3 minute read

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Next Article
PRAKATA

PRAKATA

Secara umumnya buku kecil ini menekankan kepentingan integriti daripada perspektif pelbagai agama di Malaysia. Perbincangan yang dibuat berkisar mengenai Lima elemen utama iaitu Nilai Ketuhanan, Nilai Keperibadian, Nilai Kekeluargaan, Nilai Kemasyarakatan dan Nilai Kenegaraan. Buku kecil ini sama sekali tidak berhasrat untuk membuat perbandingan agama mana yang lebih baik dalam membicarakan kelima-lima elemen nilai tersebut dan jauh sekali bersifat liberal mahupun ekstrim dalam konteks ini.

Penulisan ini memberikan penekanan kepada kesederhanaan (wasatiah) dan mengambil pendekatan meraikan pandangan yang berbeza bagi mengekalkan keharmonian hidup dan perpaduan kaum dalam negara yang tercinta ini. Perkara ini selaras dengan Piagam Madinah (Sohifatul Madinah) sewaktu Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib yang kemudiaanya dinamakan Madinatul Munawwarah yang bermaksud Bandar Yang Bercahaya. Jelasnya kehidupan dalam masyarakatyang terdiri dari pelbagai kaum agama ini bukanlah satu perkara yang baharu menelusuri kegemilangan tamadun yang dibina di nusantara ini seperti yang diperlihatkan oleh Kerajaan Melayu Melaka pada zaman kegemilangannya.

Advertisement

Dalam membicarakan Nilai Ketuhanan ini kesemua agama di Malaysia ini mengakui keesaan kepada Pencipta, yang memiliki sifat-sifat sempurna dan kewajipan manusia untuk beribadat kepadanya. Perkara ini penting kerana bukan sahaja ia dizahirkan dalam Rukunegara tetapi juga dilihat sebagai kompas kehidupan dan matlamat hidup masing-masing selaras dengan fitrah manusia itu sendiri. Mengakui kewujudan Pencipta dalam hal ini menjadikan penganut agama lebih tenang dalam melayari

kehidupan, mempunyai nilai-nilai murni dan berintegriti kerana percaya kepada pembalasan terhadap setiap amalan yang dilakukan.

Dalam memperkatakan Nilai Keperibadian kesemua agama mahukan penganutnya mempunyai keperibadian tinggi serta menjunjung nilai-nilai mulia seperti berbuat baik sesama manusia, mengasihani makhluk, menjauhi perbuatan tidak bermoral, perbaiki diri, jauhi sifat-sifat negatif seperti tamak, angkuh, materialistik dan sebagainya. Tiada agama di negara ini yang menyuruh penganutnya melakukan kezaliman dan mempunyai akhlak yang buruk kerana ianya berlawanan dengan naluri semula jadi manusia itu sendiri. Penganut agama yang mempunyai nilai peribadi yang mulia ini akan mempengaruhi individu yang lain untuk turut berbuat kebaikan dan menjadikan mereka dihormati dalam keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.

Selain itu elemen integriti dan nilai murni pelbagai agama juga boleh dilihat dalam konteks Nilai Kekeluargaan yang amat signifikan dan mendasari ajaran agama masing-masing. Ketujuh- tujuh agama dalam buku kecil ini melihat perkahwinan itu satu ikatan yang penting dalam membina keluarga yang bahagia dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Anak-anak bertanggungjawab untuk berbuat baik dan mentaati ibu bapa masing-masing, menunaikan hak kepada ahli-ahli keluarga yang lain di samping berbuat baik kepada masyarakat, membantu mereka yang memerlukan. Melalui institusi keluarga yang mengutamakan kasih sayang seumpama ini, maka ianya akan menjadi teladan serta model kepada masyarakat sekeliling.

Di samping itu, integriti dari kacamata pelbagai agama di Malaysia juga boleh dilihat secara jelas melalui Nilai Kemasyarakatan. Dalam hal ini, di antara nilai teras kemasyarakatan yang dibahaskan oleh pelbagai agama ini meliputi sikap tolong-menolong antara satu sama lain, bersatu padu hidup dalam masyarakat bagi mewujudkan perpaduan dan suasana harmoni. Dalam pada itu

perspektif pelbagai agama juga memberi penekanan agar berlaku adil sesama manusia tanpa mengira agama, latar belakang, etnik serta tidak bersikap prejudis dan diskriminasi. Perkara ini penting kerana perdamaian, perpaduan dan keharmonian tidak akan wujud tanpa keikhlasan dan sikap saling mempercayai di antara satu sama lain khususnya dalam negara yang tercinta ini.

Dalam menukilkan integriti berdasarkan Nilai Kenegaraan daripada lensa pelbagai agama, prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, melindungi rakyat dan menjaga kebajikan mereka dilihat adalah antara perkara utama dalam sesebuah negara. Tiada agama yang menggalakkan penganutnya agar terlibat dengan penindasan, keganasan, rasuah dan peperangan. Ini kerana perpecahan yang berlaku hanya akan meleburkan negara dan tamadun yang telah dibina. Uniknya dalam memperincikan nilai kenegaraan ini wujud ikatan antara pengikut dan pemimpin di mana rakyat perlu taat dan akur kepada pemerintah dan pemerintah pula perlu berlaku adil dan sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.

Kesimpulannya, memahami integriti merentasi konteks pelbagai agama akan membolehkan kita mendalami maksud hidup berbilang bangsa, pelbagai agama dalam negara dan memanfaatkan kepelbagaian yang sedia ada untuk melakar masa depan negara ke persada yang lebih gemilang.

Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI

f integriti.my integritidotmy 0 integriti.my

INTEGRITI

INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA the Malaysian Institute of Integrity

Menara Integriti Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin Off Jalan Tuanku Abdul Halim 50480 Kuala Lumpur

Tel. : 03-62092000 Faks : 03-62031005 E-mel : integriti@integriti.my ISBN 978-967-5091-37-7

This article is from: