
2 minute read
PROLOG
“Tuan William?” Beberapa kali pintu bilik Presiden William diketuk oleh pembantu peribadinya, Liam, tetapi panggilan tersebut tidak disahut. Hati Liam berasa tidak senang. Memorinya masih kabur kerana dalam ingatan mutakhirnya, dia baru sahaja pulang daripada membeli ubat yang dipesan Presiden William untuk Puan Irene. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, memorinya seperti hilang. Sedar-sedar sahaja dia sudah terbaring di atas lantai, tidak tahu bagaimana dia boleh pengsan di situ. Tidak sedap hati, Liam terus bergegas ke arah bilik Presiden William. “Tuan William? Puan Irene?!” Ketukan pintu semakin deras dan kuat, namun Liam tidak mendengar apa-apa respons. Dahinya berkerut. Belakang lehernya terasa seram sejuk. Ritma jantungnya IMAN Publication Bukan Untuk Dijual mulai rancak. “Tuan?!” Liam terus memulas tombol dan membuka pintu seluas-luasnya. Ternyata pintu tersebut tidak berkunci. Matanya terus
melilau ke dalam bilik bagi mencari kelibat Presiden William dan Puan Irene.
Advertisement
Kelihatan Presiden William sedang duduk di sofa, membelakangkannya. Seperti sedang membaca akhbar. Puan Irene pula dilihat sudah berbaring menelentang di atas katil. Serentak itu juga hidung Liam menangkap bau yang kurang menyenangkan, seperti bau zink buruk. Dahi Liam semakin berkerut. Apa yang berlaku? Mengapa Presiden William tidak menyahut panggilannya tadi? Lekaslekas Liam melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.
“Tuan–” Langkah Liam serta-merta terbantut apabila kakinya terpijak sesuatu cairan lekit. Baru dia perasan ada kesan tompokan gelap di atas karpet berwarna merah tua tersebut. Sebaik sahaja dia mengangkat kaki, kesan darah yang sudah mula mengering dan melekit itu melekat pada telapak kakinya. Jantungnya bagai mahu luruh melihat kesan darah tersebut.
“Tuan William!” Liam melaung cemas sambil berlari mendekati Presiden William. Tiada satu pun panggilan Liam disahut oleh Presiden William dari tadi. Perasaannya semakin tidak keruan. Kali ini Liam sudah berada betul-betul di belakang sofa yang diduduki Presiden William.
“Tuan?” Liam menyentuh bahu Presiden William dan cuba menggoncangnya, namun tubuh Presiden William yang duduk tegak itu terasa begitu keras sekali. Spontan Liam menarik tangannya kembali, matanya membulat. Tangan Presiden William di sisi sofa itu kelihatan pucat bagai kekurangan darah. Lekas-lekas Liam melangkah ke hadapan Presiden William.
IMAN Publication Bukan Untuk Dijual
Sebaik sahaja Liam melihat wajah Presiden William, dia terus jatuh terduduk. Seluruh tubuhnya menggeletar. Dadanya mengembang dan menguncup bagai tidak cukup nafas. Dia mahu menjerit, tetapi kerongkongnya bagai tersumbat.
Mata Presiden William terbeliak seolah-olah sakarat mencabut nyawanya dalam keadaan dia terperanjat dan ketakutan. Mulutnya separa terbuka dengan lidah yang sedikit terjelir keluar. Pada dahi Presiden William jelas kelihatan suatu kesan lubang seperti tebukan yang telah menembusi tempurung kepalanya. Yang sedang duduk di sofa tersebut hanyalah jasad Presiden William yang sudah tidak lagi bernyawa. IMAN Publication Bukan Untuk Dijual