
3 minute read
PRAKATA
KANDUNGAN
PRAKATA 4
Advertisement
NOTA EDITOR 8
PROFIL PENULIS 11
NILAIINTEGRITI DALAM AGAMA ISLAM 19
NILAI INTEGRITI DALAM AGAMA KRISTIAN 23
NILAI INTEGRITI DALAM AGAMA HINDU 29
NILAI INTEGRITI DALAM AGAMA BUDDHA 37
NILAI INTEGRITI DALAM AGAMA SIKH 43
NILAI INTEGRITI DALAM AGAMATAOISME 51
NILAI INTEGRITI DALAM AGAMA BAHA'I 55
KESIMPULAN DAN PENUTUP 61
PRAKATA
Buku kecil dalam tangan pembaca ini diterbitkan khas dengan hasrat untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dapat menghargai kepelbagaian dalam negara, tetapi pada masa yang sama kita juga dapat menghormati persamaan pada nilai- nilai murni yang dipelopori oleh semua agama. Setiap agama menganjurkan kepada kebaikan. Belum lagi kita terjumpa dalam mana-mana kitab suci agama yang meminta penganutnya melakukan sesuatu kejahatan.
Sebab itu kita berpandangan bahawa institusi agama mempunyai peranan penting ke arah memupuk dan memperkasakan nilai- nilai murni antara para penganut agama masing-masing agar lahir masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi dan menghormati kepentmgan integrasi antara pelbagai etnik dalam negara. Keharmonian ini tidak mungkin tercapai sekiranya kita tidak mempunyai tahap toleransi dan penerimaan yang tinggi antara satu sama lain serta menghormati agama rasmi dalam negara. Semua ini menjadi syarat penting untuk menjamin keamanan yang berterusan.
Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dibentuk dalam tahun 2004 memberi fokus kepada matlamat pemantapan etika dan integriti serta membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia. Lapan institusi yang dikenal pasti sebagai fokus utama usaha pemantapan integriti adalah institusi keluarga, komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya, ekonomi, politik, pentadbiran dan agama. Daripada lapan yang dijelaskan di atas, institusi agama dilihat sebagai satu tunjang penting dalam gerakan pemantapan etika dan integriti. Institusi agama mempunyai peranan dalam membina integriti individu dan masyarakat, di samping memupuk persefahaman dan perpaduan antara pelbagai penganut agama.
Saya secara peribadi berpandangan bahawa bukan mudah untuk menjaga dan mengekalkan keharmonian di Malaysia kalau dilihat pada kepelbagaian dan kerencaman masyarakat, budaya, bahasa dan agama yang ada di dalamnya. Resipi yang kita ada lebih mudah untuk mengkucar-kacirkan negara dari menyatukannya. Perkara yang sama juga boleh kita katakan dalam konteks integriti dan tadbir urus baik. Sangat mudah untuk orang melakukan perkara yang tidak berintegriti dan menyalahgunakan kuasa serta melanggar tadbir urus baik. Secara sinisnya, lebih mudah untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan kumpulan etnik bersatu padu untuk melakukan perkara-perkara yang salah daripada bekerjasama untuk melakukan kebaikan.
Andaian ini tidak boleh kita biarkan menjadi realiti. Semua rakyat Malaysia tidak kira keturunan dan pegangan agama harus berganding bahu bersama membanteras apa juga perkara yang menjurus kepada rasuah, salah guna kuasa mahupun pelanggaran integriti yang kecil. Semuanya bermula dengan satu kesilapan kecil tetapi boleh memberi impak yang sangat besar. Sebab itu pada pandangan kami di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), institusi agama adalah harapan penting untuk digerakkan bagi kita mencari titik pertemuan agar integrasi dengan integriti dapat kita capai secara bersama.
Seperti yang kita sedia maklum, setiap agama menyarankan kepada nilai-nilai kebaikan. Nilai-nilai murni sejagat yang tersirat dalam setiap ajaran agama perlu diketengahkan dan dimanfaatkan demi meningkatkan persefahaman antara penganut pelbagai agama. Pelan Integriti Nasional yang digubal untuk memenuhi cita-cita dan matlamat Rukun Negara dapat membantu untuk mengembangkan peranan institusi agama dalam gerakan pemantapan etika dan integriti dalam kalangan penganut pelbagai agama.
Prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan merupakan prinsip sejagat yang menjadi nadi pembinaan integriti masyarakat Malaysia. Penerimaan dan pengamalan
prinsip pertama Rukun Negara mampu menjadikan masyarakat berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang ditekankan oleh agama masing-masing demi menikmati kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Editor buku ini, Saudara Loganathan Veerasamy harus diberi pujian kerana kegigihan beliau melalui portfolio Institusi Agama di INTEGRITI yang beliau selaraskan telah berjaya mendapat kerjasama tokoh-tokoh yang mempunyai pengetahuan mendalam dan kepakaran dalam ajaran agama masing-masing dalam penyediaan buku kecil ini. Inisiatif untuk menerbitkan buku kecil ini dengan judul Nilai Integriti Pelbagai Agama: Pengikat Persefahaman diharapkan dapat menjelaskan kepada kita pandangan pelbagai agama tentang nilai-nilai ketuhanan, keperibadian, kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Kelima nilai sejagat ini menjadi asas dalam pembinaan jati diri dan mampu mengembangkan budaya hormat-menghormati serta menjauhi unsur kejahilan yang sebenarnya menjadi ancaman kepada perpaduan kaum. Semoga usaha kecil INTEGRITI ini akan membuahkan hasil ke arah penyatupaduan bangsa Malaysia yang lebih utuh dengan akar integriti yang kukuh. Semoga kefahaman kita tentang perbezaan yang ada akan menjadi pengikat persefahaman yang lebih utuh.
Saya bagi pihak INTEGRITI ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua penulis dan semua yang terlibat dalam penyediaan buku kecil ini. Terima kasih yang tidakterhingga diucapkan terutamanya kepada YBhg. Dr. Chandra Muzaffar dan YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Hamid Bugo, kedua-duanya Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI, atas kesudian mereka bertindak sebagai penasihat, yang turut telah membantu bagi menilai semua hasil penulisan supaya kandungan penulisan selaras dengan tujuan penerbitan.
Terima kasih juga kepada semua pembaca yang sudi melapangkan masa membaca buku kecil ini. Sesungguhnya sebuah buku tidak akan mencapai matlamat penerbitannya kalau ianya hanya duduk