1 minute read

Pusat Warisan Kraf

Pusat Warisan Kraf Kolej Teknikal Yayasan Sabah (YSCT) mula beroperasi sepenuhnya pada awal Februari 2020 di bangunan baharu yang dibiayai oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN). Bangunan ini menelan belanja sebanyak RM374,890 yang merangkumi perabot, ruang inkubator serta komputer dan mesin pencetak.

Sementara itu, Latihan Kemahiran Kraf Tangan di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah telah dilaksanakan sejak tahun 2016 melalui peruntukan yang diberikan oleh ICU kepada YSCT dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020). Di atas kepercayaan pihak penyumbang dana, YSCT sekali lagi mendapat peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke12 untuk melaksanakan Latihan Kemahiran Kraf Tangan di bawah Program PKAN Sabah bagi tahun 2021-2025.

Empat program utama yang dianjurkan oleh Pusat Warisan Kraf (PWK) ini adalah Seni Jahitan dan Sulaman, Seni Ukiran Logam, Seni Lukisan Fabrik Abstrak dan Kraf Usahawan Inkubator.

Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag pada 11 November 2022. Dalam ucapan perasmian, beliau berkata, “Saya berharap lebih ramai anak muda menceburi program yang disediakan oleh pusat ini supaya kraf warisan nenek moyang kita tidak pupus begitu sahaja tetapi dapat berkembang demi masa depan generasi kita.”

“Saya sangat menyokong visi dan misi YSCT iaitu untuk menjadi antara institusi yang memperkasa industri kraf tangan etnik sebagai penjana ekonomi komuniti dan pelestarian produk seni,” tambah Datuk Hajah Juliah.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif YSCT Tuan Haji Samin Ongki semasa sesi temu bual berkata, “Kemahiran yang diperoleh dari latihan pembuat kraf etnik serta pendedahan kepada peluang menceburi perniagaan bersendirian secara tidak langsung dapat membantu keluarga mereka, kampung, daerah dan negeri. Ini disebabkan ianya dapat mengurangkan kadar pengangguran dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan per kapita negeri ini.”

Seramai 900 orang pelatih telah menamatkan kursus sejak tahun 2016 sehingga 2021 dan 94 orang pada tahun 2022.

This article is from: