1 minute read

Kawasan Konservasi Sungai Taliwas Seminar Eksplorasi Saintifik

Seminar Eksplorasi Saintifik Kawasan Konservasi Sungai Taliwas ini adalah kesinambungan daripada Eksplorasi Saintifik Sungai Taliwas yang telah dijalankan pada 7 hingga 17 Jun 2022 yang lalu. Seminar yang bertujuan sebagai platform untuk para penyelidik membentangkan hasil penemuan mereka ini telah diadakan pada 27 Oktober 2022 di Teater Tun Hamdan, Menara Tun Mustapha yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin bin Madingkir.

Menurut Datuk Abidin, beliau telah membuat lawatan ke Kawasan Konservasi Sungai Taliwas pada 11 Jun 2022 yang lepas, iaitu masa yang sama eksplorasi saintifik tersebut dijalankan. Beliau berasa sangat berbesar hati dapat menyempurnakan majlis seminar ini kerana ianya kesinambungan daripada lawatan beliau yang lepas.

“Semasa di sana, saya berkesempatan melihat sampel-sampel kajian seperti spesies orkid, spesies keladi, dan pelbagai sampel lain yang terdapat di sekitar Taliwas. Ini antara bukti awal yang menunjukkan bahawa kawasan ini mempunyai biodiversiti yang tinggi. Saya yakin semasa seminar ini, lebih banyak maklumat dapat dikongsi hasil penemuan semasa eksplorasi tersebut,” jelas beliau.

Eksplorasi Saintifik Sungai Taliwas yang diadakan pada bulan Jun yang lepas telah disertai oleh seramai 169 orang peserta, dimana seramai 102 daripadanya ialah para penyelidik dan pembantu penyelidik daripada pelbagai institusi dan agensi dan seramai 67 orang adalah staf sokongan daripada Kumpulan Yayasan Sabah dan media.

“Saya difahamkan hasil dapatan daripada penyelidikan yang terkumpul sepanjang eksplorasi saintifik tersebut digunakan bagi penggubalan Pelan Pengurusan Kawasan Konservasi Sungai Taliwas,” tambah Datuk Abidin lagi.

Datuk Abidin juga menyatakan penglibatan dan sokongan yang diberikan daripada Jabatan Perhutanan Sabah (SFD), Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), WWF Sabah, Sabah Environmental Trust (SET), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), University College Sabah Foundation (UCSF) dan Pusat Biodeversiti Sabah (SaBC) sangat berguna untuk menjadi garis panduan dalam penggubalan Pelan Pengurusan Kawasan Konservasi Sungai Taliwas yang memperincikan rancangan dan tadbir urus untuk tahun-tahun akan datang.

“Penggubalan pelan pengurusan akan disokong oleh penemuan dan akan dilaksanakan sebagai komponen utama,” jelas beliau. Kumpulan Yayasan Sabah akan terus meningkatkan usahanya dengan menekankan pemuliharaan dan pemeliharaan dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan, perlindungan dan pembangunan sumber biodiversiti hutan negara secara mampan. Turut hadir pada majlis seminar tersebut adalah Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar, Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan dan pegawai-pegawai Kumpulan Yayasan Sabah.

This article is from: