
3 minute read
Bidang-bidang yang berisiko
Kelemahan tadbir urus dalam sesebuah organisasi juga akan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan dan menyebabkan kos operasi organisasi meningkat. Mengambil kira fenomena rasuah dan kelemahan tadbir urus ini, IIM perlu mengorak langkah untuk memperkemaskan tadbir urus serta memastikan perkhidmatan di IIM dibarisi oleh warga kerja yang berintegriti dan berwibawa. Selain itu, terdapat juga beberapa isu yang cabaran yang dihadapi oleh IIM dalam memerangi isu rasuah dan kelemahan tadbir urus iaitu:
i. Kelemahan kawalan dalaman – Sistem kawalan dalaman yang tegas oleh Pengurusan Tertinggi amat penting dalam mengurangkan masalah integriti dalam kalangan pekerja. Namun, hasrat ini sukar untuk direalisasikan kerana Unit yang mengendalikan peranan pengesanan dan pengesahan terhadap salah laku pegawai masih dalam proses penubuhan.
Advertisement
ii. Tahap pematuhan terhadap peraturan dan prosedur yang rendah – Peraturan dan prosedur yang digubal oleh Pengurusan IIM merupakan rujukan utama dalam menghasilkan warga kerja yang berdisiplin. Namun, kebanyakkan pegawai IIM tidak merujuk kepada peraturan dan prosedur berhubung proses kerja dan cenderung untuk mentafsir sendiri berdasarkan amalan dan budaya yang diguna pakai sebelum ini.
iii. Tindakan punitif yang tidak tegas dan adil – Tindakan yang dikenakan kepada pegawai yang dibuktikan bersalah adalah kurang tegas dan tidak konsisten berdasarkan faktor kekurangan pembuktian dan kelemahan teknikal pelaporan. Ada juga sesetengah pegawai yang terlibat dengan salah guna kuasa, tetapi terlepas daripada tindakan tatatertib kerana kelemahan tindakan dipihak pengurusan. Ini mewujudkan situasi tidak harmoni di kalangan warga kerja yang merasakan wujud ketidakadilan dalam organisasi.
iv. Pengurusan aduan yang masih lemah – Pengurusan aduan yang cekap dan berkesan akan dapat memastikan penyampaian perkhidmatan yang responsif kepada kehendak dan keperluan pelanggan. Berdasarkan semakan audit dalaman yang dilakukan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam memastikan aduan pelanggan dapat diproses dan diurus dengan cekap dan pantas.
Berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan, enam (6) bidang utama yang terdedah kepada risiko governans, integriti dan antirasuah di IIM telah dikenal pasti iaitu:
Tadbir Urus
Tadbir urus yang baik dapat memastikan IIM menggunakan peruntukan dengan cekap dan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak dalam pelaksanaan operasinya. Struktur tadbir urus politik yang baik juga bergantung kepada pengurusan organisasi yang telus dan berkesan. Tadbir urus yang lemah akan menjejaskan usaha pembangunan organisasi dan kepercayaan pihak luar terhadap IIM.
Operasi
Perancangan operasi merupakan tanggungjawab pihak pengurusan sama ada pada peringkat atasan mahupun peringkat penyeliaan. Prinsip dan perancangan operasi perlu dibuat dengan menyediakan butiran tertentu bagi mencapai perancangan strategik organisasi yang ditetapkan. Kelemahan operasi akibat kegagalan pengurusan, kesilapan manusia, kelemahan produk atau gangguan dari kejadian luaran yang mengakibatkan kemerosotan atau kegagalan dalam perkhidmatan yang disediakan oleh IIM.
Perolehan
Ketidakpatuhan kepada prosedur perolehan selalu menjadi isu utama di IIM terutamanya apabila melibatkan projek atau program yang berimpak besar. Proses perolehan yang tidak mengikut prosedur dan spesifikasi yang ditetapkan akan menyebabkan kerugian kepada peruntukan perbelanjaan, sumber tenaga dan pembaziran masa pelaksanaannya di IIM.
Pentadbiran
Pentadbiran merupakan proses dan aktiviti yang berterusan untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Perubahan organisasi yang efektif tidak akan berlaku sekiranya pengurusan dan pentadbiran tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seterusnya mewujudkan masalah penyampaian perkhidmatan dan masalah tatakelakuan pekerja.
Perundangan
Undang-undang merupakan peraturan, piawaian dan norma bertujuan memastikan keadilan dapat diwujudkan dalam organisasi serta menjamin kelancaran urusan perniagaan yang dijalankan oleh sesebuah organisasi. Kedaulatan undang-undang akan mewujudkan sistem sosial dan ekonomi yang adil, menjamin keselamatan harta dan penguatkuasaan kontrak, mengukuhkan akauntabiliti serta memastikan tadbir urus yang baik dalam sesebuah organisasi.
Sumber Manusia
Penglibatan warga kerja dalam menyumbangkan idea, kepakaran dan tenaga haruslah dihargai dalam menjaga keharmonian dan mencapai objektif organisasi. Sehubungan itu, pengurusan sumber manusia perlu mempunyai strategi dan pendekatan untuk mengurus dan mengawal aktiviti yang berkaitan dengan sumber manusia agar selari dengan matlamat sebenar IIM.