10 minute read

Penerima Anugerah Ijazah Kehormat

Next Article
Atur Cara

Atur Cara

PENERIMA ANUGERAH

Advertisement

Ijazah Kehormat

DR ANNABEL TEH GALLOP

IJAZAH KEHORMAT DOKTOR KEMANUSIAAN

Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop dilahirkan di Winchester, United Kingdom pada tahun 1961 dan dibesarkan di negara Brunei Darussalam. Puteri kepada pasangan bahagia Christopher Gallop yang berbangsa Inggeris dan Teh Siok Lay yang berasal dari pekan kecil Changlun, Kedah mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Sufri Bolkiah di mana ayah beliau bertugas sebagai Guru Besar. Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik di University of Bristol, England pada tahun 1982.

Berikutan minat yang mendalam dalam bidang ketamadunan Melayu dan Budaya Asia Tenggara, beliau telah membuat keputusan yang sukar dengan menukar bidang pengajian beliau kepada kajian alam Melayu. Memulakan perkhidmatan sebagai penyampai Seksyen Bahasa Inggeris di Radio Televisyen Brunei pada tahun 1983, beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat sarjana dan tamat pengajian dalam bidang Indonesia dan Alam Melayu pada tahun 1985 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, namun kecintaan yang tinggi dalam bidang ketamadunan alam Melayu mengatasi segalanya. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dan berjaya menyiapkan tesis yang bertajuk Malay Seal Inscriptions: A Study in Islamic Epigraphy from Southeast Asia di SOAS pada tahun 2002.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penerbit Kanan di British Brodcasting corporation (BBC) dari tahun 1985 hingga 1986. Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai Kurator, Seksyen Maritim Asia Tenggara di British Library pada tahun 1986. Setelah 16 tahun berkhidmat sebagai kurator, pada tahun 2002 beliau telah dilantik sebagai Ketua Bahagian, Seksyen Asia Tenggara di tempat yang sama.

Beliau berpengalaman dalam kajian dalam bidang manuskrip, cop mohor Melayu dan iluminasi manuskrip Islam dari rantau Asia Tenggara selama 36 tahun. Antara karya beliau yang menjadi rujukan ialah Malay Seals from the Islamic World of Southeast Asia, Lasting Impressions: Seals from the Islamic World dan The Legacy of the Malay Letter.

Sumbangan kepakaran beliau kepada negara dan rantau Asia Tenggara telah bermula sejak tahun 1988 lagi apabila penyelidikan dan penulisan beliau sering mengangkat warisan Negara terutama dalam aspek persuratan, seni dan budaya. Kajian beliau memberi signifikan kepada hubungan diplomasi rantau Asia Tenggara yang saling berkait bermula dari Aceh, hingga ke Johor, Filipina dan Selatan Thailand.

Ia dibuktikan dengan kajian mendalam terhadap cap mohor alam Melayu yang mula digunakan semenjak kurun ke-16 hingga 20 masihi. Setiap cap mohor yang diteliti mendedahkan ketersambungan setiap sudut alam Melayu – dari Aceh, Indonesia; ke Mindanao, Filipina; Pattani, Thailand; dan Johor, Malaysia.

Kajian beliau turut menemukan sebuah manuskrip yang menunjukkan bahawa Francis Light telah membahasakan dirinya sebagai “hamba yang sehina-hina hamba” apabila berutusan dengan Sultan Kedah. Ini menggambarkan ketinggian martabat Sultan Kedah dan tanda hormat Francis Light kepada Sultan Kedah.

Antara sumbangan terbesar Dato’ Dr. Annabel ialah apabila beliau terlibat dalam projek mendigitalkan ratusan manuskrip Melayu yang menjadi koleksi berharga di British Library. Projek ini telah mendapat tajaan penuh bernilai £125,000 oleh dermawan Amerika yang menetap di Singapura, William dan Judith Bollinger. Projek yang berjaya disiapkan dalam tempoh lima tahun ini merangkumi manuskrip, warkah dan dokumen Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan wilayah selatan Thailand dan Filipina. Projek ini memberi sumbangan yang besar dalam memelihara warisan Asia Tenggara dalam bentuk digital dan memberi kemudahan akses percuma kepada penyelidik.

Kajian beliau terhadap seni iluminasi manuskrip alam Melayu juga telah mendedahkan keindahan dan keunikan Mushaf al-Quran Terengganu yang diiktiraf paling indah di Asia Tenggara. Keterujaan beliau terhadap penemuan ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bentuk penulisan dan pembentangan antarabangsa.

Kepakaran yang ada pada Dato’ Dr. Annabel telah dimanfaatkan oleh Universiti Malaysia Terengganu apabila beliau terlibat secara rasmi sebagai rakan kerjasama dalam Pameran Manuskrip Al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu 2018, Penasihat Projek Kelestarian Warisan Kesultanan Terengganu Manuskrip Al-Quran Emas, pembentang di Wacana Antarabangsa Manuskrip Al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu 2020, panel pakar

dalam Projek Penyelidikan al-Waraqat Sultan Zainal Abidin III, Simbol Kuasa dan Diplomasi serta menjadi pakar rujuk antarabangsa dalam usaha UMT, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Jabatan Warisan Negara mencalonkan Mushaf al-Quran Terengganu sebagai Memory of The WorldUNESCO.

Kejayaan beliau meneliti lebih 2000 cop mohor kesultanan Melayu dari negara maritim Asia Tenggara dan sumbangan beliau dalam manuskrip Islam Asia Tenggara telah melayakkan beliau menerima Anugerah Kebudayaan (Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Indonesia) pada tahun 2017. Anugerah Budaya Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta pada tahun 2021 dan Darjah Setia Diraja Kedah dengan membawa gelaran Dato’ oleh KDYMM Sultan Kedah pada tahun 2014.

Atas kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang ketamadunan Islam, budaya, seni dan warisan Melayu Asia Tenggara, beliau turut dilantik sebagai Fellow of the British Academy (2019); Fellow of the Royal Asiatic Society; Editorial Board member of Indonesia and the Malay World (SOAS); Board Member, The Islamic Manuscripts Association (TIMA); Board Member, Barakat Trust dan International Advisory Board member of Manuscripta Orientalia (St Petersburg, Russia).

Sejarawan ini telah menjadi duta global dalam mempromosi warisan emas manuskrip Melayu dalam memartabatkan keindahan, kearifan dan kesarjanaan alam Melayu. Usaha ini telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai penerima Merdeka Award bagi kategori Outstanding Contribution to The People of Malaysia pada tahun 2022. Justeru, Universiti Malaysia Terengganu dengan penuh takzim, berbesar hati untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop sempena Majlis Konvokesyen UMT kali ke-20 tahun 2022.

DATO’ HAJI ROZANO BIN SAAD

IJAZAH KEHORMAT DOKTOR TEKNOLOGI

Dato’ Rozano bin Saad telah dilahirkan pada 18 Mei 1957 di Kluang, Johor Darul Takzim. Beliau merupakan anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan guru, Haji Saad bin Hasan dan Hajjah Zakiah binti Musa. Rozano mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tengku Mahmud 2, Kluang, Johor pada tahun 1964 hingga 1969 seterusnya melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.

Memiliki semangat patriotisme yang tinggi, beliau sangat aktif melibatkan diri dalam aktiviti kadet bagi membina semangat dan disiplin diri. Menggenggam cita-cita untuk belajar di luar negara, Rozano telah menduduki pengajian di peringkat A-Level di United Kingdom dan berjaya lulus dengan cemerlang. Rozano kemudiannya telah ditawarkan Biasiswa MARA untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal di University of Swansea, United Kingdom.

Selepas bergraduat pada tahun 1980, beliau telah memulakan kerjaya di ICI Group. Rozano mempunyai portfolio yang sangat cemerlang di mana beliau telah diberi kepercayaan untuk menggalas pelbagai peranan penting dalam dunia korporat. Sepanjang 10 tahun perkhidmatannya di ICI, beliau dilantik sebagai Jurutera Reka Bentuk, Jurutera Loji, Jurutera Projek Kanan dan Pengurus Tekno-Komersial. Rozano kemudiannya berkhidmat sebagai Pengarah Tapak (Site Director) di loji Huntsman Tioxide (M) Sdn. Bhd yang terletak di Teluk Kalong, Terengganu selama 18 tahun.

Ketokohan beliau sekali lagi diiktiraf apabila telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shell pada tahun 2009 dan diikuti pula dengan pelantikan sebagai Head of PETRONAS Downstream Business Excellence pada tahun 2014 sehingga 2019. Pada tahun 2019 sehingga kini Rozano sekali lagi telah dilantik sebagai Pengarah Tapak, Hunstman Tioxide Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Venator Asia Sdn. Bhd. Beliau memainkan peranan penting dalam mempromosikan kerjasama penyelidikan antara pihak Venator Asia Sdn. Bhd dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam termasuklah Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sumbangan beliau dalam pembangunan Shell Berhad, Petronas Malaysia dan Venator Asia Sdn. Bhd amatlah besar terutama dalam peningkatan produktiviti, pembangunan modal insan dan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih

luas kepada penduduk setempat dan Malaysia amnya. Rozano sentiasa mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi terhadap ilmu menyebabkan beliau sentiasa mencabar diri untuk mendalami ilmu melalui pembelajaran dan pemerhatian.

Berbekalkan prinsip ini, kepakaran Rozano telah diiktiraf oleh syarikat gergasi dunia seperti Shell dan Petronas apabila beliau telah diberi mandat untuk melaksanakan pendigitalan terhadap operasi pembuatan bagi memaksimumkan keuntungan. Kaedah ini telah berjaya menghasilkan keuntungan melalui pemacu data digital dalam operasi syarikat walaupun proses pembuatan tidak beroperasi secara kapasiti penuh.

Antara sumbangan terbesar Rozano dalam syarikat antarabangsa ini juga adalah pelaksanaan analisis bow-tie bagi menangani risiko ketika industri beroperasi. Reka bentuk bow-tie seperti kupu kupu yang mempunyai dua belah sayap memberi maksud pencegahan untuk sayap kiri dan langkah mitigasi untuk sayap kanan. Dengan melaksanakan analisis ini, tindakan proaktif dan perlindungan secara helicopter view dalam operasi sesebuah industri dapat dikenal pasti.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Maka tidak hairanlah dengan segala usaha, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkannya, pada tahun 2001 beliau telah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Primal dan pada tahun 2004, beliau telah dianugerahkan Anugerah Kualiti Perdana Menteri.

Motivasi pekerja merupakan prinsip utama yang perlu diutamakan dan sentiasa ditekankan sebagai tanggungjawab pemimpin ketika Rozano menjadi Ahli Lembaga Pengarah Shell. Berdasarkan sifat ketokohan ini, Rozano telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Federation of Malaysian Manufacturers (FMM). Melalui FMM, Rozano mewakili Venator Asia bersama pengilang lain bertanggungjawab menyelesaikan isu pengilang dalam menyokong wawasan negara seperti menambaik GDP dan eksport negara.

Dalam menerajui bidang pembuatan, khidmat kepada masyarakat tidak dilupakan. Berprinsipkan visi “Kami Mahu Menjadi Ahli yang Dihargai oleh Masyarakat”, Rozano mengutamakan komuniti setempat dalam pembangunan modal insan. Justeru, beliau telah membawa bersama organisasinya terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan. Venator Asia telah bekerjasama dengan Kolej Vokasional (KV) dalam membantu membangunkan lepasan KV mempersiapkan diri untuk menjadi lebih kompeten apabila memasuki alam pekerjaan.

Ilmu yang ada harus difahami, diamal dan disebarkan. Kepimpinan dan ketokohan beliau telah menjadi inspirasi sehingga terhasilnya penulisan berkenaan kepemimpinan

yang telah dibawakan oleh Rozano yang diabadikan dalam buku “Primal leadership on emotional intelligence” dan “Manufacturing excellence on make common sense, common practice”.

Di peringkat UMT, Rozano yang mengetuai Venator Asia telah terlibat dengan projek penyelidikan dan pembangunan bersama dengan penyelidik UMT sejak 2019. Kerjasama industri universiti awam ini merupakan usaha dalam mencapai matlamat kemampanan bagi menyelesaikan isu alam sekitar sehingga termeterai perjanjian persefahaman (MOU) antara Venator Asia Sdn. Bhd dan UMT.

Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki, bermula 1 Jun 2021 beliau telah dilantik sebagai Profesor Adjung UMT. Beliau juga telah dijemput sebagai penyampai ucaptama pada UMT Annual Symposium (UMTAS) 2021. Mendapat pelbagai pengiktirafan sebagai pemimpin di peringkat atasan tidak menjadikan beliau seorang yang tidak memandang ke bawah. Beliau percaya kejayaan yang dikecapinya bukan kejayaan individu tetapi kejayaan bekerja dalam satu organisasi dari peringkat bawah sehingga atas.

Berprinsipkan tiga amalan yang tidak terputus pahala bagi seorang manusia iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh, antara kepuasan yang dirasainya sebagai Pengarah Urusan Shell ialah menyantuni pekerja sokongan dengan melayan mereka dengan nilai yang baik sebagai seorang ketua. Antara yang diamalkan oleh beliau ialah dengan menyantuni makan tengahari staf sokongan setiap kali selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah. Inilah anugerah kepuasan sebenar yang beliau perolehi.

Atas segala dan bakti beliau kepada negara, Rozano telah diperkenankan dengan penganugerahan darjah kehormat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddun Ibni Tuanku Muhriz. Dato’ Rozano Saad telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Norhayati binti Kasim Yato pada 30 Julai 1983.

Hidup mereka dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, Hanif, Lina dan Ruzanna serta diserikan lagi dengan keletah empat orang cucu.

Mementingkan keseimbangan hidup dan kerjaya, Dato Rozano mengamalkan gaya hidup sihat dan beliau sangat gemarkan aktiviti lasak seperti mendaki, berkuda, triathlon dan permotoran. Beliau telah berjaya menakluk puncak gunung Kinabalu dan Kilimanjaro bersama isteri tercinta.

Atas kepakaran dan sumbangan bakti kepada negara dan juga dunia, Universiti Malaysia Terengganu dengan rendah hati menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Teknologi kepada Dato’ Rozano bin Saad bersempena Konvokesyen UMT kali ke-20 tahun 2022.

This article is from: