Hadiah terbesar Tuhan kepada kita ialah Anak-Nya, Yesus—Juruselamat kita, yang telah mati dan bangkit semula supaya kita dapat hidup kekal bersama-Nya.
Hadiah abadi ini tersedia untuk semua orang. Dengan kebenaran ini, kita disatukan sebagai satu keluarga besar orang percaya di seluruh dunia. Pada musim Natal ini, luangkanlah 10 hari untuk merenungkan makna Hari Natal bagi anda, dan bagaimana anda boleh berkongsi Berita Baik ini dengan orang lain.
Diterbitkan dan diedarkan oleh: Discovery House Distributors Sdn Bhd (Company No.: 368775-M)
Peti Surat 81, Taman Sri Tebrau, 80057 Johor Bahru, Johor, Malaysia.
Q2230
Hadiah Semua untuk
10 renungan natal tentang yesus
—Harga Paling Berharga bagi Kita
Reka Bentuk Kulit
Hailey C. Smith
Penata Letak Kulit
Esther Chow
Imej Kulit
IVONINA via Shutterstock.com
Reka Bentuk Dalaman Michael J. Williams
Buku Asli A Gift for All: 10 CHRISTMAS REFLECTIONS on God’s Gift to Us—Jesus
Natal (Krismas) bermaksud palagarams! Palagarams ialah perkataan dalam bahasa
Tamil yang merujuk kepada pelbagai manisan
India dan juadah buatan sendiri yang disediakan khusus sempena musim Natal. Sewaktu kecil, dalam minggu-minggu menjelang Natal, saya akan membantu nenek saya menyediakan hidangan ini.
Dia akan menyenaraikan bahan-bahan yang diperlukan, kemudian membeli bahan yang terbaik di pasar tempatan.
Setelah itu, tong-tong besar akan dibersihkan dan dijemur di bawah matahari, sebagai persiapan untuk menyimpan makanan. Akhir sekali, dia akan menyuruh beberapa orang anak dan cucunya untuk membantu.
Hari Natal bukanlah suatu perayaan besar di negara kami, tetapi apabila hari ini tiba, cucu-cucu akan diberi tugas untuk mengagihkan dulang-dulang berisi palagarams sebagai hadiah kepada jiran-jiran dan sahabat handai.
Tujuan utama nenek ialah supaya kegembiraan dalam rumah kami melimpah ke rumah orang lain di sekitar— tanpa mengira agama atau kepercayaan mereka.
Kegembiraan yang melimpah ini seolah-olah juga menjadi cara syurga berkomunikasi dengan dunia pada Hari Natal yang pertama itu. Korus syurgawi bergema,
“Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya" (LUKAS 2:14). Sukacita dari syurga tidak dapat dibendung: “Lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (AYAT 11).
Musim Natal sering kali dipenuhi dengan pelbagai acara—membeli-belah, menghias rumah, menghadiri program gereja, menziarahi keluarga, membungkus hadiah, dan banyak lagi. Ketika kita sibuk menyebarkan kegembiraan kepada orang tersayang, kita mungkin terlupa bahawa masih ramai yang belum mengenal hadiah terindah ini—hubungan dengan Yesus Kristus. Kristus ialah hadiah sempurna dari syurga kepada umat manusia. Sebagaimana palagarams yang kami hadiahkan membawa kegembiraan kepada jiran-jiran kami, demikian juga Yesus datang untuk membawa kehidupan, dan hidup yang berkelimpahan (YOHANES 10:10). Yakobus 1:17 menyatakan, “Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa.”
Yesus, Anak Allah yang dikasihi, telah meninggalkan kemuliaan-Nya di syurga supaya kita dapat mengalami hidup, harapan, dan sukacita sejati. Inilah hadiah yang harus dikongsi bersama.
Setiap Hari Natal selepas kebaktian di gereja, kami akan berkongsi harapan dan kegembiraan ini—kami memakai pakaian terbaik, membawa palagarams buatan nenek, dan mengetuk pintu jiran sambil mengucapkan “Selamat Hari Natal!” Apabila mereka membalas sapaan kami, kami menjemput mereka ke gereja untuk ibadah petang—dengan persembahan drama, nyanyian dan tarian sempena Natal. Segala usaha menyediakan palagarams tersebut akhirnya membawa kepada tujuan utama: menjemput orang lain untuk mengenal Kristus secara peribadi.
Undangan yang sama juga telah diberikan kepada sekumpulan gembala biasa di padang rumput Betlehem ketika kelahiran Kristus. Mereka bukan orang terkenal, malah mungkin dianggap sebagai golongan rendah dalam masyarakat. Tetapi Tuhan memilih mereka untuk menjadi penerima berita yang luar biasa ini. Saya sering berfikir, mengapa Tuhan memilih golongan seperti mereka? Adakah kerana mereka satu-satunya yang masih berjaga pada waktu malam itu? Alkitab tidak memberitahu kita sebabnya. Namun mungkin yang menjadikan mereka layak ialah kesediaan mereka untuk meninggalkan segala milik mereka pada waktu tengah malam dan mentaati seruan malaikat itu. Mereka tidak menunggu sehingga keesokan harinya atau fajar menyingsing, sebaliknya mereka bergegas untuk bertemu dengan Penyelamat.
Kita juga, seperti para gembala itu, merupakan penerima jemputan Tuhan yang tidak dijangka untuk mengalami dan percaya kepada Yesus. Mungkin kita bukan orang yang bijak atau terkenal (1 KORINTUS 1:26-27), tetapi kita istimewa kerana dipanggil untuk menerima hadiah terbesar Tuhan. Yesus tidak datang dengan pakaian emas atau linen mahal. Dia datang sebagai hamba dan mengambil rupa manusia. Dia menjadi seperti kita, supaya kita dapat menerima hadiah paling berharga—pemulihan hubungan dengan Bapa Syurgawi, dan kehidupan kekal bersama-Nya. Yesus berkata kepada wanita Samaria di perigi, “Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, ‘Berilah Aku minum,’ tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup” (YOHANES 4:10). Hadiah kehidupan kekal ini tidak dapat dicapai dengan usaha kita sendiri, tetapi telah dikurniakan kepada kita melalui harga pengorbanan-Nya—kematian dan kebangkitan-Nya.
Hari ini, sebagai penerima hadiah terbesar ini, kita mempunyai pilihan, sama ada menyimpannya untuk diri sendiri atau, seperti para gembala dan nenek saya, menggunakan setiap peluang—termasuk melalui palagarams—untuk menyebarkan berita gembira tentang Yesus. Tindakan kasih yang sederhana, kemurahan hati dan kebaikan kita boleh menjadi saluran untuk memperkenalkan Kristus kepada orang lain. Apabila kita membiarkan cahaya kita bersinar, ramai akan mengalami hadiah terbesar Tuhan dan memuliakan-Nya—seperti para gembala dahulu.
Pada Hari Natal ini, cara anda menyambut dan berkongsi hadiah Tuhan sangatlah penting.
Rebekah Vijayan, Our Daily Bread
Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang
Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan.
(Lukas 2:11)
o 1 PETRUS 4:10 HARI 1
Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah.
hadiah yang berganda
Sejurus selepas saya memberikan Pak Ming RM100, saya mula rasa menyesal. Lelaki tua itu sering berlegar di kawasan
kejiranan kami dan kelihatan miskin, jadi saya terfikir untuk memberinya sedikit bantuan. Tetapi apabila saya ternampak dompetnya mengandungi beberapa keping wang kertas, saya terfikir, “Eh, dia tidaklah semiskin yang saya sangka! Jadi, tadi saya baru membazirkan wang saya?””
Ketika perasaan menyesal itu mula menyelubungi saya, dia berkata, “Terima kasih untuk duit ini! Sekarang saya boleh membantu seorang pekerja pembersih di taman perumahan kita untuk menyara keluarganya. Pendapatannya sangat sedikit!”
Kata-katanya membuat saya rasa malu. Sementara saya berkira-kira sama ada wajar atau tidak saya membantunya, Pak Ming—yang sebenarnya serba kekurangan—sanggup membantu orang lain yang juga dalam kesusahan. Seperti yang diperingatkan oleh rasul Petrus: “Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah.” Pak Ming telah menunjukkan erti sebenar menerima kurnia dan “[menggunakan] kurnia itu untuk kebaikan semua” (1 PETRUS 4:10).
Ketika itu saya tersedar bahawa kemurahan hati dan belas kasihan Pak Ming sebenarnya telah menggandakan hadiah saya kepadanya. Walaupun saya memberi dengan ragu-ragu, kasih kurnia Yesus membolehkan saya membantu orang lain melalui orang tua itu. Melalui Pak Ming, saya dapat membantu orang yang saya tidak kenal. Tuhan yang pengasih menyediakan keperluan orang yang memerlukan, kadangkala dengan cara yang luar biasa dan tidak disangka. Semoga kita menjadi saluran pemberian Tuhan yang taat, memberi dengan kasih (AYAT 8), dan mempercayai-Nya akan menggandakan pemberian kita.
LESLIE KOH
Adakah seseorang yang boleh anda bantu hari ini atau minggu ini, walaupun dengan cara yang kecil?
Apakah yang boleh anda lakukan?
Bapa Syurgawi, tolonglah aku bermurah hati dan setia dalam pemberianku, kerana Engkau telah memberi aku begitu banyak. Aku berdoa agar Engkau menggandakan segala yang aku beri dengan sepenuh hati. AYAT BACAAN HARI INI | 1 PETRUS 4:7-11
7 Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan berjagajaga. 8 Paling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa. 9 Raikan satu sama lain tanpa bersungut.
10 Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua. 11 Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah firman daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Yesus Kristus yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
o YOHANES 14:28 HARI 2
Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.
berbaloi untuk
dinantikan
Di Brazil, biasanya keluarga akan berkumpul pada malam sebelum Natal dan menunggu sehingga tengah malam untuk menikmati jamuan yang disediakan dengan penuh kasih dan kegembiraan. Penantian ini bukanlah sesuatu yang sukar: Natal diraikan dalam suasana malam yang hangat dan ceria; keluarga besar berkumpul dan berbual mesra dengan gembira. Selepas menikmati hidangan yang lazat, tibalah masa untuk membuka hadiah. Semua orang, terutamanya kanakkanak, tertanya-tanya: “Adakah hadiah yang istimewa untukku?”
Natal merupakan musim penantian yang penuh sukacita. Umat Tuhan telah menantikan kelahiran Mesias selama berabad-abad, dan tangan Tuhan memimpin setiap perinciannya dengan sempurna: kelahiran daripada anak dara, di kota Betlehem, dan kelahiran-Nya yang penuh kerendahan hati dan sederhana ke dunia ini: “Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya” (MATIUS 1:22).
Mungkin tidak selalu ada jamuan pada Hari Natal, dan hadiah biasa mengecewakan atau langsung tiada. Namun, menantikan Yesus merupakan suatu penantian yang tidak akan mengecewakan. Kristus menawarkan pengampunan dosa dan “hak menjadi anak Allah” (YOHANES 1:12). Pendamaian dengan Bapa ialah hadiah yang tiada tandingan, yang membolehkan kita mengalami damai sejahtera-Nya yang sempurna: “Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia,” kata Yesus (YOHANES 14:27).
Adakah penantian sesuatu yang sukar bagi anda? Tuhan telah membuktikan kesetiaan-Nya dengan mengutus Yesus ke dunia, maka kita boleh yakin dengan janji-Nya: “Aku akan datang lagi mendapatkanmu” (AYAT 28). Tiada harapan yang lebih besar daripada
ini! Hadiah yang benar-benar memuaskan jiwa kita ialah menjadi anggota keluarga-Nya dan hidup bersama-Nya untuk selamalamanya.
MARILIA LARA
Adakah anda pernah kecewa kerana berharap pada sesuatu yang tidak kekal? Bagaimanakah dengan mengingat janji Tuhan yang teguh dapat mengubah perspektif hidup anda?
Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk menantikan-Mu dengan kasih, bijaksana, dan sukacita yang penuh harapan.
AYAT BACAAN HARI INI | YOHANES 14:27-29
27 Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut. 28 Kamu telah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.’
Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku.
29 Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku.
o KEJADIAN 1:1 HARI 3
Pada mulanya Allah …
pada mulanya
“Betlehem bukanlah penghujung perjalanan kita, tetapi hanyalah permulaan.” Demikianlah yang ditulis oleh Frederick Buechner dalam karyanya
The Magnificent Defeat pada tahun 1966. Walaupun kata-katanya sesuai dengan apa jua permulaan dalam kehidupan, Buechner menulisnya dalam konteks musim Natal, ketika kita sering tergoda untuk terus berada dalam kehangatan damai dan sukacita perayaan. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan, “Betlehem bukanlah penghujung perjalanan kita?” Buechner menjelaskannya: “Rumah … bagi kita bukanlah palungan yang disinari cahaya lembut dan tempat Tuhan menjadi seorang bayi ... Kita juga harus kembali ke negeri kita sendiri, kerana damai bukanlah hasil pelarian daripada pertempuran, tetapi ditemui dalam kesengitan pertempuran itu sendiri.”
Jika kita jujur tentang segala ketidakpastian yang menanti kita, maka kata-kata pertama dalam Alkitab memiliki kuasa untuk menenangkan hati kita: “Pada mulanya Allah ...” (KEJADIAN 1:1). Bahkan sebelum segala sesuatu terbentuk, “Roh Allah melayanglayang di atas permukaan air” (AYAT 2). Inilah sifat kebenaran Tuhan yang kekal. Dia wujud sebelum segala sesuatu—segala-galanya. Dan Dia terus mendahului kita dalam segala perkara. Dia hadir sama ada kita sedar atau tidak, tetapi mengapa kita tidak menyedarinya? Jika kita sungguh-sungguh mahu mengikut kehendak dan jalan-Nya, kita akan sentiasa ingat dan berpaut pada kebenaran ini semasa kita melangkah ke tahun baru dalam perjalanan hidup yang tidak pasti.
Ketika anda meneruskan perjalanan hidup, ingatlah, Tuhan sudah ada di sana. Dia telah ada sejak permulaan. JOHN BLASE
Apakah ketidakpastian yang sedang anda rasakan menjelang masa depan? Bagaimanakah anda boleh menyerahkan ketidakpastian ini kepada Bapa Syurgawi kita?
Bapa, terima kasih kerana Engkau sentiasa menyertai hidupku semasa aku melangkah ke hari-hari yang mendatang.
AYAT BACAAN HARI INI | KEJADIAN 1:1-5
1 Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi.
2 Bumi tidak berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air.
3 Berfirmanlah Allah, “Jadilah cahaya.” Lalu terus ada cahaya. 4 Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan. 5 Allah menamai cahaya itu siang, dan kegelapan itu dinamai-Nya malam. Malam muncul dan disusuli pagi, dan itulah hari yang pertama.
Bertumbuh bersama Our Daily Bread
Ministries
Dapatkan bahan bacaan rohani, renungan, pemuridan dan lain-lain melalui platform digital kami.
IMBAS KOD QR
Hayati Perjalanan Iman Anda dengan Kristus
Keibubapaan
Bagaimanakah Ibu Bapa
boleh Mendapatkan
Ketenangan Fikiran?
Tip Keibubapaan
Sila hubungi kami untuk maklumat lanjut.
Tel: (07) 3820 230 Johor Bahru (03) 8081 1900 Subang Jaya (088) 212 912 Kota Kinabalu
WhatsApp: 012-337 1718
o IBRANI 7:25 HARI 4 [Yesus] dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya.
harapan dalam
kelahiran kristus
Sewaktu saya masih kecil, hari Natal bermakna masa bersama keluarga. Kami akan menghadiri ibadah di gereja pada waktu petang, kemudian menikmati makan malam bersama. Kami menikmati hidangan istimewa seperti kekacang Portugis dan buah berangan yang hanya dimakan pada waktu-waktu istimewa di Brazil.
Namun, ketika saya berumur sepuluh tahun, saya mengalami kekecewaan besar pada malam sebelum Natal. Ayah, adik-beradik saya, dan saya menunggu ibu saya pulang hingga lewat malam. Disebabkan salah faham (ketika itu belum ada telefon bimbit), ibu saya memutuskan untuk menyambut malam sebelum Natal di rumah orang lain.
Akan ada masa-masanya orang lain mengecewakan kita. Tetapi, syukur kepada Tuhan, kisah itu berubah sepenuhnya ketika saya berumur tiga belas tahun, pada suatu malam sebelum Natal. Yesus telah menjadi makna sebenar bagi saya untuk menyambut Natal. Saya telah mengerti identiti Anak kecil di dalam palungan itu. "Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya," kata Ibrani 7:25. Ini bermakna bahawa Dialah yang berkuasa menyelamatkan kita daripada segala kejahatan dan dosa yang telah kita lakukan.
Yesus telah menyelamatkan, menyembuhkan, dan mengubah hidup saya. Dia hadir hari ini, pada musim Natal ini, untuk mengingatkan kita tentang kasih Tuhan yang agung. “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (YOHANES 3:16). ADOLFO ANTONIO HICKMANN
Apakah kenangan pahit yang masih menghantui anda?
Bagaimanakah anda dapat menyerahkan semuanya kepada Penyelamat yang memelihara anda?
Yesus yang dikasihi, aku memuji-Mu kerana Engkau telah membayar harga yang begitu tinggi untukku dan sentiasa berada di sisiku setiap hari.
AYAT BACAAN HARI INI | IBRANI 7:11-17,
23-24
11 Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun?
12 Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat. 13 Dia yang disebut berkaitan segala ini datang daripada suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di mazbah. 14 Jelas bahawa Tuhan kita keturunan Yehuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam.
15 Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi, 16 yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan. 17 Tentang Dia, telah disaksikan: “Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.”
23 Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan. 24 Tetapi Yesus, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah.
o MATIUS 2:11 HARI 5
[Ahli-ahli ilmu bintang itu] membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa dan mir kepada [Yesus].
natal di kampung
Masyarakat Walanga di Republik Demokratik Congo mengembara jauh untuk merayakan kelahiran Yesus. Pastor Kizombo Kalumbula mengimbas kembali bagaimana keluarganya berjalan kaki merentasi hutan sejauh lebih daripada 40 kilometer, sambil membawa beras, ubi kayu, kacang tanah, ayam dan kambing untuk dijadikan jamuan—sebagai pemberian untuk dikongsi bersama.
Pada malam sebelum Natal, para pengembara akan berkumpul di gereja untuk merayakan sehingga tengah malam. Keesokan paginya, mereka berkumpul semula untuk beribadah. Dengan pakaian berwarna-warni sempena perayaan itu, semua orang menyanyi dengan penuh sukacita, menikmati persembahan drama, dan mendengar kisah kelahiran Kristus dibacakan. Kelahiran Yesus sendiri menjadi dorongan yang cukup kuat untuk perjalanan ini.
Dalam catatan Matius, kita tidak pasti bagaimana orang Majus mengetahui kedatangan Mesias. Namun, mereka tetap datang untuk mencari-Nya. Apabila Raja Herodes mengetahui bahawa orang Majus sedang mencari “Anak yang baru lahir,” dia “berasa risau” (AYAT 2-3) dan bertanya kepada “ketua imam dan ahli Taurat” (AYAT 4). Mereka tahu Mesias akan dilahirkan “di Betlehem, di Tanah Yudea” (AYAT 5) dan memetik nubuat Nabi Mikha (AYAT 6). Namun, mereka sendiri tidak pernah mencari-Nya. Sebaliknya, orang Majus terus mencari, dan mereka membawa hadiah kepada Dia yang merupakan Hadiah sebenar (AYAT 11).
Ke mana pun perjalanan hidup membawa kita, marilah kita meneladani ahli ilmu bintang zaman dahulu dengan berkongsi apa yang kita miliki dengan orang lain. Semoga setiap tindakan kita memuliakan Dia yang telah memberikan nyawa-Nya untuk kita.
TIM GUSTAFSON
Apakah yang anda boleh berkongsi dengan orang lain?
Bagaimanakah anda akan membantu orang lain pada minggu ini?
Terima kasih, Bapa, kerana Engkau mengutus AnakMu datang ke dunia untuk menyelamatkanku.
AYAT BACAAN HARI INI | MATIUS 2:1-11
1 Yesus dilahirkan di Betlehem, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Yerusalem. 2 Mereka bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.”
3 Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem. 4 Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan ahli Taurat berhimpun lalu bertanya kepada mereka di mana tempat lahirnya Kristus, Mesias itu. 5 Mereka menjawab, “Di Betlehem, di Tanah Yudea. Hal ini tertulis oleh seorang nabi:
6 ‘Wahai Betlehem di Tanah Yehuda, engkau bukanlah yang terkecil antara pemimpin kota utama Yehuda, kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’ ”
7 Setelah itu, Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. 8 Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Betlehem dengan perintah demikian: “Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya, beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.”
9 Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. 10 Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. 11 Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa dan mir kepada-Nya.
o YOHANES 3:16 HARI 6
Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal.
hadiah terbaikku untukmu
“Ini untuk kamu semua,” kata Minda dengan penuh gembira sambil menghulurkan bungkusan kecil berisi gula-gula kepada saya dan rakan-rakan sekerja. “Ini manisan yang terkenal dari kampung halaman saya!” Minda, penjaga bangunan yang ramah di tempat kerja saya di Manila, baru sahaja pulang untuk melawat keluarganya di sebuah wilayah yang jauh. Kami berasa tersentuh kerana dia masih mengingati kami. Namun, inilah tradisi kami di Filipina. Apabila berjauhan daripada rakan dan orang tersayang, kami akan menyediakan hadiah untuk mereka—pasalubong—tanda bahawa kami mengambil berat dan menghargai mereka. Amalan memberi pasalubong, yang berasal daripada perkataan Filipina yang bermaksud “disambut mesra,” amat bermakna terutamanya semasa Natal. Ramai rakyat Filipina pulang dari luar negara ketika musim ini, dan hadiah-hadiah mereka menunjukkan betapa mereka menghargai orang tersayang.
Berita baik tentang Yesus Kristus ialah hadiah terbaik yang boleh kita berkongsi dengan orang lain. Yohanes menyatakan, “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (YOHANES 3:16). Bagi rasul Paulus, berita baik ini merupakan hadiah terbesar yang dapat diberikan kepada semua orang. Seluruh hidupnya digerakkan oleh komitmen yang mendalam untuk menyampaikan Injil kepada semua orang (ROMA 1:14). Paulus berkata, “Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman” (AYAT 16).
Kebenaran tentang keselamatan dan pengampunan yang ditawarkan oleh Tuhan adalah pasalubong terbaik yang dapat kita berikan kepada orang lain. Marilah kita memberitahu mereka betapa Tuhan mengalu-alukan mereka dengan penuh kasih.
KAREN HUANG
Bagaimanakah perkongsian Injil menunjukkan bahawa anda mengambil berat terhadap orang lain?
Siapakah yang anda boleh berikan “pasalubong” ini?
Bapa kami yang di syurga, terima kasih atas hadiah terbesar—Anak-Mu. Tolonglah aku berkongsi hadiah ini dengan orang lain.
AYAT BACAAN HARI INI | ROMA 1:14-17
14 Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. 15 Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga.
16 Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani. 17 Kerana di dalamnya perbenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Orang benar akan hidup dengan iman.”
o PENGKHUTBAH 3:11 HARI 7
Dia menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya.
waktu tuhan
yang indah
Apabila musim Natal tiba, lagu popular Rockin' Around the Christmas Tree sering kedengaran. Lagu ini mencapai satu pencapaian bersejarah pada tahun 2023 apabila ia menduduki tangga pertama carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat buat kali pertama—enam puluh lima tahun selepas ia diterbitkan.
Penyanyinya, Brenda Lee, baru berusia 13 tahun ketika dia merakamkan lagu tersebut pada tahun 1958. Dia berumur 78 tahun ketika berpeluang meraikan kejayaan terbaharunya itu. Lagu ini memecah banyak rekod termasuk penantian paling lama daripada tarikh keluaran lagu sehingga menduduki tempat pertama dalam senarai berprestij industri muzik.
Pencapaian lagu ini mengingatkan kita bahawa banyak kejayaan besar mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadi kenyataan.
Kita sering mahukan hasil segera daripada usaha kita. Namun Tuhan bekerja menurut kalendar-Nya sendiri. Kita mungkin tidak memahami waktu Tuhan atau mengapa kita perlu menunggu begitu lama, tetapi dalam kitab Pengkhutbah, Raja Salomo mengingatkan kita bahawa waktu Tuhan adalah sempurna. “Bagi segala sesuatu ada musimnya, dan bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya” (PENGKHUTBAH 3:1). Apabila kita mengikut pimpinan Tuhan dan tidak terburu-buru untuk mengejar pencapaian peribadi atau kerjaya, kita akan bersetuju dengan kata-kata Salomo bahawa “Dia menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya” (AYAT 11). Malah, Natal yang pertama juga menandakan penggenapan bagi penantian selama berabad-abad untuk kelahiran Mesias. Sama ada kita perlu menunggu selama beberapa minggu, bulan, atau tahun untuk melihat kejayaan dalam hidup, janganlah kita berputus asa. Kita boleh mempercayai Tuhan dan hadiah-Nya yang datang pada waktu yang paling indah. NANCY GAVILANES
Apakah yang telah anda nanti-nantikan? Bagaimanakah anda dapat menantikan waktu Tuhan dengan sabar?
Ya Tuhan, terima kasih kerana waktu-Mu yang sempurna.
AYAT BACAAN HARI INI | PENGKHUTBAH 3:1-14
1 Bagi segala sesuatu ada musimnya, dan bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya. 2 Ada waktu untuk dilahirkan, ada waktu untuk mati, ada waktu untuk menanam, ada waktu untuk mencabut apa yang ditanam; 3 ada waktu untuk membunuh, ada waktu untuk menyembuhkan; ada waktu untuk merobohkan, ada waktu untuk membina; 4 ada waktu untuk menangis, ada waktu untuk ketawa; ada waktu untuk meratap; ada waktu untuk menari; 5 ada waktu untuk melempar batu, ada waktu untuk mengumpulkan batu; ada waktu untuk memeluk, ada waktu untuk menahan diri; 6 ada waktu untuk mencari, ada waktu untuk membiarkan hilang; ada waktu untuk menyimpan, ada waktu untuk membuang; 7 ada waktu untuk mengoyak, ada waktu untuk menjahit; ada waktu untuk berdiam diri, ada waktu untuk bercakap; 8 ada waktu untuk mengasihi, ada waktu untuk membenci; ada waktu untuk berperang, ada waktu untuk berdamai.
9 Apakah keuntungan yang diperoleh seorang pekerja daripada jerih payahnya? 10 Aku telah melihat pekerjaan berat yang diberikan Allah kepada anak-anak manusia untuk diusahakan. 11 Dia menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya, malah Dia meletakkan keabadian dalam hati mereka. Namun begitu, manusia tidak dapat menyelami pekerjaan yang dilakukan Allah dari awal hingga akhir. 12 Aku tahu bahawa tiada yang lebih baik bagi manusia daripada bersukacita dan berbuat baik dalam kehidupan mereka. 13 Juga, hakikat bahawa setiap orang dapat makan, minum dan menikmati kesenangan dalam segala usahanya dengan berjerih payah. Itu pun pemberian Allah.
14 Aku tahu bahawa segala-gala yang dilakukan Allah tetap ada buat selama-lamanya; tiada yang dapat ditambah ataupun dikurangkan; Allah berbuat demikian demi memastikan manusia takut kepada-Nya. 15Yang sekarang ada dahulu sudah ada, dan yang akan ada sudah lama ada; dan Allah mencari yang sudah lalu.
Hayati Perjalanan Iman
Renungan Harian/Pemuridan
Edisi Tahunan
Siri Pemuridan
Set A & Set B
Sila hubungi kami untuk maklumat lanjut.
Tel: (07) 3820 230 Johor Bahru (03) 8081 1900 Subang Jaya (088) 212 912 Kota Kinabalu
WhatsApp: 012-337 1718
Pedoman Harian
Anda dengan Kristus
Eksplorasi Alkitab
Siri Bimbingan Eksplorasi Alkitab
1. Harga Diri
2. Apakah Tujuan Hidupku?
Siri Perjalanan Iman Ayub
o YESAYA 40:3 HARI 8
Sediakanlah jalan untuk TUHAN di gurun, luruskanlah jalan raya bagi Allah kita di belantara!
jalan terbuka
Apabila salji tebal menutupi lebuh raya di timur Idaho, Amerika Syarikat, seorang pemandu jentolak salji yang berdedikasi bernama Ray, telah membersihkan jalan sejauh lebih daripada 41 kilometer untuk membantu seorang ibu yang sedang hamil 39 minggu. Wanita itu dan suaminya telah menaiki kereta salji dari rumah mereka ke lokasi terdekat yang boleh diakses. Khidmat Ray telah membolehkan ambulans sampai kepada mereka dan membawa mereka ke hospital, serta bayi dalam kandungan selamat dilahirkan. Ray telah melakukan apa yang praktikal untuk ibu yang hampir bersalin, Tuhan pula menunjukkan perbuatan secara rohani untuk umat-Nya. Nabi Yesaya merujuk bahawa usaha fizikal untuk menyediakan jalan bagi kunjungan raja-raja adalah sama dengan mempersiapkan hati kita bagi menerima Mesias. Dia menyeru mereka (dan kita), “Sediakanlah jalan untuk TUHAN” (YESAYA 40:3). Pesanan ini memberi penghiburan kepada penduduk Yerusalem pada zaman pembuangan mereka, dan menubuatkan tentang pelayanan Yohanes Pembaptis yang mengumumkan kedatangan Yesus yang sudah dekat (LUKAS 3:3-4).
Melalui pengorbanan-Nya untuk dosa-dosa kita, Yesus telah meratakan “Tanah yang berbukit-bukit” dalam perjalanan rohani kita kepada Tuhan, menjadikannya “rata ... dan dataran” (YESAYA 40:4), supaya kita dapat menerima Raja kita. Sebagai penerima hadiah yang indah ini, kita merendahkan diri—meratakan kesombongan kita yang bagaikan tempat tinggi—dan menunggu di tempat “pengambilan (pick up) ” dengan mempercayai karya Kristus. Kita boleh menantikan dengan penuh harapan apabila sukacita terbesar kita digenapi: memiliki hubungan yang benar dengan Tuhan.
KIRSTEN HOLMBERG
Apakah “salji tebal” yang telah dibersihkan Yesus untuk membuka jalan bagi anda datang kepada Tuhan? Bagaimanakah hadiah indah daripada karya-Nya membawa sukacita kepada anda hari ini?
Yesus yang terkasih, terima kasih kerana Engkau telah membuka jalan untukku mengenal-Mu.
AYAT BACAAN HARI INI | YESAYA 40:1-5
1 “Hiburkanlah, hiburkanlah umat-Ku,” demikian firman Allahmu.
2 “Bicaralah untuk menenangkan hati Yerusalem dan serukanlah kepadanya bahawa peperangannya sudah berakhir, bahawa kesalahannya telah diampunkan, dan bahawa ia telah menerima hukuman daripada tangan TUHAN dua kali lipat ganda atas segala dosanya.”
3 Ada suara yang berseru, “Sediakanlah jalan untuk TUHAN di gurun, luruskanlah jalan raya bagi Allah kita di belantara!
4 Setiap lembah harus ditinggikan, setiap gunung dan bukit harus direndahkan.
Tanah yang berbukit-bukit harus dijadikan rata dan yang berlereng-lereng dijadikan dataran.
5 Maka kemuliaan TUHAN akan dinyatakan dan semua manusia akan melihatnya bersama-sama, kerana TUHAN sendiri telah berfirman.”
o HAGAI 2:5 HARI 9
Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!.
hadiah yang dijanjikan
Tidak ramai yang mengenali nama Charles Jennens. Dialah individu yang menuliskan lirik bagi banyak karya muzik
George Frideric Handel. Walaupun mereka sering berselisih pendapat, Jennens dan Handel telah menghasilkan karya-karya agung bersama. Messiah, hasil karya Handel, kini menjadi salah satu muzik klasik yang pasti kedengaran pada musim Natal. Jennens memetik lirik untuk oratorio ini secara langsung daripada Alkitab, sebahagian besarnya adalah daripada petikan Perjanjian Lama yang menunjuk kepada kedatangan Mesias yang telah lama dinantikan
Salah satu petikan tersebut berasal daripada nabi Hagai: “Sekali lagi, dalam sedikit waktu lagi, Aku akan menggoncangkan langit dan bumi” (HAGAI 2:6). Ketika itu, umat Israel lebih mementingkan kesejahteraan mereka sendiri dan mengabaikan Tuhan. Maka Tuhan berkata kepada mereka, “bait-Ku terus usang dan terbiar dalam kerosakan, walhal kamu sibuk menguruskan rumah masing-masing” (HAGAI 1:9). Rumah Tuhan—iaitu Bait Suci—menggambarkan rancangan-Nya untuk tinggal bersama umat-Nya, sesuatu yang mereka belum faham sepenuhnya. Melalui nabi Hagai, Tuhan mengingatkan mereka: “sewaktu kamu keluar dari Mesir ... Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!” (HAGAI 2:5). Hagai menambah, “akan datang mengalir keinginan segala bangsa, maka akan Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan” (AYAT 7).
Lima ratus tahun kemudian, malaikat Gabriel menampakkan diri kepada Maria untuk mengumumkan kedatangan yang dinantikan oleh segala bangsa. “Janganlah takut,” katanya. “Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki” (LUKAS 1:30-31).
Apa pun yang kita hadapi pada tahun ini, kita tidak perlu takut. Kita memiliki hadiah yang dijanjikan: Penyertaan Yesus.
TIM GUSTAFSON
Apakah yang sering mengalihkan perhatian anda pada musim
Natal? Bagaimanakah janji Tuhan bahawa Dia akan menyertai anda dapat menguatkan semangat anda pada musim ini?
Bapa yang pengasih, terima kasih kerana Engkau berjanji untuk menyertai hidupku.
AYAT BACAAN HARI INI | HAGAI 2:1-9
1 Pada hari kedua puluh satu dalam bulan ketujuh itu, datanglah firman TUHAN dengan perantaraan Nabi Hagai: 2 “Katakanlah begini kepada pembesar Yehuda, Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar, Yosua anak Yozadak, dan kepada warga bangsa itu yang selebihnya: 3 Adakah antara kamu yang pernah melihat Bait ini dalam kemegahannya yang terdahulu? Pada pandangan kamu, bagaimanakah keadaannya sekarang? Bukankah di matamu, keadaannya sekarang langsung tidak bererti sebagaimana keadaan terdahulunya?
4 Namun begitu, kuatkanlah hatimu, wahai Zerubabel, demikianlah firman TUHAN; kuatkanlah hatimu, wahai Yosua anak Yozadak, imam besar; kuatkanlah hatimu, wahai semua warga negeri sekalian, demikianlah firman TUHAN; berusahalah, kerana Aku menyertai kamu, demikianlah firman TUHAN alam semesta. 5 Ini sejajar dengan ikatan perjanjian Aku dengan kamu sewaktu kamu keluar dari Mesir. Maka Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!
6 Sebabnya beginilah firman TUHAN alam semesta: Sekali lagi, dalam sedikit waktu lagi, Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, laut dan darat. 7 Aku akan menggoncangkan segala bangsa, sehingga akan datang mengalir keinginan segala bangsa, maka akan Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan, firman TUHAN alam semesta. 8 Perak itu milik-Ku dan emas itu milik-Ku, demikianlah firman TUHAN alam semesta. 9 Adapun bagi Bait ini, kemegahannya yang kemudian akan melebihi kemegahan terdahulunya, firman TUHAN alam semesta, dan di tempat ini akan Kuberikan damai sejahtera, demikianlah firman TUHAN alam semesta.”
o YESAYA 9:4 HARI 10
… kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka, telah Kauhancurkan seperti pada zaman orang Midian.
raja damai kita
Bulan Disember semakin hampir, tetapi saya tidak merasakan kegembiraan yang dinanti-nantikan, malah ketakutan. Membeli-belah, membuat kuih-muih, dan menghias rumah—hanya menambah kepada senarai panjang komitmen saya. Saya ingin mengambil masa untuk merenungkan tentang Tuhan yang telah menjadi manusia, tetapi fikiran saya lebih tertumpu kepada bagaimana saya akan menyiapkan semuanya. Semasa saya membaca satu petikan daripada nabi Yesaya mengenai kedatangan Mesias, saya perasan beberapa ayat yang sering terlepas pandang. Tuhan telah berjanji kepada umat-Nya bahawa Dia akan melipatgandakan jumlah bangsa itu dan memperbesar sukacita mereka (YESAYA 9:3); Dia akan mematahkan “kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka” (AYAT 4). Dia akan membawa satu pemerintahan yang baharu: “Seorang anak telah lahir bagi kita ... dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai” (AYAT 6).
Sambil saya merenungkan hadiah yang merupakan Yesus sebagai penggenapan nubuat Tuhan, saya juga terfikir betapa besarnya kasih Tuhan kerana Dia membebaskan umat-Nya daripada penindasan dan pergolakan. Saya sedar bahawa Tuhan juga boleh membebaskan saya daripada beban di bahu saya—beban komitmen yang terlalu banyak. Walaupun kesibukan saya mungkin tidak setanding dengan pembebasan umat Israel, Tuhan tetap memberikan hikmat dan pertolongan kepada saya.
Tuhan mahu kita menikmati pembebasan-Nya—sekarang dan akan datang. Apabila kita menerima Anak-Nya sebagai Penasihat Ajaib, Dia sebagai Raja Damai akan memberi kita kedamaian abadi. AMY BOUCHER PYE
Bilakah anda pernah mengalami ketenangan yang benar-benar mendalam? Bagaimanakah perkara-perkara yang baik boleh mengalihkan fokus anda daripada Tuhan?
Tuhan yang pengasih, terima kasih kerana Engkau mengutus Yesus untuk membawa terang dan hidup ke dalam dunia yang penuh kegelapan ini.
AYAT BACAAN HARI INI | YESAYA 9:1- 6
1 Meskipun begitu, tidak akan ada lagi kesuraman bagi mereka yang dahulu berada dalam kesusahan. Pada zaman dahulu Dia memandang rendah Tanah Zebulon dan Tanah Naftali, tetapi pada kemudian hari Dia akan memuliakan jalan dekat laut di seberang Sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa asing. 2 Bangsa yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut, cahaya telah bersinar. 3 Engkau melipatgandakan jumlah bangsa itu, Engkau memperbesar sukacita mereka. Mereka bersukacita di hadapan-Mu, seperti orang bersukacita pada musim menuai, seperti orang bergembira apabila membahagi-bahagikan jarahan, 4 kerana kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka, telah Kauhancurkan seperti pada zaman orang Midian. 5 Setiap sepatu yang berderap dalam deru peperangan dan pakaian yang berlumuran darah akan dibakar dan menjadi bahan bakar untuk api. 6 Sesungguhnya, seorang anak telah lahir bagi kita, seorang putera telah dikurniakan bagi kita. Di atas bahunya tampuk pemerintahan, dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa,Bapa Kekal, Raja Damai.
keajaiban sederhana daripada
sebuah hadiah
“Apakah hadiah yang paling bermakna bagi anda?”
Itulah soalan yang diajukan oleh Carl kepada kami semasa perjumpaan kumpulan belia. Kami duduk dalam bulatan dan menjawab secara bergilir-gilir. Carl, pemimpin dan fasilitator belia kami, berkata dia akan menjadi orang terakhir yang menjawab.
Pada mulanya, jawapan-jawapan yang diberikan agak ringkas: sebuah jam tangan yang menarik, sambutan hari jadi yang penuh kejutan, dan koleksi gambar kenangan.
Satu demi satu mula memberikan jawapan yang lebih mendalam. Sebuah keluarga yang bahagia dan saling menyokong. Galakan daripada sahabat-sahabat. Apabila giliran kembali kepada Carl, jawapan-jawapan yang dikongsi sudah menjadi sangat menyentuh hati: Hadiah kasih sayang. Kehidupan itu sendiri.
“Wah,” kata Carl sambil tergagap sedikit, kelihatan agak segan. “Kamu semua betul-betul berfikir dengan mendalam! Saya hanya ingin berkongsi tentang sebatang pen yang saya dapat semasa Natal ketika saya masih kecil.”
Peristiwa itu membuatkan saya terfikir tentang bagaimana kita menilai dan menanggapi hadiah yang kita terima. Bagi seorang kanak-kanak, mainan yang telah lama
diidam-idamkan ialah perkara paling hebat di dunia dan diterima dengan penuh kekaguman. Namun apabila kita semakin dewasa, keinginan dan emosi kita menjadi lebih rumit, dan kita mula melihat pemberian dengan cara yang berbeza. Kita mungkin memikirkan kos hadiah tersebut dan tertanya-tanya: Berapakah kos hadiah ini? Apakah pertimbangan di sebalik hadiah ini? Patutkah saya lebih bersyukur? Bagaimanakah saya seharusnya memberi respons saya?
Apabila saya fikirkan kembali jawapan Carl yang ringkas itu, saya tertanya-tanya: Adakah kita kadangkala “terlalu memikirkan” tentang hadiah yang kita terima? Adakah kita menghabiskan banyak masa untuk memikirkan maknanya? Atau, adakah kita menerimanya dengan kekaguman yang tulus seperti seorang kanak-kanak apabila menerima kejutan kecil, terutamanya apabila dia tidak melakukan apaapa pun untuk menerimanya?
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Yesus apabila
Dia berkata bahawa kita mesti menerima kerajaan Tuhan seperti seorang anak kecil ( MARKUS 10:14-15). Meskipun kita mungkin tidak memahami sepenuhnya implikasi rohani dan teologi yang mendalam tentang rahmat ilahi ini, kita tetap mengungkapkan rasa kagum yang tulus—yang pastinya menyenangkan hati Bapa yang mengasihi kita. “Oh, wau! Terima kasih banyak, Bapa!”
Dari kitab Kejadian hingga Wahyu, Alkitab menggambarkan pelbagai jenis berkat yang diterima oleh umat Tuhan. Daripada perkara asas seperti makanan dan air, kepada hasrat hati seperti anak-anak, tanah, warisan, hikmat dan pengampunan.
Dan tentunya, ada pemberian yang paling agung— sebuah hadiah Natal yang membawa makna sejagat dan
abadi: Anak Allah sendiri, Yesus Kristus, yang telah mati dan bangkit semula agar kita diampuni, diperdamaikan dengan Tuhan, dan menikmati hidup kekal. Satu persamaan tentang semua hadiah ini adalah bahawa kesemuanya tidak layak kita terima. Ia bukan sebagai ganjaran atas perbuatan baik, kelakuan moral, atau pencapaian kita yang cemerlang. Hadiah ini diberikan semata-mata kerana kasih Allah Bapa kepada kita.
Kesederhanaan yang luar biasa dalam semua pemberian Tuhan ini kadang-kadang terlindung oleh makna yang dalam dan rumit. Pemahaman yang lebih menyeluruh tentang sebab, cara, dan maknanya bagi kita serta dunia ini amat penting untuk kita mencapai pertumbuhan dan kematangan secara rohani.
Namun, kita mungkin tertanya-tanya bagaimana rasanya untuk membuka pemberian Tuhan seperti seorang kanakkanak—mengoyakkan pembalut dengan penuh keterujaan, mengangkat hadiah itu tinggi-tinggi dengan mata yang bersinar dan mulut yang ternganga sambil berkata, “Oh, wau! Terima kasih, Tuhan! Ini sungguh luar biasa!”
Alkitab sering menyatakan kesyukuran dalam ungkapan yang paling ringkas:
“Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya.”
( MAZMUR 136:1, 107:1, 118:29)
Jika ayat-ayat ini dinyanyikan, saya pasti ia dinyatakan dengan penuh semangat, dengan tanda seru dan kegembiraan seperti seorang anak kecil. “Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selamalamanya!”
Tuhan suka memberi kejutan kepada kita dan melihat kita tersenyum dalam kegembiraan. Sebenarnya, apakah itu kesyukuran? Ia bukan sekadar pemahaman tentang makna dan implikasi sebuah pemberian, tetapi juga jiwa yang dipenuhi sukacita dan hati yang terpukau oleh keajaiban kasih Tuhan.
Dua ribu tahun yang lalu, pada Natal yang pertama, pelawat pertama yang datang ke palungan untuk bertemu
Raja yang baru lahir ialah para gembala yang rendah hati. Betapa tepat dan sesuai, kerana Bayi itu kelak akan dikenali sebagai Gembala yang Baik.
Mungkin anda juga pernah berasa seperti domba yang sesat, mengembara mencari tujuan dan tertanya-tanya sama ada terdapat sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup ini? Adakah anda ingin mengenal Gembala Agung ini yang memahami anda sepenuhnya?Berita baiknya ialah
Gembala ini, Yesus, sedang mencari anda seperti seorang gembala yang mencari dombanya yang hilang. Dia ingin mengampuni dosa-dosa anda dan membawa anda ke dalam kawanan-Nya, tempat anda akan menemukan hidup kekal.
Pada musim Natal ini, mahukah anda bertaubat kepada
Yesus, Gembala Agung kita? Maka anda juga akan dapat bersukacita semula dalam Kristus, hadiah terbesar daripada Tuhan, dan berkata dengan kagum: “Oh, wau! Terima kasih, Bapa! Ini sungguh luar biasa!”