
1 minute read
KARYA, PENGKARYAAN, PENGKARYA DAN KARYAWAN?
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);
KARYA: hasil kesenian dan lain-lain; ciptaan: karya seni lukis. berkarya menghasilkan karya (tulisan, ciptaan, gubahan, dan sebagainya): Beliau berkarya untuk mengisi masa lapangnya.
Advertisement
PENGKARYAAN: perihal atau perbuatan menghasilkan karya; penciptaan (sesuatu karya): Kumpulan penulis itu agak kurang cergas dalam soal pengkaryaan.
PENGKARYA: orang yang berkarya.
KARYAWAN: orang yang banyak menghasilkan karya.
*Apa yang tercatat dalam buku ini adalah sebagai panduan sahaja. Defini dan penjelasan adalah dari sumber DBP.
Untuk memahami setiap definisi dengan lebih mendalam, kita mestilah rajin untuk membuat rujukan kerana setiap definisi itu akan berbeza mengikut negara, budaya dan industri malahan teori daripada para sarjana, ahli akademik dan karyawan-karyawan ternama.
BAGAIMANA UNTUK MENCEBURI BIDANG INDUSTRI KREATIF MULTIMEDIA?
Dalam siri trilogi penulisan buku ini, saya akan mengfokuskan kepada bidang Industri Kreatif Multimedia.
Bagi Industri Kreatif Seni Budaya Dan Industri Kreatif Warisan Budaya, saya akan berusaha menghasilkan struktur dan penulisan karya yang serupa dalam siri kedua dan ketiga bagi buku trilogi Industri Kreatif Malaysia ini tetapi selepas buku ini mendapat sambutan daripada anda!
Jadi, teruskan sokongan anda terhadap karya-karya saya, terima kasih daun keladi!
Untuk memahami konteks Industri Kreatif Multimedia, mari kita ingati kembali definisinya. Mengikut Dasar Industri Kreatif Negara, Industri Kreatif didefinisikan sebagai industri-industri yang melibatkan kreativiti individu, keterampilan, dan bakat yang mempunyai potensi menjana kekayaan serta penciptaan peluang pekerjaan melalui penggalakan dan eksploitasi harta intelek.
Industri Kreatif Multimedia ini terdiri daripada industri-industri yang mengaplikasikan kemajuan teknologi terkini dalam menghasilkan produk-produk kreatif. Antara industri di bawah kategori ini adalah Penerbitan Filem dan TV; Pengiklanan; Seni Reka; dan Animasi dan Kandungan Digital.
Jadi secara ringkasnya, Industri Kreatif Multimedia adalah industri utama kepada pembangunan dan perkembangan industri kreatif tanah air. Jika dirujuk kepada Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Industri Kreatif Negara bernilai RM16 billion berdasarkan kepada Pengiklanan, Animasi, Isi-Kandungan Digital, Filem, Program TV, Permainan Digital, Video dan Muzik.
Pada tahun 2011, Industri Media dan Hiburan telah memperolehi pendapatan sebanyak RM9.4 billion, membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada lebih 45,000 pengiat industri kreatif tanah air dan telah menyumbangkan sebanyak 1.27% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).