Langit Yang Memisahkan Kita oleh Fiy Suri

Page 1


Fiy Suri

Bismillahirrahmanirrahim

Penafian

Terdapat penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam cerita ini. Bagi melancarkan pembacaan, ia tidak ditulis dalam format BIM yang sebenar.

Semua watak, sekolah, organisasi, tempat, kes dan insiden dalam cerita ini hanya rekaan semata-mata.

Februari 2023.

Silent Brew Cafe, Bangsar.

Sementara menunggu ketibaan seseorang, Nur Syakirah menconteng resit Silent Brew. Seperti contengan, fikirannya juga diconteng pelbagai kemungkinan negatif dek pertemuan hari ini. Ikutkan hati, mahu sahaja dia membatalkan janji temu ini.

‘Ini semua Amirul Izzat punya fasal!’ Tak habishabis dia bersungut.

Sengaja dia datang awal setengah jam kerana jika dia terlambat walau beberapa minit, dia akan jadi gabra dan gemuruh tak bertempat. Seboleh-bolehnya dia tak mahu memberikan tanggapan buruk kepada orang lain.

Tak mampu dia hendak bertoleransi dengan tanggapan sedemikian.

Resit Silent Brew sudah penuh dengan contengan.

Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi, dia mula menatal feed akaun Twitter miliknya. Mungkin ada ‘bebenang’ bermanfaat yang boleh dibaca. Sedang menatal, dia berhenti pada satu tweet. Daripada seorang artis luar negara.

Shout-out to social anxiety!

Dia mengetik like sebelum beralih pada bahagian reply. Rata-rata yang meninggalkan komen mempunyai social anxiety. Ada juga yang memberi kata-kata semangat serta emoji berbentuk hati.

Dia faham kerana dia juga seperti mereka.

Dia tahu bagaimana sukarnya berkomunikasi secara normal seperti orang lain.

Dia tahu bagaimana sukarnya saat berkenalan dengan kawan baharu.

Dia tahu bagaimana rasanya apabila terpaksa menahan diri atau mengelak daripada menghadiri sebarang majlis atau perjumpaan keluarga atau makanmakan dengan ahli keluarga besar yang lain.

Dia tahu bagaimana rasanya apabila terpaksa kehilangan semua peluang dalam hidup hanya kerana anxiety. Dia selalu memarahi diri sendiri kerana sering mensia-siakan peluang yang pernah datang.

Dan senarai ini berterusan ...

Jadi, hari ini dia datang kerana tidak mahu mensesiakan peluang lagi. Nak tak nak, dia terpaksa berterima kasih kepada satu-satunya abang, Amirul Izzat, kerana mengheret dia ke perjumpaan ini.

Apabila tiada mood untuk terus menatal, Sky mencari apa-apa kertas di dalam beg sandang, untuk dibuat conteng lagi.

Sedang dia ralit melukis, tiba-tiba dia menyedari kehadiran seseorang di mejanya. Kepala dipanggung.

Di sebalik kaca mata yang dipakai, sepasang matanya tepat memandang wajah seorang lelaki; sedang berdiri di hadapan mejanya. Lelaki yang turut bercermin mata itu nampak sebaya dengannya.

Lelaki misteri menyapa, “Awak Sky, kan?”

Januari 2023 — Tiga minggu yang lalu.

Meja melukis itu merupakan tempat eskapisme buat dirinya. Tekun Sky melakar seorang budak lelaki dengan seekor anak biri-biri menggunakan pensel. Siap melukis, dia kemudiannya memilih warna. Berus dan air sudah disediakan.

Apabila mula terasa lenguh di belakang leher, dia berhenti sejenak. Tambah lagi, sudah beberapa jam dia fokus bekerja. Dia bangun dari kerusi beroda, menuju ke katil bersama jurnal harian. Sambil bersandar di kepala katil, satu poster bersaiz B4 di celah muka surat jurnal ditarik keluar.

Karnival Pendidikan ‘Study in Korea’, itu yang tertera. Entah sudah berapa kali dia membelek poster yang

diterima daripada pensyarahnya sewaktu dia ke kampus untuk urusan-urusan akhir. Bagaikan satu petunjuk daripada Tuhan saat dia bertembung dengan pengajar kesukaannya itu. Pensyarahnya itu menggalakkan jika dia berkeinginan dan akan memberi surat sokongan atau apa-apa yang boleh membantu. Sedang elok, dia baru sahaja menamatkan pengajian ijazah beberapa bulan yang lalu, maka pelawaan ini datang tepat pada masanya.

Nak pergi ke karnival ni?

Bibir bawah digigit. Dia sukar membuat keputusan.

Bukan dia tak nak. Separuh hatinya ingin. Separuh lagi, kurang pasti. Memang sejak dulu lagi dia ada masalah membuat keputusan. Sering rasa ragu-ragu. Takut dan risau mahu mencuba.

Pada poket jurnal, dia menarik keluar satu gambar. Gambar dia bersama satu-satunya sahabat baik yang pernah dia ada. Wajah masing-masing masih polos dan gembira kerana baru tamat SPM. Sky senyum sendirian. Rindu bertamu di hati.

Nureen, kalau aku sambung belajar lagi, aku akan keseorangan sebab kau tak ada ... . Dan aku tak pasti sama ada aku mampu berseorangan ... .

Mereka pernah berjanji ingin menyambung pelajaran sehingga ke peringkat sarjana. Korea Selatan

cadangan sahabatnya itu. Mengenangkan impian ini, dia jadi hiba.

Kan bagus kalau kau ada. Boleh kita mohon sama-sama.

Sky mengeluh. Gambar dan poster disimpan kembali. Jurnal ditutup dengan fikiran yang berbelah bagi.

Kerja, kerja. Nanti tak siap. Rasa bersalah pula dekat editor nanti kena kejar. Dua belah pipi ditepuktepuk. Banyak lagi lukisan yang perlu dia siapkan. Walau hanya kerja freelance, dia tetap bersyukur.

Tak sampai lima minit sambung melukis, seseorang menekan suis lampu biliknya berkali-kali. Sky yang sedang mewarna baju budak lelaki dengan warna kuning cerah langsung terhenti. Berus di tangan diletak, lalu dia menoleh ke belakang. Abangnya, Jet, sedang mengernyih sambil bersandar di ambang pintu biliknya.

“Yo!” Jet angkat sebelah tangan paras kepala sebelum menyeluk poket baju Melayu biru gelap yang tersarung di badan.

“Kalau lukisan Sky rosak tadi, Jet nak tolong lukis semula ke?” marah Sky dalam bahasa isyarat. Tajam matanya menikam si abang yang masih tersengih tak bersalah. Dia tahu Jet sengaja.

“Ampun.” Jet berseloroh seraya melekapkan kedua-dua belah tangan di hadapannya.

Sky mendengus. “Nak apa? Sorry, tak perasan pun

Jet balik.”

Kerana pelat semasa kecil, ditambah sebutan yang kurang jelas, Sky sebut Ijjet dan bukan Izzat. Dari situ datangnya nama panggilan Jet. Jet sendiri pun tidak kesah malah lebih suka.

“Jet hantar mesej tapi Sky tak balas pun. Tengok pun tak. Missed call banyak kali pun masih tak ada respons.” Jet bersuara seiring berbahasa isyarat. Pandangannya jatuh pada pergelangan kiri Sky.

“Mana jam Sky? Kenapa tak pakai?” Hilang guraunya.

Sky garu kepala.

“Jam tengah cas,” beritahunya sambil melihat ke arah meja bulat kecil di tepi katil. Jamnya menyala-nyala tanda sedang dicas. Dia memandang Jet semula sambil tersengih. “Lupa nak cas malam tadi.”

Dia sedar dirinya salah. Bukan dia tak tahu jam pintar pemberian Jet perlu dipakai selalu. Mudah kerana apabila ada panggilan atau mesej masuk, jam yang dihubungkan dengan telefon pintarnya akan bergetar.

Sekurang-kurangnya dia yang mempunyai masalah pendengaran boleh sedar.

Jet menggeleng. Nafas pendek dihembus.

Sky segera mencari iPhone di bawah timbunan kertas-kertas lukisan. Matanya menangkap signal LED flash pada telefon pintar itu.

Memang ada satu mesej bersama lima panggilan tak berjawab. Semua daripada Jet. Abangnya itu memang akan missed call kalau tiada respons daripadanya.

Jet

Dah siap ke? Kita kena ada di sana sebelum pukul 9 tau.

Membaca mesej itu, serta-merta Sky menjatuhkan bahu. Wajahnya bertukar masam, memandang Jet yang masih bersandar di muka pintu.

“Uh-huh.” Jet memberikan amaran. Mata abangnya itu menjurus ke arahnya. “Abang tahu rupa tu. Don’t you ever think about it.”

“Perlu ke pergi?” Sky mempamerkan muka kesian pula untuk meraih simpati.

‘Orang dahlah tengah semangat nak melukis pagi ni.’ Dia mengomel dalam hati.

Jet mengeluh kecil. Dia menghampiri Sky yang masih belum bersiap. Atau sebetulnya, tiada tanda-tanda mahu pergi.

“Sky, kita dah bincang, kan?” Jet memujuk lagi, seperti hari-hari sebelumnya.

“Tahu, tahu. But ... it’s really nerve-wrecking.” Sky mencuka. Pergi ke ‘tempat’ itu seperti masuk ke kandang ‘pemangsa’, menunggu masa untuk ‘diterkam’.

“Jangan risau. Jet ada,” pujuk abangnya.

Giliran Sky mengeluh. Panjang. Setiap butir bicara yang keluar dari mulut Jet membuatkan dia susah mahu mengelak.

“Dah, dah. Cepat pergi siap sekarang. Pakai yang elok-elok sikit.” Sempat Jet berpesan.

Sky merengus. Lalu, dengan raut muka tidak berpuas hati, dia membebel, “Suka hatilah Sky nak pakai baju apa pun. Peduli apa Sky kalau dia orang nak mengata. Bukan nak bergambar dengan dia orang pun. Macamlah dia orang nak ajak bergambar pun,

kan?” Tangkas dia menggerakkan kedua-dua tangan di hadapan Jet yang sudah kehilangan kata-kata.

Sungguh dia amat malas, tahap petala langit ketujuh. Ada banyak sebab kenapa dia enggan menghadirkan diri walhal itu kenduri keluarga sendiri.

Pertama, dia tidak selesa berada dalam kalangan orang ramai, lagi-lagi di majlis besar.

Kedua, keluarga dia sendiri. Ya, disebabkan keluarga sendiri, dia jadi berat hati mahu pergi.

Ketiga, mereka tidak tahu cara berkomunikasi dengan dia. Malah, mereka sendiri enggan memahami situasinya. Senang cerita, mereka tak peduli langsung, bagaikan tiada sekelumit empati. Kecuali pak su dan mak su.

Keempat, mereka membenci dia dengan abangnya, dan Sky tak faham bagaimana Jet boleh tahan. Tak, Jet tahu bagaimana mahu tepis semua kebencian itu. Tapi, dia tak. Dia akan tertekan setiap kali berada dalam kalangan mereka biarpun sekejap. Pada Sky, lebih baik dia duduk di rumah dan fokus pada lukisan-lukisannya.

Kelima, keluarga dia akan ungkit semula tentang kisah lalu ... . Perkara yang paling pedih buat dia dan Jet.

Cuaca sedikit hangat hari ini. Keringat di dahi diseka. Penat. Kerusi-kerusi plastik berwarna biru sudah siap disusun bertingkat lalu diletak setempat. Hari hampir merangkak ke petang. Tetamu pun sudah beransur pulang. Perut berkeroncong minta diisi. Jet cuma sempat menjamah sedikit kuih dan segelas air sirap.

‘Kalau dapat air sirap sejuk, nyaman tekak,’ desis hatinya. Jet mengorak langkah ke dapur.

“Hah Izzat, kamu dah makan?” tanya mak su saat melihat dia masuk ke dapur.

“Belum, mak su,” balas Jet sambil menarik keluar kerusi dari meja bulat yang terletak di tengah dapur. Dia kemudian duduk di situ.

Mak su turut menyertai Jet di meja makan itu.

“Izzat dengan Syakirah macam mana?” tanyanya, ambil berat.

Dalam keluarga ini, Jet dipanggil Izzat, sementara Sky dipanggil Syakirah.

“Okey saja, mak su. Syakirah pun dah beberapa bulan jadi freelance illustrator. Banyak melukis untuk tempat dia buat praktikal dulu. Tengah sibuk tu.”

“Dia masih duduk seorang lagi ke di apartmen Izzat tu?”

“Haah, seorang saja. Mulanya dia nak cari bilik sewa lain, tapi Izzat tak bagi. Ada juga Izzat suruh dia cari teman serumah, tapi dia tak nak. Dia cakap dia lebih selesa duduk seorang diri.”

“Mak su pun risau dia duduk seorang. Sekalisekala Izzat jenguklah dia.”

Jet angguk beberapa kali. “Insya-Allah, Izzat akan selalu jenguk.” Seperti pagi tadi. Dia pulang menjenguk pun, Sky tak sedar. Manalah dia tak risau?

“Dia pun ada cakap apa dia nak buat. Mungkin tak duduk di situ terus. Tapi, ni baru dalam perancangan,” tambah Jet.

“Baguslah kalau macam tu. Tak salah sebenarnya kalau Izzat tinggal dengan Syakirah sebab kamu berdua adik-beradik kandung. Cumanya zaman sekarang ni dah terlalu banyak kes antara adik-beradik. Takut nanti timbul fitnah. Lagipun tak semua tahu kamu berdua adik-beradik,” kata mak su, lebih kepada prihatin.

“Ada yang dah mula cakap-cakap, mak su.” Malangnya, bukan orang luar yang bercakap belakang, tapi keluarga sendiri. Dan Jet malas hendak menyebut siapa, tapi dia tahu mak su dapat mengagak.

Wajah keibuan mak su berubah simpati. Terbit satu keluhan. Keluhan kekesalan.

“Bercakap pasal Syakirah, dari tadi mak su tak nampak dia pun?”

“Ada dekat luar kot.”

“Pergi panggil dia, Izzat. Ajak dia makan sekali dengan Izzat. Mak su tahu dia belum makan lagi sejak kamu berdua sampai. Petang dah ni. Mesti dia lapar.”

“Ingat dia tuan puteri ke sampai kena jemput makan?” Tiba-tiba sahaja ada suara menyindir di belakang, menyampuk perbualan mereka.

Serentak, Jet dan mak su menoleh. Mak long.

“Kak long, tak baik cakap macam tu.” Mak su cuba membantu. Jet yang berdiam diri dipandang simpati.

“Suka hati akulah nak cakap macam mana pun.” Mak long membalas, jengkel.

Jet tunduk. Tak mampu hendak bertentang mata dengan mak long yang mungkin sedang menjeling kepadanya sekarang ini.

“Dahlah tu, kak. Kalau saya jadi budak-budak ni pun, saya tak ada selera nak makan. Asyik kena hina. Kak long ni memang tak habis-habis nak caci anak buah sendiri.” Pak su yang baru masuk ke dapur mula membela. Wajahnya terlihat sebal.

“Abang ... .” Mak su menegur dengan nada rendah, tidak mahu suaminya berterusan berbalah dengan kakak sendiri.

Suasana di dapur diselubungi ketegangan, membuatkan Jet dilanda serba salah.

“Erm, biar Izzat cari Syakirah, eh? Dah janji nak makan sama-sama.” Lekas-lekas Jet mencelah sebelum mak long membalas, agar keadaan tidak menjadi lebih buruk. Dia cuma tidak mahu ahli keluarganya terus bertekak disebabkan dia dan adiknya.

Tanpa berkata apa-apa lagi, Jet bingkas bangun

dan keluar dari dapur. Hajat untuk membancuh air sirap sejuk terpaksa dilupakan.

Apabila Jet menemui Sky, dia menggeleng. Senyum hambar terukir di wajah.

‘Dah agak dah. Mesti ada dekat sini. Suka benar duduk sorang-sorang macam ni. Ingatkan masa sekolah dulu saja.’

Ingatan membawanya ke suatu masa dahulu, saat mereka di zaman persekolahan. Sewaktu adiknya itu selalu ‘menghilangkan diri’...

S KY

Sky — tingkatan dua, Jet — tingkatan enam.

Tidak perlu Jet mencari di seluruh kawasan sekolah. Seperti yang dia agak, Sky memang ada di situ.

Safe zone adiknya.

Duduk bersandar di tepi bangunan perpustakaan, Sky menutup kedua-dua belah telinga dengan fon kepala.

Mata terkatup. Ini adalah tempat Sky ‘menghilangkan diri’. Tempat strategik yang ramai tidak tahu kerana ia tersorok. Ada masa, dia akan makan di situ sambil membaca buku kesukaannya.

Itulah cara dia mencari ketenangan.

Jet menghampiri Sky yang masih belum menyedari kehadirannya. Tanpa dipelawa, dia duduk di sebelah.

Sama-sama melunjurkan kaki seperti Sky.

Menyedari kehadiran seseorang, Sky membuka mata dan menoleh. Fon kepala tanpa sebarang bunyi diturunkan. Satu keluhan keras terluah.

“Kenapa ni?” Jet mula bertanya, khuatir. Wajah Sky dipandang.

Sky menggeleng sekali. “Tak ada apa-apa. Malaslah nak cakap,” isyaratnya.

“Sky.” Jet menolak perlahan bahu Sky dengan bahunya.

Sky merengus perlahan. “Just a bunch of losers.”

Serta-merta ekspresi Jet berubah tegang. “Are they still making fun of you?” isyaratnya dengan rahang bergerak menahan marah. Gerakan isyaratnya juga laju dan keras.

“Macam selalu, Sky buat tak endah. ”

“Tak adil! Sky yang sakit nanti!” Jet tertinggi suara.

Wajah Sky menggerenyet melihat rupa marah Jet.

Sedar akan kekhilafannya, lekas-lekas Jet berisyarat dengan rasa bersalah yang berbakul-bakul di hati. Bukan dia tidak tahu apa yang adiknya pernah lalui dulu. “Jet minta maaf. Jet bukan marah pada Sky.” Nada dan raut wajah dilembutkan semula.

“Tahu ... .” Sky menggerakkan mulut tanpa suara. Jeda.

Untuk seketika, mereka hanya memerhati keadaan sekeliling. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

Atau lebih tepat, mahu meredakan hati. Siul angin kecil serta geseran dedaun merimbun di hadapan seolah-olah simfoni.

Jet melirik ke arah Sky. Terdetik di fikiran, adakah adiknya mendengar bunyi yang serupa sekarang ini

melalui alat pendengaran? Adakah ia berbeza daripada apa yang ditangkap gegendang telinganya? Atau adakah

Sky mendengar? Jet sedar banyak lagi yang dia tidak tahu tentang adiknya. Serasa seperti seorang abang yang gagal.

Dia menyalahkan dirinya. Dirinya yang dulu.

Jet memecah sunyi. “Jet terserempak dengan Cikgu

I-D-R-I-S tadi.” Dia menggunakan ejaan jari1 untuk nama cikgu Matematik itu.

Lama Sky diam lagi sebelum dia memberi respons. “Dia ada cakap apa-apa ke? Mesti ada, kan?” isyaratnya.

“Sky keluar senyap-senyap ikut pintu belakang lagi?”

“Tak. Buat-buat ke tandas.”

“Kenapa?”

“Jet tahu jawapan dia, kan?”

“Jet nak tahu daripada Sky sendiri.”

Sky menarik nafas panjang terlebih dahulu. “Cikgu suruh seorang demi seorang pelajar ke depan selesaikan masalah sambil beri penerangan. Sebelum tiba giliran Sky, Sky minta ke tandas.”

Dia berhenti sesaat bagi mencari kekuatan. “Tolong bagi tahu Sky, macam mana Sky nak cakap kalau apa yang keluar dari mulut Sky ni sepatah pun mereka tak faham? Bahasa isyarat? Bukan bahasa mereka.” Riak sedih yang terlukis di wajah Sky memohon pengertian.

1 Ejaan Jari (Fingerspelling) — Menggunakan pergerakan jari bagi mengeja nama khas dan perkataan-perkataan yang tiada kod tangan.

Dia benar-benar kecewa dengan situasi yang sedang dialaminya saat ini.

“Tapi, Sky lebih marah dan kecewa pada diri sendiri ... ,” Sky menambah lagi.

“Kenapa?” Alis Jet berkerut.

“Sebab selalu takut nak berinteraksi dengan orang lain ... . Sky yang tak tahu bagaimana nak cakap dengan orang lain ... . ” Kemudian, Sky hanya senyap menekur pada kasut sekolah putihnya yang sudah bertahun dia guna. Hujungnya yang sedikit koyak, dikuis-kuis dengan hujung telunjuk.

Jet yang memerhati membuat peringatan dalam kepala untuk membelikan kasut baharu buat Sky.

Mengamati lagi lukisan di wajah adiknya itu, Jet dapat melihat ‘rasa kecewa dengan diri sendiri’ yang jelas tergambar di wajah mendungnya.

S KY

Masa kini.

Jet petik jari di hadapan wajah Sky. Sekali gus menyedarkan adiknya daripada lamunan.

Sky berpaling ke arah Jet. Fon kepala yang terletak elok di atas kepala diturunkan. Memakai fon kepala sudah menjadi tabiatnya sejak dulu lagi. Dengan harapan orang faham dia tak nak diganggu. Atau orang akan anggap dia tak dengar, jadi memudahkan dia sekiranya ada yang ingin bercakap dengannya. Sekurang-kurangnya, dia peka.

“Berangan putera raja datang jemput makan ke?”

Jet sengaja mengusik dengan bahasa isyarat.

Sky mencebik. “Putera rajalah sangat.” Kemudian dia menunduk, menekur pada fon kepala.

Tapak tangan Jet kini di bahu adiknya.

Sky mengangkat wajah, lambat-lambat.

“Kenapa ni?” isyarat Jet dengan tertanya-tanya. Pasti ada sesuatu. Kalau tak, Sky takkan senyap begini.

Sky mengeluh kecil dan membalas. “Berada di sini … sangat melelahkan jiwa ... . ”

Timbul rasa bersalah kerana beria memujuk Sky hadir ke majlis perkahwinan sepupu mereka hari ini.

“Jom makan,” ajak Jet dengan tanda isyarat.

“Dapur dah kosong?”

“Dia orang semua dah makan. Tengah berkumpul di ruang tamu. Tinggal kita saja yang belum. Jomlah. Lapar.” Jet pegang perut sambil buat muka simpati, sengaja ingin menaikkan mood Sky.

“Yalah. Suka sangat buat muka macam tu.” Sky mencebik lagi seraya bangun. Baju kurung yang sudah kedut seribu dibetulkan dan belakang baju disapu untuk membuang debu dan pasir.

Jet tiba-tiba senyap tak beriak. Kata-kata sinis mak long tadi kembali mengganggu fikirannya.

“Kenapa?” Giliran Sky pula bertanya. Kening dijongket.

Jet sekadar menggeleng dan memaksa diri untuk senyum. Tidak perlu adiknya tahu.

Sky mahu berisyarat lagi, tetapi Jet terlebih dahulu bersuara. “Lepas makan, kita terus ciao.” Muktamad.

Sky lantas mengangkat jempol kepadanya.

Kedengaran riuh-rendah serta gelak tawa yang datang dari ruang tamu. Si dua beradik Sky-Jet ini meluru ke pintu belakang. Cara terbaik untuk mengelak daripada bertembung dengan yang lain. Mereka sudah

sama-sama berjanji tidak mahu memburukkan keluarga sendiri. Lebih baik senyap. Takut nanti gaduh besar!

Tak faham apa salah mereka sehingga dipandang hina dan serong oleh keluarga sendiri.

Tak mengerti mengapa mereka diperlakukan begitu.

Namun demikian, Jet dan Sky selalu berdoa agar suatu hari nanti mereka sekeluarga dapat berbaik-baik.

Sky tiba di apartmen pada lewat petang. Lampu ruang tamu dinyalakan sebelum dia menuju ke bilik. Tanpa membuka lampu dan kipas, tubuh dihenyak ke katil dengan beg galas dibiar meluruh ke lantai. Sebelah lengan direhatkan pada mata, menutup pandangan. Penat, walaupun dia tak buat apa-apa pun di majlis siang tadi. Bukan badan yang penat. Tetapi, emosi dan mental. Semuanya berpunca daripada salah seorang sepupunya. Kata-kata yang keluar daripada mulut saudara perempuannya masih terngiang-ngiang.

“Kau---abang kau---cemar---majlis kakak---ku je.”

“Dahlah menyusahkan.”

Siapa saja yang tak rasa pedih dengan kata-kata berbisa itu.

Kerana itu, dia menyorokkan diri, sekadar duduk di tepi rumah sahaja. Kalau bukan kerana Jet, pak su dan mak su, memang tak ingin dia ke sana.

Mungkin dia patut mohon untuk sambung belajar ke Korea sahaja. Biar keluar dari negara ini, jauh daripada orang-orang yang mengenali, yang mengetahui kisah silam dia, dan yang sering menghina. Lebih baik bertemu dengan orang baharu di tempat baharu!

Saat Jet bertanya pun, dia sudah rasa bersalah. Abangnya sudah banyak berkorban. Dia tak mahu mengumpul beban. Seperti dia, Jet pun sama terluka.

Sky mengeluh. Tangan dialihkan. Renungan kosong menghala ke siling bilik yang malap. Fikirannya diganggu satu perkataan.

Menyusahkan.

Perkataan yang paling banyak dituju kepada dirinya dahulu. Dalam ingatan, lembaran lama tentang zaman persekolahan kembali berputar tanpa diundang. Antara halaman yang sering dielak.

S

KY

Halaman darjah 1.

Dia bagaikan halimunan.

Atau mungkin, dia sememangnya halimunan.

Melihat keadaan sekeliling kelas, pelajar-pelajar lain sedang rancak berbual dengan kumpulan rakan masing-masing. Hari pertama di alam persekolahan, mereka semua sudah mempunyai kawan. Hanya dia yang bersendirian di meja, memegang erat kedua-dua tangan di atas paha. Dia juga seperti mereka, ingin punya teman berbual dan bermain.

Sedang gemuruh berfikir cara untuk berkawan, tiba-tiba ada seseorang berdiri di hadapan mejanya.

Saat mendongak, seorang pelajar perempuan bercakap sesuatu yang dia tidak dapat tangkap sepenuhnya.

Mukanya berkerut, dia tidak faham. Tambahan pula, suasana kelas yang bingit membuat dia sukar mendengar walaupun memakai alat pendengaran. Dia ingin menulis pada buku nota. Meminta, supaya diulang semula.

“---ama awak---apa?” soalan diulang. Dia cuba membaca pergerakan bibir.

Dia tanya nama siapa, kan?

Itu soalan kebiasaan apabila pertama kali berkenalan. Teragak-agak dia cuba membuka mulut. “Huur ... Shakhiiyah.”

Pelajar itu terkedu. Berkelip-kelip dia memandang Sky sambil mengerut hidung. “Eeee pelik ... awak cakap. Tak---ham.”

“Tak---pala---.” Terus sahaja dia beredar sebelum Sky sempat berkata apa-apa lagi.

“Entah.” Dia menjongket bahu. “Pelik---cakap.”

Pelajar yang Sky belum ketahui namanya itu memberitahu rakannya seorang lagi.

“Isy, tak baiklah cakap---cam tu,” tegur rakannya itu, tetapi diiringi ketawa kecil. Kemudian dia menghampiri Sky lalu bertanya, “Cikgu---kap awak pekak---tul ke?”

Sky tak tahu bagaimana mahu membalas. Jadi, dia hanya mengangguk perlahan.

“Eh. Jom---kantin. Cakap---lik je. Ta---aham. Susahlah---nanti.” Tanpa rasa bersalah, pelajar yang menegurnya tadi itu berkata. Terus dia beredar, diikuti rakan-rakan yang lain.

Sky yang masih berumur tujuh tahun ketika itu terbungkam. Dia resah. Mata mulai panas. Menunduk, bibir bawah mula bergetar-getar.

Walau masih belum cekap membaca pergerakan bibir, dia masih dapat memahami butir bicara serba sedikit.

Satu perkataan, yang paling menyakitkan sekeping hati kecilnya. Gerakan bibir yang sering dia lihat pada ayah, membuatkan dia dapat menangkap butir itu dengan mudah.

Menyusahkan.

Menyusahkan.

Menyusahkan.

Halaman darjah 1.

“Kamu ... pekak ke?!” Seorang cikgu perempuan yang pertama kali dia lihat tiba-tiba menyergah. Sky terkejut sehingga dia tiba-tiba kehilangan suara.

Melihat dia berterusan tidak memberikan respons, cikgu muda itu menjadi lebih marah. Matanya mencerlung. “Hei,---tak---da mulut ke?!”

“Cikgu, Syakirah tak dengar---memang pekak.--bisu juga.” Salah seorang pelajar lain memberitahu.

Cikgu tadi mengeluh kasar. “Kenapa tiada--beritahu saya?” Dia cuba mengawal suara. Riaknya kelihatan kesal dan kecewa. Sama ada kecewa dengan diri sendiri atau dengan Sky. Namun saat itu, Sky merasakan cikgu sebenarnya kecewa dengan dirinya. Tetapi, boleh sahaja cikgu bercakap atau bertanya baik-baik.

Kerana takut bersuara, dia memilih untuk membisu. Takut cikgu juga seperti ayahnya, yang jijik mendengar suara garau dan sengau miliknya.

Halaman darjah 2.

“Okey kelas, duduk dalam kumpulan masing-masing seperti yang cikgu dah tetapkan.” Guru kelas mereka memberi arahan.

“Ala, cikgu---tukar. Tak nak---kumpul---Syakirah.

Susah!” Pelajar satu kumpulan dengan Sky mula merengek tidak berpuas hati.

Remuk hati Sky mendengar kata-kata penghinaan itu. Hanya kerana dia tidak mendengar dengan baik, dia disisihkan sebegitu rupa. Dia tunduk. Matanya mula berkaca. Wajahnya merah-kemerahan. Kedua-dua tangan di atas paha menggigil. Sudah tak terkira berapa kali dia menangis sejak masuk sekolah. Jika di-X-ray hatinya, pasti sudah penuh dengan luka dan parut.

Halaman tingkatan 1.

Berada di alam sekolah menengah, dia tidak mengharap untuk mempunyai kawan. Dia bukan setakat keseorangan, tetapi kesunyian, yang hanya Tuhan Yang Maha Memahami.

Lama-kelamaan dia lali dengan kesunyian ini. Masa yang terluang sering digunakan untuk membaca dan membuat kerja sekolah.

“Hoi, pekak ke!” Salah seorang pelajar lelaki yang sekelas dengannya tiba-tiba melaung apabila dia tidak sedar ada yang memanggil.

“La,---ku lupa.---memang pekak.” Diiringi ketawa.

Sedar ayat itu memang sengaja ditujukan kepada dirinya. Siapa lagi yang memang ‘pekak’ di dalam kelas ini jika bukan dia.

Sky yang menulis ketika itu, memegang kuat penselnya menahan pedih di hati. Sedaya-upaya dia cuba mempamerkan riak biasa seperti dia tidak mendengar apa-apa.

Sedar bukan semua begitu. Ada sahaja yang baik, berempati dan membantu. Cuma tidaklah rapat sehingga boleh jadi teman akrab. Hanya sebagai rakan sekelas atau kenalan biasa. Itu sahaja.

Tak lama setelah itu, ada tangan mengetuk perlahan di meja. Dia mendongak.

Yati, rakan sekelas yang duduk di depannya, cuba memberitahu sesuatu.

“Cikgu Wong---jumpa di bilik guru.---nak beri nota---tak dapat tangkap tadi.”

Sky mengangguk dengan senyum segaris. Dia menulis ‘terima kasih’ dengan pensel di hujung buku.

“Sama-sama.” Yati membalas dengan senyuman.

Sewaktu hendak keluar dari kelas, sempat dia menangkap satu ayat samar-samar. Pelajar lelaki yang sama, yang sengaja didengar.

“Untung–lah tak---salin. Senang–nang---nota. Aku pun---juga macam tu.”

Ayat menyindir.

‘Kalau begitu, apa kata awak beri pendengaran awak kepada saya. Biar awak pula merasa tak dengar sampai mati.’

Ingin sahaja dia memuntahkan kata hatinya di depan muka pelajar tersebut. Tetapi ini hanya akan lebih memburukkan keadaan, malah dia akan diejek lebih teruk lagi kerana suaranya.

Halaman tingkatan 3.

Nureen, pelajar baharu, muncul dalam hidupnya buat pertama kali.

Suara Leo Azman, vokalis kumpulan Nastia berduet dengan Liyana Fizi, berkumandang menyanyikan lagu

Esok Belum Tiba.

Underrated Malaysia-based band.

Underrated song.

Lagu yang memberi peringatan bahawa sesungguhnya nikmat di dunia hanya sementara dan esok belum dijanjikan, dimainkan melalui telefon pintar.

Sesekali Waqid akan bergumam mengikut rentak.

Burger daging Fuel Shack digigit sedikit dan dikunyah perlahan. Cermin mata bingkai hitam yang bergantung di hidung ditolak sedikit ke atas. Dari tadi dia tekun melihat hasil reka bentuk dalaman pada komputer riba sambil menikmati snek lewat petang merangkap

makan malam. Esok ada pembentangan penting. Pertama kali diberi peluang untuk mengendalikan sebuah projek, dia tahu dia harus berikan yang terbaik.

Rasa penat kian bertandang. Dia berhenti sebentar. Baki burger yang tinggal sedikit dihabiskan. Bungkusan kertas dan plastik burger dironyok bersama menjadi bulat sebelum dibaling ke dalam bakul sampah biru di tepi meja kerjanya. Masuk! Persis pemain bola keranjang. Bolehlah nak berangan jadi seperti LeBron James sekejap.

Cermin mata diturunkan. Pangkal hidung diurut beberapa kali sebelum kaca mata dipakai semula. Bukan setakat otak, mata pun dah penat.

Qid melontarkan pandangan ke luar tingkap.

Terus ke langit senja yang disimbah dengan warna jingga. Subhanallah. Hati memuji kebesaran-Nya.

Pejam celik pejam celik, sudah lebih dari setahun dia bekerja sebagai pereka hiasan dalaman di Ideal Sdn Bhd; sebuah syarikat hiasan dalaman. Tamat sahaja pengajian, dia terus diambil bekerja di situ.

Daripada tingkap, pandangannya beralih pada barisan buku di depan mata. Pandangan berhenti pada sesuatu yang amat berharga baginya. Jurnal berkulit hitam milik seorang sahabat sejati yang sentiasa bersama

dengannya. Dulu, kini dan semoga buat selama-lamanya.

Siapa tahu apa yang akan jadi pada masa hadapan?

‘Umar, dekat syurga nanti kita boleh makan burger sama-sama lagi ke?’ Hati berbisik sayu.

Dia gelak perlahan, seperti dibuat-buat. Jujur, ada ketika dia akan rasa sayu. Sudah lima tahun Umar kembali ke pangkuan Ilahi.

Qid menghembus nafas perlahan. Jurnal yang terselit di antara tafsir al-Quran dan buku yang bertajuk

Cerita Hilang itu ditarik keluar. Sambil mengusung jurnal dan sebatang pen hitam serta telefon pintar, dia keluar dari bilik. Terus ke balkoni. Pintu gelangsar ditolak separuh, membenarkan angin yang sedikit dingin berhembus ke dalam. Sayup-sayup kedengaran bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari masjid berdekatan.

Di balkoni, dia bersila di atas lantai marmar sejuk.

Jurnal yang sudah rosak sedikit pada spine itu dibuka.

Qid menyelak muka surat terakhir. Pada kulit belakang jurnal, terselit satu foto lama di dalam poket jurnal. Dia tarik keluar. Pada belakang foto, tertulis...

Rooftop. 20171009.

Menatap foto yang sudah berusia 6 tahun mengembalikan nostalgia.

Rindu.

Gambar swafoto dia bersama Umar. Pada lewat petang itu, mereka sama-sama sedang makan burger ayam spesial di atas bumbung bangunan lama. Tempat kebiasaan. Dia sempat mengambil gambar itu sebelum menghantarnya kepada Umar. Umar seperti biasa akan balas dengan emoji mata dan senyum lurus.

Tidak pernah dia tahu Umar akan mencetak gambar itu. Dia hanya tahu ketika pertama kali dia membaca jurnal arwah.

Qid menyelak muka surat yang kosong. Dia mula menulis sesuatu.

Umar, sejak kau pergi, aku terambil alih tugasan tak rasmi kau ni. Iaitu menulis dalam jurnal ni. Bila aku bercerita macam ni, aku rasa kau macam dekat dengan aku. Tapi aku tahu, suatu hari nanti aku akan meletakkan noktah terakhir pada kalam ini juga.

Mungkin inilah yang kau rasa sewaktu kau menulis dalam jurnal ni. Betapa kuatnya ukhuwah persahabatan kita hanya melalui jurnal ini.

Oh ya, aku nak bagi tahu sesuatu. Ayah kau baik-baik saja. Aku baru melawat dia kelmarin di Teratak Kasih. Alhamdulillah, dia dah pulih sepenuhnya. Sekarang dia sedang bekerja di sana. Katanya nak bantu apa yang patut. Dia cakap

itu cara dia nak tebus segala kesilapan dia pada kau, dengan menolong orang-orang yang pernah tersilap langkah seperti dia. Aku tengok dia dah banyak senyum. Wajah dia pun dah nampak tenang, biarpun aku rasa masih ada sesuatu dalam hati dia.

Rasa bersalah itu ...

Qid meletakkan jurnal dan pen ke tepi.

Mana mungkin dia dapat lupakan Umar. Dan mana mungkin dia dapat lupakan rasa sakit dan pilu saat dia mengetahui sahabatnya itu sudah tiada di dunia yang fana ini.

Sebelah tangan meraup muka. Qid selalu rasa dia perlu lakukan sesuatu demi Umar. Kehidupan arwah mengajar dia tentang erti sebuah kehidupan.

Tanpa sedar dia sudah menghasilkan sebuah manuskrip tentang Umar sewaktu dia berada pada tahun akhir universiti. Asalnya, dia cuma mula menaip.

Sepatah demi sepatah sehingga dia menemui penamat. Itu pun diperam dulu sebelum membuat keputusan untuk menghantarnya hampir tiga bulan yang lalu.

Dan kini jawapan daripada editor sudah pun diterima. Cuma ...

Kedengaran pintu utama dibuka dari luar. Pasti teman serumah yang juga rakan sekerjanya sudah pulang dari kenduri.

“Yo.” Jet mengangkat sebelah tangan menyapa malas-malas.

Dia duduk bersandar di sofa. Pangkal hidung dipicit-picit dengan jari. Mata dipejam.

“Kau kena tolong kejar lembu nak sembelih ke sampai lemau macam ni?” Qid mengusik sengih.

Tanpa mencelikkan mata, terjungkit salah satu sudut bibir Jet. “Lebih teruk daripada itu.” Dia menghela nafas pendek.

Melihat Jet seperti enggan mengulas lebih lanjut, Qid tidak bertanya lagi. Pasti ada sesuatu.

“Okeylah, aku masuk bilik dulu. Nak mandi. Berlengas je rasa.”

“Patutlah aku bau macam kambing.”

Jet baling kusyen kecil ke arah Qid. Cekap sahaja Qid menangkapnya sambil ketawa.

“Tapi, macam tak sempat nak ke masjid untuk maghrib,” ujar Jet seraya memandang jam di dinding ruang tamu. Melainkan kalau mereka keluar sekarang.

“Jemaah berdua jelah kita,” Qid mencadangkan.

Tambahan, jelas terpancar kepenatan di wajah temannya itu. Mengalahkan orang penat mengejar lembu satu kampung.

“Alright.” Jet mengangkat ibu jari.

Setelah Jet menghilang ke biliknya, Qid menatap jurnal lama itu sekali lagi. Dulu dia dan Umar sentiasa ke masjid bersama-sama.

Jurnal dibuka dan diselak kembali, mencari satu halaman yang paling bermakna buat dirinya. Surat terakhir Umar kepadanya, yang entah sudah berapa kali dia baca sejak jurnal itu berada dalam pegangannya.

Dibaca sambil ditemani alunan merdu ayat al-Quran yang masih kedengaran.

Assalamualaikum Qid,

Aku tak pasti kau akan baca surat ni ke tak. Oh heck! Aku curahkan segala-galanya dalam jurnal ni. Jadi, mungkin kau takkan baca pun surat ni sampai bila-bila.

Qid, aku cuma nak kau tahu yang aku bersyukur sangat ada sahabat seperti kau. Kau tak pernah jemu hulurkan tangan kau kepada aku. You were there when I was about to jump. Kau tak kisah ada kawan macam aku yang pernah terfikir

untuk bunuh diri. You didn’t see me as a freak or a broken piece. And I thank you for that.

Qid, kau jangan risau, aku akan cuba hidup sebaik-baiknya. Aku akan cuba jadi kuat. Aku tak janji, tapi aku akan cuba. I have to, right? Katakata dan pesanan kau akan aku semat kemaskemas dalam ingatan, insya-Allah.

Terima kasih tak terhingga sahabatku, untuk segala-galanya.

Sahabatmu dunia akhirat, Umar

Tamat membaca, jurnal ditutup sebak serentak dengan azan maghrib berkumandang.

Tentang Penulis

Fiy Suri, seorang introvert sejati yang suka minum kopi latte dan dengar bunyi hujan. Selain menulis dan membaca, beliau gemar menonton vlog tentang buku, membaca, memasak, mengemas rumah dan makeover macam-macam benda. Beliau mula menulis pada tahun 2012, dan S-K-Y adalah novel pertama beliau dengan IMAN Publication. ✌

fiysuri145@gmail.com fiy.suri

Kongsikan reviu buku ini di

dan jangan lupa letakkan

#LangitYangMemisahkanKita

Jika anda mempunyai maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan dan ulasan) boleh isikan borang maklum balas di pautan ini:

bit.ly/novelrumaa

Atau imbas kod QR di bawah:

Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.