Yang Tinggal Hanya Kenangan oleh Ainunl Muaiyanah

Page 1


Ainunl Muaiyanah

1 Hujan Dalam Remang Senja

Apa rasanya jika seseorang yang tidak pernah diduga hadir di depan pintu rumah, bergandingan dengan hujan merenyai dan senja temaram? Seseorang yang ingin ditemui sekian lama sehingga hampir sahaja bayangan pertemuan itu perlahan-lahan menghapus dalam ingatan.

Kamellia berasa asing. Dia tidak dapat menyembunyikan riak kekok yang terpancar di wajahnya semasa berhadapan dengan lelaki itu. Sebetulnya, dia tidak menyangka lelaki berkot lengkap ini, yang selama ini hanya wujud dalam cerita ibu, kini nyata berdiri di hadapan matanya.

Seluruh babak pertemuan semula yang direka dalam fikirannya menghilang dan yang tertinggal hanyalah kekeluan sesudah lelaki itu bertanya nama penuhnya seterusnya memperkenalkan diri. Kejutan demi kejutan

membuatkan fikiran melayang-layang, kepada ibu yang dirindui, kepada cerita ibu dan siapa lelaki dari masa lalu ini dalam hidup mereka berdua.

Mereka duduk berhadapan sofa yang sudah lama tidak berganti. Dahulu, Kamellia dan ibu sering duduk seperti ini menikmati minum petang. Pada petang sederhana, sementara menunggu sayup-sayup seruan azan dan cahaya senja berganti gelita.

Segala soalan yang dipersiapkan untuk pertemuan sebegini seolah-olah berkabus dalam fikiran Kamellia. Suasana hening sehingga kibasan bilah kipas menguasai suasana.

“Bagaimana … ermm ... mengapakah … bagaimana boleh temui kami?” Pertanyaan Kamellia terlontar, suaranya bergetaran.

Pertanyaan Kamellia hanya bersambut dengan senyuman, membenarkan gusar bergumal-gumal dalam hatinya.

Namun, sayang buah kepayang. Lelaki itu terlewat datang. Bukan terlewat sehari dua tetapi hampir lima tahun lamanya. Perempuan yang ingin lelaki ini temui selain dirinya sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ini. Abadi.

“Ayah.”

6 | AINUNL MUAIYANAH

Pertama kali menuturkan perkataan itu tanpa hanya berimaginasi tampang seorang ayah membuatkan lidahnya kebas. Janggal sekali gus aneh tetapi sepatah perkataan yang mengandungi empat huruf itu meresap perlahan-lahan ke dalam dadanya.

Dahulu, dia teringin berjumpa dan memanggil tampang seorang lelaki, ayah. Bukan sekadar mengenal ayah daripada cerita ibunya. Dia sudah putus asa kerana merasakan pencarian itu bukanlah satu hal yang mudah. Kadang-kadang dia merasakan cerita ibu seperti separa dongeng. Lalu dia memutuskan, mungkin cukup mengenali bayang ayah hanya dalam cerita ibu.

Namun kini, sesuatu yang sudah tidak dicari telah muncul. Seseorang dari masa lalu. Watak utama dalam cerita ibu. Dalam anganan Kamellia: dia, ibu dan ayah sedang menikmati minum petang. Realitinya, kini tinggal mereka berdua dan segala perca cerita ibu.

“Ayah, jemputlah minum.”

Dia menyeru nama itu lagi selepas secawan teh dan biskut sudah lama dihidangkan. Dia selalu benar mendengar ibu bercerita bahawa kegemaran ayah ialah secawan teh pada petang yang dingin seperti ini.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih tetapi tidak segera mencapai cawannya. Kamellia dapat menangkap

mata ayah yang sedang menggeledah seluruh ruang tamu. Mungkin dia sedang mencari wajah ibu.

Pandangan lelaki itu terhenti pada bingkai gambar di atas kabinet di sisi mereka. Tidak ada gambar diletakkan kecuali hanya dua bingkai gambar, yang tidak pernah dialihkan semenjak kabinet itu menghuni rumah mereka. Tentu sahaja ayah mengenal benar salah satu daripada gambar itu.

“Saya minta maaf, terlambat menemui Kamellia dan ibumu,” suaranya perlahan. Beralun lembut tetapi kedengaran sarat dengan kekesalan.

Dari dahulu, Kamellia sering tertanya-tanya alasan membuatkan ibu jatuh cinta kepada ayah seluruh hidupnya sehingga tiada langsung ruang untuk lelaki lain. Mata ayah bundar, kata ibu. Kebundaran mata ayah diwarisi olehnya, satu-satunya anak hasil perkahwinan mereka.

Kamellia menggeleng perlahan, “Ayah jangan risau. Tidak pernah ada istilah terlambat. Ayah sudah muncul sekarang, saya rasa sangat berterima kasih.”

Kamellia ikhlas mengungkapkan kata-kata itu meski hatinya masih bergelombang dengan segala pertanyaan. Dia percaya, masa akan memulihkan keraguannya dan meredakan segala persoalan.

Kamellia jadi senang hati melihat ayahnya yang mudah tersenyum. Tetapi mengapakah ibu seolah-olah mengeluh ayah sukar sekali tersenyum, seperti ibu pula yang sering mendambakannya?

‘Cinta bertepuk sebelah tangan, memang menyakitkan.’ Kamellia memutuskan sesuatu dalam hatinya.

“Ya, mujur. Saya bersyukur dapat menemui Kamellia walau ibu Kamellia sudah tiada. Pada masa itu, saya tidak pernah tahu .…” Dia berhenti seketika, menarik nafas dalam sebelum meneruskan kata, “Kami ada anak .…”

Hati Kamellia yang kepalang gembira, mengendur. ‘Apakah ayah tidak menyenangi dia wujud dalam hidupnya?’

“Jadi, ayah tidak suka bila ada saya? Emm ….”

“Bukan. Kamellia jangan salah faham. Saya tidak tahu .… ” Suara ayah bergetar. “Saya tidak tahu saya ada seorang anak. Saya tidak tahu Aishah menyimpan rahsia sebesar ini .…”

Kalau boleh, dia tidak mahu bersoal jawab lebih jauh berkenaan letak duduk status ibu dan dia dalam hidup ayah selama ini. Atau siapakah yang ada dalam hidup ayah sekarang? Biarlah dia bahagia dengan

kenyataan bahawa ayah ialah susuk istimewa dalam hidup ibu, tanpa perlu dicemari anasir-anasir baru yang mungkin akan merosakkan imej istimewa seorang ayah di matanya selama ini.

Selepas kekakuan mengendur, sesudah cawan porselin kini menampung separuh air teh, barulah dia dan ayah berbual-bual mesra. Mereka menemui titik perbualan yang menyenangkan tanpa perlu membangkitkan cerita lama.

“Terima kasih kerana menghidangkan air teh yang enak ini. Tadi masa Kamellia hendak ke dapur, baru rasa nak minta teh sebab saya tak minum kopi.”

“Ya, saya tahu.”

“Terutamanya teh earl grey ini, memang kegemaran saya. Kamellia suka minum teh atau kopi?” Ayah menyambung minum walaupun sebentar tadi wajahnya beriak mendengar jawapannya.

Ya, dia mengangguk dalam hati, dia tahu itu semua. Ayah memang tidak minum kopi. Hanya teh. Lebih tepat lagi teh earl grey, pesan ibu. Sebab itu ibu jatuh cinta pada teh lebih daripada minuman apa pun.

Mujur ada sisa satu dua paket teh earl grey selepas Puan Dahlia, sahabat ibu datang berkunjung pada minggu lepas. Sudah menjadi tradisi, setiap kali melawat,

Puan Dahlia akan datang membawa hadiah berupa peket teh dari negara-negara yang dia kunjungi.

Walaupun sesudah ibu meninggal dunia, kebiasaan itu seperti tidak dapat dihapuskan.

Sudah lima tahun, teh dilarang masuk ke dalam rumah ini. Dia sendiri yang membuat keputusan tersebut. Namun, dia tidak pernah menyatakan hal itu kepada

Puan Dahlia kerana mungkin itu salah satu cara Puan

Dahlia untuk mengenang ibu.

“Dahulu, saya dan ibu suka minum teh. Cuma akhir-akhir ini lebih suka minum kopi.” Kamellia menekan perkataan ibu sambil membaca reaksi ayah.

“Mengapa?”

Kamellia berfikir sebentar mencari alasan. Sebolehbolehnya, dia ingin menyembunyikan sebab sebenar tanpa perlu menyinggung hati ayah.

“Mungkin, sudah pandai minum. Dulu tak pandai menghargai rasa pahit kopi.”

Ayah tertawa, mungkin alasan yang diberikan kedengaran lucu.

“Walaupun saya kurang gemar minum kopi berbanding teh, tetapi saya berkawan dengan ramai pemilik kedai kopi dan kafe. Kamellia mesti cuba. Nanti saya bawa. Kopinya boleh tahan sedap, menurut lidah

kawan sayalah. Kita mungkin boleh menikmati rasa pahit kopi bersama.”

Kamellia terasa sedikit lucu. Cara ayahnya mengajak seolah-olah sedang mengumpan dan menggulagulakan anak kecil ke tempat menarik. Sebetulnya, ajakan ini sepatutnya diajukan ketika dia masih anak atau meningkat remaja, bukannya ketika sudah dewasa begini. Mungkin ini cara terbaik mereka mengenal diri masing-masing. Melalui secangkir teh dan secawan kopi.

“Boleh. Apa salahnya? Saya juga suka cuba tempat baru untuk rasa kopinya sedap atau tak.”

Hujan masih lagi merebas, lebih halus berbanding dengan waktu awal ayah hadir di pintu pagar rumahnya. Hujan yang dicintai ibu. Anehnya pertemuan ini. Ibu meninggal dalam tidur semasa hujan. Ayah bertemu dengan ibu juga sewaktu hujan sedang merenyai. Benarlah kata ibu kepadanya, hujan itu peramal yang paling bijaksana.

Selepas berbual dan bertukar nombor telefon, ayah meminta diri pulang. Pertama kalinya, dia menyalami tangan seorang ayah. Rasa hangat menjalar menyusup ke dalam hatinya. Semasa melepaskan ayah pergi dan kereta ayah berbalam-balam disamarkan hujan dan mulai ditelan cahaya petang yang temaram, dia tertanya-

tanya, adakah begini perasaan bahagia dan kemudian ditinggalkan?

Bagaimana perasaan ibu jika melihat ayah sendiri datang mencari mereka pada hari ini dan mengakui keberadaan mereka dalam hidupnya? Tentulah pada petang ini, ibu menjadi perempuan yang paling berbahagia dalam dunia ini.

2 Bersaksi Kapucino

Beberapa minggu selepas pertemuan itu, ayah mengotakan ajakannya. Mereka bertemu di kafe pilihan ayah. Sambil menikmati secawan kapucino, bergandingan dengan secangkir teh kesukaan ayah, Kamellia seperti hidup dalam babak cerita yang tidak pernah dimimpikan dalam hidupnya.

Ayah seolah-olah mahu membeli seluruh masa lalu yang telah hilang semasa dia membesar. Dia bersungguhsungguh meminta Kamellia bercerita tentang dirinya, tentang ibu. Daripada pertanyaan ayah, dia tahu benar ayah tidak mengenali ibu seperti ibu mengenali ayah. Namun, Kamellia tidak pernah berkecil hati. Ibu telah mengajarnya menyayangi ayah apa sahaja adanya.

Dalam perbualan mereka, ayah akan sedaya mungkin menggali kisah ibu. Dua puluh tahun lebih

dipadatkan dalam sejam dua pertemuan mereka. Tetapi Kamellia ingin mengisahkan hal-hal yang muluk sahaja. Baginya, terlalu banyak hal bahagia yang boleh diceritakan selain kesedihan membesar tanpa ayah di sisi.

Pertemuan demi pertemuan, kafe pilihan ayah membuatkan hati Kamellia yakin bahawa ayah benarbenar ikhlas mahu mengakui kehadirannya dalam hidup ayah. Dia jadi senang hati. Kalaulah ibu tahu hal ini, pasti penantian ibu selama ini tidak pernah menjadi siasia.

Selepas beberapa pertemuan, Kamellia juga membawa ayah ke kafe kesukaan ibu dan juga dirinya.

Dia mahu ayah perlahan-lahan mengenali mereka, bukan sekadar melalui cerita tetapi juga perca-perca tempat yang menyimpan memori mereka.

Setiap cawan yang dicicip, Kamellia mudah terkenang mimpi-mimpi yang pernah ibu kisahkan, impian kecil jika ibu bersara kelak. Tetapi sayang, usia ibu tidak panjang. Namun pada setiap masa, di sela kopi dan teh, Kamellia membayangkan ibu ada di sebelah ayah. Ibu yang tertawa dengan cerita ayah, ibu yang akan berkongsi impiannya.

Sebuah potret keluarga yang tidak pernah mereka ada.

Apabila sudah beberapa kali bertemu, Kamellia memberanikan diri bertanya tentang masa kini ayah, keluarganya.

“Nanti saya akan kenalkan dengan isteri saya, Mastura dan dua orang adik Kamellia, Hadi dan Zara. Umur mereka berdua tidak begitu jauh dengan Kamellia,” janji ayah dengan nada gembira.

“Mereka sudah tahu pasal saya ke?” soal Kamellia kembali. Dia tidak terkejut ayah punya keluarga yang lain. Malah dia berasa sungguh gembira. Selepas ibu pergi, dia menjadi piatu. Tiba-tiba sahaja dikurniakan seorang emak dan dua adik-beradik. Tentu sahaja dia merasakan seperti beroleh bulan dalam ribaan.

“Belum lagi. Tapi jangan risau. Ayah sedang mencari masa yang sesuai untuk memberitahu mereka. Tidak mengapa, bukan?”

“Ya, tidak apa-apa. Ayah boleh ambil masa. Tidak perlu tergesa-gesa,” jawabnya ikhlas.

Awal-awal lagi, dia tidak mahu kewujudan dia dalam hidup ayah diketahui sehingga membuatkan hati orang lain kurang senang. Siapa yang tiba-tiba mahu menerima orang asing dalam hidup mereka? Jarang sekali. Tersebab itu, kalau misalnya dia menjadi anak yang dirahsiakan pun, dia tidak berkecil hati.

Anak kecil selalu akan mengekor gerak dan tindak ibu bapanya. Tetapi dia anak kecil dalam tubuh dewasa. Dia masih mencari-cari kata ganti nama yang sesuai digunakan ketika berbahasa dengan ayah. Adakah ‘saya-ayah’? Seperti ada jarak di antara mereka berdua. Kamellia ingin berasa intim dan bersahaja.

Kini, dia mula membahasakan dirinya dengan nama sendiri, seperti berbual dengan ibu. Ayah pula seperti senang mengikut rentaknya, memanggil dirinya Mel, bukannya Kamellia dengan nada formal seperti sebelum ini. Ayah juga seperti mengikut rentaknya.

Apatah lagi, pada petang hujung minggu yang tenang begini, perbualan mereka menjadi lebih bersahaja.

Tidak lagi hanya menyebut tentang masa lalu, mereka mula berkongsi tentang masa depan. Tentang kerja. Tentang perniagaan ayah.

“Mel,” panggil ayah dengan suara yang mendalam.

Kamellia berasa sungguh senang hati apabila ayah menyeru nama panggilannya. Apatah lagi mirip seperti ibu memanggil namanya.

“Ya, ayah.” Dia meletakkan kembali cawannya.

Tidak jadi meneruskan niatnya untuk menghabiskan tegukan terakhir itu.

“Kalau kita sembang beranganlah. Apa yang Mel nak buat kalau bukan kerja sebagai editor seperti sekarang?”

Persoalan itu buat Kamellia menggali hatinya. Sudah lama juga dia tidak bertanya soalan begini kepada dirinya sendiri.

Sebenarnya, dia pun tidak merancang memilih kerja menjadi editor. Kebetulan, sahabat baiknya, Hannan yang mencadangkan dia memohon kerja itu selepas melihat iklannya di laman web. Walaupun tanpa pengalaman, dia berjaya diterima kerja. Bermula hanya mencuba, sekarang dia jatuh cinta dan tidak pernah terfikir berpindah kerja atau kerjaya.

Matanya melintas ke arah pelayan yang sedang menghantar pesanan kepada seorang pelanggan, seteko teh barangkali dengan sepotong kek. Pasti pelanggan itu akan duduk berlama-lamaan di situ. Di tangan pelanggan itu, ada sebuah buku terlaris di pasaran. Di belakang kaunter, seorang barista sedang sibuk mengendalikan mesin espreso. Pantas dan cekap seperti sudah mencintai pekerjaan itu bertahun-tahun.

Pada waktu itu, dia juga teringat perca-perca perbualan dengan ibunya, tentang impian ibunya jika berpencen awal.

“Mel.” Ayahnya menyeru namanya lagi. Mengejutkannya daripada lamunan.

“Pengurus kafe, mungkin.” Dia sendiri terkejut mendengar jawapannya. Pengurus kafe?

“Betul? Daripada editor nak jadi pengurus kafe? Tak sangka Mel minat berniaga seperti ayah. Ada juga anak ayah berdarah usahawan.”

Ayah tertawa bahagia dan mata bundarnya mengecil.

“Itu kalau sembang beranganlah, ayah. Ya, memang macam seronok, mengusahakan kafe kecil begini, hidang kopi dan teh. Mungkin pastri dan kuih. Tetapi bila fikir semula rasa macam tak mungkin sahaja, macam mustahil Mel nak usahakan kafe macam kafe ini.” Kamellia memintas supaya ayah tidak terus mengusiknya.

“Kata orang, sembang-sembang pun, angan-angan pun boleh jadi kenyataan kalau ada kemahuan.”

Ada betul kata ayah yang merupakan pemilik beberapa rangkaian perniagaan makanan dan juga mengusahakan perkhidmatan katering. Namun, dia tidaklah terfikir mahu menjadi usahawan cuma idea ini seperti telah tertanam dalam fikirannya. Ibu membenihkan impiannya, yang perlahan-lahan bertunas meski mungkin bukan di taman yang tepat.

“Ayah minta diri dulu. Nanti bila-bila ayah punya kelapangan, kita jumpa lagi. Nanti ayah bawa Mel ke kafe yang lain pula. Kafe ini pasti Mel akan suka.”

“Ala, semua kafe yang ayah bawa Mel suka. Mana pernah tak suka.”

Namun, pertemuan seterusnya adalah pertemuan yang membawa berita yang langsung tidak dijangka.

Ketika dia mendengar berita yang disampaikan oleh ayah, jantungnya mahu melompat keluar.

“Apa kata, kita realisasikan cita-cita Mel. Ayah bercadang nak serahkan satu kafe untuk Mel usahakan. Mahu?”

Kamellia terkesima. Sebuah kafe?

5 Kafe Buku

Sebuah kafe?

Kamellia masih tidak percaya bahawa bermula dengan sekadar angan-angan, impiannya perlahan-lahan menjelma nyata. Sememangnya sungguh tidak terbayang sebuah kafe menjadi hadiah untuknya. Awal-awal lagi, ayah telah mengasingkan pemilikan kedai ini daripada rangkaian syarikatnya.

Kamellia berdalih untuk meletakkan namanya dalam pendaftaran syarikat. Alasan, biarlah sampai dia layak dan teruji. Dia juga perlukan lebih masa untuk membahagikan perhatian antara kerja hakiki dengan kafe.

Kamellia tidak pasti sama ada ayahnya boleh mengesan niat sebenarnya atau tidak. Dia masih kurang selesa dengan idea kafe itu sebagai hadiah untuknya.

Walaupun jauh di sudut hatinya, dia sudah jatuh cinta kepada idea asas Kafe Biblioholic.

Setiap hari Ahad, seperti menjadi rutin baharu bagi mereka untuk bersarapan bersama. Jika sebelum ini, perbualan banyak berkisar masa lalu atau mengemas kini kehidupan seharian, kini beralih arah kepada pembangunan Kafe Biblioholic.

Mereka menikmati hujung minggu bersama sambil berbincang lebih lanjut tentang konsep kafe, dekorasi, menu dan segala hal yang baru bagi Kamellia. Kontraktor untuk mengubah suai kafe masih belum dipilih. Ayah ingin mendengar ideanya dengan lebih jelas sebelum memilih kontraktor yang dapat merealisasikan ideanya.

“Nanti kalau sudah ada kafe itu, kita boleh jumpa di kafe sahaja, tidak perlu lagi cuba kafe lain,” usik ayah.

“Eh, mana boleh, ayah! Kalau tak pergi kafe lain, macam mana kita nak tahu kelebihan mereka? Apa pembaharuan yang mereka tawarkan, supaya kita boleh bersaing dengan mereka?”

“Wah, belum apa-apa lagi sudah ada wawasan untuk perniagaan! Bagus, Mel!” Kamellia malu apabila diusik ayah sedemikian rupa.

Kamellia memandang ayah dengan tekad di wajahnya, “Ayah, kalau boleh kita kekalkan bentuk

asalnya. Tangga berpilin mesti kekal. Kalau kita ubah dan Pak Cik Muhammad balik, mesti dia terkejut tengok kedai kesayangannya berubah.”

“Ya, boleh. Tapi Mel, ayah mahu bertanya. Mel memang mahu nama Kafe Biblioholic?”

“Ya, biblioholic bermakna seseorang yang suka membaca buku. Kalau boleh nak jadikan kafe ini hab untuk pencinta buku yang mahukan suasana membaca yang terbaik. Mereka boleh membaca di kafe tanpa perlu gangguan daripada asap rokok atau bunyi bising sambil minum teh dan kopi yang terbaik daripada kita. Membaca buku bukan hanya boleh di perpustakaan dan di rumah. Di sebuah kafe pun boleh.”

“Tidak rasa aneh ke nama itu?”

“Kenapa ayah? Kurang nilai komersial?” Dia sudah siap membuka jurus balas.

“Tidak, cuma macam tak mesra pelanggan sahaja,” komen ayah sambil menghirup teh itu.

Kamellia tersenyum, dia sudah bersedia dengan jawapan. “Biblioholic bermakna seseorang yang ada obsesi dengan buku. Tapi ayah tidak rasa nama kafe ini mencerminkan konsep kafe itu sendiri sebenarnya? Mel tidak dapat memikirkan nama yang lebih baik daripada nama ini. Tanda nama Kafe Biblioholic akan membawa

maksud Mel nak jadikan kafe ini tempat untuk pencinta buku, tempat mereka boleh membaca dalam suasana tenang. Membaca bukan hanya di perpustakaan atau rumah; ia boleh jadi pengalaman sosial, ayah.”

Tiba-tiba Kamellia terasa segan. Dia seolaholah berkata dengan mereka yang baru dalam bidang perniagaan atau lebih tepat seperti dengan temannya.

Padahal, selok-belok berniaga sudah mengalir di dalam darah ayah. Kalau berkata mengenai dekorasi dan hiasan dalaman kafe, dia tahu ini hasil pengaruh daripada siapa. Tentu sahaja Warith, salah seorang ahli daripada kumpulan The Three Musketeers.

“Bagus, Mel. Ayah nak Mel betul-betul yakin. Ayah ingin tahu kalau-kalau Mel hanya suka-suka memilih nama itu atau Mel punya cerita di sebalik nama itu.” Ayah bertepuk tangan. Perlahan tetapi cukup menggetarkan hati Kamellia.

Dalam hatinya berbisik sayu, ‘Ayah, bukan idea asal Mel. Ini idea ibu.’

Setelah dapat mengawal emosinya, Kamellia meneruskan kata-kata. Dia tidak mahu ayah mengesan perubahan emosinya.

“Mel juga ingin beri cadangan supaya menunya dibuat dalam dwibahasa. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Disertakan bahan dan ramuan. Manalah

tahu apabila ada pelancong asing kurang faham menu masakan kita, sekurang-kurangnya dapat gambaran daripada terjemahan menu tersebut.”

“Tetapi Mel tidak rasa aneh? Ada kalanya terjemahan untuk menu lebih kelakar dan janggal. Kan mudah semuanya dalam bahasa Inggeris sahaja?”

“Ayah, kita kenalah betulkan yang biasa, biasakan yang betul, barulah hilang kejanggalan itu. Kalau lucu atau kelakar pun, itu kan bahasa kita, ayah. Bukan bahasa orang lain.”

“Tapi seperti ada percanggahan. Mel ingin membawa konsep empat musim dalam kafe ini. Inspirasi dari luar negara. Mengapa bila bab menu, ada sangkaan begini pula. Apa salahnya kalau kita mengekalkan dalam bahasa Inggeris sahaja tanpa perlu ada terjemahan. Kan lebih mudah? Malah nama kafe pun terilham daripada bahasa Inggeris juga.” Ayah menyanggah. Ayah yang otaknya bergeliga dalam perniagaan secara halus cuba membeli jiwanya.

“Ayah, di Malaysia ini, yang menjadi bahasa utamanya ialah bahasa Melayu dan diikuti bahasa Cina dan Tamil. Benar, bahasa Inggeris bahasa global tapi bahasa pilihan kedua sahaja. Tersebab itu, pelayannya juga harus fasih berbahasa Melayu dan Inggeris jika perlu,” balas Kamellia kembali.

“Baru ayah kenal perangai Mel sekarang. Keras hati. Tegas.”

Kamellia terdiam. Entah mengapa, dia bertegas tanpa kompromi dan tolak ansur untuk Kafe Biblioholic. Mungkin pengalaman bertahun-tahun menjadi editor, membuatkan dia jatuh sayang kepada bahasa sendiri melebihi bahasa lain walaupun dia fasih kedua-dua bahasa.

“Ayah marah?” Dia membalas kenyataan dengan pertanyaan.

“Tidak. Ayah belajar kenal perangai Mel. Ayah fikir Mel marah kepada ayah sampai hadiah ini pun Mel tidak mahu terima. Bila Mel tegas dengan pendirian Mel, sekurang-kurangnya ayah tahu penerimaan Mel untuk kafe ini.”

Bagaimana untuk Kamellia nyatakan bahawa dia memang sudah jatuh sayang pada Kafe Biblioholic, tetapi ada sebab dia tidak boleh menerima lagi kafe itu?

“Bukan Mel tidak mahu terima, cuma Mel rasa belum masanya lagi. Kedai ini macam tanggungjawab yang besar dan ilmu Mel hampir tiada dalam perniagaan kafe atau kulinari. Mel pandai edit manuskrip sahaja. Apabila tiba masa yang tepat, Mel akan terima tanpa pertikaian.”

“Ayah lega. Ayah pun nak berkongsi berita juga. Sebab Mel tidak mahu jadi pengurus kafe ini, ayah sudah jumpa calon yang sesuai. Pinjam kata Mel, tiba masa yang tepat, kita akan jumpa dia. Berbincang lanjut tentang operasi dan pemilihan menu.”

Dia menarik nafas lega tetapi masih berat hati. Hal kafe sudah hampir selesai, tetapi Kamellia tertanyatanya juga, adakah ayah sudah memberitahu keluarga yang satu lagi tentang dirinya? Bagaimana penerimaan isterinya dan dua adik tirinya? Adakah baik atau sebaliknya? Kamellia ingin bertanya lanjut tetapi masih tidak menemui masa yang sesuai.

“Bila masa yang sesuai nak berjumpa?” Tiba-tiba ayah bertanya.

Kamellia tersentak sebentar. Kalut dan tergelincir pertanyaan. “Jumpa Puan Mastura?”

Riak ayah berubah. Seperti tidak menjangka pertanyaannya.

“Oh, jumpa pengurus itu. Bila-bila pun boleh.” Kamellia cepat-cepat mengubah situasi.

“Pada masa yang tepat, Kamellia juga akan bertemu dengan keluarga ayah. Ayah minta maaf tidak bawa Kamellia berjumpa mereka lagi.”

Dia tidak berniat untuk menuntut lebih daripada apa yang dia miliki sekarang. Dia telah menerima seadanya, tetapi apakah mereka boleh menerima dia seadanya juga?

Awan berambal berat dan gelap. “Sebentar lagi langit akan menangis, mungkin langit terdengar suara hutan merintih.” Ibu selalu berbisik ayat ini setiap kali hujan turun. Dia memandang ayah dan tiba-tiba sayu menyerang dadanya. Perit.

pemandangan, menikmati suasana kafe yang bakal menjadi sebahagian hal penting dalam hidupnya.

Sungguhpun dia suka duduk di rumah berbanding melakukan aktiviti di luar pada hujung minggu, kebiasaannya sudah mula berubah sejak ayah hadir dalam hidupnya. Kebiasaan yang sudah lama tidur dalam dirinya semenjak ibu meninggal, kini telah bangkit dan mengasaknya untuk duduk berlama-lamaan di kafe.

Ketika dia sedang menikmati ketenangan, suara asing dari bawah menarik perhatiannya.

“Saya rasa mungkin kedudukan rak, meja dan kerusi perlu diubah supaya kita boleh tambah lagi beberapa buah meja. Ruang itu nampak kosong,” ulas suara itu tegas.

Dia tidak pernah mendengar suara itu. Mungkinkah pekerja ayahnya? Tetapi siapa yang mahu mengubah sesuatu yang telah dirancang? Dia jadi tertanya-tanya sendirian.

“Kalau ikut pelan memang dah okey. Sebab meja ini memang Encik Kamal nak letak di sini. Kalau nak ubah, kena susun semula.”

Kemudian, Kamellia mendengar derap tapak kaki mendaki tangga. Kamellia mula mengabaikan dan

Ingin baca lagi?

Dapatkan buku ini di www.imanshoppe.com dan juga kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Terokai buku-buku terbitan IMAN Publication yang lain di: www.imanpublication.com h ttps : //t . m e/ Ka k Im a n @imanpublication

Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.