Skip to main content

Sekufu oleh Aiman Azlan & Dr Harlina

Page 1

Aiman Azlan Dr. Harlina Halizah Siraj

Diterbitkan oleh:

www.imanpublication.com


Lima Fasa Alam Rumah Tangga Pada saat buku ini dibaca, berapakah usia perkahwinan kita? Tanyakan kepada diri sendiri; dari hari pertama pernikahan bersama pasangan sehingga saat ini, adakah berlaku perubahan dalam hubungan suami isteri? Adakah ia perubahan ke arah yang semakin baik atau sebaliknya? Adakah suami yang menyambut tangan ayah atau wali kita semasa melafazkan akad nikah dahulu bukan lagi orang yang sama pada hari ini? Adakah isteri kita hari ini tidak lagi cantik dan menawan sepertimana kita melihatnya pada hari pernikahan dahulu? Siapakah yang berubah? Pasangan atau diri kita sendiri? Cuba jawab persoalan ini dan berlaku jujur dengan diri sendiri. Pada saat ini, adakah kita bahagia dengan perkahwinan kita? Adakah kita reda dengan pasangan dan terima segala baik buruknya? Jika kita merasakan perubahan ini, sebenarnya kita bukan satusatunya pasangan yang menghadapi masalah tersebut. Ia masalah universal. Masalah yang kita hadapi ini, juga dihadapi oleh majoriti pasangan suami isteri di seluruh dunia sepanjang zaman. Ia isu yang evergreen.

10 | SEKUFU


Perkara ini dibuktikan oleh kajian dan pemerhatian Dr. Susan Campbell, seorang kaunselor perkahwinan yang mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun mengendalikan konflik rumah tangga. Daripada pengalaman tersebut, beliau mendapati terdapat satu corak yang signifikan dalam konflik rumah tangga pasangan yang dikendalikan beliau. Untuk memastikan teori tersebut, beliau telah menjalankan satu kajian melalui pasangan-pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling. Berdasarkan pemerhatian beliau terhadap lebih seratus sesi kaunseling yang dihadiri oleh pasangan yang telah berkahwin antara tiga hingga 50 tahun; beliau dapati sebenarnya hubungan suami isteri ialah hubungan yang ada naik dan turun. Berdasarkan kajian inilah, Dr. Susan merumuskan bahawa terdapat lima fasa perubahan yang mempunyai ciriciri yang tersendiri dalam kehidupan sesebuah perkahwinan, iaitu: 1. Fasa Romantik 2. Fasa Perebutan Kuasa 3. Fasa Stabil 4. Fasa Komitmen 5. Fasa Sakinah

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 11


1. Fasa Romantik Dalam fasa ini, semuanya kelihatan indah dan cantik. Justeru, ia belum dikira sebagai realistik kerana pasangan masih hidup dalam cerita dewa-dewi. Fasa ini juga yang sering dipertontonkan oleh filem antarabangsa dan tempatan sebagai kemuncak cinta sepasang kekasih – berkahwin sebagai kemuncak bagi cinta. Walhal perkahwinan itu sebenarnya adalah permulaan, bukan pengakhiran. Kebiasaannya, fasa romantik boleh bertahan hingga dua tahun. Ada juga yang berakhir seawal tempoh enam bulan perkahwinan; bahkan ada yang lebih awal. Dalam fasa ini, semua perangai buruk, jelik dan tidak senonoh pasangan dianggap sebagai comel dan elok. Ketika itu, pasangan dipengaruhi oleh candu cinta. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu berenggang langsung dan asyik berkepit ibarat belangkas. Fasa romantik juga sering dipanggil sebagai fasa bulan madu. Ketika fasa ini juga, kita sering memperbesar persamaan kita dengan pasangan dan memandang remeh keburukan mereka. “Eh, awak pun suka minum kopi sebelum pergi kerja?” “Awak pun minat lagu Hindustan? Rupa-rupanya kita ada cita rasa muzik yang samalah.” “Tak sangka kita banyak persamaan. Memang jodoh kuatlah kita ni.” Pada masa ini, kita merasakan seolah-olah pasangan memang jodoh paling tepat. Diturunkan dari syurga! Masing-masing sangat “bertoleransi”. Jika suami tidak pam tandas selepas menggunakannya, isteri tidak marah dan tolong pam. Jika

12 | SEKUFU


isteri tidak masak selepas balik daripada kerja kerana penat, suami singsing lengan dan tolong masak. Toleransi dalam fasa ini didorong oleh keterujaan menempuh alam baharu; alam perkahwinan. Toleransi itu belum teruji lagi dengan pelbagai masalah yang bakal mendatang. Situasi ini sama seperti apabila kita baru dapat atau beli satu barang yang baru. Cuba ingat semula perasaan dan pengalaman kita membeli kereta pertama daripada gaji sendiri – kita sangat teruja dan menjaganya sebaik mungkin. Kita ingin basuh kereta setiap minggu, hati-hati ketika memandu supaya tidak berlaku kemalangan yang boleh “mencacatkan” rupa kereta, dan pastikan kereta diservis tepat mengikut waktunya. Selepas beberapa ketika, kita sedar bahawa rupa-rupanya tidak basuh kereta setiap minggu pun tidak mengapa, sebab selepas beberapa hari kereta akan kotor semula. Kita juga sedar bahawa berhati-hati ketika memandu pun tidak boleh menjamin kereta kita kalis calar atau cacat, kerana ada banyak faktor lain yang tidak boleh dikawal. Kita juga sedar bahawa kadangkala pada waktu yang sepatutnya kita hantar kereta ke bengkel untuk diservis, datang kecemasan lain yang menyebabkan kita terpaksa menggunakan duit tersebut. Barulah kita tahu, rupa-rupanya realiti memiliki kereta tidak semudah yang disangka. Dalam fasa awal perkahwinan, toleransi antara suami dan isteri masih berada pada tahap permukaan, kerana belum betul-betul berhadapan dengan realiti sebenar alam rumah tangga. Isteri belum berhadapan lagi dengan wajah merah padam suami ketika balik rumah kerana dimarahi majikan di pejabat siang tadi. Suami belum merasa lagi leteran isteri yang tidak puas hati dengan sikapnya yang berat tulang untuk bantu mengemas rumah.

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 13


Jadi, fasa ini sememangnya sangat indah kerana kita sebenarnya masih belum memasuki alam perkahwinan yang sebenar. Tertinggi suara sedikit pun kita terus cepat-cepat minta maaf. Pada waktu ini juga, ungkapan “saya sayang awak” sangat ringan di bibir kita untuk diucapkan kepada pasangan.

2. Fasa Perebutan Kuasa Kemudian fasa kedua berlaku, iaitu fasa perebutan kuasa. Istilah perebutan kuasa digunakan bagi menggambarkan situasi berlakunya pertembungan antara suami dan isteri yang disebabkan oleh perbezaan-perbezaan yang ada antara kedua-duanya. Pertembungan ini menghasilkan konflik antara suami dan isteri apabila kedua-duanya cuba merebut “kuasa” untuk menentukan setiap keputusan dalam perjalanan rumah tangga mengikut kecenderungan dan kemahuan masing-masing. Perebutan kuasa juga secara mudahnya boleh difahami dengan situasi suami isteri mula menzahirkan kecenderungan masing-masing kepada pasangan. Tujuannya adalah untuk memaksa pasangan mengikut kehendak dan kecenderungannya dalam setiap perkara. Perubahan ini berlaku apabila pasangan suami isteri sudah semakin selesa dan terbuka untuk berkongsi sisi buruk masingmasing. Sebelum ini, tabiat buruk akan cuba disembunyikan sebaik mungkin, akan tetapi apabila hubungan sudah semakin “rapat”, kita sudah tidak kisah jika pasangan mengetahui tabiat buruk kita. Pada masa ini juga, bermulalah episod: “Awak dah berubah! Dulu masa baru kahwin awak tak macam ni.”

14 | SEKUFU


“Kenapa awak tak ucap ‘I love you’ setiap pagi macam dulu?” Realitinya, pasangan kita tidak berubah. Memang dari dulu perangainya seperti itu, cuma sebelum ini kita pilih untuk tutup sebelah mata sahaja. Bahkan jika dilihat dari sudut fizikal pun, umumnya fizikal pasangan masih tidak banyak berubah pada fasa ini. Cuma “mata” kita sahaja yang mungkin tidak lagi tertarik pada rupa paras pasangan. Jika sebelum berkahwin kita merasakan pilihan kita paling tepat kerana cantik dan kacaknya pasangan, pada waktu ini barulah kita sedar, semua itu bukanlah penentu kepada perkahwinan yang bahagia. Fasa inilah fasa yang paling kritikal. Banyak pergelutan dan pertelingkahan berlaku secara berhadapan dalam fasa ini. Ketika ini, mulut akan jadi sangat ringan untuk menyakitkan hati pasangan kerana pasangan secara sengaja atau tidak telah menyakitkan hati kita. Kita ingin “membalas dendam”. Ketika ini jugalah masing-masing mula menuntut hak dalam perkahwinan. Isteri mula mengungkit suami tidak memberi nafkah yang cukup setiap bulan. Oleh sebab rasa tercabar, suami pula mengungkit isteri tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri – melayan suami. Kedua-duanya hendak menang dalam pertembungan ini. Dalam setiap pertembungan, masing-masing hanya berfikir tentang kepentingan diri sendiri – aku. Tidak penting apa yang kamu rasa atau fikir. Suami merasakan haknya tidak dipenuhi isteri, begitu juga isteri merasakan haknya tidak dipenuhi suami. “Buat apa nak tunaikan hak dia, kalau hak saya ni dia tak tunaikan pun?”

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 15


Untuk perbincangan mengenai fasa ini, kami akan huraikan secara khusus dan mendalam dalam bab yang seterusnya. Dalam bab ini, kami akan memfokuskan pada perbincangan secara terperinci bagaimana konflik suami isteri yang berebut kuasa berubah kepada berkongsi kuasa.

3. Fasa Stabil Seterusnya apabila pasangan dapat “bertahan” lebih lama dalam fasa perebutan kuasa, mereka akan perlahan-lahan masuk ke fasa transisi ketiga, iaitu fasa stabil. Stabil dalam fasa ini boleh dikaitkan dengan keadaan apabila pasangan memulakan “gencatan senjata” antara mereka. Pasangan sudah lebih tenang apabila berhadapan dengan perbezaan. Walau bagaimanapun, pasangan tetap perlu berhati-hati kerana ketenangan atau kestabilan ini boleh datang dalam dua bentuk; sama ada memang masing-masing telah belajar untuk menerima perbezaan pasangan atau terpaksa menerima sahaja walaupun dalam hati masih tersimpan rasa tidak puas hati. Suami masih rasa marah apabila isteri sering terlupa tutup suis dan cabut plag seterika selepas menggunakannya, tetapi sebab malas hendak bergaduh, suami diamkan sahaja. Nanti kalau diperingatkan lagi, habis semua kesalahan si suami diungkit pula. Jadi, lebih baik diam. Isteri pula tetap memarahi suami yang selamba tinggalkan “bulatan” kain pelekatnya di dalam bilik tidur walaupun telah berkali-kali dipesan supaya lipat atau masukkan ke dalam bakul untuk dibasuh. Akan tetapi, marah si isteri hanya dalam hati kerana dia malas hendak berleter panjang.

16 | SEKUFU


Sesetengah pihak mungkin merasakan fasa ketiga ini tidak bermasalah kerana ia fasa yang stabil. Namun, sepertimana peribahasa Melayu mengajarkan kita, “Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya”, fasa bertenang ini boleh memberi dua maksud; sama ada pasangan sudah mula belajar menerima dan menghormati perbezaan ataupun mereka hanya terpaksa menerimanya.

4. Fasa Komitmen Setelah itu, perkahwinan akan beralih ke fasa yang seterusnya iaitu fasa komitmen. Seperti namanya, dalam fasa ini pasangan mula memberikan komitmen masing-masing untuk menjadikan rumah tangga lebih tenang dan bahagia. Misalnya, disebabkan isteri tahu suaminya tidak suka suis dibiarkan dan plag seterika tidak dicabut, isteri berusaha untuk tutup suis dan cabut plag seterika, kerana dia tahu bahawa perkara itu akan membuatkan suaminya lebih tenang dan tidak marah. Suami pula boleh nampak muka isterinya yang mencuka setiap kali dia tinggalkan kain pelekat di dalam bilik tidur. Jadi, kerana sayang isteri, suami usahakan untuk perbaiki tabiatnya itu. Kata kunci dalam fasa ini ialah usaha dan komitmen bersama – suami dan isteri. Bukan komitmen suami seorang, atau isteri seorang sahaja. Perkara ini tidak mudah. Oleh sebab itu, ia dinamakan komitmen. Tabiat yang sudah dibiasakan selama berpuluh-puluh tahun sebelum berkahwin, terpaksa diubah kerana menginginkan pasangan kita hidup tenang bersama kita. Kita sudah terbiasa biarkan suis dan plag seterika selepas digunakan selama bertahun-tahun sebelum ini, tetapi sebab kita

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 17


tahu suami tidak suka dengan tabiat itu, dan ia juga bukanlah tabiat yang baik, maka kita usahakan untuk berubah. Kita juga mungkin sudah terbiasa ada pembantu rumah yang angkat dan masukkan kain pelekat yang ditinggalkan bersepah di rumah keluarga sendiri dahulu, tetapi di rumah sendiri isteri pula yang perlu buat. Kita tahu isteri tidak sukakannya, jadi kita pun cuba untuk ubah tabiat itu. Perspektif aku menjadi kita. Menang sama-sama. Masing-masing telah belajar, dalam hubungan suami isteri, tiada istilah aku. Apaapa sahaja yang berlaku sama ada baik atau buruk; menang atau kalah; yang akan menghadapinya ialah suami isteri bersama. Dalam perkahwinan, jika sebelah pihak sahaja yang menang, bermakna kedua-dua pihak telah kalah. Jadi pasangan akan cuba sebaik mungkin supaya dalam apa jua situasi, mereka dapat atasinya bersama-sama. Dalam setiap pertembungan, kedua-dua pihak akan cuba cari jalan tengah supaya masalah dapat diselesaikan, dan dalam masa sama hubungan suami isteri tetap terpelihara. Bak kata pepatah: Bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Dalam fasa komitmen, pasangan semakin matang dalam perhubungan. Mereka juga sedar bahawa tiada gunanya menuntut hak secara berlebihan. Hal ini kerana jika pasangan memang tidak mahu menjalankan tanggungjawabnya, dia tetap tidak akan jalankan tanggungjawabnya walaupun kita menuntut dengan apa-apa cara sekalipun. Masalah ini perlukan penyelesaian yang berbeza. Ketika fasa ini juga biasanya pasangan semakin dibebankan dengan lebih banyak komitmen. Khususnya anak-anak. Apabila ada anak, pasangan malas hendak bertengkar secara berhadapan kerana takut dilihat oleh anak-anak. Situasi ini boleh berlangsung sehingga bertahun-tahun lamanya. 18 | SEKUFU


Oleh sebab itu, jangan pelik apabila kita melihat pasangan yang telah berusia akhirnya berpisah. Orang luar melihat mereka ini bahagia kerana sudah berpuluh-puluh tahun berkahwin; anak-anak mereka semuanya menjadi dan mempunyai kerjaya yang hebat. Tibatiba, mereka memutuskan untuk berpisah. Sekalipun tidak berpisah, pada waktu ini bermulalah babak pasangan berlaku curang. Dia ingin mencari “kebahagiaan” di luar kerana tidak mendapatnya di dalam rumah. Mereka ini barangkali telah bertahun-tahun makan hati dengan pasangan tetapi terpaksa dipendam sahaja kerana anak. Hendak berpisah, takut anak menjadi mangsa. Akhirnya apabila anak-anak sudah dewasa dan boleh berdikari, maka berlakulah perceraian kerana anak-anak tidak lagi mengikat hubungan mereka. Perkahwinan pada fasa ini ibarat bom jangka. Ia boleh meletus bila-bila masa apabila ada sesuatu yang mencetuskannya. Ketika fasa ini jugalah, seseorang akan sedar bahawa pasangannya akan memberikan layanan terbaik kepadanya apabila dia juga memberikan layanan yang terbaik kepada pasangan. “Treat your spouse as how you want to be treated.”

5. Fasa Sakinah Apabila pasangan semakin matang dan berjaya memberikan komitmen sepenuhnya untuk menghasilkan sebuah rumah tangga yang harmoni, pada waktu inilah pasangan berjaya memasuki fasa terakhir; bahagia ciptaan bersama. Dalam fasa ini, pertembungan kepentingan, konflik, dan perbezaan antara pasangan berada pada tahap yang paling rendah. Ia bukan

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 19


bermakna pasangan langsung tidak bergaduh, tetapi pertembungan itu berlaku dalam suasana yang lebih harmoni. Masing-masing tahu dan faham bahawa pertembungan yang dipanjangkan hanya akan membawa kepada masalah yang lebih besar. Tidak keterlaluan kalau kita letakkan fasa ini sebagai fasa sakinah yang kita ingin capai dalam perkahwinan sepertimana firman Allah SWT:

َ ُ ُ َ َ ُ َ َ َ َۡ ‫َوم ِۡن َءايٰتِهِۦٓ أن خل َق لكم ّم ِۡن أنفسِك ۡم أ ۡز َو ٰ ٗجا‬ َّ ً َ ۡ َ َ ٗ َّ َ َّ ُ َ ۡ َ َ َ َ َ َ ۡ َ ْ ٓ ُ ُ ۡ َ ّ ‫حة ۚ إِن ِف‬ ‫ل ِتسكنوا إ ِلها وجعل بينكم مودة و ر‬ َ ّ ٰ َ َ َٰ َ َّ َ ٢١ ‫ت ل ِق ۡو ٖم َي َتفك ُر ون‬ ٖ ‫ذل ِك ٓأَلي‬ Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu sakinah (bersenang hati dan hidup mesra) dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21) Ketika ini pasangan menikmati perhubungan perkahwinan yang jauh lebih besar daripada menuntut hak semata-mata. Nikmat ini lebih besar daripada sekadar hubungan seks suami isteri, khidmat isteri menyediakan makanan setiap pagi, wang saku yang suami berikan setiap bulan, dan bermacam-macam lagi. Suami perlukan isteri bukan atas sebab perkara yang isteri boleh berikan. Isteri juga bukan perlukan suami atas sebab perkara yang

20 | SEKUFU


suami boleh sediakan. Suami dan isteri perlukan kehadiran masingmasing hanya untuk saling melengkapi. Selalunya (walaupun bukan semuanya), pasangan yang sudah berjaya mencapai tahap ini adalah daripada mereka yang telah berumah tangga selama puluhan tahun. Oleh sebab itu, keadaan dalam fasa ini sangat berbeza dengan keadaan semasa fasa awal perkahwinan atau semasa bercinta. Dahulu, kita memilih pasangan atas sebab rupanya, kedudukan ekonominya, atau mungkin juga sebab latar belakang keluarganya. Hari ini, kecantikan fizikal itu sudah pun pudar dimamah usia dan perlahan-lahan otot di tubuhnya tidak lagi sekental dahulu. Adegan bergaduh sebab tidak susun kasut, susah bangun pagi, kuku panjang, dan macam-macam sebab lain tidak lagi berlaku, atau paling tidak, berkurangan dengan kadar yang signifikan. “Aktiviti” pertembungan ini hanya memakan banyak masa berkualiti antara pasangan. Apabila pasangan tidak lagi bergelut dalam permasalahan ini, maka mereka ada lebih banyak masa untuk bertenang. Disebabkan ketenangan ini juga, pasangan mempunyai lebih banyak masa untuk berfikir dan berkhidmat untuk masyarakat pula. Inilah yang dimaksudkan dengan bahagia ciptaan bersama. Apabila pasangan sudah sefahaman dalam banyak hal, maka lebih banyak yang boleh dipersetujui bersama. Pada fasa inilah pasangan boleh menyalurkan idea dan tenaga untuk memberi manfaat kepada orang di luar rumah pula. Perbezaan tabiat dan pemikiran yang difahami melalui perkahwinan digunakan oleh para pasangan untuk mencipta produk yang lebih bermanfaat kepada ahli keluarga besar dan masyarakat secara umumnya. Sebagai contoh, mereka menyertai kumpulan

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 21


non-governmental organization (NGO) dan membuat kerja-kerja kebajikan. Cara untuk mendapatkan reda Allah SWT bukan sematamata pada ibadah khusus seperti solat dan puasa. Memberi manfaat kepada orang lain juga mempunyai ganjaran besar di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat Ibn Hibban) Kemuncaknya ialah matlamat masuk syurga bersama pasangan. Matlamat ini mungkin sudah dimaklumi dari awal tempoh perkahwinan, tetapi hanya pada fasa terakhir ini baru kita benarbenar faham akan maksudnya yang sebenar. Apabila matlamat kita ialah syurga dan reda Allah SWT, maka kita akan berusaha dengan kadar paling maksimum untuk mencapainya, dengan menggembirakan hati pasangan, menyediakan keperluan anak-anak dan berkhidmat untuk masyarakat – apa-apa sahaja yang membolehkan kita mencapai matlamat akhir itu. Perubahan fasa-fasa ini hanyalah panduan buat kita untuk menilai semula, pada tahap manakah perhubungan kita sebagai suami isteri pada hari ini? Apakah yang telah berubah sepanjang tempoh perkahwinan kita? Apakah yang harus dilakukan supaya perubahan tersebut akan membawa lebih banyak kebaikan berbanding keburukan dalam hubungan suami isteri? Adakah kita mahu tunggu sehingga hujung usia baru kita beroleh fasa terbaik dalam usia perkahwinan? Baru boleh mendapat ketenangan?

22 | SEKUFU


Buku ini ialah panduan untuk kita menilai diri kita bersama pasangan, supaya dengannya kita dapat melalui usia perkahwinan kita dengan mawaddah dan rahmah, serta menikmati proses pembelajaran dalam sekolah perkahwinan.

AIMAN AZLAN & DR. HARLINA | 23


Ingin baca lagi? Dapatkan buku ini di www.imanshoppe.com dan juga kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Terokai buku-buku terbitan IMAN Publication yang lain di:

www.imanpublication.com

@imanpublication

Kak Iman https://t.me/KakIman


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook