WARTA UNIVERSITI WARTA UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU
Universiti Malaysia Terengganu BIL. 16
MAC 2021
ISSN 1985-2932
Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 Universiti Malaysia Terengganu, 22 Mac 2021 dan 6 hingga 13 Disember 2021 Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-18 telah berlangsung 27 Mac 2021 bersamaan 13 Syaaban 1442 H. Majlis konvokesyen kali ini buat julung kalinya telah dilangsungkan secara hibrid iaitu dengan bersemuka dan maya. Ini berikutan dengan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa majlis konvokesyen ini dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang digariskan oleh pihak berkuasa. Konvokesyen yang penuh sederhana ini berlangsung di Dewan Sultan Mizan dan pengisytiharan pembukaan konvokesyen disempurnakan oleh Tuanku Canselor UMT, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah secara maya. UMT telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Teknologi kepada kepada Laksamana Pertama, Dato’ Ir Haji Ahmad Murad bin Haji Omar (Bersara) yang juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Sains Marin dan Sekitaran (FSSM), UMT. Dalam majlis ini juga, UMT turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Emeritus Dr. Ahmad bin Jusoh, seorang pakar dalam bidang kejuruteraan air. Majlis Konvokesyen UMT ke-18 secara hybrid ini juga turut menyaksikan penganugerahan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Siti Diana Kamila binti Nadim, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) dan Mogesh A/L Sababathy, graduan Sarjana Muda Sains (Biologi Marin). Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Ali bin Rahim, graduan Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman), Anugerah Pro-Canselor kepada Rafizah binti Rahamathullah, graduan Doktor Falsafah Sains Kimia dan Olawole Olanre Fawehinmi, graduan Doktor Falsafah Pengurusan serta Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti kepada Noradhiha Farahin binti Ibrahim, graduan Sarjana Sains Kimia dan Gangga A/P Muniandy, graduan Sarjana Sains (Pemasaran). Pengurniaan anugerah disampaikan oleh Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsuddin bin Osman mewakili Tuanku Canselor. Turut hadir di majlis konvokesyen tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azhar bin Abas, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT dan Pengurusan Tertinggi UMT, Pegawai-pegawai Utama UMT dan juga ibu bapa para graduan.
1