3 minute read

Penggunaan Strategi Stesen Putaran

dalam Pembelajaran Teradun bagi

Kemahiran Interaksi Lisan

Irmawati Mascom

Guru Peneraju

Sekolah Menengah Tanglin

SinopSiS

Dalam pembelajaran Bahasa Melayu ini, pengalaman pembelajaran perbincangan menjadi fokus untuk menjana idea, iaitu pelajar diberi ruang dan masa untuk berfikir dan berbincang dengan rakan-rakan untuk membina isi-isi interaksi lisan dengan lebih baik. Pendekatan pembelajaran teradun yang memfokuskan strategi putaran stesen, membantu guru mengamalkan pengajaran pembezaan dan mengalihkan tanggungjawab belajar kepada para pelajar.

Pengenalan

Guru-guru bahasa Melayu sering mendapati bahawa pelajar menghadapi cabaran menjana idea untuk bertutur dalam kelas. Mereka berasa tertekan apabila diminta bertutur lalu memerlukan lebih masa untuk berfikir dan menjana idea sebelum berasa yakin bertutur dalam kelas atau bersama guru. Oleh itu, guru-guru ingin mencuba strategi putaran stesen ini untuk membantu pelajar memikirkan isi-isi dengan baik.

Objektif perkongsian ini adalah untuk menerangkan keberkesanan strategi Stesen Putaran dalam Pembelajaran Teradun, untuk membantu pelajar belajar secara aktif semasa pembelajaran dalam bilik darjah dan menjana idea agar dapat bertutur mengenai sesuatu topik bagi mengasah kemahiran bertutur.

Strategi Stesen Putaran

Perkongsian ini mengenai strategi stesen putaran yang telah dilaksanakan dalam pembelajaran Bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

Dalam model ini, pelajar bergerak dari satu stesen aktiviti pembelajaran ke stesen yang lain. Tucker (2017) menyarankan satu stesen bimbingan guru yang penting disediakan agar guru boleh memberikan perhatian kepada pelajar dalam kumpulan yang lebih kecil.

Satu stesen aktiviti pembelajaran dalam talian untuk menggalakkan pelajar melakukan tugas kendiri agar lebih berdikari dalam pembelajaran.

Satu stesen perlu secara bersemuka (Offline station) agar pelajar dapat berehat daripada skrin komputer atau alat peranti dan berbincang dengan rakan-rakan.

Guru boleh menyediakan pembelajaran dalam kumpulan yang lebih kecil, dengan menerapkan pembelajaran pembezaan untuk memenuhi keperluan pembelajaran pelajar dan dapat meluangkan masa dengan pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan bagi meningkatkan pembelajaran mereka.

Permasalahan

Ingin pelajar rasa lebih selesa melakukan tugasan kecil pada satu-satu masa kerana selalunya pelajar berasa tertekan kerana perlu ikut rentak rakan-rakan sekelas dalam menyiapkan tugasan di dalam kelas.

Ingin pelajar lebih yakin bertutur dalam kumpulan yang lebih kecil kerana terdapat pelajar yang tidak berpeluang bertutur di dalam kelas.

Ingin pelajar belajar secara kendiri agar lebih berdikari kerana pelajar perlu bertanggungjawab atas pembelajaran sendiri bukan guru.

Ingin pelajar berkolaborasi dengan rakan-rakan dengan lebih mudah dalam kumpulan agar dapat menggalakkan pembelajaran kolaboratif.

Guru mahu memudah cara perbincangan dengan pelajar dalam kumpulan yang lebih kecil pada satu-satu masa kerana selalu tiada masa untuk berinteraksi dengan pelajar secara individu dalam pelajaran biasa.

Guru mahu berikan maklum balas yang lebih khusus semasa pelajar bertutur dalam kumpulan yang lebih kecil. Untuk interaksi lisan, amat mencabar bagi guru untuk memberikan maklum balas kepada semua pelajar dengan cepat.

Guru mahu memberi peluang kepada para pelajar untuk menjana idea mengikut rentak, masa dan keupayaan masing-masing.

Langkah-langkah

Guru Kanan atau Guru Peneraju boleh menggalakkan guru-guru Bahasa Melayu (BM) yang lain mencuba strategi baharu jika menghadapi cabaran untuk melibatkan pelajar dalam pembelajaran BM. Setelah mengenal pasti cabaran pelajar dan kemahiran yang perlu dipertingkatkan, Guru Kanan atau Guru Peneraju boleh memperkenalkan strategi baharu.

Guru-guru BM di Sekolah Menengah Tanglin (TSS) ingin memberikan pelajar kami lebih masa dan ruang untuk menjana idea di dalam bilik darjah sebelum mereka bertutur bagi menjawab soalan-soalan lisan. Oleh itu, strategi ini diperkenalkan dalam sesi PLT sekolah. Dari situ, kami pelajari mengenai strategi ini dan melakarkan rancangan pelajaran yang sesuai.

Guru Kanan atau Guru Peneraju perlu membimbing guru-guru untuk mencorak rancangan pelajaran yang baik dan menunjukkan keberkesanan strategi ini dahulu. Oleh itu Guru Kanan atau Guru Peneraju perlu mencuba strategi ini dengan kelas sendiri dahulu dan kongsi keberkesanannya.

Refleksi

Sebagai ketua, saya perlu berikan masa untuk guru-guru memahami strategi yang diperkenalkan. Strategi ini harus sudah dilaksanakan dalam PdP sendiri (Ketua). Guru-guru akan lebih teruja mencuba strategi baharu jika dapat melihat keberkesanannya atau dapat melihat strategi ini dilaksanakan dalam kelas ketua.

Kesediaan pelajar – Terdapat peluang melaksanakan pengajaran pembezaan, namun pelajar masih perlu pelajaran bersemuka. Oleh itu stesen bersama guru amat penting agar pelajar dapat bertutur dengan guru dan guru boleh terus memberikan maklum balas.

Pelajar suka bentuk pembelajaran berkumpulan yang lebih kecil dan diberi masa menjana idea berdasarkan aktiviti yang diberi dalam kumpulan masing-masing. Menurut pengamatan guru-buru BM, pelajaran tidak membosankan seperti pelajaran yang dijalankan secara seluruh kelas.

Kesimpulan

Semasa merancang dan melaksanakan Strategi Stesen Putaran ini, terdapat cabaran yang dihadapi.

Cabaran dan Saranan

Sebagai ketua pedagogi, saya perlu meyakinkan guru-guru BM akan faedah dan keberkesanannya dalam PdP. Saya perlu jalankan PdP di dalam bilik darjah sendiri dan kongsi keberkesanannya. Boleh juga menjemput guru-guru untuk masuk dan melihat sendiri bagaimana PdP dijalankan dengan strategi ini.

Guru-guru perlukan masa untuk membina Pakej PdP. Oleh itu perlu merancang seluruh projek dengan baik dan berikan masa kepada guru-guru untuk berbincang. Semasa pelajaran dijalankan, pelajar memerlukan masa untuk berfikir dan menjana idea di setiap stesen (terhad pada waktu pelajaran 50 minit pada satu masa).

Guru perlu sediakan soalan-soalan sampingan dan pemerencahan di setiap stesen agar pelajar boleh berfikir dengan lebih cepat dan ada bimbingan selanjutnya yang disediakan oleh guru.

Rujukan

Brookhart, Susan M. (2010). Formative Assessment Strategies for Every Classroom. Virginia: Association for Supervision and Curriculum Development.

Tucker, Catlin R, Wycoff, Tiffany & Green, Jason T, (2017). Blended Learning In Action, A Practical Guide Toward Sustainale Change. Corwin: SAGE Company.

Perkongsian 6

This article is from: