RENCANA
HARI SABTU 21 JANUARI 2017
Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim Foto : Jabatan Penerangan
K
EBERSIHAN ‌ satu isu yang sering diperkatakan. Seringkali juga kita mendengar akan pentingnya untuk menjaga kebersihan, baik kebersihan dari segi jasmani, rohani mahupun alam sekitar. Kenapa kebersihan itu sering diberikan penekanan? Dalam kesibukan kita menceriakan Bandar Seri Begawan (BSB) dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga dan orang-orang tersayang, menjaga kebersihan di kawasan bandar dan sekitarnya haruslah diberi perhatian sepenuhnya. Ia adalah penting bagi mewujudkan suasana yang selesa dan sedap mata memandang apatah lagi BSB mempunyai beberapa lokasi yang menjadi kunjungan para pelancong luar negara. Selain itu, pihak kerajaan juga telah membuat beberapa usaha ke arah membisaikan BSB, contohnya dengan penanaman pokok-pokok landskap bagi membisaikan lagi kawasan ibu negara. Sebab itulah menjaga kebersihan amat penting supaya segala keindahan yang terdapat di pusat bandar itu tidak tercemar ketika orang ramai bersuka ria dan beriadah bagi menghidupkan suasana BSB. Agama Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaganya kerana kebersihan adalah asas pada kesihatan. Agama Islam juga sangat menitikberatkan soal kebersihan. Bukankah kita sering kali mendengar bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Kebersihan merupakan salah satu cabang daripada iman, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud : ''Daripada Abu Malik Al-Ashari berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Kebersihan itu sebahagian daripada Iman.'' BERSIKAP BEKERJASAMA Dalam menjaga kebersihan, sikap saling bekerjasama di antara satu sama lain amatlah diperlukan. Menurut Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran, Bandar Seri Begawan, Awang Haji Ali bin Matyassin, walaupun Jabatan Bandaran memberikan perkhidmatan
membersihkan kawasan bandar, namun orang ramai disaran supaya bersikap bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan. Kerjasama sedemikian ujarnya adalah penting ke arah menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan terutama sekali di kawasan aktiviti-aktiviti Bandarku Ceria dilaksanakan setiap hari Ahad pada semasa ke semasa. ''Kesedaran mengenai kebersihan itu penting, di mana kesedaran hendaklah bermula dari rumah dan dibawa ke aktiviti-aktiviti Bandarku Ceria, kerana sikap ani bermula dari rumah,'' ujarnya. Kalau sikap sedemikian yang dibawa oleh orang-orang kitani katanya lagi, maka ia akan menjadi satu budaya, dengan itu sesiapa yang menjadikannya budaya, maka orang berkenaan tidak akan sesuka hati membuang sampah merata-rata terutama sekali di kawasan Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan kawasan sekitarnya serta kawasan jalan-jalan utama, tempat orang beriadah dan taman-taman rekreasi yang ada di negara ini. Apatah lagi sebagaimana yang kita ketahui, BSB mempunyai banyak bangunan bersejarah yang
ada culture heritage yang menjadi kunjungan para pelancong yang sekali gus akan menyaksikan suasana dan keindahan BSB. Oleh itulah jelasnya, menjaga kebersihan amat penting apabila berlangsungnya aktiviti-aktiviti bersempena Bandarku Ceria bagi memastikan kawasan bandar sentiasa dalam keadaan bersih. Beliau juga menyarankan agar orang ramai bersikap toleransi dengan keadaan semasa dan membuang sampah ke dalam tong-tong sampah yang disediakan pada tempat-tempat tertentu. ''Jangan dipertanggungjawabkan kepada agensi-agensi kerajaan yang memberikan perkhidmatan kebersihan pembuangan sampah dan sebagainya, kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini juga hendaklah bersama-sama membantu menjaga kebersihan,'' ujarnya. Dalam pada itu, keindahan landskap yang sedap mata memandang akan menimbulkan ketenangan minda dan jiwa. Landskap-landskap yang dibuat oleh pihak kerajaan pada kawasan-kawasan tertentu akan lebih menceriakan lagi kawasan bandar, namun keceriaan itu akan tergugat sekiranya tidak dijaga kebersihannya. Ini disebabkan sampah-sampah yang dibuang secara sembarangan boleh menjejaskan keindahan persekitaran bandar. Orang ramai yang melakukan aktiviti-aktiviti semasa Bandarku Ceria mahupun para penjaja hendaklah saling
KEBERSIHAN bukan hanya perlu dijaga di kawasan darat malahan juga di kawasan perairan.
19
berganding bahu dengan pihak berwajib agar landskap-landskap yang terdapat di kawasan bandar dikekalkan keindahannya dan tidak dicemari dengan sampah sarap yang dibuang sesuka hati oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. KEKALKAN KEINDAHAN Perairan Sungai Brunei juga tidak ketinggalan menjadi tumpuan bagi menjayakan Bandarku Ceria. Di samping menjaga kebersihan di kawasan darat di ibu negara, orang ramai juga perlu menjaga dan mengekalkan kebersihan di kawasan perairan Sungai Brunei. Oleh itu, orang ramai adalah disaran agar menjaga kebersihan kawasan perairan yang sentiasa sibuk dengan pengguna-pengguna perahu tambang itu memandangkan Kampong Ayer merupakan salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke negara ini. Jadikanlah panorama perairan Sungai Brunei dan Kampong Ayer satu keindahan yang menyejukkan mata memandang. Apa yang diharapkan isu menjaga kebersihan bandar ini tidak dipandang ringan atau diabaikan oleh penduduk yang telah sama-sama menceriakan BSB pada setiap hujung minggu. Marilah kita sama-sama menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu budaya dan didiklah tunas bangsa kitani agar mempunyai kesedaran sivik yang mantap tentang kebersihan.