2 minute read

Meterai MoU ke arah pemantapan industri buluh dan rotan

Kumpulan Yayasan Sabah melalui Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada 5 Disember 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC).

Majlis MoU ini disaksikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar dan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Encik Hanafiah Diman, manakala MTIB diwakili oleh Ketua Pengarah MTIB, Tuan Haji Kamaruzzaman bin Othman dan Pengarah Wood Industry Skills Development Centre (WISDEC), Cik Farydatul Nazly binti Mohd. Zin.

Turut hadir pada majlis ini adalah Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan dan Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sam Mannan.

Hubungan baik antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui PKS dan MTIB telah lama terjalin menerusi siri latihan kemahiran perkayuan yang dianjurkan oleh pihak MTIB dan disertai oleh para pelatih PKS.

Menurut Datuk Abidin, MoU ini adalah kerjasama untuk

Program Penanaman Bahan Mentah (PPBM) - Buluh dan Rotan bagi tempoh empat tahun bermula tahun 2023 hingga 2026. PPBM adalah program baharu yang diperkenalkan di PKS dan dibiaya sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) di bawah Program Khas Anak Negeri Sabah (PKANS).

“Projek ini menyasarkan pembangunan tanah seluas 200 ekar yang terletak di Kawasan Konsesi Pembalakan Yayasan Sabah iaitu di Hutan Simpan Sungai Pinangah, FMU 15, daerah Kecil Sook, Keningau dengan penglibatan komuniti setempat,” jelas beliau.

“Program ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan aktiviti memperkasa industri kraf tangan di Sabah khususnya dalam mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah di samping memastikan sumber tersebut mampan untuk kegunaan jangka masa panjang,” jelas Datuk Abidin lagi.

Pendek kata, program ini akan menjadi rantaian ekonomi yang mampu membantu menjana ekonomi semua peringkat masyarakat selain berupaya memenuhi keperluan sumber yang diperlukan oleh industri huluan dan hiliran di Sabah seterusnya mampu menjadi bahan eksport penting yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita.

Pada program yang sama, MTIB melalui WISDEC Sabah selaku pusat bertauliah yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memberi tawaran dan peluang kepada penggiat industri mendapat Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) kemahiran melalui kaedah persijilan. Tawaran ini dikenali sebagai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, Bidang Pembuat Perabot RB-050-2. Seramai tujuh orang usahawan PKS menerima surat tawaran untuk program PPT ini. “Tahniah kepada para usahawan yang terpilih dan saya berharap agar kesemua usahawan berkenaan dapat memberikan komitmen dengan sepenuhnya pada tahun hadapan untuk mendapatkan pengiktirafan ini,” ucap Datuk Abidin.

Beliau juga menyatakan pelbagai faedah dapat diperoleh melalui pengiktirafan ini di mana ianya dapat menyumbang ke arah pembangunan kerjaya, meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat, meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir yang berkelayakan dan juga dapat membantu dalam menjana sektor industri dengan pertambahan tenaga kerja mahir dalam negara.

“Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, semoga kekayaan khazanah hasil bumi Sabah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana hasil dan pertumbuhan ekonomi negeri secara optimum dalam sektor perindustrian,” jelas Datuk Abidin.

Semoga program ini dapat memperjuangkan usaha memartabatkan industri kayu-kayan dan kraf tangan.

This article is from: