Pelita Brunei - Rabu 17 Sept 2014

Page 11

HARI RABU 17 SEPTEMBER 2014

RENCANA

11

'Tak kenal, maka tak suka' Kurangkan rasa tidak biasa melalui kerjasama media Oleh : Musa Mohidin

Sekali sekala kita terbaca berita mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MoU Brunei-Thailand bagi kerjasama di bidang penerangan dan penyiaran; serta program dan aktiviti yang berkaitan dengannya. Apakah kemanfaatannya bagi masyarakat umum?

B

AGI mana-mana negara yang terletak berhampiran dengan negara-negara lain di dalam sesebuah rantau yang sama, perihal menjalin hubungan rapat berjiran merupakan salah satu dasar luar negara yang mustahak. Hakikat ini lebih-lebih lagi menjadi kemestian apabila kedua-dua negara berjiran berkenaan saling mengeksport dan import barangan dan perkhidmatan di mana nilai tahunannya adalah berbilion-bilion dolar. Memandangkan ikatan niaga begitu erat, maka adalah tidak elok kalau persepsi dan pengetahuan dalam kalangan penduduk kedua-dua negara masih di dalam keadaan samar-samar. Salah satu cara mengurangkan jurang pengetahuan mengenai kedua-dua negara berkenaan ialah dengan sering berjumpa dalam kalangan kedua-dua pihak. Selain sering berjumpa, jurang pengetahuan juga dapat dikurangkan dengan mendedahkan para penduduk kedua-dua negara berkenaan dengan keterangan yang disajikan di dalam bentuk penerbitan, pameran, berita, rencana dan dokumentari yang disiarkan melalui online, radio dan televisyen; dan persembahan kebudayaan dan muzik secara pementasan. Motif utama mengurangkan jurang pengetahuan ialah bagi membolehkan para penduduk saling faham-memahami dan menghargai kewujudan kedua-dua negara. Perihal mencapai tahap saling faham-memahami dan menghargai inilah yang berharga kerana iklim sosial yang berada di tahap tersebut adalah sukar diukur dengan nilai duit. Iklim sosial seumpama inilah kemanfaatan yang berbentuk bukan kewangan (non-monetary benefit) yang dilaratkan kepada para penduduk kedua-dua negara berkenaan. Ke arah mencapai tahap saling faham-memahami dan menghargai inilah yang diikhtiarkan setiap tahun oleh Negara Brunei Darussalam dengan Thailand melalui kerjasama media. Kerjasama tersebut menjadi rutin semenjak kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama di bidang penerangan dan penyiaran pada 16 Ogos 2001 di Bandar Seri Begawan dahulu. Sebahagian besar matlamat yang terdapat di dalam MoU itu dijelmakan secara nyata di dalam bentuk program-program dan aktiviti-aktiviti yang menitikberatkan penggunaan perhubungan awam. Oleh sebab sebahagian besar program-program dan aktiviti-aktivitinya dilaksana menggunakan perhubungan awam, maka perihal penyaluran dan penyebarannya memerlukan khidmat agensi-agensi yang mengendali kerja-kerja media. Di dalam konteks MoU ini, kerjasama yang dimaksudkan ialah di antara agensi-agensi media milik kerajaan kedua-dua negara. Justeru, bagi pihak Negara Brunei Darussalam perihal menjelmakan matlamat-matlamat berkenaan secara nyata dikendali oleh Jabatan Penerangan (bagi kerjasama di bidang penerangan) dan Jabatan Radio Televisyen Brunei (bagi kerjasama di bidang penyiaran iaitu yang melibatkan radio dan televisyen). Bagi Thailand, kerjasama di bidang penerangan dijelmakan secara nyata oleh Jabatan Perhubungan Awam (PRD), manakala kerjasama di bidang penyiaran pula dilaksana oleh organisasi-organisasi awam yang bertanggungjawab bagi radio dan televisyen.

Inti pati MoU Banyak kerja serius yang dilakukan setiap tahun oleh kedua-dua negara bagi mencapai iklim sosial yang bertahap saling faham-memahami dan menghargai. MoU bagi kerjasama di bidang penerangan dan penyiaran yang ditandatangani pada 16 Ogos 2001 diterajui oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama (JTC) yang bersidang setiap tahun. Negara Brunei Darussalam dan Thailand menjadi tuan rumahnya secara bergilir-gilir dan bagi tahun ini, Mesyuarat JTC Ke-13 diadakan di Bandar Seri Begawan pada 17-18 September 2014. JTC inilah yang menetapkan jenis-jenis program dan aktiviti yang dikendali setiap tahun oleh kedua-dua pihak.

DELEGASI Jabatan Penerangan yang menyertai program lawatan pertukaran terkini yang berlangsung di sekitar 25-29 Ogos tahun ini. Delegasi tersebut menghadiri jamuan malam dan persembahan kebudayaan di Aksra Theatre pada 25 Ogos 2014.

Jenis-jenis program dan aktiviti berkenaan adalah teras kerjasama media di antara agensi-agensi media milik kerajaan kedua-dua negara. Di dalam konteks kerjasama penerangan, program dan aktivitinya adalah dikendali bersama oleh Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam dan PRD Thailand. Program dan aktiviti kerjasama penerangan merujuk pada latihan dan penyelidikan, pertukaran penerbitan, lawatan pertukaran para pegawai penerangan dan wartawan, dan pameran bersama (yang mula diperkenal sejak 2007). Pameran Bersama Brunei-Thailand Keenam bagi tahun ini diadakan di Bandar Seri Begawan pada 17-20 September 2014. Matlamat pameran bersama ini ialah untuk memberi pendedahan kepada para penduduk kedua-dua negara mengenai perkara yang dilakukan bersama oleh Negara Brunei Darussalam dan Thailand secara dua hala, dan juga di peringkat-peringkat serantau dan antarabangsa. Pertukaran penerangan secara online di antara Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam dan PRD Thailand bermula sejak Julai 2008. Bagi kerjasama penyiaran pula, program dan aktiviti mengenainya melibatkan tiga komponen, iaitu televisyen, radio dan pertukaran berita. Kerjasama penyiaran juga termasuk persembahan muzik bernama Alai Pa Plern yang mengetengahkan artis-artis kedua-dua negara. Sejak 2008, persembahan muzik bersama Alai Pa Plern diadakan dua tahun sekali.

Program dan aktiviti kerjasama penerangan secara praktisnya Program pertukaran penerbitan dilakukan secara rutin oleh Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam dan PRD. Penerbitan dari Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam terdapat di PRD untuk disajikan kepada masyarakat umum Thailand, sementara penerbitan dari PRD juga terdapat di Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam untuk disajikan kepada masyarakat umum di sini. Program lawatan pertukaran pertama para pegawai penerangan dan wartawan dari Negara Brunei Darussalam pertama ke Thailand diadakan pada 26-31 Disember 2005. Program lawatan pertukaran terkini para pegawai penerangan dan wartawan dari Negara Brunei Darussalam ke Thailand diadakan pada 25-29 Ogos baru-baru ini. Bagi pihak Thailand pula, kali pertama delegasi negara tersebut menyertai program lawatan pertukaran ke Negara Brunei Darussalam ialah pada tahun 2004. Program lawatan pertukaran terkini dari Thailand ke Negara Brunei Darussalam berlangsung pada 26-30 September 2013. Program lawatan pertukaran seumpama ini memberi pendedahan mengenai bagaimana operasi media dilaksana di kedua-dua negara. Di samping itu, program tersebut membolehkan para pengamal media kedua-dua negara saling bertukar-tukar pendapat dan ilham bagi menajamkan lagi kemahiran di dalam mengendali kerja-kerja media. Program dan aktiviti kerjasama penyiaran secara praktis Secara sepintas lalu, program dan aktiviti kerjasama penyiaran dibahagikan pada beberapa jenis yang merangkumi kerjasama televisyen yang melibatkan pertukaran rancangan-rancangan televisyen, lawatan pertukaran para penerbit dokumentari dan menerbitkan bersama persembahan muzik (Alai Pa Plern). Di samping itu, kerjasama di bidang penyiaran juga melibatkan kerjasama radio yang merujuk pada pertukaran rancangan-rancangan radio, rancangan stesen radio berkembar dan lawatan pertukaran para kakitangan radio. Kerjasama di bidang penyiaran juga merangkumi kerjasama berita yang melibatkan lawatan pertukaran para penerbit berita dan pertukaran berita dan rencana.

Kesan yang dialami oleh masyarakat kedua-dua negara

DELEGASI Jabatan Penerangan singgah ke ASEAN Knowledge Corner ketika melawat ke Thailand Knowledge Park pada 26 Ogos 2014.

Kerjasama di bidang penerangan dan penyiaran mula dijelmakan secara nyata mulai 2005, iaitu empat tahun selepas Negara Brunei Darussalam dan Thailand menandatangani MoU tersebut pada 16 Ogos 2001. Oleh sebab sebahagian besar program dan aktiviti berkenaan dilaksanakan secara berterusan, konsisten dan terancang yang menghendaki agensi-agensi media kedua-dua negara menyalur dan menyebarluaskan penerangan dan berita, maka inilah yang dikenal pasti bahawa sebahagian besar pendekatan yang digunakan adalah menitikberatkan perhubungan awam. Pada dasarnya, perhubungan awam adalah pendekatan yang digunakan bagi mencapai kefahaman, penghargaan dan sokongan sasaran. Pendedahan berita dan keterangan-keterangan relevan yang dilaksanakan sejak 2005 adalah bermaksud untuk membolehkan penduduk kedua-dua negara mengetahui perkara asas mengenai Negara Brunei Darussalam dan Thailand. Masih banyak ruang pembaikan yang boleh dilaksanakan melalui MoU ini memandangkan usahasama mengenainya baru bermula sejak 2005 dahulu. Justeru, JTC adalah sentiasa menilai dan mengenal pasti mana-mana perkara yang perlu pembaikan.


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Issuu converts static files into: digital portfolios, online yearbooks, online catalogs, digital photo albums and more. Sign up and create your flipbook.