murid-murid

Darjah 3. Rangka kerja penulisan sekolah ‘SAFER’ (Speech, Action, Feelings, Expression & Remarks) serta penilaian kendiri dan rakan membantu murid-murid menulis. Penggunaan

Taksonomi SOLO turut membantu murid membuat renungan kendiri terhadap penulisan mereka.

Pengenalan

Kajian ini berkongsi tentang objektif, kaedah dan hasil kajian projek kolaboratif merentas 3 Bahasa Ibunda untuk mengkaji penggunaan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork dalam penulisan karangan. Objektifnya adalah untuk meningkatkan kemahiran menulis karangan pelajar dan memperkasakan pelajar untuk menjadi pelajar terarah kendiri, berkolaboratif dan mengambil langkah untuk merapatkan jurang pembelajaran. Mikrofilem dan Penilaian Patchwork membolehkan pelajar memvisualisasikan watak, menjana idea dan menulis dengan lebih mendalam serta melibatkan mereka dalam penyuntingan dan maklum balas rakan sebaya. Pelajar menggunakan alat refleksi kendiri taksonomi SOLO untuk merenung tulisan mereka. Pada akhir dua kitaran penulisan, kualiti penulisan meningkat, pelajar dapat membuat refleksi, menilai karangan sendiri dan memberi maklum balas rakan sebaya dengan lebih tepat dan lebih ramai pelajar bertindak berdasarkan maklum balas dan menunjukkan tahap motivasi intrinsik, pelibatan dan kerjasama yang lebih tinggi.

Objektif

Kami merancang pelajaran ini dengan mengambil kira objektif berikut:

A. Objektif untuk guru:

1. Guru akan mempelajari cara menggunakan Mikrofilem dengan Penilaian Patchwork untuk meningkatkan kemahiran menulis karangan pelajar dan tahap pelibatan dalam pembelajaran.

2. Guru akan belajar menggunakan rangka kerja penulisan SAFER (Speech, Actions, Feelings, Expression, and Remarks) - (Pertuturan, Perbuatan, Perasaan, Ekspresi, dan Komen) dan alat refleksi kendiri Taksonomi SOLO untuk meningkatkan keupayaan pelajar untuk pembelajaran terarah kendiri (SDL) dan membimbing pelajar merenung penulisan mereka secara kendiri, memantau tindak balas mereka terhadap maklum balas yang diberi rakan sebaya dan melibatkan diri secara aktif dengan maklum balas tersebut serta mengambil langkah untuk menutup jurang pembelajaran mereka.

B. Objektif untuk pelajar:

1. Pelajar akan belajar untuk menggambarkan watak, menjana idea dan menulis dengan lebih mendalam menggunakan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork.

2. Pelajar akan dapat melakukan penyuntingan sendiri dan rakan sebaya serta memberi maklum balas rakan sebaya menggunakan rangka kerja penulisan SAFER

3. Pelajar akan dapat menggunakan templat refleksi SOLO untuk merenung pembelajaran mereka, memantau kemajuan mereka dalam tugasan penulisan.

Penggunaan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork

Kajian kami menggunakan beberapa pendekatan pedagogi untuk melibatkan pelajar kami dalam pembelajaran yang lebih mendalam dan berkesan sambil menyuntik unsur keseronokan. Penggambaran mikro menggalakkan pelajar untuk memvisualisasi dan membayangkan watak dalam gambar yang digunakan untuk penulisan karangan dan berfikir dengan lebih mendalam. Emosi positif daripada video mikrofilem juga merangsang kreativiti pelajar dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menulis cerita yang lebih menarik dan kreatif, berpandukan rangka kerja penulisan sekolah iaitu ‘SAFER’. Penilaian Patchwork membantu pelajar memfokus pada satu gambar pada satu masa, membolehkan mereka menulis dengan lebih mendalam.

Menurut Peter G. Knight, terdapat beberapa kelebihan untuk Penilaian Patchwork. Pelajar lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dengan modul pembelajaran mereka kerana mereka boleh mengumpul, mencipta dan menyusun komponen Patchwork mereka berdasarkan aktiviti mingguan semasa modul berlangsung. Ia juga menggalakkan penilaian untuk pembelajaran (AfL) dan menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar, iaitu pelajar terlibat dalam penyuntingan karangan diri dan rakan sebaya serta memberi maklum balas rakan sebaya (https://petergknight.wordpress.com/2020/06/29/ patchwork-assessments/).

Memberi dan menerima maklum balas membantu pelajar kami mengatur pemikiran mereka dan mengawal pembelajaran mereka semasa mereka terlibat dalam pemikiran reflektif (Hattie dan Timperley, 2007).

Penggunaan templat refleksi SOLO mendorong pelajar untuk merenung pembelajaran mereka, memantau kemajuan mereka dalam tugasan penulisan dan membuat keputusan yang bijak mengenai langkah seterusnya. Dengan Taksonomi SOLO, kedua-dua guru dan pelajar tidak perlu menulis maklum balas yang panjang lebar dan langkah seterusnya ke arah penambahbaikan adalah jelas (Biggs dan Collins, 1982).

Penyediaan pilihan untuk pelajar kami dalam tugas menulis mereka disokong oleh prinsip Pengajaran Pembezaan atau Differentiated Instruction (DI) kerana kami berusaha untuk memenuhi pelbagai profil pelajar, memotivasi dan membantu mereka terlibat dalam pengalaman pembelajaran yang bermakna dengan membezakan mengikut minat dan kandungan (Tomlinson, C.A, 2017).

Keberkesanan Pendekatan

Untuk mengkaji keberkesanan pendekatan pedagogi kami, kami menjalankan praujian sebelum kitaran pertama penulisan dan pascaujian selepas kitaran akhir. Keputusan menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam markah penulisan karangan pelajar. Pelajar dapat menggunakan dialog, simpulan bahasa dan ekspresi atau frasa deskriptif dengan lebih berkesan dalam penulisan karangan mereka.

Menjelang akhir kitaran 2, kami dapati para pelajar kami menjadi pelajar yang reflektif dan terarah kendiri. Mereka menunjukkan keupayaan untuk merenung pembelajaran mereka dan menilai karangan mereka dengan lebih tepat. Terdapat peningkatan dalam bilangan pelajar yang menghayati dan bertindak atas maklum balas rakan sebaya. Mereka tidak mengulangi kesilapan mereka dan terdapat peningkatan dalam kualiti kerja yang dihasilkan.

Pemindahan pembelajaran terbukti dalam tugasan penulisan mereka yang seterusnya. Sungguh menggembirakan melihat pelajar kami maju ke peringkat yang lebih tinggi dalam Taksonomi SOLO. Pelajar juga membina keyakinan untuk memberi maklum balas kepada rakan sebaya mereka dan dapat menyunting hasil kerja rakan sebaya mereka, memberikan maklum balas rakan sebaya yang membina tanpa campur tangan atau bimbingan guru.

Kami juga melihat peningkatan dalam tahap pelibatan pelajar. Pelajar mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam perbincangan kelas dan lebih bersedia dan yakin untuk berkongsi pandangan mereka. Apabila pelajar berupaya untuk melibatkan diri dalam penyuntingan dan maklum balas rakan sebaya, mereka semakin bersemangat kerana mereka dapat mencontohi peranan guru semasa melaksanakan aktiviti tersebut.

Refleksi Guru

Kajian kami ini telah memupuk agensi dan kerjasama pelajar. Sebagai guru, kami melihat perubahan besar dalam amalan pedagogi kami apabila kami melihat kesan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar terhadap perkembangan pelajar sebagai pelajar yang reflektif, terarah kendiri, penulis yang yakin dan penyumbang aktif.

“Pada mulanya, apabila saya memulakan perjalanan Penggambaran Mikro dengan Penilaian Patchwork ini, saya fikir pengajaran ini terlalu mencabar untuk pelajar saya. Namun, semasa pengajaran dan pembelajaran bermula, saya berasa amat terkejut. Dengan penyerapan Patchwork Assessment, pelajar saya lebih berminat kerana mereka memfokuskan pada setiap gambar dan menulis mengikut kemampuan mereka. Ini adalah platform yang selamat dan baik untuk pelajar saya memberi maklum balas rakan sebaya sambil mengamalkan nilai prihatin. Mereka menggunakan bahasa yang mesra pelajar untuk menyatakan fikiran dan pendapat mereka. Mereka sangat menghormati perasaan rakan-rakan mereka yang menunjukkan bahawa mereka adalah ‘Pemimpin Perwatakan’ (Leaders of Character) yang menunjukkan nilai-nilai sekolah kami. Sungguh memuaskan melihat pelajar terlibat dalam perbualan yang bermakna dan memberi maklum balas yang membina kepada rakan sebaya mereka semasa mereka melakukan penyuntingan karangan rakan sebaya dan memberi maklum balas rakan sebaya. Pelajar saya gemar menggunakan templat refleksi SOLO kerana ia memberi inspirasi kepada mereka untuk merenung pembelajaran mereka dan mengenal pasti jurang pembelajaran mereka. Saya merasakan bahawa ia berbaloi dengan masa dan usaha!”

Tanuja Raj (Guru Peneraju Bahasa Tamil)

“Pengajaran karangan menjadi lebih menarik dengan memberi peluang kepada pelajar menggunakan imaginasi dan kehadiran rakaman video untuk membantu mereka secara visual. Penilaian Patchwork membantu pelajar memfokuskan pada satu gambar pada satu masa. Mereka mampu melakukan penilaian rakan sebaya dan kendiri.

Walaupun mengambil masa untuk fokus pada satu bahagian gambar, saya berpuas hati kerana pelajar saya dapat menerangkan setiap bahagian gambar dengan cukup baik. Pelajar juga lebih berfikiran terbuka dalam menerima cadangan rakan sebaya dengan menggunakan teknik PQP. Kesimpulannya, mereka menjadi pelajar yang aktif meningkatkan mutu kerja mereka bersama-sama.

Selepas kitaran kedua, pelajar saya memberi maklum balas bahawa mereka ingin saya mengajar mereka tatabahasa menggunakan penilaian patchwork. Ini kerana saya memberi tumpuan kepada pembinaan kandungan dalam penulisan mereka dan mereka ingin melihat cara mereka boleh menambah baik komponen bahasa mereka. Bagi saya, ini merupakan satu kejayaan!”

“Projek ini mempunyai dua ciri penting yang telah memberi inspirasi kepada saya. Pertama sekali, penggunaan mikrofilem membantu pelajar saya mengembangkan aliran untuk cerita yang mereka tulis. Menggunakan rangka kerja penulisan SAFER telah membantu pelajar saya menulis karangan yang sangat kreatif dan menarik. Saya melihat peningkatan dalam gaya penulisan mereka dan juga dalam kandungan.

Melalui Penilaian Patchwork, pelajar saya dapat melakukan penyuntingan rakan sebaya dan memberi maklum balas rakan sebaya menggunakan strategi PQP. Ini membantu pelajar saya menulis karangan yang lebih baik.”

Ding Caihong (Guru Kanan Bahasa Cina)

Kesimpulan

Keaslian penyelidikan ini ialah kajian ini memberi perhatian kepada pendekatan berpusatkan pelajar. Sebagai pendidik, kami ingin memperkasakan pelajar untuk mengambil tindakan untuk memupuk agensi pelajar, keyakinan diri dan kerjasama. Oleh itu, pendekatan penulisan ini membantu pelajar mengembangkan kemahiran advokasi yang mereka perlukan untuk melibatkan diri dalam pembelajaran yang lebih mendalam dan lebih berautonomi. Langkah seterus kami adalah untuk menerapkan Mikrofilem dan Penilaian Patchwork dalam pengajaran karangan dalam pelajaran e-Pedagogi.

Rujukan

https://petergknight.wordpress.com/2020/06/29/patchwork-assessments/ http://www.columbia.edu/~mvp19/ETF/Feedback.pdf

Biggs, J. dan Collins (1982). Evaluating the Quality of Learning: The SOLO Taxonomy

Hattie dan Timperley (2007). The Power of Feedback. https://journals.sagepub.com/doi/ abs/10.3102/003465430298487

Tomlinson, C.A. (2017). How to Differentiate Instruction in Mixed-Ability Classrooms

This article is from: