1 minute read

UMT Ungguli National Logistics Quiz Championship

Lima orang mahasiswa Sarjana Muda Pengurusan Maritim tahun tiga, Nurul Hani Amirah Rahim, Yusrisariy Ramlan, Muhammad Fawwaz Adli Kaharuddin, Sharil Ikmal Abdullah, Najwa Farhanis Md Nazri telah dinobatkan sebagai juara dalam National Logistics Quiz Championship pada 29 Oktober 2022 yang berlangsung di The Ship Campus, Batu Kawan, Pulau Pinang.

National Logistics Quiz Championship merupakan kuiz logistik yang pertama kali diadakan dan bertujuan untuk memacu pertumbuhan industri logistik dan maritim di samping membuka minda para pelajar untuk mempamerkan kemampuan mereka di gelanggang kuiz.

Nurul Hani Amirah Rahim, pelajar Fakulti Pengajian Maritim mengucapkan syukur atas kemenangan ini, “Alhamdulillah segala usaha keras kami telah membuahkan hasil pada malam ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan bimbingan dan bantuan terutamanya rakan- rakan serta ibu dan ayah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi penyampaian hadiah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim, Prof. Madya Ts. Dr. Nurul Haqimin Mohd Salleh berkata, pertandingan kuiz ini sangat signifikan dengan keperluan mahasiswa pada masa kini. Ia mampu mendidik mahasiswa menjadi bakal graduan yang lebih peka terhadap isu semasa dan produktif dalam mencari isu penyelesaian. Saya berharap dengan asuhan sebegini, negara akan dapat melahirkan lebih ramai bakal-bakal pemimpin yang berwibawa.

Saingan sengit telah diberikan daripada 5 orang mahasiswa Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) UUM. Meskipun begitu, keunggulan UMT tidak dapat ditentang oleh UUM sekali gus membawa pulang Trofi Piala Pusingan “Dato Seri Dr Michael Tio”, pingat, Sijil penyertaan dan Hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.