Kau Tak Sayang Aku Ke? oleh Kamalia

Page 1


Prolog

MULUT Moon terkunci. Hanya pandangannya yang mengekori gerak-geri Odah. Dia tahu dia bersalah. Kalau boleh dia undurkan masa, dia mahu tarik balik katakatanya itu. Namun, itu sajalah cara untuk buat sahabat baiknya itu sedar yang dia tidak layak untuk berada di sini, bersama dirinya.

Odah harus cari jalan lain untuk mencari rezeki. Cara ini tidak sesuai buat gadis seperti Odah. Dunia yang Odah dan dia masuki ini terlalu kejam untuk sahabatnya itu. Biarlah dia sahaja yang menghadapinya.

Tangan Odah pantas mencapai semua pakaiannya dari dalam almari dan melipatnya masuk ke dalam bagasi. Dia benar-benar bengang dengan Moon. Sepanjang dia berkawan dengan Moon, ini pertama kali dalam sejarah

hidupnya dia benar-benar terasa dengan kata-kata sahabat baiknya itu.

“Aku tahu aku tak setaraf dengan kau, Munah.

Tapi tak perlulah sampai nak hina aku macam ni.”

Moon tidak membalas. Dibiarkan sahaja Odah menghamburkan segala kemarahannya.

Kata-kata Odah semalam terngiang-ngiang di telinga Moon. Suara Odah lirih menuturkannya. Moon dapat lihat Odah sedaya upaya menahan dirinya daripada menangis. Moon mengutuk Odah dalam hati. Dia geram dengan sahabatnya yang satu itu. Odah masih degil untuk tidak mahu menangis di hadapannya.

Kalaulah Odah menangis, dia akan tarik balik katakatanya lalu memeluk sahabat baiknya itu sekuat hati.

Namun Odah tetaplah Odah. Gadis itu tidak akan menunjukkan yang dia lemah di hadapan orang. Sebolehbolehnya dia mahu beritahu seluruh alam bahawa dia kuat. Itu jugalah yang membuatkan Moon bengang dan kerana itulah dia harus menghalau sahabat baiknya itu dari rumah sewa mereka.

Semuanya demi kebaikan mereka berdua walaupun Odah tidak mengerti. Suatu hari Moon akan beritahu juga segala-galanya kepada Odah.

Bab 1

Setahun sebelum perpisahan ....

KALAULAH Moon tahu mabuk kepayang menyusahkan hidup, awal-awal lagi dia sudah merelakan diri untuk disusahkan. Susah yang membahagiakan. Peristiwa semalam akan terpahat dalam sejarah hidupnya sebagai peristiwa paling bermakna.

Setiap kali teringatkan momen di studio malam semalam, dada Moon akan berdebar-debar. Automatik bibirnya juga menggores senyum lebar sehingga pipinya menjadi kejang. Sungguh, dia kini sudah berada di awang-awangan.

Beginikah rasanya jatuh cinta? Kacau!

Joe nampaknya sudah berjaya mengucar-ngacirkan

hidupnya. Tengoklah sekarang, dia tidak dapat berjalan lurus pun. Kakinya terasa mahu menari seperti tiada hari esok.

“Sudikah awak jadi kekasih hati saya, Moon?”

Mata bening Joe tidak berkelip memandangnya meminta jawapan.

Moon menelan liur. Dia terkesima. Tidak dia sangka bahawa pertanyaan itu keluar daripada mulut Joe sendiri. Bagai bermimpi.

“A ... apa?” Suara Moon tergagap-gagap. Dia tidak percaya apa yang didengarinya.

“Moon, sudikah awak menjadi kekasih saya? Saya harap awak sudi.” Joe bertanya lagi. Kali ini dengan melarik senyuman manis yang mampu membuatkan kaki Moon serta-merta menjadi lemah. Hampir-hampir saja dia perlu dipapah. Mujur, ketahanan dirinya kuat.

Walaupun diam-diam dia pernah mengharapkan kata-kata itu daripada mulut Joe, tapi dia tidak sangka Joe benar-benar menyatakan perasaannya kepada Moon. Maknanya Moon tidak bertepuk sebelah tangan. Moon cuba mengawal perasaannya supaya tidak terlalu beria-ia.

Lagipun, benarkah lelaki itu bersungguh-sungguh dengan kata-katanya? Dia mahukan kepastian.

dengan senyuman meleret yang mempesonakan itu berjaya membuat hati Moon tidak keruan.

“Ini bukan prank, Moon sayang. This is real.”

Suara Joe yang tenang itu membuatkan hati Moon bergelora. Tambahan lagi apabila Joe memanggilnya sayang.

“Betul ke awak sayang saya?”

“Ya, sayang ....” Joe ikhlas mengucapkan.

Ah, lelaki ini pandai bermulut manis! Tetapi Moon suka. Sekarang ini apa-apa tentang Joe dia suka.

Moon mengangguk lalu membalas dengan secarik senyum manis.

“Saya sudi, Joe. Seribu kali sudi.” Dengan sekali lafaz, Moon membalas isi hati Joe.

“Yes!” Joe mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara lalu melompat tinggi. Jeritannya tentu sahaja mengejutkan seluruh studio itu.

Moon tergelak kecil melihat kelakuan Joe. Dia rasa bahagia dan segan pada masa sama. Ia bergaul menjadi sebuah perasaan yang sukar diungkap.

Tiba-tiba Moon mendengar tepukan. Mula-mula sedikit, tetapi lama-lama tepukan bergema ke seluruh

studio. Rupa-rupanya dalam mereka tidak mempedulikan Joe dan Moon, para kru memasang telinga.

Ah, pura-pura semuanya! Ada yang cuba merakam momen ini dengan telefon pintar masing-masing. Moon membetul-betulkan awning tudungnya agar tidak kelepet dan on point!

Dia sudah bersedia untuk dirakam. Namun, perbuatannya terhenti mendadak apabila terdengar Joe meninggikan suaranya sedikit.

“Tolong jangan rakam apa-apa. Saya mohon apa yang awak semua nampak habis di sini saja.” Keduadua belah tangan Joe memberi isyarat agar mereka menyimpan telefon masing-masing. Tidak marah, tapi bernada tegas.

“Kalau tak nak orang lain rakam, jangan lamar girlfriend kat sini. Buat kat belakang studio. Tak ada siapa nampak.” Salah seorang pemuda bersuara, memprovokasi tindakan Joe.

“Saya minta maaf kalau momen antara saya dan Moon ni buat orang lain terganggu. Tapi, bukan semua perkara boleh dibuat content. Mohon faham.” Joe menjelaskan, dengan nada tenang. Dia benar-benar tidak terganggu dengan provokasi remeh itu.

Moon terpanar. Dia menelan liur. Ini pertama kali dalam sejarah hidupnya selama 28 tahun dia dapat melihat sebuah ketenangan dalam bentuk seorang manusia. Dan ketenangan itu ialah Johari Salim bin Johar.

Beberapa orang yang mahu merakam tadi akur dengan permintaan Joe. Tentu sekali dengan wajah kecewa, tetapi memahami. Kalaulah tiada halangan daripada Joe, tentu kru di studio ini akan menjadi yang pertama menguar-uarkan momen romantis pempengaruh dan juga model hijab terkenal, Moon Majid dengan seorang jurugambar tampan bernama Joe.

Joe mengajak Moon ke tempat yang lebih tersorok — di belakang studio. Masih ada orang di situ, tetapi tidak ramai seperti di dalam studio.

“Saya harap kita jadikan hubungan ni lebih private. Boleh, kan?” Pandangan Joe yang bening itu penuh berharap Moon akan faham. Dia tahu risiko apabila bercinta dengan orang popular seperti Moon.

Joe sudah fikir masak-masak. Bukan sekali dua dia cuba menyangkal perasaan bahawa dia menyukai gadis itu. Sebagai seorang yang tidak menyukai limpahan kemasyhuran, awal-awal lagi dia berjanji bahawa dia tidak akan sekali-kali jatuh cinta kepada selebriti

atau pempengaruh. Maklumlah, kerjayanya sebagai jurugambar fesyen selalu membawanya kepada mereka.

Selama lima tahun dia dalam bidang ini, Joe berbangga dengan dirinya kerana tidak pernah sekali pun tergoda dengan mereka. Walaupun tidak dinafikan, ramai selebriti dan model yang mendekati, prinsip hidupnya tidak mudah digugah. Kerjayanya lebih penting.

Namun, segala tembok yang dibina hancur berderai apabila Moon hadir dalam hidupnya. Gadis berkulit kuning langsat dan tinggi lampai itu sekali pandang sama cantik seperti model-model lain. Ia bukan cinta pandang pertama.

Anehnya, hari demi hari, Joe makin tertarik dengan senyuman manis dan tingkah laku gadis itu. Lalu, dia terpaksa mengakui bahawa Moon punya kuasa magis yang menawan hatinya. Dia tak mahu berlengah lagi. Dia mahu Moon tahu isi hatinya.

“Saya ... pun suka awak, Joe. Saya rasa saya dah jatuh cinta.” Moon akhirnya meluahkan perasaan.

Moon tidak menjawab pertanyaan Joe. Hubungan yang lebih peribadi? Apabila dia sudah mengakui yang dia jatuh cinta kepada Joe, maknanya segala permintaan lelaki itu akan dia turuti.

Joe tertawa kecil. Bahagia menyelubungi hati kerana akhirnya cintanya berbalas.

Tawa Joe kedengaran indah pada Moon. Dia juga tertawa, tetapi lebih kepada menutup rasa segan selepas meluahkan perasaan. Pipinya terasa hangat. Dia tidak tahu bagaimana mahu menyembunyikan rasa tidak tentu arah itu.

Gigi arnab comel yang terserlah apabila Moon

tertawa membuatkan hati Joe berdetak laju. Ini bukan sakti yang biasa-biasa. Nampaknya dia telah terjampi dengan pesona Moon.

“Saya pun cintakan awak, Moon.”

Kali ini wajah Moon semerta berubah. Tiada sekelumit senyum. Hampir-hampir saja Joe ingin menarik kembali kata-katanya. Namun, apabila dia terlihat ada air bergenang di tubir mata Moon dengan senyum yang muncul kembali, Joe menarik nafas lega.

Dengan pengakuan itu, sedarlah bahawa mereka berdua telah mengikat janji untuk tawa dan berduka bersama-sama.

Sejujurnya, sewaktu pertama kali mereka bersua, tiada sekelumit perasaan pun yang hadir dalam diri Joe. Seperti

orang lain, Moon menganggap Joe sekadar kenalan kerja. Tidak lebih, tidak kurang.

Malah, wajah serius Joe ketika bekerja membuatkan Moon kurang selesa, jadi dia lebih senang menjarakkan diri daripada lelaki itu. Dia lebih suka bekerja dalam suasana ceria dan gelak tawa. Bukan dengan wajah tegang Joe seperti tali yang tunggu masa untuk putus.

Walaupun begitu, Moon mengakui sama ada senyum atau tidak, lelaki itu memang tampan. Dengan tinggi melebihi 175 cm, berkulit kuning langsat dan berdagu lekuk, pada pendapatnya, Joe lebih sepadan menjadi seorang model, bukannya jurugambar yang bekerja di belakang tabir.

“Jadi model iklan syampu rambut pun sesuai.” Moon pernah berbisik kepada Anne, pengurus peribadinya sewaktu mereka bercerita tentang Joe.

“Dari segi rupa, memang untunglah siapa dapat dia. Cerah biji mata tengok muka dia yang tampan tu. Kalau dari segi perangai, aku tak pasti lagi. Tapi, takkanlah dengan girlfriend pun nak buat muka serius memanjang, kan?” Anne menambah.

“Memang Joe tu tampan, tapi ada ramai lagi yang tampan, Anne. Tengok sekeliling kita ni. Model lelaki bersepah yang tampan. Lagipun, dia tu nampak

garanglah. Kenapalah perempuan ramai suka kat dia juga?” Moon mencebik.

“Kau tak minat kat dia ke, Moon?” Anne bertanya, mahu mengetahui isi hati kawannya itu.

“Handsome, memang ya. Suka ... ermm ... tak kut. Muka serius memanjang. Tak mesra.”

“Dia bukan tak mesra. Dia misteri. Lelaki misteri selalunya lebih menarik.” Anne cuba menukar perspektif Moon.

Benarkah? Misteri itu menarik? Moon tak nampak apa-apa yang menarik pun selain Joe itu ada rupa yang menyenangkan mata.

Sehinggalah satu peristiwa yang berlaku antara Joe dengan Moon membuatkan Moon mula melihat Joe dari sisi lain. Sisi seorang lelaki yang budiman.

Dua bulan lepas, Joe dan Moon sama-sama terlibat dalam satu penggambaran. Moon dan dua orang lagi selebriti tempatan merupakan model Suri Maya Hijab (SMH). Moon hampir-hampir saja tidak dapat ke studio kerana dia tidak cukup tidur. Bangun sahaja, kepalanya pening amat.

Namun, sudah terlajak janji. Apa-apa pun terjadi, dia perlu menghabiskan kerjanya. Ini amanah. Lalu, dia

hadir juga ke penggambaran. Lebih-lebih lagi, Joe si muka serius itu yang menjadi jurugambar mereka.

Penggambaran hijab terbaharu keluaran SMH

berjalan lancar. Tetapi, tidak bagi Moon. Dia tidak dapat memberi fokus dengan baik kerana kepenatan.

“Moon, sekali lagi. Idah, kau betulkan sikit muka Moon tu. Bagi dia pandang ke kiri sikit.” Joe mengarah. Seperti biasa, suaranya serius walaupun nadanya lembut.

Sepanjang Moon bekerja dengan Joe, tidak pernah sekali pun Moon dengar Joe menengking. Tegas, ya.

“Moon, senyum sikit.” Joe mengarahkan.

“Kenapa kaki tu? Berdiri betul-betul sikit. Kan tadi kita dah bincang nak posing macam mana.”

“Moon ... Moon ... Moon ....”

Moon itu, Moon ini .... Dia rimas!

“Moon, baliklah!” Tidak semena-mena Joe menjerit. Satu studio tiba-tiba senyap sunyi. Yang berjalan, tiba-tiba berhenti. Yang bercakap, terus tidak keluar suara. Yang bernafas, tertahan nafasnya.

Moon terkesima. Dia tidak menyangka Joe yang tidak pernah meninggikan suara itu memarahinya. Dek kerana terkejut, tidak semena-mena Moon terduduk di atas lantai dan teresak-esak. Dia cuba berhenti menangis.

Moon malu orang sekeliling melihat dia dalam

keadaan lemah begitu. Namun, sifat Moon yang mudah cengeng membuatkan dia tidak mampu menahan air matanya daripada terus tumpah.

Yang lain pula sudah cuak. Anne yang berada di situ segera memujuk. Lagi dipujuk, lagi galak pula Moon menangis. Orang pasti berfikir yang dia sengaja minta perhatian atau mengada-ada. Akan tetapi, Moon sendiri pun tak suka cari masalah lebih-lebih lagi berkaitan hal kerja.

Kalau boleh dia sendiri pun nak selesaikan tugasnya segera. Dia penat mendengar Joe asyik menyebut-nyebut namanya. Namun, apabila dia dimarahi begitu, lebih-lebih lagi oleh seorang lelaki, Moon jadi takut. Jantungnya terasa mahu luruh. Padahal, Joe bukannya pukul dia pun. Cuma tertinggi suara sedikit saja.

Melihatkan keadaan Moon, Joe pula jadi kalut. Anne memandang tajam ke arah Joe. Lelaki itu harus bertanggungjawab.

“Kita rehat 15 minit dulu.” Joe memberitahu kru yang lain.

Kemudian, Joe perlahan-lahan menapak ke arah Moon yang masih menangis memandang lantai.

Joe duduk bersila bersebelahan Moon. Dia meletakkan kameranya di atas lantai dan memandang ke arah Moon.

“Sorry ....”

Moon tidak berpaling langsung ke arah Joe.

Dia berharap Joe tidak usah sibuk-sibuk bercakap dengannya. Dia perlu masa untuk bertenang.

“Moon, awak sebenarnya lagi cantik kalau menangis. Tapi, tema kita hari ni ceria. Kalau tak, saya dah ambil gambar awak tengah melalak ni.”

Moon berpaling ke arah Joe. Dahinya berkerut.

“Hah, tengok ... hingus meleleh ni buat awak nampak lagi cantik.” Terus Joe mengambil kamera dan mengambil foto Moon.

“Eee ... apa ni ambil gambar orang tengah buruk!”

Moon menolak bahu Joe.

“Nah, tengok ni!” Joe menyuakan kameranya kepada Moon.

“Buruk!” Moon terjerit kecil melihat foto dirinya yang bermata sembap, pakej dengan hingus meleleh.

Walaupun dia geram terhadap Joe, boleh pula dia tergelak besar. Lucu juga melihat wajah sememehnya itu.

Mereka tertawa bersama-sama, membuatkan para kru dan orang sekeliling berasa hairan melihat mereka.

Cara Joe memujuknya membuatkan Moon mula memandang lelaki itu dengan pandangan berbeza. Lelaki itu sebenarnya bukanlah garang sangat. Dia cuma serius dalam bekerja dan mahu segala-galanya sempurna.

Melihatkan tawa Moon, tanpa membuang masa, Joe terus merakam wajah Moon. Ceria dalam tangisan. Joe terpaku. Waktu itulah buat pertama kali, dia berasakan Moon cantik sekali. Tawa Moon seolahseolah membuat dunia Joe terhenti untuk seketika.

Sejak itu, Joe mula menumpukan perhatian lebih sikit kepada Moon. Apa-apa sahaja yang berkaitan Moon, dia akan perhatikan dalam diam. Dia baru perasan yang Moon bukan sembarangan gadis.

Dengan wajah yang jelita dan populariti yang tinggi, Moon boleh sahaja memilih mana-mana lelaki yang dia mahu. Gadis itu punya peluang yang besar untuk berbuat demikian kerana dia memang digilai ramai lelaki.

Namun, belum pernah lagi dia nampak Moon bergurau mesra, bertepuk tampar dengan mana-mana lelaki sesuka hati. Dia memang seorang yang ceria, tetapi masih menjaga batas. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja Joe merisik tentang Moon melalui Anne, tetapi

Biarlah Moon gelar dia bermulut manis. Sepanjang

hidup, ini pertama kali dia berani bermanis mulut dengan perempuan. Dia sendiri terkejut, tetapi Joe tahu perasaannya kepada Moon ketika itu bukan lagi sekadar perasaan sebagai teman sekerja.

Dia menyukai gadis itu lebih daripada seorang teman. Cuma Moon tidak tahu perasaannya pada waktu itu. Insiden itulah yang membuatkan hubungan mereka mula rapat.

Ajaibnya, tanpa meluahkan perasaan, mereka masing-masing sedar bahawa mereka menyukai antara satu sama lain.

Joe segera menanggalkan kasut dan menyalami ibu.

“Lamanya tak jumpa. Kenapa balik tak telefon dulu?” Ibu mencium kedua-dua belah pipi anak bongsunya.

“Saja nak buat surprise.” Joe menghulurkan beg plastik yang dijinjitnya dari tadi kepada ibu.

“Buat susah-susah aje bawa epal ni.” Ibu menyambut huluran itu.

“Dah datang rumah orang, mestilah kena bawa buah tangan.”

“Ini rumah Joe juga.”

“Buah epal yang jiran kita bagi dua minggu lepas pun kita buang sebab dah busuk. Takkanlah yang pernah duduk rumah ni pun tak tahu orang dalam rumah ni tak minat epal.” Suara ayah dari atas mengejutkan Joe dan ibu.

Joe tidak sedar pula bahawa ayah sedari tadi memerhatikan mereka dari atas.

“Epal hijau, pa. Mama boleh buat pai nanti.” Joe membalas lembut.

“Haahlah. Mama dah lama tak buat pai epal. Awak kan suka pai epal saya?” Puan Juariah bersuara.

Encik Johar tidak membalas apa-apa. Sebaliknya, dia kembali melangkah masuk ke dalam bilik.

“Tak nak mengakulah tu.” Puan Juariah mengejek suaminya sambil tertawa kecil.

“Kalau Jeff atau Jufri yang bawa epal ni, mesti papa suka.”

Puan Juariah menepuk-nepuk belakang anaknya lembut. “Alah, papa tu memang macam tu. Depan Joe memang dia tak tunjuk. Tengoklah kalau Joe balik nanti, separuh daripada pai tu, dia yang akan habiskan.”

“Jeff dengan Jufri tak balik ke minggu ni?” Joe menukar topik. Malas dia nak berlama-lama tentang sikap ayah kepadanya. Buat hatinya bertambah suram sahaja.

“Tak. Jeff sibuk dengan projek R&R yang nak kena ubah suai tu. Mama pun tak faham sangat. Jufri pula pergi bercuti dengan keluarga dia kat Langkawi.”

“Jufri tak cakap apa-apa pun kat grup WhatsApp.”

“Cuti last minute katanya. Isteri dengan anak-anak dia dah lama ajak.”

“Seronoknya dapat bawa anak isteri pergi bercuti.”

“Dah tu ... Joe bila lagi? Takkan tak ada sesiapa lagi?”

Joe tersengih dengan soalan ibunya itu. “Ada, ma.

Tapi, bukanlah nak kahwin dalam masa terdekat ni.”

“Betullah ada?”

Joe hanya tersenyum, melangkah menuju ke bilik, meninggalkan sang ibu terpinga-pinga.

Joe membantu ibu menyiapkan hidangan tengah hari. Sesekali, dia sempat juga menjenguk ke tangga, melihat kalau ayah akan turun makan.

“Takkan kita berdua aje, ma?” tanya Joe yang sudah duduk di meja makan.

“Bertiga,” balas Puan Juariah ringkas.

“Dengan papa?”

Puan Juariah mengangguk.

“Rasanya dia tak nak makan sekali dengan Joe.”

“Sekejap lagi dia turunlah. Papa mana tahan lapar sangat. Perut dia memang kena makan tepat masanya.

Lagipun mama dah beritahu hari ni mama masak sambal sotong kegemaran dia.”

Joe hanya tersenyum mendengar kata-kata ibunya. Tepat seperti kata Puan Juariah, tak sampai lima minit

pun, kelibat Encik Johar sudah kelihatan menuruni tangga. Joe dan ibu berbalas senyum.

“Kenapa senyum-senyum ni?” tanya Encik Johar kehairanan lalu mengambil tempat selepas mencuci tangan.

“Tak ada apa-apa. Saya seronok tengok kita bertiga dapat makan sama-sama. Lama dah tak makan sekali.” Puan Juariah menuangkan nasi ke dalam pinggan suaminya.

Mereka menikmati makanan tanpa berbicara apaapa sehinggalah Puan Juariah bersuara.

“Joe dah ada girlfriend tau, bang.” Sengaja Puan Juariah membuka topik itu dengan harapan ada perbualan rancak antara mereka bertiga. Tidaklah hanya mendengar bunyi kunyahan sahaja.

“Ma ....”

“Betul, kan? Tadi kan Joe ada beritahu mama. Siapa nama dia?”

“Moon.”

“Moon?” Dahi Puan Juariah berkerut.

“Moon Majid.”

“Influencer tu ke?” Tiba-tiba Encik Johar menyampuk.

“Haah. Papa kenal ke?” Suara Joe yang tadi mendatar kini bertukar teruja apabila ayahnya turut sama menyertai perbualan mereka.

“Eh, macam mana awak boleh kenal?” Puan Juariah berkerut dahi.

“Zara yang suka tengok video dia buat tudung macam-macam gaya. Dia pernah tunjuk kat saya. Nama dia unik sikit. Itu yang saya ingat.” Encik Johar menerangkan.

“Lah ... patutlah macam-macam gaya tudung saya tengok cucu kita pakai. Rupanya cikgu dia girlfriend pak saudara dia. Kecilnya dunia. Bila nak bawa Moon tu jumpa kami?” tanya Puan Juariah pula.

“Joe masih lagi nak kerja sebagai jurugambar ke?”

Belum sempat Joe menjawab soalan ibunya, Encik Johar sudah mengusulkan soalan lain. Serius sekali nadanya, membuatkan suasana yang baru saja mahu ceria kembali tegang.

“Ya, pa. Kami bukan buat servis fotografi aje. Dah mula buat servis photojournalism juga, pa. Dua bulan lepas, Joe ada buat story fasal upacara puja pantai daripada Orang Asli Mah Meri. Papa suka kan baca cerita-cerita macam tu? Nanti Joe bagi link.”

“Sampai bila nak main-main dengan kamera tu?

Papa tengok tak ada perubahan pun dengan hidup Joe. Cuba tengok Jeff dengan Jufri. Makin lama hidup makin senang. Kami berdua pun tak risau.”

Joe hanya diam membatu. Tangannya hanya menguis-nguis nasi di dalam pinggan. Seleranya mati terus.

“Abang ... apa cakap macam ni depan makanan. Saya tengok Joe pun okey aje dengan apa yang dia buat. Asalkan dia gembira.”

“Gembira semata-mata tak boleh kenyangkan perut, Ju. Penat-penat kita keluarkan duit hantar dia

belajar engineering, alih-alih nak jadi jurugambar pula. Kerja jurugambar ni, budak sekolah pun boleh buat.”

“Dia bukan jadi sembarangan jurugambar, bang. Profesional lagi.” Puan Juariah mempertahankan anaknya.

“Pa, Joe minta maaf kalau pilihan kerjaya Joe ni buat papa tak suka. Joe minta maaf sebab tak dapat jadi macam apa yang papa nak. Selama ni, Joe ikut segala permintaan papa.” Joe menggetap gigi, cuba mengutuhkan semangat untuk memujuk ayah.

“Cuma untuk sekali ini, bagi Joe peluang untuk ikut apa yang Joe dah lama minat. Mungkin papa nampak kerjaya Joe ni tak ada masa depan, tapi Joe akan buktikan kepada mama dan papa yang apa yang Joe buat ni berbaloi.” Joe betul-betul berharap yang Encik Johar akan memahami.

Bab 3

SEUMUR hidup, Moon tidak pernah buat apa-apa yang istimewa untuk seorang lelaki. Namun, demi Joe, demi cinta, Moon sanggup buat apa saja. Dia yakin, kalau disuruh berenang dalam lautan api pun dia sanggup, apatah lagi membuat kek lobak merah. Begitulah istimewanya Joe dalam hatinya.

Kek dan lobak merah? Kombinasi yang sungguh tidak kena di tekaknya. Ibarat memakan penkek manis ditaburi ikan bilis masin. Janggal, bukan? Namun, tidak bagi Joe.

Kekasihnya yang satu itu seorang pencinta kek lobak merah. Begitulah yang Moon rasakan saat dia melihat Joe menikmati kek lobak merah dengan penuh berselera. Pelik.

Moon membalas dengan tawa kecil. Sejak dia

bercinta dengan Joe, dia pun sudah pandai bermulut manis.

Sambil melihat Joe asyik menjamah keknya, ingatan Moon tak semena-mena menerawang kepada sebuah kenangan beberapa tahun lepas. Satu senyum tawar terlepas.

Nampaknya, kek dan dirinya memang tidak boleh dipisahkan. Jika hari ini dia menjamu orang dengan kek lobak merah, dulu pun ada seseorang yang sangat dia kenali hampir menjamu orang lain dengan kek. Cuma bukan kek lobak merah, tetapi kek tiramisu. Kek itu bukan dia yang buat.

Sayangnya, setiap kali Moon melihat kek tiramisu, setiap kali itulah ia menjemput kenangan pahit dalam hatinya.

Melihatkan Joe yang asyik dengan kek lobak merahnya, hati Moon kembang setaman. Dia tidak pandai buat kek atau segala pastri. Sebab itulah, dia agak kagum dengan dirinya yang berjaya membuat kek lobak. Sedap pula tu, bak kata Joe.

Barangkali magis cinta telah membuatkan segala yang mustahil menjadi mudah.

Apa yang Moon alami sekarang ini, sama dengan apa yang sahabat baiknya, Odah lalui dahulu. Odah yang tidak pandai langsung buat sebarang jenis kek, tibatiba menjadi pembuat kek tiramisu. Semua demi cintanya kepada seorang lelaki bernama Aiman.

“Apa khabar agaknya kau, Odah ....” Moon melepaskan keluhan kecil.

“Awak cakap apa?” Joe berhenti menyuap makanannya.

“Eh, tak ada apa-apalah.” Moon tersedar daripada lamunan.

“Awak termenung tadi macam fikir masalah besar aje.”

“Hmm ... saya tengah fikir, macam mana lelaki tampan macam awak boleh single lama sangat.”

“Sebab tunggu perempuan macam awaklah, Cik Moon Majid. Kalau saya tak tunggu awak, tak dapatlah saya makan kek lobak sedap ni.”

Sekali lagi kata-kata Joe yang manis bergula itu berjaya membuatkan hati Moon terbang bagai ramarama indah.

“Takkan tak tahu buat kek? Kalau tahu buat kuih, mesti tahu buat kek. Tolong ajar aku, please ....”

“Ajaran mana kau pakai ni, Moon? Aku buat makanan yang aku suka makan aje. Kek lobak merah tu aku tak suka. Jadi, tak ingin aku buat.”

“Itulah masalahnya. Aku pun tak suka kek lobak merah tu.” Moon mengeluh kecil.

“Habis tu?”

“Joe yang suka. Dia suka gila.”

“Ooo ... aku faham. Maknanya, untuk jadi teman wanita yang baik dan sweet, kau kenalah tahu cara-cara nak buat makanan kegemaran dia, kan?” Anne menebak.

“Aku bukan sekadar nak jadi teman wanita yang sweet, tapi memang aku nak buat kek tu untuk Joe ... sebab aku sayang dia.”

“Sayang tu sayang juga. Tapi jangan terlebih bagi sayang. Nanti kau menyesal.” Anne mengingatkan.

Bukannya Anne tidak sedar akan perubahan kawannya yang satu ini. Selama lima tahun dia berkawan dengan Moon, gadis itu sentiasa mendahulukan kerjanya daripada apa-apa pun. Namun, sejak bercinta dengan Joe, Moon bukanlah Moon yang pernah dia kenal.

“Apa yang menyesal pula ni? Aku bukan ambil

dadah. Aku berbagi kasih sayang dengan lelaki yang aku cinta. Salah ke?”

“Tak salah. Cuma, berpada-pada. Dulu kau banyak fokus kat kerja-kerja kau. Senggugut, demam, ribut, taufan pun kau tak peduli. Janji kerja kau tip-top.

Sekarang ni, apa-apa pun mesti ikut jadual Joe. Kalau Joe outstation, baru kau pulun job. Tapi kalau Joe ada kat sini, asyik berkepit aje dengan dia.”

“Kerja boleh dicari, Anne. Lagipun, aku penatlah

jadi workaholic ni. Sekali-sekala nak juga dating dengan Joe.”

“Tapi orang mengata. Dia orang cakap aku kawal kau pula. Tu belum yang nampak kau berdua dating.”

“Aku tak kisah pun orang lain nampak kita orang dating. Aku lagi suka. Biar satu dunia tahu yang aku ni kekasih Joe.”

“Tapi, Joe kan nak privacy.”

“Itulah. Terpaksa aku ikut rentak dia. Tak boleh letak apa-apa fasal hubungan kita orang kat media sosial. Sedih sikitlah, tapi tak apa. Asalkan dia bahagia.”

“Kau bahagia?” tanya Anne pula.

“Eh, soalan apa ni? Mestilah aku bahagia.”

“Aku harap kau betul-betul bahagialah. Bukan terpaksa ikut rentak Joe, macam yang kau cakap tadi.”

“Alah ... kau sama ajelah macam budak-budak lain. Suka bagi nasihat tak bermotivasi macam ni. Kenapa semua orang macam tak suka aje aku bercinta dengan Joe? Kita orang bukan kacau hidup orang lain pun. Joe hanya minta kita orang bercinta diam-diam saja.”

“Aku bukan tak suka kau orang bercinta. Kau dengan Joe tu memang cocok. Sama cantik, sama padan. Aku bercakap sebagai seorang perempuan dan kawan.”

Anne mengeluh sebelum menyambung lagi.

“Selagi belum jadi suami, tak payah beria-ia sangat. Aku nampak kau cinta mati betul dengan Joe. Benda kan tak confirm lagi. Relaks sudahlah.” Anne cuba mengingatkan.

Moon tidak membalas kata-kata rakannya itu.

Benarkah dia terlalu beria-ia? Dia tak pernah ada teman lelaki. Malah, sebelum ini dia sedaya upaya untuk tidak mahu ada apa-apa hubungan istimewa dengan lelaki.

Seperti yang pernah dia beritahu Anne dulu, “Aku tak mahu kahwin!”

Anne hanya tergelak mendengar kata-katanya.

Kata Anne, jangan bercakap besar, nanti apabila sudah terkena panah cinta, sukar untuk patah balik.

Nah, lihatlah dia sekarang! Kini Moon sudah

larut dalam cinta Joe. Panah cinta lelaki itu tiada ubat.

Pernah juga Moon tertanya-tanya kepada diri sendiri, apakah yang membuatkan dia sayang benar kepada Joe?

Selama ini Moon selalu menganggap kalau tidak semua, sebahagian besar lelaki selalu melukai hati wanita.

Lihat apa yang berlaku kepada Anne dan emaknya. Lihatlah apa yang berlaku kepada Odah. Semua wanita

kesayangannya pernah dilukai lelaki. Sepatutnya, dia juga harus menjauhkan diri daripada makhluk bernama lelaki itu.

Anehnya, dengan Joe dia tak nampak apa-apa yang boleh buat dia benci akan lelaki itu. Semua yang baikbaik ada pada Joe. Cuma jauh di sudut hati, Moon sedar bahawa Joe nampak terlalu fokus kepada kerja-kerjanya.

Ada masa, dia rasa terpinggir juga. Beberapa kali janji temu mereka batal kerana mesyuarat Joe dipanjangkan.

Namun, Moon mahu kekal positif. Dia tahu Joe buat semua itu untuk mencari rezeki. Dia suka lelaki rajin dan Joe memang ada ciri itu.

“Ini semua untuk masa depan kita nanti.” Itu katakata yang pernah diungkap oleh Joe dahulu. Setiap kali dia teringat kata-kata itu, hatinya akan terubat semula.

“Kita orang dah janji nak kahwin akhir tahun ni.” Moon tiba-tiba membuka cerita kahwin pula.

pernikahan mereka nanti. Dia tidak mahu putih. Terlalu biasa. Sama ada warna coklat badam atau kuning air.

“Aku doakan kau orang cepat-cepat bernikah.

Jangan lupa jemput aku!”

“Mesti. Tapi sebelum jemput kau, tolong ajar aku resipi kek lobak merah. Tipulah kau tak tahu.”

“Hesy, budak ni. Aku dah kata tak tahulah. Kalau nak buat sangat, pergi masuk kelas.”

Kongsikan reviu buku ini di

dan jangan lupa letakkan #KauTakSayangAkuKe?

Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.
Kau Tak Sayang Aku Ke? oleh Kamalia by imanpublication - Issuu