6 minute read

Majlis Penyampaian Sijil & Konsert Kanak-Kanak ke-39

Kumpulan Yayasan Sabah melalui Bahagian Perkembangan Kanak-Kanak (BPKK) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil dan Konsert Kanak-Kanak ke-39 dengan tema “My Happy World” pada 11 Februari 2023 di Auditorium Tun Ahmad Raffae,

Seramai 65 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Taska Ria, Taska Kristal Ria dan Tadika Ria telah menamatkan pelajaran di kelas masing-masing bagi sesi 2022/2023. Majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan pameran hasil seni kraf tangan buatan para pelajar serta persembahan hiburan seperti piano, nyanyian dan tarian.

BPKK komited dalam memastikan kurikulum dan pendekatan holistik “Belajar Melalui Bermain” diterapkan dengan beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada keperluan mental, fizikal, rohani dan emosi kanak-kanak. Pendekatan ini mampu membantu kanak-kanak mencapai potensi penuh serta meningkatkan keyakinan dalam diri mereka agar lebih bersedia untuk menghadapi suasana pembelajaran pada peringkat yang lebih tinggi dan formal khususnya di sekolah rendah.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengurus Kumpulan BPKK,

Sempena majlis penyampaian sijil tersebut, Berita Kumpulan Yayasan Sabah telah menemu ramah ibu bapa pelajar cemerlang yang hadir pada majlis tersebut.

Menurut Puan Roza Vvianti binti Roslan, ibu kepada Leanne Grace Amanda binti Oliver, berumur empat tahun merupakan anak bongsu daripada dua orang adik beradik dan merupakan seorang yang kreatif dan gemar melukis.

“Pada mulanya, Leanne sukar untuk bergaul dengan rakan sebayanya kerana kurang fasih bercakap. Namun berkat konsep “Belajar Sambil Bermain” yang diterapkan dalam sesi pembelajaran di Taska Kristal Ria, Sadong Jaya, Leanne kini dapat mengenali huruf, nombor dan mahir menulis nama sendiri. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada tenaga pelajar Taska Kristal Ria atas kasih sayang yang tidak terhingga buat anak-anak kami,” kata Puan Roza dengan penuh kesyukuran.

“Tanpa didikan, dorongan dan kata-kata semangat mereka, Leanne tidak akan mampu untuk mengecap kejayaan. Justeru, pendidikan awal kanak-kanak sangat memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi anak-anak,” tambahnya lagi.

Menyentuh tentang langkah penambahbaikan kaedah atau teknik pengajaran yang diamalkan di Taska Kristal Ria, Puan Roza berkata, “Saya amat berpuas hati dengan teknik pengajaran yang dilaksanakan serta aktiviti yang dijalankan oleh pihak taska. Terima kasih untuk didikan dan bimbingan tenaga pengajar dalam meningkatkan keyakinan Leanne untuk membuat persembahan di khalayak ramai.”

Seterusnya, Aafiyah binti Hasanuddin, berumur empat tahun, merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik.

Menurut bapa kepada Aafiyah, Encik Hasanuddin bin Syahiddin, Aafiyah adalah seorang yang suka bergaul, suka menari dan bertanya soalan. Beliau menyedari betapa penting pendekatan “Belajar sambil Bermain” dalam membentuk perkembangan awal kanakkanak.“Kami amat berterima kasih atas segala didikan, tunjuk ajar dan ilmu yang telah dicurahkan demi memastikan anak-anak kami mendapat pelajaran yang baik dan efektif,” katanya.

Menyentuh mengenai persepsi kualiti pendidikan dan fasiliti di Taska Ria, Encik Hasanuddin berpendapat, “Secara keseluruhan, prasarana pendidikan dan persekitaran pembelajaran sangat memuaskan. Begitu juga dari segi aspek keselamatan persekitaran di taska tersebut,” tambah beliau lagi.

Beliau berharap pendekatan Pendidikan Islam dapat dititikberatkan dalam pembelajaran bagi para pelajar beragama Islam pada masa akan datang.

Bagi Puan Haazliza binti Surumin pula, ibu kepada Hannani binti Hapizi, berumur lima tahun, merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik. “Hannani merupakan seorang yang aktif bermain dan suka mencuba serta belajar perkara baharu dalam kehidupan sehariannya,” katanya.

“Saya sangat suka dengan penggunaan kaedah pengajaran kemahiran membaca ‘Bacalah Anakku’ kerana ia sangat berkesan dalam memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kaedah seumpama ini perlu diteruskan bagi membantu perkembangan pemikiran kanak-kanak kerana apabila kanak-kanak mempunyai pemikiran yang sihat ia akan mempengaruhi kesihatan emosi serta sahsiah diri,” tambahnya lagi.

Puan Haazliza turut memuji sikap profesional tenaga pengajar dalam membantu perkembangan positif kanak-kanak. “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru Kelas Merak yang sentiasa bersabar menghadapi anak-anak kecil setiap hari,” katanya dengan penuh kesyukuran.

Sebagai langkah penambahbaikan pusat prasekolah milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah tersebut, Puan Haazliza mencadangkan, “Kaedah pembayaran yuran perlu dipertingkatkan seiring dengan perkembangan teknologi. Hal ini disebabkan terdapat ibu bapa yang tidak mempunyai ruang untuk berurusan di pejabat, konsep pembayaran dalam talian tanpa tunai wajar diperhalusi.”

Encik Izhar bin Sali, bapa kepada Muhammad Adib bin Izhar, berumur enam tahun pula berpendapat, “Saya memilih untuk menghantar Adib ke Tadika Ria kerana saya melihat sepupunya yang juga pernah belajar di tadika tersebut telah mendapat manfaat yang positif daripada kaedah pembelajaran yang diterapkan.

Apabila ditanya mengenai teknik pengajaran yang dilaksanakan di tadika tersebut, beliau berpendapat, kaedah dan teknik pengajaran yang dilaksanakan sangat memuaskan, dan guru-guru amat perihatin terhadap keperluan para pelajar.

Beliau turut memuji kaedah pembelajaran “Belajar Sambil Bermain” yang diterapkan oleh BPKK kerana menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan dalam menarik perhatian Adib serta menggalakkanya belajar membaca, mengira, menulis dan mewarna.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah melalui BPKK kerana memberi peluang kepada anak saya untuk menimba ilmu dan pengalaman di Tadika Ria. Saya juga berharap pihak Pengurusan dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti menarik seperti lawatan dan acara kebudayaan,” jelas beliau.

Menurut Puan Ezura As’ad Azam, ibu kepada Dayang Ku Qhayra Hasya binti

Awangku Mohammed Khairy, berumur tujuh tahun, merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik dan bercita-cita untuk menjadi doktor suatu hari nanti.

“Qhayra seorang anak yang aktif. Beliau suka bermain piano, melukis, mewarna, membaca buku, menyanyi dan berbasikal,” kata Puan Ezura.

“Kami memilih untuk menghantar anak-anak ke taska dan tadika Kumpulan

Yayasan Sabah kerana persekitaran tempat belajar yang kondusif dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Anak-anak bukan sahaja dapat belajar dalam ruang kelas yang selesa tetapi juga berpeluang melakukan aktiviti yang sesuai di luar kelas,” jelasnya lagi.

“Berdasarkan pengalaman kami, tenaga pengajar di BPKK amat berpengalaman dan kreatif dalam mempelbagaikan teknik pengajaran, sesuai dengan tahap anak-anak, sama ada sewaktu anak-anak belajar dalam kelas mahupun secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pendekatan yang digunakan mampu menimbulkan keseronokan, merangsang kreativiti dan membina keyakinan anak-anak hingga mereka pandai menyesuaikan diri, lebih-lebih lagi apabila melangkah ke sekolah rendah. Cadangan kami ialah agar kelas asas pendidikan agama dan tulisan Jawi boleh ditingkatkan lagi,” kata Puan Ezura.

“Sekalung penghargaan kami titipkan kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana hasil didikan BPKK, kedua-dua anak kami telah menunjukkan kecemerlangan, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga sahsiah diri. Inisiatif BPKK yang giat melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun juga memberikan peluang kepada anak-anak kami menyerlahkan bakat dan potensi diri, di samping melahirkan memori yang indah untuk diingati sampai bila-bila,” katanya dengan penuh kesyukuran.

“Terima kasih juga kepada guru-guru, pihak pentadbiran serta Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa komited dan prihatin dalam memajukan lagi pendidikan awal kanakkanak,” tambahnya lagi.

Bagi Puan Joana Ginus pula, beliau memilih Tadika Ria kerana majoriti pelajar yang bersekolah di sana telah mencapai kemajuan akademik yang baik.

Menurut ibu kepada Sven Arddelson Nelson, berumur tujuh tahun, keyakinan anaknya menjadi lebih baik setelah tamat prasekolah. “Anak saya pada mulanya tidak pandai membaca, tetapi selepas mula bersekolah, dia kini mahir membaca dan di sini saya lihat terdapat peningkatan positif,” jelasnya.

Apabila ditanya mengenai teknik pengajaran yang dilaksanakan di tadika tersebut, beliau berpendapat, kaedah dan teknik pengajaran yang dilaksanakan cukup relevan untuk taraf pendidikan moden sekarang dengan menggunakan skop pembelajaran yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan khasnya untuk kanak-kanak dan bagi saya, usaha demikian harus diteruskan selaras dengan penambahan kaedah pembelajaran oleh Kementerian Pendidikan.”

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tadika Ria, Kumpulan Yayasan Sabah kerana sejak anak saya masuk di tadika ini, dia telah mendapat banyak kemajuan berbanding pada sekolah terdahulu. Kaedah dan teknik pembelajaran menunjukan kesan yang sangat progresif untuk kanak-kanak di Tadika Ria ini,” tambah Puan Joana lagi.

Dalam mencadangkan langkah penambahbaikan pusat prasekolah milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah ini, Puan Joana berharap, pihak Pengurusan perlu meningkatkan aspek keselamatan di bangunan tadika tersebut untuk memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.

Puan Florence binti Masimbin, ibu kepada Mac Wallace Mark Munkis, berusia 12 tahun pula berpendapat, “Saya memilih untuk menghantar Mac ke Pusat Jagaan Ria bukan sahaja sebagai pusat transit bagi anak-anak tetapi juga kaedah tambahan bagi memastikan Mac betul-betul memahami bahan pembelajaran termasuklah menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Pusat transit tersebut juga menawarkan aktiviti ko-kurikulum serta bayaran yuran yang lebih rendah berbanding pusat transit dan pusat jagaan di luar.”

Menurut Puan Florence, Mac merupakan seorang yang aktif bersukan. “Mac merupakan salah seorang ahli Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) dan Akademik Badminton. Beliau juga pernah menyertai Astro Kem Badminton, program kerjasama yang dikendalikan oleh Astro Kasih, Kementerian Pendidikan Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dan Persatuan Badminton Nippon (NBA), dan mewakili sekolahnya dalam Kejohanan Badminton Terbuka Belia Sabah 2022,” jelas beliau.

“Sebagai ibunya, saya akan memastikan Mac dapat meneruskan minatnya terhadap sukan, tetapi dalam masa yang sama masih mementingkan kecemerlangan akademik,” katanya dengan tegas.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana menyediakan perkhidmatan seperti ini yang amat memudahkan para ibu bapa. Harapan saya agar ada bangunan yang lebih kondusif bagi anak-anak yang ingin belajar di masa akan datang. Saya juga berharap agar Kumpulan Yayasan Sabah akan terus unggul maju jaya,” katanya dengan penuh kesyukuran.

Sejak penubuhannya pada tahun 1982, BPKK terus berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan prasekolah di Sabah bagi menyokong usaha

Kerajaan Negeri Sabah dalam mewujudkan masyarakat yang unggul dalam segenap aspek kehidupan.

Manakala bagi Puan Rosmeh binti Molidin, ibu kepada Grace Molidin Krishnan, berusia 10 tahun, “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas segala didikan dan jasa baik semua guru Pusat Jagaan Ria kerana mendidik anak saya selama ini.”

Menyentuh mengenai persepsi kualiti perkhidmatan di Pusat Jagaan Ria, Puan Rosmeh berpendapat bahawa Grace kini lebih fokus kepada akademik dan berkeyakinan untuk bergaul dengan rakan-rakan lain.

“Aktiviti-aktiviti yang disediakan amat memberikan kesan yang positif kepada perkembangan akademik dan sahsiah anak saya. Saya berharap Kumpulan Yayasan Sabah melalui BPKK akan terus memberi penekanan terhadap pertumbuhan serta perkembangan awal kanak-kanak agar dapat meningkatkan potensi kanak-kanak ke tahap optimum secara holistik.