3 minute read

Saling mempercayai dan bertolak ansur tunggak keharmonian kaum di Singapura

Warga Singapura dari semua golongan kaum dapat hidup bersama secara harmoni kerana terdapat sikap saling mempercayai dan bertolak ansur antara mereka tanpa perbalahan atau paksaan.

Berucap dalam satu majlis forum mengenai hubungan kaum, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata ini adalah satu sebab utama mengapa keharmonian kaum berjaya dikekalkan di Singapura.

Singapura, menurut beliau, telah berjaya membina sebuah masyarakat berbilang kaum sejak mencapai kemerdekaan lagi. Ini kerana para pemimpin pengasasnya tahu bahawa negara ini memerlukan "dasar-dasar yang terancang, perlindungan yang teliti dan usaha-usaha tegas" untuk memastikan kaum minoriti dilindungi dan kaum majoriti tidak menyalahgunakan penguasaan mereka.

Cara Singapura memupuk keharmonian kaum bukanlah dengan mewujudkan masyarakat monolitik dan memaksa sebarang kaum untuk meninggalkan warisan atau tradisi mereka.

“Kami memutuskan untuk memelihara, melindungi dan meraikan kepelbagaian kita. Kami menggalakkan setiap kaum untuk berbangga dengan budaya dan tradisi mereka masing-masing. Pada masa yang sama, kita mencari titik persamaan di kalangan masyarakat kita. Kita juga berusaha untuk memperluas ruang bersama kita serta memperkukuh semangat kekitaan dan identiti bersama,” kata Encik Wong dalam forum anjuran Institut Pengajian Dasar dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam pada Jun lalu itu.

Beliau selanjutnya meminta kaum majoriti Cina supaya lebih peka dan sedar akan keperluan kaum minoriti.

"Pada masa yang sama, saya bersyukur kerana kaum minoriti telah membalas dengan menyedari bahawa masyarakat majoriti juga mempunyai keperluan dan keprihatinan yang sahi," ujar beliau.

Mr Wong berkata, melalui semangat saling bertolak ansur dan mempercayai satu sama lain, kita telah menemui keseimbangan yang dapat diterima oleh semua orang.

“Tidak ada kaum yang mendapat semua yang mereka inginkan. Tetapi secara bersama, kita telah mencapai lebih banyak kejayaan berbanding dengan apa yang kita mampu capai dengan hanya memusatkan perhatian pada agenda individu sahaja,’’ tambah beliau.

Encik Wong menekankan bahawa pemerintah akan terus terlibat secara meluas, dan mengemas kini dasar-dasarnya mengenai kaum, serta dasar-dasar lain yang dapat membantu memperkukuhkan keharmonian di Singapura.

Warga Singapura, tegas beliau, harus terus bersuara dan mengadakan perbincangan yang beradab – bukan untuk bertengkar – mengenai isu-isu dan saling mendengar pandangan satu sama lain.

Beliau juga mengingatkan mereka agar tidak berkeras menuntut hak sepenuhnya untuk kelompok sendiri atau "meletakkan tafsiran terburuk pada setiap perkara yang mereka anggap sebagai penghinaan atau tidak peka".

Pemerintah, kata beliau, tidak akan pernah berganjak dalam komitmennya untuk menggalakkan keharmonian antara semua kaum, dan memastikan bahawa semua orang Singapura menikmati peluang penuh dan sama rata dalam hidup.

"Jika kita ingin terus mengembangkan ruang bersama kita, asasnya terletak pada sikap memandang serius pelbagai sudut pandang ini yang mencerminkan realiti hidup warga Singapura … Keharmonian kaum adalah projek seluruh masyarakat yang menjadi tugas dan tanggungjawab kita, ” kata beliau.

Cara Singapura memupuk keharmonian kaum bukanlah dengan mewujudkan masyarakat monolitik dan memaksa sebarang kaum untuk meninggalkan warisan atau tradisi mereka. Pemerintah akan terus terlibat secara meluas, dan mengemas kini dasar-dasarnya mengenai kaum, serta dasar-dasar lain yang dapat membantu memperkukuhkan keharmonian di Singapura.

- Encik Lawrence Wong

Sementara itu, dalam ucapannya di sidang Parlimen Julai lalu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, menekankan bahawa Dasar Integrasi Kaum (EIP) tetap relevan dalam usaha pemerintah melindungi dan menggalak keharmonian kaum.

“EIP adalah satu bahagian yang sangat penting kerana ia membantu memastikan kejiranan yang inklusif dan berbilang kaum. Ini kerana, jika kita biarkan sahaja kuasa sosial dan pasaran menentukannya, kawasan yang menjadi tumpuan satu-satu kaum akan muncul semula di pelbagai daerah di sini,’’ ujar beliau.

EIP, yang diperkenalkan dalam 1989, menetapkan kuota kaum yang boleh memiliki flat dalam dalam setiap blok dan kejiranan HDB. Ia adalah berdasarkan kadar kaum dalam penduduk Singapura keseluruhannya.

Sambil menarik perhatian kepada kenyataan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang bersetuju bahawa EIP tidak boleh dimansuhkan, Encik Lee berkata:

"Kita tidak boleh sekali-kali bersikap sambil lewa dan menyangka bahawa kita mampu mengenepikan mekanisme yang diwujudkan melalui kebijaksanaan generasi ke generasi untuk menjaga keharmonian masyarakat kita seperti sekarang. "