2 minute read

Penggunaan Penanda Wacana bagi Meningkatkan Kemahiran Lisan

Melati Binte Hallel

Guru Kanan

Sekolah Rendah Si Ling

SinopSiS

Penggunaan Penanda Wacana melalui strategi menceritakan semula dapat meningkatkan kemahiran bertutur murid.

Penanda Wacana yang telah didedahkan kepada murid dalam kemahiran menulis disesuaikan dengan kemahiran bertutur. Strategi ini juga memberi ruang bagi guru untuk mengajar kemahiran bertutur dengan lebih berstruktur, lantas mempunyai objektif yang jelas.

Pengenalan

Saya ingin membuat perkongsian ini disebabkan dua perkara:

1. Terdapat sebilangan guru yang tidak menyedari bahawa Penanda Wacana yang diajarkan dalam penulisan karangan sebenarnya dapat disesuaikan dan digunakan bagi meningkatkan kemahiran bertutur murid-murid .

2. Kelemahan murid untuk bertutur dengan baik, khususnya dalam mengetengahkan idea secara bertaut lagi tersusun.

Objektif perkongsian adalah untuk memberi ruang kepada guru meneroka kaedah mengajar kemahiran lisan kepada murid selain memperluas penggunaan Penanda Wacana bagi kemahiran yang berbeza.

Menurut Lu-Fang Lin (2010), teknik ‘Bercerita Semula’ membenarkan pembaca menyusun semula fakta cerita dan kemudian mampu menghubung kait pertalian dari satu perenggan ke satu perenggan. Kebolehan membuat tautan ini biasanya dilakukan oleh pembaca yang mempunyai pemahaman yang tinggi ke atas petikan kefahaman tersebut.

Maka dengan strategi tersebut, murid berpeluang menggunakan Penanda Wacana yang telah guru kenal pasti kesesuaiannya. Lantas, penggunaan Penanda Wacana membantu murid menyusun kata-kata serta isi mahupun idea mereka dengan lebih baik lagi.

Teknik Penggunaan Wacana

Perkongsian ini mengetengahkah bagaimana Penanda Wacana yang diselaraskan dengan penggunaan Teknik Menceritakan Semula dapat meningkatkan kemahiran bertutur murid. Murid-murid diperkenalkan kepada fungsi penanda wacana yang pelbagai dan mengetahui bila sesuatu penanda wacana itu digunakan. Murid menonton video dan diberikan lima Penanda Wacana yang perlu mereka gunakan dalam pertuturan mereka. Bagi membantu murid, mereka dibenarkan untuk menuliskan apa yang hendak mereka tuturkan mengenai video tersebut dengan mengambil kira Penanda Wacana yang telah diberikan.

Kemudian, murid akan merekodkan pertuturan mereka. Langkah serupa dijalankan berterusan untuk jangka masa 4 minggu. Pada minggu ke 5-8, murid-murid tidak digalakkan untuk membuat sebarang catatan. Sebaliknya mereka diberi masa selama 10 minit untuk menyusun apa yang hendak mereka tuturkan. Secara rawak, guru akan memanggil beberapa orang murid untuk membuat perkongsian.

Permasalahan

Murid-murid sering kali menghadapi kesukaran untuk menuturkan idea yang tersusun. Guru mendapati bahawa:

● penggunaan bahasa dan struktur ayat yang kurang gramatis;

● kelemahan dalam membentangkan idea yang bertautan; dan

● ketidakupayaan murid berbahasa dengan baik menjadi hambatan murid bertutur dengan lancar, sekali gus menjejas markah yang mereka peroleh.

Langkah-langkah

Strategi ini dijalankan selama 8 minggu. Sebelum strategi ini dijalankan di bilik darjah, guru terlebih dahulu melihat bagaimana pengajaran tersebut dilakukan oleh Guru Kanan selaku Ketua Pedagogi.

Guru Kanan mengadakan ‘Open Classroom’ dan menjemput guru-guru untuk menghadirkan diri.

Guru-guru berpeluang bertanyakan soalan mahupun memberikan pendapat bagi menambah baik bahagian-bahagian yang kurang sesuai.

Guru yang hadir memberi maklum balas sewaktu Professional Development Time yang dijalankan seminggu sekali tentang pengenalan pada Penanda Wacana, fungsi-fungsi yang berbeza dan penggunaannya dalam ayat.

Refleksi

Pemantauan yang kerap perlu dijalankan bagi memastikan keberkesanan strategi yang dijalankan.

Pada awalnya, murid-murid mendapati canggung menggunakan Penanda Wacana dalam pertuturan mereka, namun menjadi terbiasa pada Latihan yang ke-3.

Murid lebih yakin untuk bertutur setelah mengetahui fungsi Penanda Wacana dan mengetahui Penanda Wacana apa yang akan mereka gunakan

Murid-murid tergolong dalam kebolehan yang pelbagai, maka memerlukan masa yang lebih lama dalam merancah murid yang lemah (Low Progress - LP)

Guru memberi peluang kepada murid untuk memperluas penggunaan Penanda Wacana ketika kemahiran bertutur dijalankan.

Satu saranan adalah menjalankan strategi ini berdasarkan pengajaran pembezaan dengan memperhalusi kaedah yang digunakan, bagi mendapatkan manfaat yang maksimum bagi murid-murid.

Kemahiran bertutur merupakan kemahiran yang paling awal sepatutnya dikuasai oleh murid tetapi tidak semua murid dapat bertutur dengan lancar dan jelas.

Guru perlu menggiatkan langkah membantu murid mengatasi masalah tersebut.

Kesimpulan

Selain mengasah kemahiran bertutur murid, secara tidak langsung, strategi ini juga membantu kemahiran menulis murid-murid terutamanya dalam menulis idea yang berkesinambungan. Strategi ini memperlihat jumlah murid yang menggunakan Penanda Wacana ketika ujian lisan meningkat beserta penggunaan bahasa yang jauh lebih gramatis dan idea yang lebih tersusun dan bertaut.

Rujukan

Robert J. Marzano dan Debra J. Pickering, (2005). Building academic vocabulary: Teachers manual. USA: ASCD.

McKeown, M. G., dan Beck, I.L., (2004). Direct and rich vocabulary instruction dalam Practice hlm 13-27. New York: Guliford Press.

Perkongsian 7

This article is from: