12
AGAMA
HARI RABU 8 OKTOBER 2014
Pengagihan daging korban kurnia Kebawah DYMM di daerah-daerah Daerah Belait Berita dan Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli
KUALA BELAIT, Ahad, 5 Oktober. - Seramai 203 ketua keluarga bagi golongan asnaf fakir miskin di Daerah Belait yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Brunei telah menerima pengagihan daging Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keluarga baginda. Majlis Pengagihan Daging Ibadah Korban Sunat baginda dan keluarga baginda telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman diadakan di Dewan Bandaran, di sini. Ketua-ketua keluarga yang menerima daging korban tersebut dari 11 buah kawasan di Daerah Belait meliputi Kampung Pekan Kuala Belait, Kampung Pandan ‘A’, Kampung Pandan 'B', Kampung Pandan ‘C’, Kampung Mumong, Kampung Sungai Teraban termasuk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panaga, Kampung Lumut I,
Kampung Lumut II, Kampung Sungai Liang dan Kampung Labi II. Sementara itu, ketua keluarga yang tidak hadir akan disampaikan oleh penghulu dan ketua kampung masing-masing. Setiap ketua keluarga menerima satu kotak berisi daging korban baginda dan keluarga baginda. Melalui pengagihan tersebut, hajat baginda serta keluarga baginda untuk beribadat korban pada Hari Raya Aidiladha akan sampai kepada penerima yang sebenarnya seperti yang baginda hasratkan. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah diikuti dengan Takbir Hari Raya yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Sungai Teraban, Awang Haji Omarali bin Haji Mohd. Hussain dan diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban tersebut serta disudahi dengan bacaan doa selamat oleh Imam Masjid Kampung Sungai Teraban. Ibadah korban dilakukan dalam masa empat hari bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Hari Raya Aidiladha
sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah. Ibadah korban menjadi suatu tuntutan yang sudah setentunya mendapat kelebihan besar serta ganjaran pahala daripada Allah bagi sesiapa sahaja yang mampu dan bersungguh-sungguh melakukannya tanpa banyak berkata-kata, khasnya mereka yang berada, mampu dan mempunyai kelebihan harta yang banyak. Bagi setiap orang penerima daging korban tersebut diingatkan supaya tidak membuang sisa daging dan tulang haiwan berkenaan dengan tidak menentu kerana dikhuatiri akan dimakan oleh binatang lain sebaliknya hendaklah menguburkan semua sisa tersebut kerana daging dan tulang haiwan yang dikorbankan itu, sungguh mulia disisi Allah Ta’ala. Amalan ibadah korban mengandungi banyak hikmah dan fadilatnya antara lain melatih dan membentuk mentaliti umat Islam supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain. Selain itu juga sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang sering kita
KETUA keluarga golongan asnaf fakir miskin terima daging korban sunat baginda dan keluarga baginda yang diagihkan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman.
ikrarkan dalam solat lima waktu dan menghidupkan sirah Nabi Ibrahim Alaihisallam yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum Muslimin. Antara yang hadir termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara
bagi Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad, Ketua Kampung Lumut I dan Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Yussof bin Haji Dulamin, Ketua Kampung Mumong, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan ketuaketua jabatan dan cawangan Daerah Belait.
Daerah Tutong Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
PEGAWAI Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali mengagihkan daging Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat baginda kepada penerima.
TUTONG, Ahad, 5 Oktober. Seramai 527 penerima asnaf fakir miskin di Daerah Tutong menerima
daging-daging Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1435 Hijriah. Daripada jumlah itu seramai 134 ketua keluarga dan 393 orang tanggungan mereka menerima daging ibadah korban sunat tersebut. Majlis Pengagihan Daging Ibadah Korban Sunat tersebut berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Kemasyarakatan, di sini. Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali. Majlis didahului dengan bacaan
Surah Al Faatihah beramai-ramai diikuti dengan Takbir Hari Raya Aidiladha diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Penabai / Kuala Tutong, Awang Haji Khairul Azmiy bin Haji Abu Bakar. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat; Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya; pegawaipegawai kanan kerajaan Daerah Tutong serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di daerah itu. Ibadah korban merupakan sunat muakkad (sunat yang dituntut) antara lain bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala, selain memperolehi banyak fadilat bagi mereka yang melaksanakannya.
Antara fadilat melakukan ibadah korban ialah bagi menambah amal kebajikan, di samping untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, selain mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Hadis dari ‘Aishah Radiallahuanha yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Termizi dan Al-Imam Al-Hakim, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada Hari Raya Aidiladha yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). “Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh ke bumi, maka berkiralah diri kamu dengan korban.”
Daerah Temburong Berita dan Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim TEMBURONG, Ahad, 5 Oktober. Seramai 80 orang terdiri daripada asnaf fakir miskin yang tersenarai di Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei di daerah ini menerima dagingdaging Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat baginda. Pengagihan daging-daging korban sunat tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato
Paduka Haji Abdullah, bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini. Terdahulu majlis dimulakan dengan takbir Hari Raya beramairamai dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Awang Haji Kamarulzaman bin Kamis yang juga mengepalai bacaan Surah Al Faatihah dan membacakan doa selamat. Majlis seumpamanya antara lain bertujuan bagi mensyiarkan Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM serta kerabat baginda kepada masyarakat dan rakyat, di samping
melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu majlis juga adalah bagi mengurus dan mengusahakan sebaik mungkin Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM serta kerabat baginda supaya hasrat baginda untuk bersedekah sebahagian daripada daging-daging korban kepada fakir miskin akan tercapai. Majlis seumpamanya diharap akan dapat menanamkan roh keimanan dalam kalangan orang-orang Islam supaya mengambil contoh yang ditunjukkan oleh baginda selaku Ulul Amri dalam perkara yang berkebajikan. Antara yang hadir dalam majlis itu, Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Ahad.
PENGAGIHAN daging-daging Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat baginda bagi Daerah Temburong disempurnakan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah.