
3 minute read
UNSUNG HERO Kami Sedia Walau Tidak Dilihat Dunia
KAMI SEDIA WALAU TIDAK DILIHAT DUNIA!
Oleh: Lt Kdr Melissa binti Yayanto TLDM Foto: N.S Shah / Arkib PUSMAS TLDM
Advertisement
Kehebatan dan kredibiliti PASKAL di lapangan pertempuran tidak perlu dihamparkan lagi sementelahan beberapa siri kejayaan seperti operasi menyelamat kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 di Somalia (2008) dan operasi menyelamat kapal MT BUNGA LAUREL (2011) telah terpapar di media sosial. Walau begitu, masih terdapat beberapa operasi yang digempur oleh PASKAL namun tidak dihebahkan kepada masyarakat seperti kisah pencerobohan di Lahad Datu. PASKAL merupakan antara kumpulan terawal yang bertembung dengan insiden tersebut. Menyingkap kembali kisah yang berlaku pada 2013, penulis berkesempatan bertemu bual dengan anggota PASKAL yang terlibat dalam operasi yang dikenali sebagai Op Daulat.
Laksana tugas perisikan
Op Daulat diaktifkan berikutan kehadiran tetamu tidak diundang, Kumpulan Militan Kesultanan Sulu (KMKS) yang menceroboh Sabah pada awal 2013. “Sabar bos, tak lama sahaja lagi. Lepas ini kita akan perintah Sabah. Kita akan tukar Malaysia”. Perbualan yang diperolehi ketika melaksanakan tugas perisikan amat membimbangkan PASKAL. Sejak awal 2013, Tim Sel Risik Gempur (SRG) PASKAL telah ditempatkan di Felda Sahabat untuk mengesahkan maklumat kemasukan KMKS di kawasan tersebut. Operasi pemantauan dilaksanakan oleh Tim Penggempur PASKAL di perairan negara menggunakan bot TLDM bersama bot tempatan seperti sampan, jongkong dan bot nelayan sebagai penyamaran, manakala Tim SRG ditugaskan membuat pemantauan di darat.
Lelaki bersenjata mencurigakan
Pada 12 Februari 2013, sekembalinya sekumpulan nelayan dari memancing di awal pagi memberitahu Tim SRG mereka melihat beberapa buah bot laju yang tidak dikenali membawa penumpang yang ramai menuju ke pantai Tanduo. Namun, beberapa bot berkenaan berpatah balik dalam keadaan kosong dan hanya meninggalkan satu bot di pantai Tanduo. Turut kelihatan, sekumpulan lelaki berpakaian celoreng, bersenjata dan berkain putih di kepala bergerak menuju ke atas bukit berdekatan. Lantas, Tim SRG bergerak ke Kg Tanduo untuk membuat pengesahan berbekalkan senjata yang disembunyikan. SAMUDERA
Menyamar sebagai penduduk kampung
Tim SRG berjaya menemui kumpulan berpakaian celoreng lengkap bersenjata M16 dan Garand 7.62. Kelihatan dua orang berjubah putih sedang menyampaikan taklimat kepada kumpulan bersenjata ini. Kehadiran mereka disambut dengan pandangan tajam kumpulan tersebut. Masih menyamar sebagai penduduk kampung, Tim SRG cuba berlagak biasa dan berjalan melintasi kumpulan tersebut.
Sempat tinjau kawasan sekeliling
Namun, satu suara menyergah mereka, “Mana kau nak pergi? Aku tak pernah nampak muka kau. Ini kawasan persendirian!” Walaupun terkejut, namun dengan tenang mereka menjawab mereka ingin ke rumah Ali (anak Mad Bon) untuk meminjam bot dan pergi memancing. Sesi soal jawab memberi kesempatan kepada Tim SRG meninjau kawasan sekeliling dan mendapati terdapat beberapa anggota berkawal di tepi jalan dan laluan masuk.

Dihalau

Kehadiran mereka yang ramai dan bersenjata, Tim SRG mengaku wujud rasa takut sehinggakan rokok yang dihisap juga terasa kelat. Namun, dalam pada takut, Tim SRG sempat bertanya tujuan mereka ke kawasan tersebut dan soalan tersebut dibalas dengan kata-kata, “Jangan kamu menyibuk! Pergi dari sini!” Setelah dihalau, Tim SRG berlalu meninggalkan kawasan tersebut dan membuat laporan di Balai Polis Cenderawasih.
Salur maklumat kepada PDRM
Tim SRG dan PDRM saling berkongsi maklumat demi mematahkan tindakan penceroboh ini apatah lagi penduduk kampung mulai menerima ugutan dari penceroboh. Selain itu, ketangkasan pasukan Marin Filipina yang menyekat gelombang kedua kumpulan ini dari melepasi perairan Filipina wajar diberi perhatian meskipun dua anggota marin mereka terbunuh dalam operasi tersebut. Mengetahui selok belok kawasan tersebut. Tim SRG membantu PDRM selaku penunjuk jalan sepanjang kawasan tersebut. Kehadiran 200 penceroboh bersenjata menyemarakkan lagi keazaman Tim SRG, “Mungkin di sinilah pengakhiran hidup aku. Kalau mati pun, tidak mengapa, janji aku boleh tembak salah seorang penceroboh ini”, kata salah seorang Tim SRG.
Operasi diteruskan
Beberapa siri rundingan dilaksanakan di samping tindakan PDRM memutuskan bekalan makanan dan sumber air agar penceroboh menyerah diri. Namun, keengganan mereka telah menoktahkan sejarah pertempuran pada 1 Mac 2013 antara VAT 69 dan kumpulan penceroboh. Selepas serangan, PASKAL masih meneruskan operasi perisikan di samping terlibat secara langsung membantu PDRM dalam operasi menyelamat, menjejak, menangkap atau menghapuskan anggota KMKS. Malah, Tim Penggempur PASKAL juga turut terlibat dalam operasi menyelamatkan anggota PDRM yang terperangkap di Kg Simunul. Beberapa suspek yang dipercayai anggota KMKS juga berjaya ditahan dan diserahkan kepada PDRM. Op Daulat dilaksanakan secara berfasa dan berakhir pada 29 Jun 2013 setelah tanggungjawab keselamatan kawasan pantai timur Sabah khususnya Lahad Datu diserahkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

