PEMBELAJARAN MODUL TARI
PEMBELAJARAN TARIAN ASYIK TARIAN ASYIK Tarian Asyik merupakan sebuah tarian istana yang begitu terkenal di negeri Kelantan. Tarian Asyik ditarikan di istana-istana raja. Penari tarian asyik terdiri daripada dayang-dayang yang telah dilatih khas. Tarian ini biasanya dipersembahkan dalam upacara-upacara negeri, di majlis perkahwinan dan malam berinai besar di istana. SEJARAH DAN ASAL-USUL Menurut Hikayat Patani, raja perempuan yang memerintah Patani pada abad ke-17, iaitu Raja Kuning, terdapat 12 orang penari istana yang dikenali sebagai Asyik. Tarian ini berasal daripada kisah seorang raja yang memelihara seekor burung. Mengikut cerita, burung peliharaan kesayangan baginda telah terlepas dari sangkar. Baginda telah berusaha mencari hingga ke hutan. Walaupun bertahuntahun mencari burung kesayangannya itu, namun usahanya gagal. Ini menyebabkan baginda begitu kecewa. Untuk menghilangkan rindunya terhadap burung kesayangannya, baginda telah memerintah dayang-dayangnya mencipta sebuah tarian yang meniru gerakgeri burung. Setiap kali baginda terkenangkan burung kesayangannya, dayang-dayang akan menghiburkan baginda dengan tarian Asyik. Perkataan Asyik memberi maksud kekasih atau orang yang sangat dicintai. Pengertian perkataan kekasih ini sesuai dengan gerak tarinya yang bersifat lemah gemalai, bersopansantun dan penuh tertib.
FUNGSI Pada zaman dahulu, tarian Asyik dipersembahkan kepada tetamu semasa keramaian di istana seperti hari ulang tahun sultan dan perkahwinan diraja. Pada masa kini, tarian ini dipersembahkan oleh badanbadan kebudayaan dan kesenian sebagai persembahan untuk dipertontonkan kepada pelancong dalam dan luar negara. BUSANA DAN TATARIAS Pakaian penari Asyik terdiri daripada baju Menora, kain ikatan lipat di depan yang dipanggil Lipatan Ombak Beralun, selendang panjang dan tali pinggang. Aksesori tarian Asyik ialah Pemeles, Sanggulgoyang, Dokoh, Bunga Jurai, Cekak Tangan, Bengkung dan Pending. Dari segi pemakaian, selendang panjang diletakkan di atas bahu kanan. Hujung depan selendang di diselitkan di belakang pending. Rambut penari disisir rapi dan disanggul di belakang. Pemeles diletakkan di bahagian dahi. Sanggulgoyang dicucuk di sanggul. Dokoh dipakai di bahagian dada. Pending dipakai di bahagian pinggang.
CITRA BUDAYA JKKN
13