
2 minute read
SUKAN
LEKAS
MEMPERKASA SUKAN TLDM
Advertisement
Oleh: Lt Kdr Mohd Firdaus Abdul Rahim TLDM Foto: LEKAS TLDM
TLDM sentiasa digeruni oleh perkhidmatan lain kerana sentiasa mempersembahkan prestasi yang terbaik dan memberi saingan yang amat sengit dalam setiap acara yang dipertandingkan pada Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan (ISG) ATM yang diadakan setiap tahun. Pada tahun 2018, TLDM telah dinobatkan selaku juara keseluruhan ISG ATM kali ke-11 berturut-turut.
Bagi meneruskan pencapaian cemerlang sukan TLDM, pelbagai inisiatif telah diambil oleh LEKAS TLDM bagi memastikan semua persatuan sukan TLDM sentiasa komited untuk mencapai keputusan yang cemerlang sama ada di peringkat ATM, kebangsaan dan antarabangsa.
1Inisiatif yang pertama adalah menyusun strategi dan taktik yang mantap di peringkat awal sebelum kejohanan ISG ATM bermula. Semua persatuan sukan dikehendaki memberi penumpuan dan penekanan terhadap peningkatan kecergasan, kemahiran dan teknik para atlet. Tim pengurusan persatuan juga disarankan untuk turun padang bagi memberi sokongan moral kepada atlet masing-masing.
2Inisiatif yang kedua adalah memastikan semua persatuan sukan sentiasa mencari bakat baharu di kalangan warga TLDM yang betul-betul layak serta berpotensi untuk mewakili TLDM di peringkat ATM, kebangsaan dan antarabangsa. Terdapat beberapa atlet TLDM yang telah dipilih mewakili negara di beberapa kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia. Antaranya adalah Laskar Kanan Irwandie Lakasek yang mewakili negara dalam acara lumba basikal dan Laskar Kelas Satu Saritha Cham Nong yang mewakili negara dalam acara memanah.
3Menggalakkan persatuan sukan mengadakan latihan bersama kelab negeri bagi meningkatkan mutu dan kemahiran pasukan TLDM adalah inisiatif yang ketiga. Persatuan sukan juga digalakkan mengadakan perlawanan persahabatan dengan persatuan luar sebagai salah satu cara bagi menambah pengalaman selain membantu pasukan membentuk persefahaman yang mantap di kalangan atlet.

4Selain itu, pemberian skim insentif sukan kepada atlet yang mencapai kemenangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah inisiatif keempat untuk memberi motivasi dan meningkatkan lagi prestasi atlet tersebut. Pemberian insentif ini sudah pasti akan menarik minat serta menyuntik semangat kepada atlet untuk memperolehi kejayaan yang lebih baik lagi dalam setiap acara yang disertainya pada masa akan datang.
5Inisiatif yang kelima adalah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan TLDM setiap tahun bagi menghargai dan mengiktiraf semua persatuan sukan dan atlet yang telah mengharumkan nama TLDM di peringkat ATM, negara dan antarabangsa. Pemilihan penganugerahan dibuat berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan LEKAS TLDM. Antara anugerah yang diberikan adalah Persatuan Sukan Terbaik, Olahragawan, Olahragawati dan Tokoh Sukan TLDM.
6Inisiatif yang keenam dan terakhir adalah menyalurkan peruntukan kewangan yang mencukupi kepada semua persatuan sukan setiap tahun bagi membolehkan tim pengurusan mempunyai dana yang cukup untuk menampung semua aktiviti mereka. Selain itu, wang saguhati turut diberikan oleh LEKAS TLDM kepada persatuan sukan yang menjuarai Kejohanan ISG ATM sebagai insentif dan motivasi untuk membakar semangat untuk berjaya.
Tidak dinafikan, sukan adalah salah satu medium bagi menghasilkan modal insan yang sihat dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi. Melalui inisiatif yang dilaksanakan oleh LEKAS TLDM, persatuan sukan diharap mampu untuk terus meningkatkan prestasi dan mutu pencapaian mereka. Semoga kecemerlangan sukan akan terus mengharumkan nama TLDM, ATM dan negara.



