
2 minute read
Ketua Pegawai Eksekutif D’Heritage Sdn. Bhd. (SICC)
“Saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi peluang untuk berkhidmat selama 38 tahun dengan Kumpulan Yayasan Sabah. Sebelum itu, saya berkhidmat dengan syarikat swasta, Hap Seng Sdn. Bhd. di Tawau selama dua tahun.
Pada tahun 1984, saya memulakan kerjaya dengan anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Sabah Melale Wood Industries di Tawau sebagai Setiausaha Sulit kepada Pengarah Urusan. Pada tahun 1988, saya berpindah ke Kota Kinabalu dan ditempatkan di bawah Pengurus Besar, Yayasan Sabah Shipping Sdn. Bhd., sebagai Setiausaha Sulit. Saya kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Pengurus Besar, Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB). Pada tahun 1994, saya dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Pengarah Yayasan Sabah/ Pengerusi Eksekutif ICSB.
Syukur Alhamdulillah saya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dan berjaya mendapat kelulusan Master of Business Administration (MBA) dari Edith Cowan University pada tahun 2000.
Dengan kelulusan MBA tersebut saya diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan seperti Penolong Pengurus Pentadbiran (ICSB), Pengurus Kumpulan Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran (ICSB), Pengurus Kumpulan Sumber Manusia dan Pentadbiran (YS/ICSB) dan Pengurus Kumpulan Kanan, Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (YS/ICSB). Seterusnya pada tahun 2016, saya diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Timbalan Pengarah Yayasan Sabah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ICSB.
Pada 10 Oktober 2018, saya telah dipinjamkan ke D’Heritage Sdn. Bhd. iaitu salah satu anak syarikat ICSB sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sehingga kini. Pada masa yang sama, saya diamanahkan untuk menyiapkan projek pembangunan Sabah International Convention Centre (SICC).
Pada pandangan peribadi saya, berkhidmat dengan Kumpulan Yayasan Sabah sangat beruntung kerana mendapat peluang untuk membangunkan kerjaya mengikut kemampuan. Di samping itu, saya juga berpeluang untuk menabur
“Kepada semua rakan-rakan yang masih berkhidmat, teruskan perjuangan dan berkhidmatlah dengan jujur.” bakti kepada rakyat melalui program-program sosial seperti Yayasan Sabah Bersama Rakyat.
Saya juga berpeluang untuk mendapat pendedahan dalam aktiviti komersial terutama sekali ketika berurusan rasmi di luar negara yang mana banyak membantu saya untuk menambah pengalaman, meningkatkan keyakinan diri dan membentuk jati diri.
Saya amat bersyukur walaupun bermacam-macan cabaran, saya sentiasa mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada semua pihak terutama sekali mantan-mantan Pengarah Yayasan Sabah, mantan-mantan Ketua Pegawai Eksekutif ICSB dan mantan-mantan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah semasa saya melaksanakan tugasan di setiap peringkat perkhidmatan.
Di samping itu, semangat kerjasama dan berpasukan yang begitu tinggi oleh rakan-rakan sekerja terutama sekali dalam melaksanakan program-program ad hoc telah membantu untuk melaksanakan program-program tersebut dengan jayanya.
Sememangnya sepanjang perkhidmatan saya di Kumpulan Yayasan Sabah, saya telah melalui pelbagai cabaran. Namun yang paling sukar dan sangat mencabar adalah untuk mereliasasikan hasrat Kerajaan Negeri Sabah untuk membangunkan SICC.
Syukur Alhamdulliah, pembangunan SICC dapat dilaksanakan dengan sokongan dana berjumlah RM250 juta dari Kerajaan Persekutuan manakala Kerajaan Negeri telah menyumbang dalam nilai tanah berjumlah RM300 juta.
Tidak dapat dinafikan dalam pembangunan projek mega seperti SICC, pelbagai cabaran dihadapi. Walaupun MICE merupakan industri pelancongan yang baharu pada ketika itu, tetapi projek ini perlu disiapkan dalam kekangan kewangan yang dihadapi oleh Kumpulan Yayasan Sabah.
Walau bagaimanapun, dengan sokongan serta komitmen pihak Pengurusan dan pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri, projek SICC dapat disiapkan pada bulan Januari 2020 dan mula beroperasi pada bulan Februari 2020.
Saya sangat berterima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah yang banyak memberi peluang kepada saya untuk mengenali diri dan kemampuan saya. Syukur Alhamdulillah saya mempunyai beberapa pilihan untuk diceburi apabila bersara kelak…insya-Allah. Walau bagaimanapun, sebelum itu saya akan berehat untuk menikmati alam persaraan…insya-Allah.
Syukur Alhamdulillah sepanjang 38 tahun perkhidmatan saya dengan Kumpulan Yayasan Sabah di pelbagai peringkat, banyak kenangan yang tidak akan saya lupakan. Namun yang tidak dapat saya lupakan adalah peluang yang diberikan kepada saya untuk melanjutkan pelajaran dan berjaya mencapai keulusan ke peringkat MBA. Dengan ijazah ini, ianya membantu mengubah kehidupan saya serta keluarga.
Akhir sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana telah memberi saya kepercayaan dan peluang untuk berkhidmat dengan organisasi yang istimewa ini.”