5 minute read

kali ke-2

Sidang redaksi Berita Kumpulan Yayasan Sabah sempat menemu ramah lapan orang pelajar cemerlang pada majlis tersebut.

Antaranya ialah, Siaw Shing Pau Johnson Jenoven, 24, berasal dari Papar dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.95. Beliau merupakan penerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Tun Mustapha pada majlis konvokesyen tersebut.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah melalui UCSF kerana memberi peluang dan kemudahan pendidikan kepada rakyat Malaysia di Sabah serta menyediakan bantuan kewangan yang merangkumi biasiswa dan pinjaman kepada pelajar tanpa mengira bangsa, agama mahupun budaya,” kata Johnson dengan penuh kesyukuran.

Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Lestari. “Kepada rakan-rakan seperjuangan yang masih melanjutkan pelajaran di UCSF, sentiasa berusaha walaupun menghadapi segala rintangan untuk mencapai kejayaan demi menjamin masa depan yang cerah. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian,” tambah Johnson.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Alam Sekitar di sebuah syarikat perunding alam sekitar tempatan yang menyediakan perkhidmatan perundingan dan pengurusan alam sekitar, berazam untuk menyumbang kepada kemajuan negara secara am dan khususnya negeri Sabah dalam pembangunan mampan.

Johnson percaya bahawa kelestarian alam sekitar adalah petunjuk utama tahap kestabilan ekonomi dan kemajuan sesebuah negara.“Dengan pengetahuan yang saya peroleh, saya akan mencadangkan langkah mitigasi yang tepat dan sesuai kepada pihak pemaju untuk menjalankan projek pembangunan tanpa memudaratkan atau memberi impak negatif kepada flora, fauna, penduduk dan alam sekeliling,” katanya dengan penuh semangat.

“Panduan ini penting kerana ia berfungsi sebagai rujukan lengkap buat arkitek landskap dan agensi pelaksana. Selain menjamin kelestarian biodiversiti dan ekosistem tempatan, ia juga dapat memastikan pembangunan memajukan kualiti hidup, keselamatan dan kesejahteraan tempatan,” ujar beliau.

Seterusnya, Song Yi Qi, 26, berasal dari Kundasang dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.91. Beliau menerima Anugerah Naib Canselor pada majlis konvokesyen tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana dengan bantuan kewangan yang ditawarkan, saya dapat memulakan pengajian di UCSF,” katanya.

Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Apabila ditanya cara beliau mengulangkaji pelajaran yang membolehkan beliau mendapat keputusan cemerlang, beliau mengatakan bahawa amalan bertanya soalan adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Jika kita bertanya, kita boleh melihat sesuatu dari sudut yang berbeza, yang boleh membantu kita meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis,” katanya. Song kini bekerja sebagai Pentadbir Kanan di Chan Furniture Sdn. Bhd. dan juga bekerja sebagai ejen perniagaan dalam talian menjual barang kemas.

“Dengan pengetahuan dan kemahiran yang saya peroleh, saya tekad untuk membantu rakyat Sabah meningkatkan kemahiran perniagaan dalam talian mereka, khususnya kemahiran pemasaran dan komunikasi produk,” kata Song.

“Saya dapati ramai rakyat Sabah ingin belajar tentang perniagaan dalam talian, tetapi ramai yang tidak tahu di mana hendak bermula atau mempunyai kemahiran yang diperlukan. Terdapat juga individu yang mempunyai kemahiran tetapi tidak tahu cara mengaplikasikannya dalam situasi tertentu, kerana kurang pemahaman,” tambahnya lagi.

Menurut Song, dengan lebih ramai rakyat Sabah yang mempunyai pengetahuan mengenai skil pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran, ia pasti akan membantu melonjakkan semula ekonomi negeri Sabah.

Seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor, Azmi bin Yusop, 29, dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.98 berkata permintaan terhadap pakar perakaunan semakin meningkat seiring dengan perkembangan perniagaan di negara secara keseluruhan dan di negeri Sabah khususnya.

Beliau merupakan graduan Diploma Perakaunan dan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang sama di UCSF.

“Dengan izin Allah, saya berdoa agar saya dapat menyumbang kemahiran dan kepakaran yang diperoleh bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri ke arah pembentukan negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan di samping meneruskan agenda pemerkasaan pendidikan melalui tajaan seperti biasiswa dan pinjaman pengajian tinggi. Kami amat berterima kasih atas bantuan yang ditawarkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah. Tidak lupa juga, terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan majlis konvokesyen kali ke-2 yang gilang gemilang ini. Saya amat berharap agar Kumpulan Yayasan Sabah akan maju jaya dalam pelbagai usaha yang diceburi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Penerima Anugerah Naib Canselor seterusnya ialah, Corie Jinunip Bakansing, 24, berasal dari Ranau dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.91. Corie merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik dan berasal dari Ranau.

Apabila ditanya cara beliau mengulangkaji pelajaran yang membolehkan beliau mendapat keputusan cemerlang, Corie mengatakan bahawa beliau mengamalkan pendekatan pembelajaran secara berjadual.

Beliau menegaskan bahawa disiplin diri adalah kunci kejayaan seseorang dalam mencapai keputusan cemerlang demi menjamin masa hadapan yang cerah.

Sebagai seorang artisan Sabah, Corie berhasrat untuk memulakan perniagaan sendiri seperti membuka ruang studio, kedai cetak atau galeri seni yang akan berfungsi sebagai tempat pertemuan para pengkarya seni untuk mempamerkan karya-karya mereka kepada penggemar seni.

Menurut Corie, karya seni mampu dijadikan sebagai wadah penyatuan kaum dalam negara dan mampu memupuk semangat kekitaan dalam komuniti. Justeru, usaha untuk memelihara keunikan dan kepelbagaian seni warisan tempatan harus diutamakan agar warisan kesenian tidak pupus selama-lamanya.

“Kepada pelajar yang masih melanjutkan pelajaran di UCSF, kesabaran dan kerja keras membuahkan hasil, jangan pernah ragu atau kehilangan kepercayaan terhadap diri sendiri. Selain itu, sifat ingin tahu dan keberanian untuk mencuba perkara baharu harus diterapkan pada diri sendiri,” tegas beliau.

Bagi Lyziana Voni pula, beliau telah menerima Anugerah Naib Canselor dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.96. Lyziana merupakan anak keempat daripada enam adik beradik.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran di UCSF. Saya berharap agar Kumpulan Yayasan Sabah akan terus meningkatkan kualiti dan kemudahan pendidikan untuk rakyat di Sabah,” ujar beliau.

Beliau merupakan graduan Diploma Pengurusan Perniagaan dan kini berkhidmat sebagai Pembantu Peribadi.

Pesan Lyziana kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di UCSF, agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan, seiring dengan kemudahan yang disediakan. “Sudah tiba masanya untuk para pelajar terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa hadapan. Buatlah yang terbaik dan nikmatilah masa anda di kolej sebaik mungkin,” katanya lagi.

Seterusnya, Li Xia Jain Ng, penerima Anugerah Naib Canselor dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.89.

Beliau merupakan graduan Diploma Pengurusan Hotel, dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran di UCSF serta sokongan yang diberi,” katanya.

Menurut Li Xia, dalam usaha untuk menyumbang ke arah peningkatan hospitaliti dan pelancongan di Sabah, beliau tekad untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan memastikan pengalaman para pengunjung berada pada tahap memuaskan.

Beliau juga berpesan kepada rakan-rakan yang masih melanjutkan pelajaran di UCSF agar memanfaatkan masa di kolej dengan sebaiknya dan melibatkan diri dengan pelbagai program yang dianjurkan di UCSF sebagai persiapan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Nasihat yang serupa turut diberikan oleh seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor iaitu Noel Ethelbert Jinguli, graduan Diploma dalam Pengajian Media dan Kebudayaan dengan pencapaian keputusan akhir CGPA 3.95.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Penolong Editor di Majalah Breeze berkata bahawa kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh semasa melanjutkan pengajian di UCSF membolehkan beliau menghadapi dan mengatasi cabaran di tempat kerja.

Noel turut berkongsi “Jangan putus asa dan lakukan yang terbaik untuk membuktikan kebolehan anda kepada diri anda sendiri. Trust the process and cherish your time at UCSF.”

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah melalui UCSF kerana telah menjayakan majlis konvokeysen ini serta usaha berterusan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membantu pelajar merealisasikan impian mereka dan melahirkan modal insan yang berkualiti dan dinamik,” katanya.

Penerima Anugerah Naib Canselor seterusnya, Chong Chiew Ting @ Penny, 47, berasal dari Penampang tidak menjadikan faktor usia menjadi penghalang dalam hidupnya untuk berjaya menamatkan diploma dalam bidang visual dan reka bentuk.

“Di UCSF, Fakulti Seni dan Media Kreatif (FACM) terdiri daripada tenaga pengajar yang komited, berazam dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas mendidik para pelajar dalam usaha melahirkan modal insan yang berkemampuan tinggi dan berupaya berfikir secara kreatif,” ujar beliau.

Menurut Penny, beliau sedang mengusahakan projek sampingan peribadi iaitu mencipta buku ilustrasi kanak-kanak dengan tema alam semula jadi dan hidupan liar di Sabah.

“Syabas dan tahniah kepada Kumpulan Yayasan Sabah melalui UCSF kerana menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk rakyat Malaysia di Sabah. Sebagai seorang ibu, saya berharap Kumpulan Yayasan Sabah melalui UCSF akan terus meningkatkan tahap kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah dan mewujudkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif,” katanya dengan penuh harapan.

This article is from: