5 minute read

GARIS KE GERAKAN: LUKISAN FIGURA DALAM ANIMASI

Zuriyadi Sarpin

Negara tanpa tamadun yang lengkap seni dan budayanya merupakan sebuah negara yang pincang dan hilang identitinya. Budaya itu membentuk suatu masyarakat sehingga membuatkan ia terkenal, menjadi hebat dan dihormati. Dalam memaknakan erti budaya terdapat pelbagai cabang seni dan budaya yang dapat membantu memperkasakan sesebuah bangsa melalui isi penceritaan dan lakaran figura berindentitikan lokal seperti karya animasi. Perkembangan animasi di Malaysia bukanlah baharu namun ia telah berkembang secara dinamik dan diwarnai lagi dengan pertumbuhan pesat pusat-pusat pengajian yang menawarkan pengajian dalam bidang animasi ini. Difahamkan animasi terawal bermula pada tahun 1946 apabila tertubuhnya Unit Filem Malaya yang selepas itu dikenali sebagai Filem Negara Malaysia.1 Apabila menyoroti sejarah ini kita tidak akan dapat lari dari menceritakan kehebatan Bapa Animasi Malaysia iaitu saudara Hassan Muthalib. Tayangan animasi “Hikayat Sang Kancil” menjadi satu fenomena bagi anak-anak kelahiran tahun 70an dan 80an. Dalam serba kekurangan sama ada melalui teknologi mahupun kepakaran beliau berjaya melakukan penyelidikan dan menerbitkan sebuah animasi yang menjadi perintis perkembangan animasi di Malaysia.2 Perkembangan ini disusuli dengan kewujudan progam Multimedia Super Corridor (MSC) pada tahun 1996 dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia bakal menuju sebuah negara maju dan moden pada tahun 2020. Hasrat ini disambut baik dengan pelbagai insentif yang diberikan

1 https://tuanwaheda.wordpress.com/2012/12/17/antara-animasi-terawal-tempatan/ 2 https://www.hmetro.com.my/itmetro/2017/08/254070/pak-hassan-bapa-animasi-malaysia

oleh pihak kerajaan bagi mana-mana syarikat berdaftar yang mendapat status MSC ini. Sejarah perkembangan pengajian secara formal dalam bidang animasi berkomputer pula bermula dengan tertubuhnya universiti khusus untuk MSC iaitu Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada Julai 1996. Seterusnya kerajaan telah mula memperkenalkan Sekolah Bestari diseluruh Malaysia dengan tujuan merancakkan lagi bidang teknologi, IT dan multimedia kreatif. Kita abaikan apakah status kejayaan kepada program MSC ini kerana kita tahu ia secara tidak langsung ia telah membantu meledakkan perkembangan animasi janaan komputer secara 3D di Malaysia secara khususnya.3 Peranan animasi dan perkembangan budaya bangsa sesebuah negara itu amat rapat. Melalui Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN), Animasi diletakkan dibawah salah satu dari empat (4) bidang fokus iaitu Media. “DAKEN digubal dengan mengambil kira prinsip-prinsip yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 dan perkembangan budaya semasa. Integrasi budaya menjadi naratif baharu kebudayaan Malaysia kearah pembentukan identiti nasional”4

Merujuk kepada pernyataan tersebut maka animasi bukan sahaja sekadar merekabentuk satu penceritaan melalui lakaran mahu pun teknologi digital dan dizahirkan dalam bentuk 2D atau 3D namun ia berperanan dalam membantu pembentukan identiti tempatan pada masa yang sama membawa pelbagai mesej yang sarat untuk membantu perkembangan tamadun sesebuah bangsa. Kebanyakkan karya animasi yang dihasilkan membawa kebudayaan tempatan dengan penceritaan yang asli dengan pengisian plotplot terbaik bagi menyampaikan kesedaran dalam konteks pendidikan tidak formal.

3 Sivamurugan Pandian, 2002. Legasi Mahathir m.s 134 Penerbit: Utusan Publications. 4 Dasar Kebudayaan Negara 2021 Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membawa pameran Garis ke Gerakan: Lukisan Figura dalam Animasi dan saya telah dijemput untuk menulis didalam katalog pameran ini. Saya dibawa menyoroti beberapa karya pelajar untuk diamati dan dilihat perkembangannya. Ternyata karya-karya pelajar ini mencapai kualiti yang baik dan dapat dilihat bahawa pelajar ini menguasai teknik dan faham bagaimana mengolah karya figura ini dengan memasukkan elemen tempatan bagi tujuan animasi. Seperti yang pernah saya utarakan dalam penulisan lain sebelum ini, pengkarya merupakan seorang saintis dalam bidang seni. Pengkarya harus mahir dalam membuat kajian menggunakan pelbagai methodologi sebelum karya akhir dihasilkan. Kajian-kajian ini akan membentuk satu pemahaman dalam menghasilkan karya seni yang menarik. Oleh itu, setiap watak yang dicipta oleh pelajar seharusnya mempunyai karisma dan daya penarik. Selain dari itu, penghasilan figura animasi seharusnya mempunyai nilai komersial dan juga nilai estetika yang tersendiri. Melihat kepada beberapa contoh karya figuratif seperti penghasilan wayang kulit yang merupakan antara contoh awal sejarah kemunculan gaya animasi di Malaysia. Seniman Nik Zainal Abidin Nik Salleh yang merupakan seniman kelahiran Kelantan telah mengadaptasi dan mengangkat watak-watak tradisi Wayang Kulit Kelantan menerusi karya-karya beliau. Nik Zainal antara pelukis moden terawal yang menemukan bentuknya tersendiri. Intipati dan inspirasi daripada ‘Kesenian Melayu’ menghiasi sepuluh catan dalam Koleksi Tetap Balai Seni Negara. Wayang kulit menjadi elemen penting dalam karyanya seperti imej dan watak-watak seperti Sri Rama, Maharaja Rawan dan Laksamana. Figura lelaki seperti gaya Tok Dalang bersama rebab, satu instrumen paling penting di dalam persembahan Wayang Kulit berserta alatan tradisi yang lain seperti canang, gedombak, kesi dan tetawak. Perkembangan seni Wayang Kulit ini memperlihatkan transisi dari dunia panggung dan bayang, beliau mengubah tradisi persembahan dan pembuatan wayang kulit ke dada kanvas.

Beliau merupakan pelukis seni moden terawal yang memanfaatkan tradisi dengan pemindahan wayang kulit ke dalam karya seni lukis. Beliau dianggap trendsetter di dalam bentuk karya sedemikian. Antara koleksi popular dalam simpanan Balai Seni Negara adalah karya “Puja Pantai”. Ia merupakan sebuah karya beridentiti budaya dengan merakamkan peristiwa pemujaan yang terakhir diadakan di Malaysia pada tahun 1975 sebelum pesta ini diharamkan. Nik Zainal memiliki kaedah dan gaya penyusunan yang menarik menggambarkan kepakaran beliau dalam menginterpretasikan tradisi Wayang Kulit Kelantan menjadi lukisan dengan komposisi yang menarik.5

Manakala bagi pelajar ini, mereka berjaya mencantumkan eleman budaya tempatan dengan penghasilan watak-watak baharu melalui cerita rakyat dan hikayat kepada bentuk yang lebih moden. Pengolahan watak ini amat penting dalam meningkatkan nilai kreativiti pelajar sekaligus menjadikan karya ini sesuai diadaptasi dalam bentuk animasi. Pengekalan imej tempatan/tradisional dan sentuhan moden

Puja Pantai (1958) oleh Nik Zainal Abidin Nik Salleh

5 Rahimidin Zahari. 2012 “Dari Kelir Ke Kanvas” – Katalog SUSURMASA. Kuala Lumpur; Balai Seni Negara

yang diberikan menjadikan watak-watak yang dihasilkan lebih menonjol. Pengkalan budaya dan sedikit sentuhan moden menjadikan karya ini mempunyai persona tersendiri. Watak-watak superhero atau robotik yang dicipta kebanyakannya diangkat dari sumber kesusasteraan Melayu, kisah-kisah mitos atau lagenda rakyat tempatan mahupun cerita rakyat ini. Terdapat juga karya/karektor animasi ini diilhamkan dari gabungan haiwan dan manusia yang digelar sebagai anthropomorphism.6 Pengekalan kebudayaan tempatan ini penting dalam memberi refleks kepada pengaruh animasi Jepun dan Barat.

Adalah diharapkan agar usaha ASWARA melahirkan pelajar-pelajar berbakat seperti ini mampu mengangkat industri animasi di Malaysia seterusnya ke pasaran global. Kelahiran tenaga mahir generasi baharu amat penting dalam mengekalkan momentum penguasaan karya seni animasi sedia ada seperti animasi Silat Lagenda, Anak-Anak Sidek, Usop Sontorion, Keluang Man, Omar dan Hana, Awang Khenit, Bola Kampung, Puteri, Ejen Ali, Boboiboy, Upin Ipin dan sebagainya. Selamat Maju Jaya!

6 BUDAYA KEBANGSAAN DALAM KARYA-KARYA SENI KARTUN EDITORIAL PRA DAN PASCA MERDEKA, Conference Paper · September 2015

This article is from: