1 minute read

Salon International De I’Alimentation Paris

Kumpulan Yayasan Sabah berpeluang untuk mengikuti pameran “Salon International De I’Alimentation (SIAL)” di Paris, Perancis bermula 15 hingga 19 Oktober 2022. Rombongan ini diketuai oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Encik Hanafiah Diman yang mewakili Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, Pengurus Besar Kristal Handal Sdn. Bhd merangkap Ketua Program GLOPEC, Puan Zaiton Bakri dan juga delegasi daripada GLOPEC Sdn. Bhd. Lawatan kerja ini merupakan usaha sama untuk memperkembangkan potensi produk buatan Sabah di pasaran Eropah khususnya Perancis.

Penyertaan dalam pameran ini merupakan inisiatif melalui program GLOPEC bagi membina jaringan bersama dengan pembekal serta peruncit dalam talian di samping mempromosi produk-produk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah. Selaras dengan usaha untuk meluaskan jaringan pembekal dan pengimport yang lebih luas, GLOPEC selaku perantara telah mengambil peluang untuk menjadi salah satu pempamer di Pavillion Malaysia yang dikoordinasi oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Selama lima hari berturut-turut, program GLOPEC telah memperoleh pelbagai informasi mengenai arah aliran pembeli, inovasi produk, kepuasan pembeli dan juga inovasi digitalisasi.

Dalam pada itu, Kumpulan Yayasan Sabah juga berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Malaysia di Paris pada 14 Oktober 2022. Rombongan Kumpulan Yayasan Sabah telah disambut oleh Encik Abdullah Ma’amor Ibrahim, Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Paris.

Delegasi Kumpulan Yayasan Sabah, GLOPEC serta Kedutaan Besar Malaysia di Paris mengambil kesempatan atas kunjungan ini untuk berkongsi mengenai program GLOPEC serta idea mengenai usaha serta strategi bagi menerokai pasaran Eropah khususnya dalam membantu memulihkan perniagaan pasca pandemik.

This article is from: