Artikel 6 pendekatan dakwah kepada saudara baru

Page 1

PENDEKATAN DAKWAH KEPADA SAUDARA BARU Oleh; Razaleigh Muhamat @ Kawangit Abstrak Saudara Baru adalah golongan yang unik dari sudut latarbelakang. Mereka berasal dari latarbelakang etnik yang berbeza, agama yang berbeza sebelum memeluk Islam dan budaya dan amalan kehidupan yang berbeza. Tujuan kertas kerja ini adalah untuk melihat pendekatan-pendekatan dakwah yang sesuai dilaksanakan kepada golongan Saudara Baru berdasarkan kepada kelainan latarbelakang etnik, agama sebelum memeluk Islam dan aamalan budaya. Kertas kerja berbentuk diskriptif ini menemukan bahawa walaupun golongan tersebut dating dari latarbelakang yang berbeza keperlukan kepada pendidikan asas Islam tetap sama di kalangan mereka Kata kunci: Pendekatan Dakwah, Saudara Baru, Etnik, Kelainan Agama, Amalan Budaya 1.1

PENGENALAN

Dakwah kepada Non Muslim harus menjadi prioriti kepada umat Islam khasnya kepada para pendakwah. Memandangkan ia merupakan usaha untuk menyebarluaskan Islam sebagai rahmatan lil-‘alamin kepada seluruh umat manusia di dunia ini. Apatah lagi dalam kehidupan bernegara sekarang ini ditandai dengan kehidupan pelbagai bangsa dan kepercayaan yang sudah tentu umat Islam sepatutnya menjadi contoh tauladan dalam menerokai kehidupan di atas dunia yang penuh cabaran ini. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk” (Surah an-Nahl :125) Makna ayat di atas menyatakan bahawa hikmah bermakna ucapan-ucapan yang benar dan munasabah yang mengandungi hujah-hujah yang kukuh, bernas dan meyakinkan. Makna mau’izah hasanah adalah percakapan yang berisi nasihat-nasihat yang baik, tegas dan dapat menembusi hati manusia sehingga yang mendengarnya dapat termotivasi dan mengambil manfaat daripadanya. Sementara makna perbincangan yang terbaik, ialah berbincang dengan penuh sopan santun dan akhlak mulia tidak menimbulkan rasa penghinaan atau menyentuh harga diri, sehingga perbincangan tersebut dapat menimbulkan rasa penghargaan kepada masing-masing hujah yang dikemukan dan memberi kesedaran kepada keduanya untuk menilai yang mana satu yang hak atau yang batil. Sayyid Qutub menerangkan bahawa untuk melakukan dakwah dengan menggunakan metode hikmah, diperlukan pemerhatian kepada tiga perkara utama, iaitu: 1. Persekitaran sosial dan taraf kemasyarakatan orang atau masyarakat yang menjadi

sasaran dakwah (mad’u).


2. Standard bahan dan material dakwah yang akan disampaikan kepada sasaran

dakwah, agar bersesuaian dengan tahap kefahaman dan intelektual mereka. 3. Pendekatan yang sesuai dan munasabah, dengan menggunakan pelbagai cara dan

metode yang dapat membangkitkan semangat mereka, sehingga isi dakwah yang dikemukan dapat diterima dengan hati dan fikiran yang terbuka.

Manakala dengan menggunakan metode mau’izah hasanah pula diperlukan perkaraperkara di bawah ini: 1. Pertuturan kata yang lembut dan menggoda sehingga pendengarnya mudah

terpesona dan tergugah hati untuk menerimanya.

2. Menjauhi sikap bongkak dan membanggakan diri, apatah lagi berbuat kasar atau berprilaku kurang sopan dan yang tidak patut. 3. Menghindari kata-kata penyindiran yang boleh menodai harga diri dan kehormatan orang yang diberi nasihat, walaupun perbuatan itu jelas berlakunya, kerana mungkin ia tidak menyedarinya atau tersilap faham. Melalui metode mujadalah memerlukan perkara-perkara berikut, iaitu: 1. Tidak merendahkan pihak yang diajak berbincang, apalagi menodai harga dirinya, sehingga ia merasa yakin bahawa tujuan perbincangannya bukannya mencari kemenangan dalam berhujah, akan tetapi ia bertujuan untuk mencari kebenaran yang patut difahami. 2. Matlamat perbincangan adalah semata-mata menunjukkan kebenaran yang sudah

sedia menjadi fitrah kepada semua umat manusia, iaitu kebenaran Islam. 3. Tetap menyatakan penghargaan kepada yang diajak berbincang, sebab harga diri

setiap manusia adalah sesuatu yang sangat mahal dalam kehidupannya. Dalam perbincangan seharusnya tidak menimbulkan rasa kalah menang di antara semua pihak, malah sepatutnya yang dirasakan semuanya mendapat manfaat yang bernilai dalam perbincangan itu.

Mengenai penafsiran metode mujadalah, iaitu bahawa bermujadalah mengandungi dua cara, iaitu mujadalah yang baik (ihsan) dan mujadalah yang terbaik (ahsan). Al-Quran secara tegas menggariskan bahawa salah satu metode dakwah ialah menggunakan metode mujadalah yang lebih baik (ahsan). Makna mujadalah yang lebih baik ini ialah dengan menyebutkan segi-segi persamaan antara pihak yang bermujadalah, kemudian dari situlah baru dibahaskan masalah-masalah perbezaan yang ada sehingga diharapkan menemukan


titik temu yang diharapkan tanpa memberi kesan kekalahan atau penodaan harga diri. Malah dengan kesedaran menerima kebenaran dengan hati dan fikiran yang terbuka. 1.2

PENDEKATAN DAKWAH RASULULLAH S.A.W

Penulis ingin mendedahkan pendekatan-pendekatan dakwah yang pernah ditelusuri oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dalam aktiviti kehidupannya yang diberi istilah “sirah nabawiyyah� yang bermaksud sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Diharapkan dengan mengakaji pendekatan tersebut ia dapat menambahkan konsepsi dakwah kepada saudara baru bagi tujuan mengkayakan uslub kita sebagai pendakwah dalam menjalankan tugas mulia tersebut. 1.2.1

Manhaj Fardiyyah

Manhaj Fardiyyah ini dikenali sebagai pendekatan individu yang merupakan satu pendekatan yang pernah digunapakai oleh Rasulullah s.a.w. ketika di peringkat awal lagi. Sejak beliau menerima wahyu yang pertama beliau langsung menyampaikan perkara itu kepada orang-orang terdekatnya. Dengan pendekatan ini beliau berdakwah kepada mereka satu persatu dan dengan cara yang sangat sulit, untuk menyampaikan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w menggunakan pendekatan ini supaya tidak menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat yang majoritinya masih memegang teguh idealisme tradisionalnya iaitu kepercayaan anismisme, paganisme sebagai warisan nenek moyang mereka. Lebih kurang tiga tahun lamanya, Rasulullah s.a.w menggunakan pendekatan ini dan telah Berjaya menarik masuk anggota keluaranya dan sahabat handainya ke dalam agama Islam. Antaranya ialah Khadijah Binti Khuwailid, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah, Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi waqqas dan lain-lain. Melalui pendekatan ini juga dapat difahami bahawa Rasulullah s.a.w. menggabungkan dua etika kerja yang sememangnya perlu direalisasikan oleh umat Islam dalam segala usaha yang dilakukannya di dunia ini, iaitu ikhtiar manusiawi dan tawakkal kepada Allah. Di samping itu, dapat difahami pula bahawa aktiviti dakwah islamiah mesti sentiasa memerhati keadaan dan kondisi sasaran dakwahnya. Jika keadaan belum memberi peluang yang memadai bagi tujuan mendedahkan dakwah secara terbuka, maka pendekatan individu seperti ini perlu dijalankan, dan sekiranya ia boleh dilakukan secara terbuka maka perlu memilih pendekatan yang sesuai dan munasabah agar dakwah islamiah dapat membawa kepada yang maksima. (al-Buti 1980 :95) 1.2.2 Manhaj Tarbiyyah Pendekatan ini adalah pendekatan pendidikan. Ia merupakan lanjutan kepada pendekatan individu itu dimana mereka yang sudah menerima Islam perlu diberi didikan yang kukuh sehingga mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pihak musuh. Dengan wujudnya sahsiah yang kukuh tadi boleh juga dipengaruhi orang luar untuk mengikuti jejak mereka. Di sinilah


letak kepentingan pendekatan pendidikan ini bagi membangun menusia contoh yang boleh mempengaruhi orang luar menerima Islam secara terpikat dan senang hati. Dalam sejarah Islam, dinyatakan beberapa tempat baik di Makkah mahupun di Madinah yang pernah menjadi lokasi pendidikan yang dilakukan secara langsung oleh Rasulullah atau oleh sahabat beliau kerana diarah oleh beliau. Di antara tempat-tempat pendidikan itu ialah: 1.2.2.1

Rumah al-Arqam

Setelah kuantiti umat Islam mencapai lebih kurang empat puluh orang mengikut pendapat yang rajih, Rasulullah s.a.w. memulai membuka pengajian bagi memberikan maklumat tentang akidah dan akhlak Islam. Di rumah al-Arqam inilah saidina Umar bin Khattab menyatakan dirinya untuk masuk Islam, iaitu pada tahun keenam kenabian. Dengan masuknya Saidina Umar kepada Islam , maka umat Islam ketika itu mendapat peluang secara terbuka mengadakan pengajian di rumah al-Arqam, yang sebelumnya dilaksanakan secara bersembunyi. Golonggan inilah yang bertindak sebagai pemula dan pelajar pertama yang secara langsung diberi bimbingan oleh Rasulullah s.a.w. di rumah al-Arqam. 1.2.2.2 Rumah Rasulullah

Walaupun keselamatan umat Islam di Makkah belum stabil, namun setelah Islamnya saidina Umar umat Islam sedikit merasa selamat. Oleh yang demikian tempat mereka belajar yang sebelumnya bersembunyi di rumah al-Arqam, kemudiannya dipindahkan ke rumah Rasulullah s.a.w sendiri. Di rumah Rasulullah s.a.w, berjalan pengajian selama umat Islam sebelum berlakunya hijrah ke madinah al-Munawwarah. Di rumah beliaulah wujud latihan yang amat berkesan sehingga dapat melahirkan mujahid-mujahid Dakwah yang unggul yang dapat meneruskan perjuangan Rasulullah setelah beliau wafat. Tidak pernah terlintas dalam fikiran kaum Quraish ketika itu bahawa pengajian yang diwujudkan oleh Rasulullah s.a.w. membawa kegemilangan yang tiada bandingnya sehingga sekarang. Dari sini jugalah terdidiknya tokoh pemimpin Islam yang bergelar Khulafa’ al-Rashidun yang menjadi model kepimpinan umat Islam sampai ke hari ini. 1.2.2.3

Al-Suffah

Setelah umat Islam berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah s.a.w atas perintah Allah S.W.T, maka usaha awal yang menjadi prioriti umat Islam ketika itu ialah membangun masjid sebagai saranan pembangunan insan yang menjadi asas pembangunan dalam Islam. Masjid yang dibangunkan itu yang kini dinamai Masjid Nabawi, telah menjadi pusat pengajian Islam yang dipimpin secara langsung oleh Rasulullah sendiri. Tempat pengajian dalam masjid itu diberi nama al-Suffah. Oleh yang demikian, al-Suffah ketika itu menjadi Pusat Dakwah yang sengaja dibangun untuk melatih para calon pendakwah yang kemudiannya menjadi mujahid dakwah


di pelbagai kawasan yang telah memeluk Islam. Jika dibandingkan dengan tempat pendidikan umat Islam sebelumnya di Makkah, maka di al-Suffah ini lebih baik dan mempunyai pentadbiran serta pengurusan yang kemas. Ini disebabkan keadaan di Madinah jauh lebih stabil jika dibandingkan ketika Rasulullah s.a.w. masih di Makkah. Di samping itu, di sini juga Rasulullah s.a.w. sendiri bertindak sebagai tenaga pengajarnya. Beliau juga dibantu oleh beberapa orang sahabat yang dianggap lebih senior dan telah mendapat didikan langsung dalam pengajian Islam di Makkah. Di antara mereka yang menjadi pembantu Rasulullah sebagai tenaga pengajar, ialah Abdullah bin Sa’id bin al-As, Ubaidah bin Samit, Ubaydah bin Ka’ab dan lain-lain. Bahkan di antara pengajarnya adalah tawanan Perang Badar yang mempunyai kepakaran tertentu yang dijadikannya sebagai tebusan. (Ahmad bin Hambal t.th: 5) Perkara yang menarik dalam pendidikan di Pusat Dakwah ini, ialah semua pelatih belajar dan berlatih secara percuma. Untuk mencukupi keperluan hidup mereka. Rasulullah s.a.w. memberi tugas kepada sahabat untuk menjamin mereka. Suatu ketika, Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang mempunyai persediaan makanan untuk dua orang hendaklah ia mengajak seorang pelajar Pusat Dakwah”. Beliau sendiri menjamin sepuluh pelajar Pusat Dakwah. 1.2.2.4

Dar al-Qurra

Dar al-Qurra merupakan rumah Malik bin Naufal yang sengaja di khususkan sebagai tempat berkumpulnya para sahabat yang berminat menghafal dan membaca ayat al-Quran yang sudahpun diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Walaupun ada riwayat yang menyatakan bahawa Dar al-Qurra ini seperti asrama pelatih yang tidak tertampung di al-Suffah, tetapi tempat belajar mereka tetap di Pusat Dakwah al-Suffah. (Azami 1994: 83). 1.2.2.5

Kuttab

Institusi ini merupakan tempat pengajian bagi kanak-kanak Islam yang memerlukan pentarbiyahan, terutama bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari bacaan ayat alQuran. Abdullah bin Mas’ud menyatakan bahawa beliau bersama Zaid bin Thabit pernah belajar al-Quran sebanyak tujuh puluh surah secara talaqqi dihadapan Rasulullah di Kuttub, di mana ketika itu ia masih kecil (Azami 1994: 85). 1.2.2.6

Rumah Para Sahabat Rasulullah s.a.w.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. yang berkebolehan juga menjadikan tempat tinggal mereka sebagai tempat mempelajari Islam mengikut kemampuan masing-masing. Terutamanya jika Rasulullah s.a.w menerima tetamu dari luar, biasanya para tamu itu ditumpangkan di rumah sahabat yang mempunyai kemampuan. Peluang seperti ini tidak disia-siakan oleh sahabat berkenaan dengan memberi bimbingan dan mauizah kepada para tetamu tersebut bagi tujuan meyakinkan akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ketika Nabi didatangi tetamu dari kabilah Abdul Qais, mereka tinggal di Madinah selama sepuluh hari. Ketua kumpulannya, Abdullah al-Ashajj sengaja ditumpangkan di


rumah Ramlah binti al-Harith, sementara yang lainnya ditempatkan di rumah beberapa sahabat dari kalangan al-Ansar. Pengetua kumpulan, Abdullah selalu bersama Rasulullah s.a.w. dan bertanya tentang Islam dan ajarannya, sementara tetamu yang lain ikut belajar kepada sahabat yang ditempatkan di rumah sahabat tersebut. Kabilah Ghamid ketika bertamu kepada Rasulullah ditempatkan dirumah sahabat Ubay bin Ka’ab dan menjadikan rumahnya sebagai tempat pengajian. Di samping rumah-rumah sahabat, masjid yang baru dibangunyang pada masa itu berjumlah enam buah di Madinah, telah menjadi pusat pengajian Islam dan Institut latihan dakwah kepada mereka yang mempunyai minat dan kemempuan untuk belajar. 1.2.3 Manhaj al-‘Ardiyyah Pendekatan ini menggunakan cara penawaran kepada orang lain agar ia dapat menerima Islam sebagai panduan hidupnya. Rasulullah memanfaatkan pendekatan ini untuk mendekati orang-orang yang datang berziarah ke Makkah baik dalam urusan perniagaan mahupun dalam urusan haji yang sudah menjadi tradisi umat manusia sejak Nabi Ibrahim a.s. Sudah menjadi tradisi di Makkah didatangi oleh pelbagai kabilah dan suku bangsa dari seluruh penjuru, terutama dari kawasan yang berjiran. Okaz, Mijannah dan Dhulmajaz adalah tiga nama pusat perniagaan di kawasan Makkah yang menjadi tumpuan para peniaga antarabangsa untuk tujuan aktiviti perniagaan dan majlis pertandingan membaca syair Arab. Masing-masing kabilah yang datang sengaja membawa sasterawan dan ahli fikirnya di samping barangan perniagaannya bagi menjayakan perjumpaan sekali setahun itu. Setelah mereka puas melakukan perniagaan dan segala aktiviti hiburanya, merekapun bersama-sama menuju padang Arafah bagi menunaikan wuquf sebagai ibadah tradisi mereka. Di pusat perniagaan itulah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. mendatangi kabilahkabilah yang ada bagi menawarkan Islam tanpa merasa kecewa jika tidak menemukan respon yang menggembirakan. Isi tawaran beliau telah dicatatkan dalam sejarah Islam, seperti berikut: ‘ Hai sekalian manusia, katakanlah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Jika kalian mahu mengatakannya, maka kalian akan memperolehi kebahagian dan dapat menguasai bangsa Arab. Sementara orang-orang asing akan tunduk di bawah lutut kalian. Apabila kalian mahu beriman, maka kalian akan menjadi raja-raja d isyurga’.(Ibn Saad 1980:1/216) Oleh kerana gangguan Arab Quraisy di Makkah terutama Abu Lahab yang sengaja datang menghalang Nabi dan mengekori segala aktiviti Rasulullah, sehinggakan pada peringkat awalnya Rasulullah s.a.w menghadapi kegagalan. Semua kabilah yang datang bersetuju dengan dakwaan Abu Lahab bahawa Nabi Muhammad adalah seorang yang pembohong, tidak boleh dipercayai segala ucapannya. Namun demikian, Rasulullah s.a.w tetap menjalankan tugas dakwahnya dengan menggunakan pendekatan yang serupa pada setiap musim haji yang datang. Cabaran beliau yang bersifat ancaman dan sebagainya tidak melunturkan usaha dan ikhtiarnya menjalankan dakwah yang menjadi tugas dan misinya.


Daripada pendekatan inilah, Rasulullah berjaya mendapatkan sokongan sepenuhnya dari dua kabilah besar yang berasal dari Madinah iaitu kabilah Aus dan kabilah Khazraj. Kejayaan ini bukan sahaja kerana penerimaannya terhadap Islam secara menyeluruh, tetapi mereka juga berjanji untuk memelihara keselamatan Rasulullah s.a.w dalam aktiviti dakwahnya dan turut serta memperjuangkan dakwah Islamiah di Madinah dan sekitarnya. Melalui kejayaan inilah Madinah menjadi pilihan utama dalam menyemarakkan dakwah Islamiah ke seluruh pelusuk dunia. (Syamsul Bahri Andi Galigo 2006 : 54) 1.2.4

Manhaj al-Bi’thiyyah

Pendekatan ini melihat kepada pengiriman mujahid dakwah ke pelbagai daerah di luar tempat bermustautin Rasulullah s.a.w. Pendekatan ini juga merupakan lanjutan daripada pendekatan tarbiyyah yang dilakukan oleh beliau bagi mempersiapkan tenaga-tenaga da’i yang professional yang telah menjalani latihan yang dibimbing secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Mengikut riwayat, Mus’ab bin Umayr merupakan pendakwah yang pertama yang dikirimkan oleh Rasulullah s.a.w bagi mengembangkan dakwah Islamiah di Yathrib. Aktiviti hariannya adalah mendatangi kabilah-kabilah yang ada di Yathrib bagi tujuan mengajak dan menyeru mereka agar menerima Islam sebagai agama mereka. Berkat kegigihan Mus’ab sepanjang menjalankan dakwah dengan penuh ikhlas dan tawakkal, akhirnya berjaya membuat satu komuniti umat Islam di Yathrib yang diabadikan dalam sejarah Islam sebagai golonggan Ansar. (Ibnu Saad 1980 : 315) Misi dakwah berikutnya ialah pada tahun ke empat hijrah iaitu penghantaran tenaga du’at ke Najd di atas permintaan seorang ahlinya yang bernama Amir Ibn Malik. Para pendakwah yang telah dikirimkan itu seramai tujuh puluh orang sahabat yang diketuai oleh al-Mundhir Ibn ‘Amr. Misi tersebut menghadapi cabaran yang sangat hebat apabila penguasa Najd, Amir Ibn al-Tufayl telah menentang habis-habisan rombongan pendakwah tersebut yang akhirnya mencetuskan tragedi Bi’r Ma’unah yang menyayat hati dengan gugurnya para syuhada’ di kalangan tenaga du’at yang telah dikirim itu. Yang tinggal hanyalah seorang iaitu ‘Amr Ibn Umayyah yang segera menyampaikan kejadian tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Disebabkan tragedi itu Rasulullah s.a.w. telah mengamalkan qunut al-nazilah selama sebulan bagi mengutuk perbuatan keji tersebut (Ibn al-Qayyim al-Jawziyah, t.th, 2: 122). Kejadian tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat umat Islam dan para pendakwah khasnya untuk meneruskan usaha-usaha dakwah selanjutnya. Pendekatan yang sama telah digunakan oleh Rasulullah s.a.w di mana dalam tahun ke tujuh hijrah Rasulullah s.a.w telah menghantar sejumlah pendakwah ke Khaibar yang terletak di utara Madinah. Rombongan ini diketui oleh Ali bin Abi Talib. Antara utusan pendakwah yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w. ke beberapa daerah ialah Abu Musa al-Sya’ari, Mu’adh Ibn Jabal, Khalid Ibn Walid dan al-Barra Ibn Azib. Abu Musa al-Sya’ari dan Mu’adh Ibn Jabal keduanya telah dihantar sebagai utusan dakwah ke Yaman. Pesanan Rasulullah s.a.w. kepada mereka seperti yang termaktub dalam Hadis


Sahih iaitu; Permudahlah urusan orang, jangan mempersulitkan mereka. Sampaikanlah kepada mereka perkara yang mengembirakan dan jangan membuat mereka merasa beban Dalam peristiwa yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah dikunjungi oleh penduduk Najran yang beragama kristian yang meminta agar Rasulullah s.a.w menghantar pendakwah yang amanah yang boleh mengajar tentang Islam. Lalu Rasulullah menghantar Abu ‘Ubaidah Ibn al-Jarrah ke Yaman pada tahun ke sepuluh hijrah untuk berdakwah dan Berjaya mengislamkan kesemua ahli khabilah Bani Harth di sana (Ibn al-Qayyim al-Jawziyah, t.th, 3: 41). 1.2.5 Manhaj al-Murasalah Di antara pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w yang juga mempunyai keberkesanannya, ialah mengadakan surat menyurat kepada orang-orang yang tertentu yang beliau anggap mempunyai potensi dan kuasa terhadap kaumnya. Penghantaran suratsurat Rasulullah s.a.w dapat diklasifikasikan kepada tiga bahagian, iaitu: 1. Surat yang berbentuk seruan dan ajakan untuk masuk Islam. Surat seperti ini

biasanya beliau tujukan kepada orang-orang non-muslim seperti Yahudi, Kristian, Majusi dan Musyrikin baik ia berkedudukan sebagai Raja, pemimpin masyarakat ataupun perseorangan yang dianggap ada potensi dan pengaruh kepada masyarakatnya.

2. Surat yang berisi ajaran Islam yang berkaitan dengan tuntutan yang diperlukan oleh

masyarakat Islam. Biasanya surat seperti ini ditujukan kepada orang Islam yang mempertanyakan tentang satu-satu perkara dalam Islam, baik Akidah, Akhlak ataupun masalah Muamalah Fiqhiyyah.

3. Surat yang terkandungnya panduan tuntutan Islam bagi mereka yang bukan Islam di

bawah naungan pemerintahan Islam. Surat seperti ini ditujukan kepada non-muslim yang ingin hidup berdamai dengan umat Islam. Pendekatan dakwah seperti ini, menunjukkan bahawa menjadi kewajibpan umat Islam menyampaikan kepada seluruh umat manusia risalah Islam secara komprehensif tanpa menyembunyikan sedikitpun daripada ajarannya. Pendekatan ini memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkan segala ilmu pengetahuan dan teknologi, khasnya teknologi maklumat bagi tujuan memperkenalkan konsep Islam ke seluruh pelusuk dunia. (Syamsul Bahri Andi Galigo 2006 : 57) 1.2.6 Manhaj al-Mujadalah Pendekatan yang bersifat perbincangan ini juga merupakan satu cara Rasulullah s.a.w. dalam menjalankan misi dakwahnya, terutama kepada golonggan non-muslim. Pendekatan seperti ini adalah amat munasabah bagi umat Islam dewasa ini untuk memperkenalkan Islam melalui forum dan diskusi ilmiah. Ini bertujuan membuka minda kepada cendekiawan non-muslim agar mereka dapat mengkaji sendiri sejauh mana kebenaran Islam dan


sejauhmana Islam membawa kepada kesejahteraan sejagat yang amat diimpikan oleh masyarakat antarabangsa pada masa sekarang. Sejak Rasulullah s.a.w menyebarkan dakwahnya di Makkah, beliau telah didatangi tetamu yang bertujuan untuk mengadakan perbincangan yang berkaitan dengan misi dakwahnya. Namun setelah Rasulullah s.a.w. menjelaskan kepada mereka dengan membacakan surah Yassin, mereka lansung beriman dan menyatakan diri mereka masuk Islam. Oleh yang demikian perbincangan amat singkat dan tidak berlarutan sebagaimana yang dijangkakan. Walau bagaimanapun dapat difahami di sini bahawa pendekatan dakwah seperti ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. melalui tetamunya yang datang kepadanya. Baik mereka yang beragama Islam mahupun yang belum memeluk agama Islam. Rasulullah s.a.w memanfaatkan semua kesempatan yang ada bagi tujuan berdakwah melalui uslub atau pendekatan yang munasabah. Demikian Rasulullah s.a.w. menggunakan pendekatan ini bagi tujuan dakwah kepada mereka yang menginginkan perbincangan. Ternyata Rasulullah s.a.w memiliki cara yang cukup menarik dalam melakukan pendekatan ini, sehingga mereka yang mengikutinya merasa berpuas hati walaupun di antaranya ada yang tidak mahu menerima Islam sebagai pegangan hidupnya dan masih lagi bertahan dengan idealisme lamanya. (Syamsul Bahri Andi Galigo 2006 : 60) 1.3

KESIMPULAN

Dalam konteks berdakwah kepada saudara baru terdapat enam pendekatan yang pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w dalam menjalankan aktiviti dakwahnya di dua tempat iaitu Makkah dan Madinah. Pendekatan-pendekatan ini telah diikuti oleh pewaris beliau sebagai pendakwah khasnya Khulafa’ al-Rasyidin untuk menjalankan dakwah supaya sentiasa memantulkan cahaya nubuwwah dalam berikhtiar dan memajukan dakwah Islamiah di masanya. Adalah menjadi kepastian bagi para pendakwah sekrarang, supaya tidak melepaskan tali perhubungan dengan cahaya nubuwwah bagi mempelbagaikan konsep dalam menangani dakwah hari ini, khasnya dakwah kepada non-muslim yang merupakan asas kepada dakwah Islamiah. Perubahan kemasyarakatan dan kemajuan penemuan manusia hari ini justeru lebih memberi peluang kepada cerminan masa lalu, bagi mendapatkan konsep yang ideal dan munasabah. Apatah lagi konsep dakwah hari ini dirasa amat miskin dalam mempelbagaikan cara dan pendekatan, walaupun perkembangan kemudahan hidup dan infrastruktur cukup maju. Oleh itu, cabaran ummah dalam menghadapi era globalisasi kini dan akan datang adalah kemampuan mereka mempelbagaikan pendekatan dan cara berdakwah, sehingga istilah dakwah itu sendiri dirasa oleh masyarakat antarabangsa sebagai satu keperluan dan kepastian hidup, sepertimana kebergantungan global kepada sains dan teknologi hari ini. Manhaj fardiyyah, tarbiyyah, ‘ardiyyah, bi’thiyyah, murasalah, dan mujadalah antara pendekatan dakwah yang berkesan yang telah diimplikasikan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap


saudara baru. Tidak dapat dinafikan juga ia merupakan satu pakej pendekatan dakwah yang sangat menarik dan sesuai digunakan pakai oleh para pendakwah sepanjang zaman.

RUJUKAN

Al-Quran Abdul Aziz Mohd Zin. 1997. Pengantar Dakwah Islamiyyah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Abdul Ghafar Haji Don & Zulkiple Abd. Ghani. 2009. Dakwah Kepada Non Muslim di Malaysia: Konsep, Metode dan Pengalaman. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Abdul Karim Zaidan, Dr. 1988. Dasar-dasar Ilmu Dakwah. Terjemahan. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Islam Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2008. Dakwah Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd. Berhanuddin Abdullah. 1993. Pengurusan Pentadbiran Organisasi Dakwah di Malaysia. Tesis Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku Panduan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Temerloh Pahang. Ensiklopedia Islam. 1998. Jld 7. Kuala Lumpur: Pustaka Jilid Sdn Bhd. Ibnu Saad. 1980. al-Tabaqat al-Kubra’. Beirut: Dar al-Fikr Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pusataka. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Inggeris-Melayu Melayu- Inggeris. 2004. Ed. Ke-3 Selangor: Fajar Bakti Sdn.Bhd. Ku Md Ali b. Hj. Ku Ramli. 1997. Dakwah Kepada Saudara Baru: Satu kajian Mengenai Pendekatan Dalam Aspek Bimbingan dan Kebajikan. Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia. Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Pahang. 2011. www.jaip.pahang.gov.my Muhammad bin Ali al-Shawkani. 1973.Fath al-Qadir. Beirut: Dar al-Fikr Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Bt Abdullah @ Tan Ai Pao. 2009. Cabaran Psikologi Saudara Baru: Kajian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia. Nur Kareelawati Abd Karim.2002. Metodologi Dakwah Kepada Saudara Baru: Kajian Khusus di Darul Arqam, Singapura. Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia. Oxford Advanced Learner’s Dictionary. 2000. Ed Ke-7. London: Oxford University Press. Rohani binti Abdullah. 2011. Pengerak Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh. Temu bual, 2 Februari. Rosmani binti Hussin. 2004. Modul Bimbingan Saudara Baru: Kajian di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK). Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia. Said Ramadan Buti.1980. Fiqh al-Sirah. Beirut : Dar al-Fikr Syamsul Bahri Andi Galigo. 2006. Anjakan Paradigma Dakwah Dalam Menghadapi Pelampau Agama. Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Negeri Sembilan.


www.facebook.com/note.php?note_id=176416819037551 Yusuf al-Qaradawi. 1982. al-Sahwah al-Islamiyyah. Qatar: Risalah al-Mahakin al-Shariyyah wa al-Shuun al-Diniyyah.


Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.