10
RENCANA
HARI ISNIN 18 MEI 2015
Bandar Hijau Kitakyushu Rencana & Foto : Mohammad Rainie Haji Durani
D
ENGAN jauh penerbangan dari Lapangan Terbang Haneda mengambil masa kira-kira dua jam lebih, rombongan terdiri daripada pengamal media ASEAN yang menyertai Program Lawatan Kumpulan Wartawan ASEAN ke Jepun telah berkesempatan merasai pengalaman menarik di sebuah bandar yang diiktiraf sebagai 'Green Growth City' oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Tiba di Lapangan Terbang Kitakyushu juga merupakan satu pengalaman yang mengujakan bagi para pengamal media ASEAN, apa tidaknya lapangan terbang yang dibuka pada 16 Mac 2006 ini dibina di atas sebuah pulau buatan manusia di barat Laut Pedalaman Seto, 3 km (1.9 batu) dari daratan Bandar Kitakyushu. Bandar Kitakyushu ini merupakan sebuah bandar industri moden yang berhasrat menjadi sebuah model bandar hijau. Walaupun kegiatan perindustriannya meningkat namun penjagaan alam sekitarnya adalah menjadi satu keutamaan untuk mencapai kepuasan piawaian alam sekitar. Selain itu, bandar ini juga telah diiktiraf sebagai Model Bandar Eco Jepun oleh kerajaan pada Julai 2008 walaupun pada dahulunya bandar ini dibayangi dengan pencemaran yang teruk. Semasa Program Lawatan Kumpulan Wartawan ASEAN ke Jepun yang berlangsung pada 8 hingga 16 Februari 2015 lalu, penulis berkesempatan menikmati keindahan
alam sekitar yang bersih di Bandar Kitakyushu dengan keadaan langit biru tanpa sebarang pencemaran udara, air sungai yang jernih serta suasana yang nyaman menambah keceriaan di raut wajah setiap peserta untuk mengetahui lebih lanjut tentang bandar ini. Sepanjang dua hari berada di Bandar Kitakyushu ini rombongan telah dibawa ke tempat-tempat menarik di bandar ini. KUNJUNGAN KEPADA DATUK BANDAR KITAKYUSHU Semasa berada di Bandar Kitakyushu rombongan telah dibawa mengadakan kunjungan kepada Datuk Bandar Kitakyushu, Mr. Kenji Kitahashi. Kunjungan yang agak singkat ini hanya berlangsung selama 20 minit, di mana Datuk Bandar Kitakyushu mengalu-alukan kedatangan rombongan ke bandar tersebut. Dalam ucapanya, Mr. Kenji Kitahashi antara lain menyentuh mengenai program hijau yang dijalankan di bandar tersebut dan berharap agar rombongan akan menikmati pengalaman menarik sepanjang berada di sana. Sementara itu, wakil media, iaitu Azlina Aziz dari Bernama, Malaysia dalam ucapan balasnya antara lain mengucapkan penghargaan atas penerimaan Datuk Bandar ke atas kehadiran rombongan media ASEAN ke bandar berkenaan. LOJI PENULENAN AIR HONJO Loji Penulenan Air Honjo (Honjo
RUMAH Eco yang menggunakan tenaga hidrogen.
PANORAMA Kanmon Bridge dan Kanmon Strait dapat dilihat dengan jelas dari Mojiko Retro Observation Room.
Water Purification) yang terletak di 5-4-1 Ohiraki, Yahata-nishi Ward, Kitakyushu City, merupakan loji utama penulenan air di Bandar Kitakyushu di mana terdapatnya kemudahan memproses untuk air minum dan kemudahan untuk perindustrian. Di samping itu, ia juga memainkan peranan penting bagi Projek Kecemasan Paip Penghubung Utara Fukuoka (Northern Fukuoka Emergency Connecting Pipe Project), yang membolehkan Bandar Kitakyushu dan kawasan metropolitan Fukuoka untuk berkongsi air minum jika berlaku sebarang kecemasan. Sumber air bagi loji ini adalah dari Takungan Tonda dan Sungai Onga yang boleh menampung sebanyak 141,000 m/sehari untuk air minum dan 142,000 m/sehari untuk air perindustrian. Sementara itu, U-BCF (Upward Biological Contact Filtration) merupakan kaedah terbaru rawatan air yang terhasil daripada penyelidikan selama 10 tahun dari 1987 apabila sumber bekalan air dari Sungai Onga dicemari sisa air domestik. Pada tahun 1997, Kitakyushu Water telah memohon paten Jepun. Selepas itu pada 2006 ia U-BCF telah didaftarkan ke Pejabat Paten Jepun sebagai P-3831055. BANDAR HIDROGEN KITAKYUSHU Fukuoka Prefecture telah mencipta Bandar Hidrogen Kitakyushu, model masyarakat tenaga hidrogen, sebagai satu projek bersama dengan Persatuan Penyelidikan Bekalan Hidrogran / Penggunaan Teknologi (HySUT). Bandar tersebut memperoleh hidrogen daripada
ROMBONGAN media ASEAN semasa bergambar ramai bersama Datuk Bandar Kitakyushu, Mr. Kenji Kitahashi.
BANGUNAN Perpustakaan Peringatan Persahabatan Antarabangsa Kitakyushu merupakan salah sebuah bangunan di Daerah Retro Mojiko yang memiliki ciri seni bina Barat.
tumbuhan tempatan yang dijadikan sebagai tenaga bersih oleh penghuni bangunan ke diaman, perdagangan dan awam. Ia juga mewakili demonstrasi pertama di dunia bagi tenaga hidrogen yang melibatkan masyarakat secara keseluruhannya. Antara bangunan yang menggunakan tenaga hidrogen tersebut ialah DIY Big Box Store, Stesen Hidrogen, Rumah Eco, Rumah Kelab-Eco, Kediaman Berganda, Muzium Sejarah Alam dan Sejarah Manusia Kitakyushu. PROJEK RINTAS BAS ELEKTRIK SOLAR Di sini rombongan berkesempatan menaiki dan merasai bas elektrik solar. Ini merupakan suatu pengalaman baru bagi kami apabila berpeluang menaiki bas yang tidak menggunakan sebarang petrol. Bas yang menjadi kebanggaan Bandar Kitakyushu ini merupakan satu projek besar yang dibiayai oleh Kerajaan Jepun bagi mewujudkan sistem pengangkutan bebas pencemaran udara. Kerajaan Bandar Kitakyushu yang terletak di selatan Jepun ini, telah mengumumkan pada 10 Februari 2014 bahawa bandar tersebut dihasratkan akan 'diwujudkan sebagai sebuah bandar alam sekitar di dunia' dengan rancangan sistem pengangkutan sifar pelepasan yang tidak menghasilkan sebarang pencemaran seperti Karbon Dioksida (CO2). Oleh yang demikian satu penyelidikan dilaksanakan bagi menghasilkan bas elektrik, yang hanya menggunakan bateri yang boleh dicas semula menerusi elektrik yang dihasilkan oleh tenaga solar.
DAERAH RETRO MOJIKO Semasa memasuki Daerah Mojiko, rombongan media ASEAN amat teruja dan terpegun dengan suasana daerah ini yang berbeza daripada bandar-bandar yang dikunjungi sebelum ini. Di Daerah Mojiko ini, dapat dilihat beberapa bangunan ala-ala barat tersergam indah. Semasa era keemasan Mojiko, ia merupakan pusat pelabuhan perdagangan semasa era Meiji Taisho sekitar 1890-1940. Di samping itu, ia juga merupakan hab keretapi dan juga hab bagi perjalanan darat dan laut. Bandar Mojiko juga menjadi tumpuan kerana di sana merupakan sumber utama kewangan bagi perniagaan besar dan terdapat syarikat-syarikat besar yang lebih maju pada zaman tersebut. Sejarah revitalisasi Daerah Retro Mojiko disebabkan oleh beberapa pejabat utama syarikat-syarikat keretapi Kyushu berpindah ke Bandar Fukouka di mana ia menyebabkan mercu tanda bandar tersebut terancam. Oleh yang demikian, timbullah satu usaha istimewa apabila bandar tersebut diumumkan sebagai daerah bersejarah. Daripada pengamatan penulis sepanjang mengadakan lawatan di Bandar Kitakyushu ini, banyak amalan terbaik yang boleh diperoleh antaranya, bagaimana bandar tersebut mencipta teknologi untuk mengurangkan penggunaan petrol bagi mengurangkan pencemaran udara. Di samping itu, kerajaan Bandar Kitakyushu menginginkan rakyatnya menikmati kehidupan yang aman makmur daripada sebarang pencemaran. Apa yang penting adalah untuk menukar cara hidup dan sikap dalam menjalani kehidupan seharian.