Sudut Info
KENALI BUSANA TRADISIONAL Warisan seni budaya memberi perlambangan terhadap tamadun sesuatu bangsa. Warisan ini masih dikekalkan kerana mempunyai identitinya yang tersendiri. Budaya tradisional sesuatu bangsa adalah mencakupi amalan dan cara hidup mereka termasuklah eleman-eleman pakaian, makanan, adat resam, kesenian dan sebagainya. Jika dilihat kepada busana (pakaian) setiap negeri di Malaysia, khususnya busana Melayu di negeri-negeri, keunikan, keaslian dan keindahan busana tradisional dengan pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta warnanya adalah mempunyai maksudnya yang tersendiri. Perkongsian maklumat berkaitan busana tradisional adalah seperti butiran di bawah : BUSANA PUTERA LIMAU PURUT Baju Si Awang Sulung bertekat benang emas dipadankan dengan baju kurung cekak musang bersama seluar rencong Acheh. Boleh dipakai sedondon, tetapi lebih menarik jika berlainan warna. Dilengkapkan bersama ikatan sampin ‘Ombak Beralun’ serta dikemaskan dengan lilitan bengkung di pinggang. Dipakaikan ‘Tanjak Sering’ di kepala bersama ‘Bunga Tajok’ dan ‘jurai’ serta perhiasan lain seperti rantai leher, keris dan berkasut tekat benang emas. BUSANA PUTERI LIMAU PURUT Baju potongan kurung cekak musang dipadankan bersama seluar rencong Acheh. Boleh dipakai sedondon, tetapi lebih menarik jika berlainan warna. Dilengkapkan bersama ikatan sampin ‘Ombak Beralun Bersusun Sireh’ dan dikemaskan dengan lilitan bengkung di pinggang. Selendang panjang kain limar disendengkan ke bahu kanan dan dibiarkan berjuntai ke belakang hingga ke paras lutut. Diserikan bersama perhiasan seperti tetapan dahi, rambut berjurai kanan, pacak ketar 7, rantai leher, anting-anting, gelang tangan dan kaki, serta berkasut tekat benang emas.
BUSANA PUTERI GANGGA SARI Gabungan baju labuh kain susun bertindih di hadapan, bersama baju dagang luar seakan potongan Kebaya Pendek Kota Bharu yang labuhnya cukup menutup paras punggung. Selendang panjang diselitkan di bawah pending hadapan dan disikapkan ke bahu sebelah kanan dan kiri lalu dibiarkan berjuntai ke belakang sehingga ke paras lutut. Diserikan bersama perhiasan kepala yang bersesuaian, rambut berjurai kanan, pending emas, gelang tangan dan kaki, rantai leher emas derai tiga, anting-anting dan berkasut tekat benang emas.
13