6
HARI SABTU 15 OGOS 2015
KELUARAN KHAS
S
ETIAP penjawat Perkhidmatan Awam bertanggungjawab atas tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Bermula daripada mereka menerima jawatan yang ditawarkan bermakna persetujuan untuk memikul dan seterusnya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan telah termeterai di antara penerima jawatan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan juga Allah Subhanahu Wata'ala secara tidak langsung. “... Di antara rahasianya yang dapat dikesan ialah, kerana insan itu adalah jentera. Dia juga penggerak dan dia juga tunggak untuk melakukan sebarang pembangunan. Kalau jentera, penggerak dan tunggak berfungsi dengan elok, bukankah apa-apa jua yang dibangun nanti, akan mengikut elok juga?” Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1432 Hijrah / 2011 Masihi pada 12 Rabiulawal 1432H bersamaan 15 Februari 2011M. Setiap tugas dan tanggungjawab yang diberikan dalam menjalankan tugas harian pastinya menghadapi pelbagai dugaan, halangan dan cabaran. Namun dalam memastikan harapan, amanah dan tanggungjawab dilaksanakan, maka segala rintangan pasti akan diselesaikan sebaik mungkin. Jalan penyelesaian bagi tiap-tiap rintangan, halangan mahupun pelaksanaan dapat diatasi dengan mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama. Tujuan pastinya hendak mencari jawapan pada semua permasalahan dan kemungkinan yang timbul. Muafakat membawa berkat. Kemudian kerjasama dalam sama-sama memastikan kelancaran tugas dan tanggungjawab boleh saja dijalin bukan sahaja dalam kalangan warga kementerian dan jabatan sendiri, tetapi juga bersama warga perkhidmatan awam dari agensi kementerian dan jabatan berlainan serta pihak swasta yang sama-sama berperanan dalam membangun dan memajukan negara. Sikap jujur dan amanah yang sebati dengan leluhur kita sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta diikat tujuh puak jati dalam satu bangsa Melayu yang sama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri 1959. Pastikan niat berkhidmat ikhlas kerana Allah, agama, bangsa dan negara tercinta Brunei Darussalam, insyaaAllah niat dalam sama-sama membangun dan memajukan negara pastinya akan dirahmati dan dilindungi selalu oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Selalu ingatkan diri bahawa apa juga yang kita lakukan selain mencari rezeki yang halal untuk keluarga kita, tetapi juga untuk bekal kepada generasi berwawasan yang bakal meneruskan penerajuan negara dan bangsa kelak. Tanamkan sifat kerjasama dan muafakat yang kuat dalam kalangan warga bertugas, insyaaAllah, pastinya segala beban, halangan, rintangan mahupun cabaran serta dugaan dapat diatasi bersama. Kerjasama pasukan mampu membuat segala tugasan menjadi ringan seperti kata pepatah, Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat. Ini adalah
antara pepatah yang dapat dipegang dalam memastikan kerjasama yang akan, sedang dan telah terjalin akan tetap kekal. Setiap bahagian dalam penjawat jawatan Perkhidmatan Awam mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) diperkenalkan antaranya untuk memastikan setiap tugasan dijalankan dengan sistematik dalam satu jangka masa yang telah ditetapkan. “... Turut menjadi utama ialah Perkhidmatan Awam. Ia adalah jentera dan pemudah cara untuk kerajaan melakar kemajuan. Pada masa ini sahaja, skop dan tahap hajat orang ramai terus meningkat, di mana Perkhidmatan Awam perlu menyediakan ruang yang luas, termasuk penyediaan dasar-dasar dan pelaksanaan yang cepat lagi berkesan.” Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-27 pada 20 Rabiulawal 1432H bersamaan 23 Februari 2011M. Ini bertujuan bagi memastikan setiap bahagian menjalankan tugas dan memainkan peranan masing-masing dalam sama-sama menabur budi dan bakti kepada agama, raja, bangsa dan juga negara. Jika satu bahagian lumpuh atau tidak berfungsi dengan baik, pastinya akan menimbulkan masalah dan membantutkan kelancaran tugas bersama. Jangan anggap sumbangan tugas yang kecil tidak bermakna, ini kerana satu komponen yang hilang dalam satu jentera pastinya akan menjadi seperti anai-anai yang mampu memusnahkan sepohon pokok yang tegap, rendang dan tegak
berdiri dalam sekelip mata. Bayangkan apa akan berlaku jika itu terjadi? Pasti akan ada pihak yang rugi dan teraniaya akibat daripada apa yang telah berlaku. Kesannya mungkin dilihat daripada satu pihak, namun kesan yang besar mungkin ditanggung dan menanti bagi satu, dua ataupun beberapa pihak yang lain. Kebaikan yang diterima daripada sepohon pokok berkenaan mungkin mampu memberikan seribu kemanfaatan kepada hidupan yang lain. Apa akan terjadi pada mereka? Kerugian, kemusnahan malahan kehancuran tidak mustahil akan berlaku. “...Perkhidmatan Awam berkewajipan mengenal pasti sebarang kelemahan yang ada, serta menyediakan mekanisme bagi mengatasinya. Kelambatan atau kegagalan melaksanakan program-program kerajaan, sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana ia berisiko tinggi boleh menjadikan persaingan kita lemah untuk menarik pelaburan asing.” Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-27 pada 20 Rabiulawal 1432H / 23 Februari 2011M. Kemajuan dan kejayaan dalam menggalas tanggungjawab merupakan hadiah paling bermakna bagi negara. Jika kita berjaya melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan pastinya ganjarannya bukan hanya ucapan penghargaan bahkan memperolehi pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Ini adalah antara sumbangan yang dapat kita berikan dalam sama-sama membangun dan memajukan negara. Usaha dan sumbangan fizikal serta mental kita berikan adalah bagi kepentingan
bersama. Ganjaran pahala yang setimpal bergantung kepada keikhlasan kita menjalankan dan menggalasnya. Tanggungjawab, jujur, amanah, ikhlas, muafakat dan kerjasama Perkhidmatan Awam jentera pembangun dan pemaju bangsa serta negara. Kemajuan dicapai untuk negara, tanda kita bersatu sebagai satu bangsa, memastikan, menjalankan dan memelihara, segala nilai luhur bangsa dan juga kedaulatan negara, agar sentiasa berada dalam keadaan yang diredai dan terpelihara. Segala ancaman, dugaan, cabaran dan halangan kita tempuhi bersama. Usaha, doa dan tawakal bekal dibawa, bersama menggalas tugas dan tanggungjawab dari semasa ke semasa, semoga segala usaha, buah fikiran, keringat dan tenaga, membawa berkat berkekalan kepada bangsa dan negara, di bawah kepimpinan bijaksana dan kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di singgahsana. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!