4 minute read

LATAR BELAKANG

Next Article
DASAR SUKAN NEGARA

DASAR SUKAN NEGARA

Malaysia, seperti negara-negara membangun yang lain sedang mengalami peningkatan taraf kesihatan berikutan dengan usaha-usaha kerajaan membangunkan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara. Walau bagaimanapun Malaysia diletakkan sebagai antara negara yang mempunyai paling ramai penduduk dengan berat badan berlebihan di Asia, iaitu 49 peratus wanita dan 44 peratus lelaki di negara ini mengalami obesiti (Global, Regional and national prevalence of overweight and obesity in children and adults during 1980-2013, Global Burden of Disease, The Lancet Jurnal, 2014).

Berat badan yang berlebihan ataupun obesiti ini membawa kepada penyakit kencing manis, masalah jantung serta penyakit lain. Malah penyebab utama kematian di Malaysia adalah penyakit kardiovaskular yang terdiri daripada penyakit jantung koronari dan angin ahmar atau strok.

Advertisement

Faktor-faktor risiko utama penyakit-penyakit tersebut adalah gaya hidup tidak aktif atau sedentari dan amalan pemakanan yang tidak sihat. Tambahan pula, laporan Indeks Belia Sabah 2014 menunjukkan waktu senggang belia mempunyai skor yang rendah.

Sukan bukan sahaja memainkan peranan penting dalam aspek kesihatan tetapi juga dari aspek kesejahteraan emosi dan sosial demi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat dan negara.

Menyedari kepentingan sukan, kabinet telah menggubal dan meluluskan Dasar Sukan Negara (1996 - pindaan 1998) dengan meletakkan sukan setaraf dan sama penting dengan pembangunan sosial yang lain seperti bidang ekonomi, pendidikan, keselamatan dan juga kesihatan. Selain itu, kerajaan juga menyedari implikasi daripada kemajuan sains dan teknologi dalam sukan, Dasar Sukan Negara juga telah mengklasifikasikan sukan kepada dua iaitu Sukan Prestasi Tinggi dan Sukan Massa (Mass Sport).

Justeru Kerajaan negeri juga memainkan peranan dalam membantu Negara ke arah meningkatkan penyertaan masyarakat sukan massa di samping meningkatkan pencapaian sukan Prestasi Tinggi. Malah, kerajaan negeri juga telah meningkatkan lagi komitmen dalam membangunkan industri sukan melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025. Antaranya kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan Kinabalu International High Altitude Training Center di Taman-taman Sabah Kundasang.

Pembangunan sukan di Sabah telah menunjukkan perkembangan positif terutama dari aspek pembangunan infrastruktur. Sehingga tahun 2020, terdapat 16 buah kompleks sukan yang telah dibina di seluruh negeri (Kota Kinabalu, Penampang, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan, Sandakan, Beluran, Semporna, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Ranau, Beaufort, dan Sipitang). Manakala 3 lagi dalam pembinaan iaitu Tuaran, Kota Marudu dan Tongod. Antara kemudahan sukan yang disediakan di kompleks-kompleks sukan ini termasuklah padang bola sepak, trek, kolam renang, gelanggang tertutup dan lain-lain.

Malah Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) turut memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan-kemudahan sukan komuniti seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, dewan serbaguna di setiap kawasan rukun tetangga di seluruh daerah di Sabah. Usaha ini merupakan salah satu usaha murni kerajaan untuk membudayakan sukan melalui peningkatan aksesibiliti masyarakat kepada kemudahan sukan di luar bandar.

Manakala dari aspek pembangunan atlet tempatan negeri Sabah, KBSS telah berjaya melahirkan beberapa orang atlet yang telah melakar nama di persada antarabangsa seperti Aliuddin Jumat (Lompat Tinggi Bergalah); Mendiang Datuk Gabuh Piging (Lompat Kijang); Ramjit Nairulal (Lompat Tinggi); Adina Abad (Lompat Jauh dan Lompat Tinggi); Datuk John Doukom (Lompat Jauh); Datuk Aloysius Sibidol (Lontar Peluru, Rejam Lembing dan Lempar Cekera); Balwant Singh Kler, Patricia Stahlman, Raymond Lim, Peter Kadayan, Datuk Dilbagh Singh Kler, Datuk Sium Diau, Maria Datuk Hj. Yusof, Ramli Ahmad, Marie Nair, Lidi Yusop Basinau, Fung Soon San, Rayzamshah Wan Sofian, dan Dominic Karim (Olahraga); Chew Kun Nee, dan Maggie Teo (Bola Keranjang); Peter Rajah, Uzina Jacob, Laini Ahing, Popoi Lan Siew, Nortinah Ongkalis, Yunis Kesintut, Haineh Liem, Hanjilin Tindil, Theresa Voon, Rani Kimin, Risnah Pancho, dan Das Gregory Kolopis (Bola Sepak); Alvin Chia, Lim Keng Liat, Leung Chii Lin, Chiu Lai Kwan dan Marellyn Liew (Renang); Lisa Yong Po Po, dan Sarah Chong (Tae Kwan Do); Mohd. Fairuz Mohd. Fajeer, Ronald James Majaing, dan Michelle Koh Sui Ling (Karate); Stephanie Chok (Triathlon); Fatin Fatihah binti Mat Salleh (Memanah); Nordin Sabli, dan Affendy Tan Abdullah (Boling Padang); Jonathan Ngu, Jimmy Wong, James Sandayud, Khairil Safwan Mansur, Norazlina Sapieye, dan Syed Abdul Samad Syed Abas (Akuatik - Terjun); Aaron Chang, Kok Suk Mann, Leong Li Tze, Wong Hui Yoon, Tan Joon Huei, Loy Heng Fong, Pang Nai Lun, dan Raymond Chan (Lawan Pedang); Jude Rampanga Jouw, Armron Ronald Masigi, Jimmy Carter Rafael, Zamorin Minggo, dan Mohd. Affendy Jalil (Ragbi); Martin Guntali, George Soluku, Arrico Jumitih, dan Jerry Nonong (Angkat Berat); Matthew Authur William, dan Siswanto Mukhsin Sadi (Kriket); Augustine Ekin, Riervyn Tsen Eging

Yudat, Philip Kating, dan Geinod Lozitin (Bina Badan); Ben Leong (Golf); Sarihati Ag. Akhbar (Menembak); serta Rufina Tan (Perahu Layar).

Di peringkat kebangsaan, KBSS secara berterusan menghantar atlet untuk bertanding dalam kejohanan sukan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan lain-lain lagi. Kerajaan negeri Sabah turut membelanjakan lebih kurang RM9 - 12 juta dalam penganjuran Sukan Sabah (SAGA) untuk mencungkil bakat-bakat baru dan seterusnya mewakili negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun begitu, terdapat banyak perkara yang masih perlu ditambah baik bagi meningkatkan kecemerlangan sukan di negeri Sabah seperti meningkatkan aksesibiliti kepada kemudahan sukan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang efisien. Penggunaan kemudahan tersebut dapat dioptimumkan oleh para atlet dan masyarakat umum. Di samping itu, kapasiti kemudahan sukan yang memerlukan peralatan khusus seperti sukan angkat berat, berbasikal, dan menembak haruslah ditambah bagi membantu peningkatan prestasi sukan negeri Sabah.

Justeru, Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah (PSPSS) yang komprehensif diperlukan bagi memastikan prestasi sukan negeri dapat dipertingkatkan lagi. Melalui pelan strategik ini, isu dan cabaran berkaitan dengan sukan dapat dikenal pasti, ditangani secara saintifik dan diselesaikan melalui strategi-strategi yang digariskan.

This article is from: