Zuriah Mohamad
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA), satu pameran seni visual yang berjudul ‘Admiral’ telah diadakan di Balai Seni Negara (BSN), Kuala Lumpur. Pameran istimewa ini merupakan garapan karya seniman multidisiplin yang juga pensyarah di akademi tersebut. Ia menghimpunkan lebih daripada 50 karya lukisan ‘abstrak ekpresionis’ bermula dari tahun 2010 sehingga kini. Menurut seniman tersebut Rasfan Abu Bakar, pameran ini sangat istimewa kerana ia merupakan pameran solonya yang ke tujuh sepanjang dirinya berkecimpung dalam dunia seni visual tanah air. Pameran ini memperlihatkan ciri-ciri kedewasaannya dalam berkarya dan ia jelas terlihat pada karya yang dipamerkan. Komposisi warna dan olahan ruang benar-benar berbeza dari masa ke semasa kerana setiap tahun komposisinya berubah dan tidak statik. Kepelbagaian warna juga terserlah kerana campuran warna serta media yang dipilh juga turut berubah. Bagi pameran kali ini, tema Admiral yang bermaksud laksamana dipilih kerana Rasfan begitu tertarik dengan peranan dan tanggungjawab seorang pahlawan di laut yang sering berhadapan dengan pelbagai situasi tidak menentu seperti lambungan ombak, taufan, gelora, panas terik matahari dan pelbagai lagi. Fenomena alam laut yang sukar diramal ini dijadikan sebagai satu inspirasi buat Rasfan dan seterusnya menterjemahkannya dalam bentuk lukisan abstrak ekspresionis. 7
CITRA BUDAYA 2/2019
Menerusi siri Admiral ini, jelas kelihatan sapuan warna yang keras, terang dan bertenaga kerana ia adalah metafora kepada keadaan laut yang sentiasa sukar untuk dijinakkan. Garisan-garisan yang terhasil juga memberikan impak ritma yang ada masanya tenang dan kadangkala ganas
Kombinasi warna panas dan sejuk juga memberikan kesan mood pada keseluruhan karya. Warna-warna ini merupakan representasi kepada keadaan semasa di laut seperti waktu subuh, tengah hari dan lewat petang. Dalam perihal ini, seni mengadun warna adalah sangat penting kerana karya abstrak tidak mempunyai rupa disebabkan semua bentuk dan rupa telah dibebaskan menjadi ruang. Justeru itu, kefahaman dalam skema warna sangat penting agar warnanya matang dan masak. Kegagalan mengadun warna akan menyebabkan karya menjadi jelik dan tidak berjaya.