
3 minute read
Pendahuluan
Ibu-ibu yang dikasihi, adakah anda berasa payah? Adakah anda kerap berasa perkara yang terjadi tidak seperti yang diharapkan?
Saya dibesarkan di sebuah perkampungan. Sejak kecil lagi, saya sangat suka akan alam semula jadi, suka bergaul dengan orang lain, tidak suka dikongkong, dan tidak suka akan kehidupan yang statik. Semenjak berkahwin dan mempunyai anak, saya menyedari bahawa saya memilih sesuatu yang bertentangan dengan personaliti saya, iaitu menjadi suri rumah tangga untuk menjaga suami dan anak. Apabila saya membuat keputusan ini, saya dapat merasakan perubahan yang besar dalam hidup saya. Rupa-rupanya menjaga anak bukanlah perkara yang menyeronokkan seperti yang dibayangkan selama ini, tidak seperti yang diceritakan dalam cerita dongeng: Sejak itu, raja dan permaisurinya hidup bahagia selamalamanya.
Ketika saya mengimbas kembali waktu saya harus berdepan dengan anak-anak selama 24 jam, menyusu mereka setiap dua setengah jam atau tiga jam, menukar lampin, mencuci lampin yang tidak berkehabisan, berdepan dengan anak-anak yang hanya tahu bahasa mereka sendiri. Pada waktu itu, saya bertanya kepada diri sendiri berulang kali: “Bilakah kehidupan sedemikian akan berakhir?” Namun, disebabkan pelbagai ujian dan rintangan sewaktu membesarkan anak-anak, saya berpeluang berdepan dengan diri saya sendiri. Saya belajar daripada pelbagai sumber dan mengambil kesempatan yang ada serta memberikan ruang kepada diri sendiri untuk bertumbuh.
Ketika mengingatkan latar belakang saya: Saya kehilangan ibu ketika berumur 10 tahun. Saya sama sekali tidak tahu menjaga diri, tidak pernah memikirkan untuk berkahwin, apatah lagi mempunyai anak! Tetapi, Tuhan bukan sahaja memberi peluang kepada saya
untuk menemani ramai ibu mengharungi pelbagai rintangan, bahkan menjadi teman mereka yang menangis dan ketawa bersamasama.
Saya tidak pernah memikirkan untuk menulis buku, namun atas dorongan seorang rakan sekerja, saya berpeluang untuk menulis artikel tentang kekeluargaan dalam majalah Amanat Agung (penerbitan pelayanan Cru, yang nama asalnya Campus Crusade for Christ). Sering kali ada pembaca yang memberi respons yang positif dan mengharapkan artikel sedemikian dibaca oleh lebih ramai orang lagi. Saya tidak menganggap diri sudah berjaya dalam mendidik anak-anak, namun setiap kali saya memberikan ceramah dan berbual dengan orang lain, respons mereka adalah: “Pengalaman yang kamu kongsi itu sangat praktikal, kalaulah orang lain turut mendengarnya…”, “perkongsian kamu sangat sangat relevan bagi aku, kesalahan yang kamu lakukan, turut aku lakukan…”, “Contoh yang kamu beri sangat praktikal dalam kehidupan harian,” dan sebagainya. Semua respons ini telah menjadi dorongan saya untuk menulis buku ini.
Sewaktu saya menulis buku ini, saya berpeluang pergi ke beberapa buah kedai buku dan melayari internet untuk mencari bahan-bahan yang berkenaan. Wah, memang tak terkira banyaknya! Ketika berdiri di hadapan buku-buku ini, saya bertanya kepada diri sendiri: “Mengapa saya harus menambahkan lagi jenis buku yang serupa? Lebih kurang 80% buku yang dijual di kedai buku menceritakan tentang hubungan kekeluargaan dan bagaimana ibu mendidik anak. Namun, buku-buku yang menyentuh tentang pertumbuhan seorang ibu itu jarang sekali. Sebenarnya, saya tidak menganggap buku saya lebih baik daripada buku-buku yang ada di pasaran. Saya cuma ingin berkongsi pengalaman saya untuk membantu ibu-ibu yang berhadapan dengan masalah yang sama dan mendorong mereka: “Kamu tidak keseorangan, sekarang kamu berada dalam suatu musim hidup yang pastinya akan berlalu.” Sebagai seorang kaunselor juga, saya berharap melalui perkongsian
yang tulus berserta contoh-contoh yang praktikal, tidak kira pengalaman yang berjaya atau gagal, semua ini dapat membantu ibu bapa.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada suami saya, yang selama ini mempercayai, menghargai saya dan sering memuji saya seorang isteri dan ibu yang hebat. Dialah orang yang mendorong saya menulis buku ini sejak permulaan. Pendapatnya ialah, “Perkongsian kamu sangat menyentuh hati, inilah akan menjadi sebab utama untuk menulis buku ini.”
Saya turut mengucapkan terima kasih kepada tiga orang anak saya yang mempercayai dan menunjukkan kasih yang tidak bersyarat terhadap saya. Dalam proses mendidik mereka, tidak kira berapa banyak kesilapan yang dilakukan dan berapa banyak sorry yang diucapkan, mereka tetap memaafkan dan menerima ibu mereka yang banyak kekurangan ini. Harap-harap setiap pengalaman yang dikongsikan menjadi inspirasi bagi lebih ramai orang.
Jun 2014 Magdeline Voon Yee Bin