
9 minute read
Komuniti Pembelajaran ProfesionalPengajaran Pembezaan
Mohd Zaki Bin Hashim
Guru Kanan
Sekolah Rendah North Vista
SinopSiS
Komuniti Pembelajaran Profesional Jabatan Bahasa Melayu
Sekolah Rendah North Vista yang memfokuskan kepada
Pengajaran Pembezaan dengan menggunakan kitaran
Perkongsian Ilmu, Pengamalan Ilmu dan Perkongsian Refleksi telah berjaya meningkatkan tahap amalan guru daripada tahap amalan Permulaan (baharu) kepada tahap amalan Mahir serta memenuhi prinsip-prinsip Pengajaran Pembezaan.

Pengenalan
Bagi meningkatkan kecekapan guru dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, Kementerian Pendidikan Singapura telah memperkenal “SkillsFuture untuk pendidik”, iaitu satu pelan hala tuju Pembelajaran Profesional untuk para guru.
Bermula pada tahun 2021, kelompok Utara 1, aktif dalam meningkatkan tahap amalan dan kemahiran guru dalam keenam-enam bidang amalan SFED iaitu 1. Penilaian Literasi, 2) Pembelajaran berasaskan pertanyaan, 3) Pengajaran Pembezaan 4) Bantuan untuk para pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas, 5) E-pedagogi, dan 6) CCE. Inisiatif ini dimulakan dengan mengumpulkan guru-guru kanan serta guru-guru peneraju dari kelompok N1 dan membahagikan mereka dalam kumpulan bidang amalan yang berbeza-beza dalam komuniti pembelajaran profesional. Ini bertujuan agar mereka dapat bekerjasama untuk meningkatkan tahap amalan masing-masing dalam setiap bidang amalan yang disertai mereka. Setelah itu, guru-guru kanan ini bertemu pula di peringkat sekolah untuk membincangkan bagaimanakah setiap bidang amalan itu dapat disampaikan kepada guru-guru di setiap jabatan agar tahap amalan dan kemahiran guru dalam bidang amalan itu dapat dipertingkatkan. Maka bermulalah pada tahun 2021, para guru kanan Sekolah Rendah North Vista telah melakarkan hala tuju penyebaran maklumat dan peningkatan kemahiran setiap bidang amalan SFED secara berperingkat bagi para guru iaitu bermula dengan bidang amalan Penilaian Literasi dan E-pedagogi. Pada tahun 2022, kami fokus pula pada bidang amalan Pengajaran Pembezaan. Kami telah bersetuju untuk meluaskan bidang amalan ini dalam kalangan guru melalui Komuniti Pembelajaran Profesional.
Pengenalan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) guru di sekolah-sekolah di Singapura, menurut visi yang dinyatakan oleh mantan Menteri Pendidikan, Encik Ng Eng Hen (2009), adalah untuk membantu mengasah “perkhidmatan pendidikan bertaraf dunia” dengan “mengukuhkan kepakaran guru”. Dikenal pasti sebagai satu jenis rangkaian sokongan profesional yang diperkenalkan untuk membina profesionalisme guru-guru di Singapura, PLC membentuk sebahagian penting daripada komunikasi kementerian mengenai profesionalisme guru dalam perkhidmatan (Kementerian Pendidikan, 2014).
Pelaksanaan
PLC
Pada tahun 2022, guru-guru di Sekolah Rendah North Vista telah membuat tinjauan awal untuk melihat tahap amalan mereka dalam Pengajaran Pembezaan. Melalui maklumat yang kami dapati, ramai guru yang meletakkan diri mereka dalam tahap amalan Permulaan (Emerging). Maka para guru kanan Sekolah Rendah North Vista meletakkan misi untuk mempertingkatkan tahap amalan tersebut daripada tahap amalan Permulaan kepada tahap amalan Mahir (Proficient). Kami telah mengambil keputusan untuk melakukannya melalui Komuniti
Pembelajaran Profesional supaya dengan jumlah ahli yang kecil dalam setiap kumpulan akan dapat memastikan bahawa setiap anggota kumpulan lebih proaktif dalam perbincangan dan pelaksanaan strategi intervensi Pengajaran Pembezaan. Kami juga melakarkan format atau struktur PLC yang menggunakan langkah-langkah 1) Perkongsian Ilmu dari Ketua PLC (Guru Kanan), 2) Pengamalan Ilmu dari setiap ahli PLC dan 3) Perkongsian Refleksi oleh setiap ahli kumpulan PLC.
Permasalahan
Seperti PLC sebelumnya yang sering dijalankan di sekolah-sekolah lain, ahli PLC akan mengenal pasti permasalahan dalam pembelajaran. Mereka menentukan kelompok murid yang akan menjalani strategi intervensi yang akan dibincangkan secara kritikal sebelum strategi tersebut dipilih. Bagi PLC kami, kami menghasilkan strategi intervensi setelah mengambil kira serta mendalami Prinsip-prinsip Pengajaran Pembezaan. Permasalahan sebelum PLC ialah, kami di pihak guru, sering mengandaikan bahawa murid-murid tergolong dalam golongan tertentu seperti High Progress (HP), Middle Progress (MP) dan Low Progress (LP). Lantaran itu, guru sendiri yang memutuskan untuk memberi bentuk tugasan yang berbeza mengikut tahap keupayaan murid tanpa mengambil kira tahap kesediaan, minat dan pengalaman pembelajaran mereka. Kini, ahli kumpulan kami telah bersetuju untuk memberikan murid-murid pilihan tugasan yang ingin dilakukan sama ada dalam bentuk pemadanan, MCQ atau mengisi tempat kosong.
Langkah-langkah Pelaksanaan
Guru Kanan yang bertindak sebagai Ketua Pedagogi pula akan memastikan bahawa ahli-ahli kumpulannya telah melakukan dan memenuhi kriteria dalam tahap amalan Mahir (Proficient).
Kriteria tersebut adalah seperti berikut iaitu:
1. Mengumpulkan data mengenai konsep/perspektif prainstruksional subjek ini, seperti menggunakan teknologi, untuk merancang pengalaman pembelajaran pelajar yang optimum. Dalam hal ini, ahli kumpulan mengumpulkan maklumat pradata dengan menjalankan pilihan sama ada murid mahu membuat latihan berbentuk pemadanan, MCQ atau mengisi tempat kosong. Ini bertujuan untuk memenuhi prinsip Pengajaran Pembezaan iaitu kesediaan murid, minat serta persekitaran pembelajaran.
2. Mencermin dan mengkaji semula kepercayaan, andaian dan nilai yang mendasari amalan Pengajaran Pembezaan untuk menilai perancangan dan pelaksanaan dalam perkara ini. Perkara ini dapat dilakukan dalam langkah Perkongsian Refleksi yang telah disebutkan sebelumnya.
Setelah setiap ahli PLC melakukan strategi intervensi yang dipersetujui dalam langkah Pengamalan Ilmu (Apply), kami dapati bahawa kini Pengajaran Pembezaan jauh meninggalkan kesan mendalam pada murid dan juga guru jika dibandingkan dengan pemahaman guru sebelumnya tentang Pengajaran Pembezaan tanpa PLC. Kini, Pengajaran Pembezaan lebih membawa bermakna setelah guru-guru melaluinya bersama dalam Komuniti Pembelajaran Profesional kerana kriteria tahap amalan Mahir sudah tercapai.
Refleksi
Setelah strategi intervensi berjaya dilakukan melalui pengamalan ilmu, ahli kumpulan kembali duduk untuk membuat refleksi. Melalui sesi Perkongsian Refleksi, kami teruja kerana banyak andaian awal yang membelenggu pemikiran kami terhadap Pengajaran Pembezaan sehingga memberikan tanggapan negatif terhadapnya, kini berubah positif sehingga kami mula berasa yakin akan pelaksanaan Pengajaran Pembezaan yang lebih berkesan di dalam kelas pada masa yang akan datang.
Kami juga berjaya untuk mengikuti prinsip-prinsip Pengajaran Pembezaan yang dapat menghapuskan pelabelan terhadap murid yang sebelum ini dirasakan agak sukar kerana sebahagian besar kandungan, proses dan produk ditentukan oleh guru dan tidak ditentukan oleh kesediaan murid, minat mereka dan suasana pembelajaran yang menurut prinsip Pengajaran Pembezaan.
Kesimpulan
Setelah mendapat kesedaran baharu akan pelaksanaan Pengajaran Pembezaan, kini setiap anggota kumpulan berasa lebih yakin untuk menjalankan Pengajaran Pembezaan dengan lebih benar dan baik. Malah keyakinan tersebut menjadi lebih terserlah apabila sebahagian ahli kumpulan telah mengorak langkah seterusnya untuk mencapai tahap amalan Meneraju (Leading) dengan melakukan perkongsian profesional di Simposium Pembelajaran di peringkat sekolah serta perkongsian profesional di peringkat nasional. Semoga usaha-usaha ini dapat dipertingkatkan dan dipergiatkan lagi pada masa hadapan.
Rujukan
Ministry of Education. (2014b). Career information: Supporting you in every way – TEACH Framework Retrieved July 7, from http://www.moe.gov.sg/ careers/teach/images/teachframework.jpg
Carol Ann Tomlinson (1999). Differentiated Classroom: Responding to the Need of All Learners Association for Supervision & Curriculum Deve
Carol Ann Tomlinson and Jay McTighe (2006). Integrating Differentiated Instruction and Understanding by Design: Connecting Content and Kids. ASCD
Carol Ann Tomlinson (2017). How to Differentiate Instruction in Academically Diverse Classrooms. ASCD







Perkongsian 2
Taksonomi SOLO dalam PdP Bahasa Melayu
Dr. Zainaba Omar
Guru Peneraju
Sekolah Rendah Clementi
SinopSiS
Taksonomi SOLO (Structure of Observed Learning Outcomes) ialah model pembelajaran yang mempunyai lima peringkat pencapaian bagi setiap hasil pembelajaran yang hendak dicapai. Bermula dengan tidak tahu langsung perkara yang telah diajarkan hinggalah ke peringkat cemerlang. Simbolsimbol tertentu digunakan untuk menunjukkan pencapaian pada setiap peringkat. Dengan menggunakan rubrik yang diubah suai mengikut konsep SOLO, guru merencah dan menilai kemahiran membaca bagi murid yang berkeupayaan rendah.
Pengenalan
Perkongsian ini bertujuan mengemukakan kaedah penilaian kendiri yang menggunakan rubrik yang dibina dengan menggunakan konsep Taksonomi SOLO. Menurut Hooks dan Mills (2011), dengan melihat struktur bagi hasil pembelajaran yang telah dikuasai dan perlu dikuasai, murid akan memikirkan langkah-langkah untuk mencapai hasil pembelajaran tersebut. Shintani (2013) pula menekankan kepentingan maklum balas yang tepat pada masa dan eksplisit. Dalam SOLO maklum balas pada setiap peringkat pencapaian membantu menjadi kompas bagi murid memikirkan ‘Di mana saya sekarang’ dan ‘Apakah harus saya lakukan untuk maju’ (Hattie, 2012). Selain itu, menurut Hattie, dengan SOLO guru dapat memilih tugasan yang mudah ke tugasan yang mencabar dan merencah pembelajaran dengan menggunakan prinsip pengajaran pembezaan sehingga mereka menjadi mahir. Keberkesanan SOLO selari dengan teori Vygotsky (1978) tentang zon perkembangan proksimal, zon yang membantu murid mencapai hasil pembelajaran dan menguasai kemahiran dengan berkesan.
Taksonomi SOLO untuk PdP Bahasa Melayu
Perkongsian ini adalah untuk berkongsi kejayaan menggunakan SOLO bagi murid Darjah 3. Murid-murid diajar semula huruf, bunyi, suku kata, pembentukan perkataan. Setiap komponen ini mempunyai hasil pembelajaran untuk dicapai. Mereka dinilai dari kemahiran asas sehingga matlamat yang ingin dicapai, iaitu membaca perenggan dengan jelas dan lancar. Masa yang diambil bagi kesemua hasil pembelajaran ini adalah tujuh minggu.
Dapatan dari kajian ini menunjukkan SOLO dapat meningkatkan pelibatan murid dan mereka menunjukkan keterujaan untuk membuktikan kebolehan mereka. Mereka secara sedar tahu apa yang perlu mereka capai pada akhir program. Selain menyokong metakognisi, SOLO juga mengemukakan bahasa penilaian yang sama dan simbol-simbol yang mudah untuk murid. Hasilnya murid boleh membuat penilaian kendiri pada setiap peringkat dan berupaya memberikan kesan positif kerana mereka dapat mengecap kejayaan pada setiap peringkat sebelum ke peringkat seterusnya. Selepas menggunakan rubrik ini, murid-murid didapati dapat mengenali dan menyebut setiap suku kata bahasa Melayu dengan betul. Mereka juga berupaya membentuk perkataan dan membaca perenggan pendek dengan jelas dan lancar. Secara keseluruhan SOLO dapat menyuntik minda untuk berjaya, iaitu cuba hingga berjaya.
Permasalahan
Kementerian Pendidikan dan Perkembangan Kurikulum Singapura (Unit Bahasa Melayu) telah menyediakan pakej bagi Program Sokongan Bahasa Ibunda bagi menangani masalah murid yang menghadapi masalah mengikuti pengajaran bahasa Melayu pada peringkat Darjah 3 dan Darjah 4 dengan menggunakan pakej CEKAP. Namun, pada hakikatnya masih terdapat bilangan murid yang menghadapi masalah mengenali suku kata, membentuk perkataan mudah dan membaca perenggan dengan betul dan lancar. Oleh itu, mereka menghadapi masalah dalam pembelajaran bahasa, Oleh itu tujuan utama perkongsian ini adalah untuk mengenalkan penilaian kendiri dengan menggunakan rubrik penilaian yang diubahsuai bagi membantu guru-guru yang mempunyai masalah murid-murid yang masih tidak tahu atau tidak lancar membaca. Untuk membantu kumpulan ini, konsep penilaian kendiri daripada SOLO digunakan untuk merencah pembelajaran mereka. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini dapat membantu guru membina jambatan bagi murid-murid mempunyai masalah membaca untuk melintas ke zon yang memudahkan pembelajaran bahasa Melayu.
Langkah-langkah
Yang berikut merupakan langkah-langkah menjalankan pengajaran dengan menggunakan SOLO.
Masa: 7 Minggu (minggu ke-8 untuk mereka yang masih belum menguasai kemahiran membaca)
Bahan Pengajaran : Bahan Bacaan (Lampiran 1)
: Rubrik Menilai secara Kendiri (Lampiran 2)
: Rubrik Penilaian Bacaan Guru (Lampiran 3)
Minggu Aktiviti Catatan
1 Menerangkan objektif pelajaran/penilaian
Menerangkan bahan-bahan yang akan digunakan
● Mengenalkan simbol-simbol SOLO
● Menerangkan cara penilaian
● Mengenalkan abjad dan bunyi
● Menilai
2 Pengenalan semua suku kata bahasa Melayu
Membentuk perkataan
3 Ulang semua suku kata bahasa Melayu
Membentuk perkataan
4 Ulang semua suku kata bahasa Melayu
Membentuk perkataan
Menilai suku kata dan pembentukan perkataan
5 Menggunakan suku kata membentuk perkataan
Mengenal pasti perkataan dari Buku Teks
Menyebut/menulis perkataan
Membaca ayat dari Buku Teks
6 Menggunakan suku kata membentuk perkataan
Mengenal pasti perkataan dari Buku Teks
Menyebut/menulis perkataan
Membaca ayat dari Buku Teks
Menilai bacaan
Lampiran 2
Lampiran 2
Lampiran 2
7 Ujian bacaan Lampiran 1 Lampiran 3
8 Mengulang kaji bagi yang memerlukan
Refleksi
Kajian ini akan membantu guru untuk merencah dan mengajar kemahiran membaca bagi murid-murid yang masih belum bersedia atau menghadapi masalah untuk menggunakan bahan CEKAP. Murid pula dapat secara kendiri mengenal pasti kelemahan mereka dan mencari penyelesaian dengan menggunakan peringkat-peringkat pencapaian dalam SOLO dan bekerja keras bagi mencapai matlamat pembelajaran. Namun, saya dapati masa dan kemahiran diperlukan bagi membina hasil pembelajaran yang berperingkat daripada kemahiran asas menuju ke kemahiran beraras tinggi. Untuk menangani masalah ini, kita boleh mengadakan sesi latihan profesional untuk mengenalkan kaedah ini. Guru Kanan atau Guru Peneraju boleh menggunakan kaedah ini di dalam kelas mereka dan mengajak guru-guru ke kelasnya untuk melihat dan memberikan komen. Kemudian diikuti pula dengan guru-guru mencuba di dalam kelas mereka. Saya mempunyai keyakinan bahawa jika digunakan dengan bijak, SOLO dapat menangani masalah murid-murid yang tidak tahu membaca.
Kesimpulan
Secara keseluruhan SOLO dapat menjadikan pengajaran lebih bermakna dan seronok. Namun, terdapat cabaran yang perlu ditangani sebelum menggunakannya dengan berkesan. Salah satu hambatan ialah guru perlu membina hasil pembelajaran berperingkat bagi setiap kemahiran dan objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Hal ini memerlukan masa dan juga kemahiran. Masa juga diperlukan bagi setiap murid memahami rubrik, simbol dan dapat menggunakan dengan yakin. Selain itu, guru juga harus memastikan kelestarian penggunaan kaedah ini bagi membiasakan murid dengan simbol-simbolnya. Bagi kelas yang mempunyai bilangan murid yang ramai, guru mungkin akan menghadapi masalah jika tidak ada pengurusan dan rutin bilik darjah dari awal lagi.
Oleh itu, memandangkan SOLO dapat menjadikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu lebih berkualiti, guru kanan atau guru peneraju disarankan agar mengenalkan model ini kepada guru-guru. Jalankan latihan tentang cara-cara menggunakan simbol SOLO dan rubrik penilaian kendiri. Untuk pembinaan deskriptif bagi rubrik, ajaklah guru bekerjasama untuk membina hasil pelajaran berperingkat dengan merujuk kepada sukatan pelajaran. Tekankan kepada mereka bahawa SOLO mengajak murid bertanggungjawab terhadap pembelajaran kendiri yang selaras dengan kemahiran abad ke-21. Berikan masa untuk guruguru mencubanya di dalam kelas. Kemudian adakan sesi perkongsian untuk sama-sama belajar tentang SOLO. Jadikanlah penilaian kendiri sebagai suatu budaya penilaian di sekolah.
Rujukan
C. A. Tomlinson and T. R. Moon. (2013). Assessment and Student Success in a Differentiated Classroom. ASCD.
E. A. Sprecher. (2019). Back to the chalkboard: Lessons in scaffolding using SOLO taxonomy from school teachers for university educators. Psychology Teaching Review Vol. 25 No. 2, 2019.
Hattie, J. (2012). Visible learning for teachers: Maximizing impact on learning. Routledge/ Taylor & Francis Group.
J. Biggs. SOLO Taxonomy. Retrieved from https://www.johnbiggs.com.au/academic/solotaxonomy/
P. Hook and J. Mills (2012). SOLO Taxonomy: A Guide for Schools Bk 2: Planning for differentiation. Essential Resources Educational Publishers Limited.
P. Hook and J. Mills (2012). SOLO Taxonomy: A Guide for Schools Bk 1. Essential Resources Educational Publishers Limited.











Lampiran 1
Ibu baru pulang dari klinik bersama adik. Sejak malam tadi adik demam. Badannya panas. Dia kelihatan lemah dan terus berbaring di sofa. Ibu masuk ke dapur, kemudian kembali semula dengan segelas air jarang.
“Apa kata doktor, tinggikah suhu badan adik?” saya bertanya.
“Tiga puluh sembilan darjah. Itulah kalau orang degil. Bila suruh bawa payung, banyak sangat alasan. Malaslah! Lecehlah!” ibu mula mengomel.
Lampiran 2

Kelantangan Terlalu perlahan, hingga tidak dengar.
Boleh dengar tetapi tidak lantang sangat.
Lantang dan boleh didengar dengan baik.
Kelantangan yang baik sekali dan boleh tinggikan untuk menegaskan.
Kejelasan Tidak dapat difahami langsung.
Kelancaran Sebut satu-satu perkataan dan berhenti untuk jangka masa yang lama untuk mengenal pasti perkataan.
Dapat difahami sedikit.
Menyebut hampir kesemua perkataan dengan jelas.
Menyebut semua perkataan dengan amat jelas.
Tersekat-sekat sebentar untuk mengenal pasti perkataan.
Ekspresi Amat mendatar. Membaca macam menyanyi atau tidak mengubah suara, apabila diperlukan.
Kefahaman Tidak dapat menjawab soalan kefahaman.
Dapat menjawab 1/2 soalan kefahaman.
Amat lancar tanpa kesilapan.
Amat lancar dan tahu mempercepatkan atau melambatkan mengikutkan kandungan.
Menggunakan intonasi yang amat sesuai dan amat menarik.
Bacaan menarik umpama profesional, intonasi dan mimik muka yang amat sesuai.
Dapat menjawab hampir semua soalan kefahaman dengan betul tetapi ayat yang digunakan tidak betul.
Dapat menjawab semua soalan kefahaman dengan betul.
Perkongsian 3