3 minute read

Derita Pak Belang

Karya Terbaik Pelajar DeritaDerita PakPak BelangBelang

Advertisement

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni memang tidak cukup asing kerana merupakan lambang kemegahan negara Malaysia. Haiwan unik ini turut dikenali sebagai Pak Belang. Harimau Malaya secara puratanya bersaiz 2.4 meter panjang dan seberat 120 kilogram. Tidak dinafikan, si pemangsa ini memang kelihatan comel dengan kepala yang bulat, mata bersinar, bermisai serta berbulu mirip dengan kucing yang selalu kita temui. Hal ini kerana harimau tergolong dalam keluarga kucing. Namun, habitat mereka tidak sama seperti kucing biasa. Kucing gergasi ini tinggal di dalam hutan. Pokok yang tinggi memberi tempat untuk mereka berehat manakala kehadiran semak-samun membantu mereka untuk bersembunyi sambil mengintip sebelum menangkap mangsa. Pemangsa ini akan bertindak dalam diam dengan mengintai mangsa kemudian bertindak tangkas dengan menerkam mangsa menggunakan gigi dan kuku yang tajam. Tidak hairanlah kucing gergasi ini cukup ditakuti sekalian makhluk di dalam hutan termasuk manusia sendiri. Malangnya, populasi Pak Belang semakin hari semakin berkurangan.

Harimau Malaya merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Bagi kesalahan berkaitan harimau, hukuman minimum adalah RM100,000 dan/atau hukuman maksimum sehingga RM500,000 dan/atau lima tahun penjara akan dikenakan. Pada Julai 2015, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) telah mengiktiraf harimau sebagai ‘Terancam Kritikal’ di bawah Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (IUCN Red List of Threatened Species) yang membawa maksud bahawa populasi mereka adalah di tahap genting sebelum mengalami kepupusan. Melalui program Tinjauan Harimau Kebangsaan pada tahun 2016 hingga 2020 yang dianjurkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Tabung Alam Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia) serta organisasiorgansasi bukan kerajaan yang lain, dipercayai lebih kurang 200 ekor sahaja harimau yang masih hidup di hutan kita. Habitat utama harimau merentasi tiga lanskap iaitu BelumTemengor (Perak), Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Johor, Pahang).

Terdapat banyak faktor yang membawa kepada ancaman ini. Antaranya adalah pemburuan dan perdagangan haram. Nilai harimau yang sangat tinggi dalam pasaran gelap telah menjentik sikap rakus dalam kalangan pemburu haram untuk bersifat licik dalam mendapatkan apa yang mereka mahu. Disebalik warna kulitnya yang menawan serta sifat fizikalnya yang dapat menunjukkan statusnya yang sangat bernilai, harimau diburu secara haram bagi mendapatkan anggota-anggota badan seperti tulang, darah dan organ pembiakan bagi perubatan tradisional cina. Bahagian badan lain seperti kuku, gigi dan kulit diambil sebagai trofi, tangkal dan sebagai barangan koleksi manakala dagingnya dijadikan hidangan eksotik.

Selain itu, sikap manusia yang hampir setiap hari memusnahkan sebahagian hutan dengan aktiviti pembalakan serta pembangunan telah menyebabkan harimau kehilangan habitat mereka. Harimau memerlukan pokok-pokok serta semak samun untuk bersembunyi bagi menangkap mangsa. Dengan ketiadaan habitat asal, mereka turut kehilangan sumber makanan utama seperti babi hutan, rusa dan kijang. Keadaan ini memaksa harimau keluar dari hutan dan menceroboh kediaman atau kebun-kebun penduduk berdekatan hutan yang menyebabkan berlakunya konflik dengan manusia.

Sekiranya perkara ini terus berlaku, bukan sahaja harimau terus lenyap dari hutan kita. Tetapi, kita juga akan mendapat kesan yang buruk. Dengan ketiadaan harimau, ekosistem akan menjadi tidak stabil dan seimbang. Sifat harimau sebagai pemangsa terbesar memainkan peranan dalam menstabilkan ekosistem. Tanpa kehadiran harimau dalam ekosistem, sudah pasti keadaan hutan akan menjadi kacau bilau. Sebagai contoh, populasi haiwan perosak seperti babi hutan akan bertambah sekaligus merosakkan struktur hutan.

Kita semua perlu sedar betapa pentingnya kewujudan harimau dan haruslah menamatkan penderitaan harimau dengan terus berusaha untuk meningkatkan atau sekurangkurangnya mengekalkan populasinya. Ini bagi memastikan harimau tidak mengalami nasib yang sama seperti badak sumatera yang telah pun pupus dari muka bumi Malaysia beberapa tahun yang lalu.

Siti Nur Hafizah Ismail Kursus BDV3701 Pengurusan Hidupan Liar Sesi 2021/2022

This article is from: