1 minute read

Bukti 1

C U C U K S A N G G U L

S E B A G A I S E N J A T A

Advertisement

Kisah Puteri Saadong secara umumnya adalah legenda yang terdapat di negeri Kelantan dan wujud dalam pelbagai versi. Kepelbagaian versi kisah Puteri Saadong ini menjadikan peristiwa yang ingin ditekankan di dalam makalah ini juga bersifat pelbagai. Namun, penekanan hanya akan diberikan terhadap peristiwa penggunaan cucuk sanggul sebagai senjata. Penggunaan cucuk sanggul di dalam kisah ini adalah amat terhad tetapi masih boleh diangkat sebagai salah satu aspek penting di dalam penghasilan makalah ini. Penggunaan cucuk sanggul sebagai perhiasan dan dan senjata rahsia dikesan di dalam salah satu versi. Manakala versi cerita yang lain pula menceritakan bahawa cucuk sanggul berkenaan tidak digunakan sebagai senjata tetapi hanya dijadikan sebagai alat untuk memegang simpulan sanggul untuk menyimpan air mawar. Air mawar tersebut mempunyai hikmat yang digunakan untuk menyembuhkan kembali Puteri Saadong daripada tikaman suaminya, Raja Abdullah. Dalam versi ini, cucuk sanggul mempunyai fungsi sebagai alat untuk menyembunyikan penawar rahsia yang dimiliki oleh Puteri Saadong. Penggunaan cucuk sanggul mengikut versi yang pertama dapat dilihat melalui petikan yang berikut:

Setelah sampai di istana, Puteri Saadong dapati suaminya sudahpun beristeri baru. Pertemuan itu mencetuskan perbalahan antara beliau dengan suaminya. Puteri Saadong merasakan suaminya, Raja Abdullah telah memungkiri janji mereka sebelum beliau berangkat ke Siam. Suaminya dianggap tidak setia pada janji yang dibuat. Sepeninggalan Puteri Saadong, Raja Abdullah berkahwin lagi setelah tahun demi tahun menunggu sehingga beranggapan Puteri Saadong tidak mungkin akan pulang lagi. Lebih-lebih lagi setelah diambil oleh raja Siam. Raja Siam sangat berkuasa pada masa itu dan untuk menyerang dan menyelamatkan isterinya tidak mungkin dapat dilakukannya. Pertemuan yang berlaku itu pada mulanya melibatkan perbalahan mulut. Namun perbalahan itu semakin panas sehingga Raja Abdullah memukul Puteri Saadong dan ini dikatakan menyebabkan Puteri Saadong telah mencabut cucuk sanggulnya dan menikam Raja Abdullah sehingga mangkat (Mohamad Nazri Ahmad, 2008: 147).

Berdasarkan petikan sebelah, jelas dinyatakan bahawa peristiwa perbalahan antara Puteri Saadong dengan suaminya Raja Abdullah berlaku setelah kembalinya Puteri Saadong daripada Siam. Kesan daripada perbalahan tersebut menyebabkan Raja Abdullah telah ditikam oleh Puteri Saadong dengan cucuk sanggulnya. Peristiwa ini memperlihatkan bahawa cucuk sanggul telah digunakan oleh Puteri Saadong untuk menikam Raja Abdullah sehingga mangkat.

This article is from: