Operasi Mengambil Hati Bakal Mentua
Diterbitkan oleh: RUMAA BOOKS 12 JALAN INDUSTRI KIDAMAI, BUKIT ANGKAT, 43000 KAJANG, SELANGOR.
Penyelaras Penerbitan Ketua Editor Ketua Unit Perolehan (Novel) Editor Junior (Novel) Ketua Unit Manuskrip Editor Pembangunan Manuskrip Editor Naskhah Pruf Baca Penulis Ketua Unit Visual Buku Reka Bentuk Kulit Reka Letak
No. Tel.: +603-8751 0333 E-mel: admin@imanpublication.com RUMAA BOOKS adalah nama komersial bagi Novel IMAN Sdn. Bhd
: Faizah Hamid : Rahmah Pauzi : Syahira Hozami : Qurratul 'Ain : Auni Zainal : Umairah Shafei : Fira : Shamsul Amin : Aman Wan : Husna Ab Rahman : Adila Jambari : Haziq Razack Nabil Waldan
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA Cetakan Pertama Januari 2026 ISBN
Dicetak oleh: Mihas Grafik Sdn Bhd No 8, Jalan SR 4/18, Taman Serdang Raya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Sebarang maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan atau ulasan) boleh terus ke pautan ini: bit.ly/novelrumaa
Hak cipta terpelihara. Segala kandungan dalam buku ini — termasuk artikel, ilustrasi dan gambar — tidak boleh disalin, diterbitkan semula atau digunakan dalam apa-apa cara tanpa kebenaran bertulis daripada Novel IMAN Sdn Bhd. Kandungan buku ini juga tidak boleh digunakan oleh mana-mana sistem Kecerdasan Buatan (AI) untuk tujuan latihan atau penjanaan kandungan, tanpa kebenaran.
Operasi Mengambil Hati Bakal Mentua Aman Wan
Bab 1
Petang itu, dia menjadi tumpuan semua. Setelah sepanjang hari menjadi warga biasa, kini pandangan mata terfokus kepada diri. Sememangnya terasa bagaikan hero dalam komik dan animasi! Sekumpulan gadis yang tadinya rancak berbual, kini mencuri pandang ke arah Hayyan. Suara yang riuh mula perlahan ketika berselisih dengan jejaka yang sedang menaiki tangga itu. Namun, bukanlah kerana diri Hayyan itu seorang selebriti, mahupun berwajah kacak persis artis Korea masa kini. Cuma, kehadiran spesies lelaki sentiasa dirasakan janggal bagi penduduk asrama jururawat yang majoritinya kaum hawa.
4 | AMAN WAN
“Sorry! Tumpang lalu sekejap, ya?” Namun, tiada sesiapa pun yang menjerit mahupun melarang secara lantang lelaki tersebut. Sekadar sekali pandang pada uniform kerja, mereka membiarkan saja Hayyan meneruskan tugas sebagai penghantar barang. Walaupun ketika itu dia dikelilingi gadis-gadis, namun, pandangan mata Hayyan tetap terpelihara. Kekal di laluan, tanpa menjeling mahupun mengintai sesiapa. Apatah lagi, dia lebih teruja mahu bertemu dengan pemilik bungkusan yang sedang dia bawakan ini. Langkahnya konsisten naik ke tingkat empat. Tidak perlu tengok alamat, tidak perlu tanya arah laluan. Destinasi ke pintu bernombor 3A itu sudah dia hafal macam hafal lirik lagu Negaraku. Lagipun, sudah beberapa kali dia naik turun blok ini. Jumlah anak tangga, susunan pasu bunga, warnawarna pintu … semuanya sudah tergam dalam memori. Setiap minggu, hampir tiga hingga ke empat kali dia datang hantar barang ke sini. Sudah tentunya, majoriti bungkusan yang dihantar adalah kepada penerima yang sama. “Parcel!” laung Hayyan sebaik sampai di hadapan pintu rumah 3A yang berwarna biru, pintu yang sudah menjadi pandangan rutin dirinya di blok asrama jururawat itu. Jari telunjuk menekan loceng dengan gaya manja.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 5
Beberapa saat kemudian, pintu terbuka sedikit. Seorang gadis kecil manis yang bertudungkan hoodie ungu, mengintai dengan sebelah mata. Apabila melihat lelaki kurier itu, barulah dia membuka pintu sepenuhnya. Hayyan angkat kening. “Siti Wardeena bin Firdaus, ada?” Deena jeling, tangannya membuka pintu jeriji. “Binti la, gila.” Hayyan tersengih. “Aku cuma ikut apa orang tulis atas parcel ni. Manalah tahu, kau bosan jadi perempuan dan start bela jambang. Gaya tu ada dah.” “Kau nak kena tumbuk?” “Haaa, tengok tu!” Hayyan tertawa melihat gadis itu mencebik. Deena bukanlah perempuan tomboi, tetapi gaya cakapnya memang ‘ganas’ sedikit berbanding wanita tipikal. Sebaik pintu jeriji dibuka, kotak yang dibawa Hayyan kini bertukar tangan. Gadis itu segera mengeluarkan botol sanitizer dari kocek hoodie dan disemburkan ke seluruh bungkusan tersebut. Memang itu rutin dirinya sejak Covid melanda dunia. Apatah lagi dia bekerja sebagai penolong pegawai sains yang
6 | AMAN WAN
sentiasa kerja di makmal hospital. Bagi Deena, setiap benda pasti ada kuman! Terangkat kening Hayyan apabila tulisan nama penerima pada bungkusan itu luntur akibat kebasahan. Bungkusan yang tadinya kering seolah-olah baru dicelup ke dalam kolam! “Kau ni spray parcel ke sembur jin?” “Prevention is better than cure.” Hayyan mendengus kecil. “Kalau orang hantar ikan kering, silap-silap boleh hidup balik kena spray macam tu. Apa pun, sekejap … aku nak ambil gambar.” Dia menghulurkan telefon bimbit ke arah Deena dan kotak bungkusan yang kini lencun dengan cecair sanitizer. “Tak payahlah nak ambil gambar bukti delivery. Aku dah ambil barang ni. Cukuplah, kan? Kau nak buat koleksi gambar aku ke apa?” Deena menyimpan kembali botol kecil itu di dalam kocek hoodie-nya. “Prosedur kerja, cik kak. Kalau tak ada gambar, sistem tak bagi aku tekan ‘done’. Kau ingat aku suka simpan gambar perempuan ganas macam kau?”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 7
“Mulut!” Deena hempuk bahu lelaki itu dengan bungkusannya. Terpercik beberapa titis sanitizer ke baju lelaki tersebut. Hayyan buat-buat garu bahu. Sengih masih terpasang pada wajahnya. “Okeylah, aku gerak dulu. Nak singgah gerai cendol bawah sana. Banyak kali aku datang sini, bukan kau nak ajak minum pun. ‘Thank you’ pun jarang-jarang dapat.” Hayyan menyimpan telefon ke dalam poket. Wajahnya buat-buat sedih. Deena tertawa. “Alolo, muka dua posen!” Bibir Hayyan semakin mencebik. Melayan. Si gadis tertawa. “Thank you so much, Encik Hayyan! Arigato, xie xie, syukran. Hah, bahasa apa lagi kau nak?” “Try Urdu.” “Bohat syukriya, Hayyan Sab.” Kening lelaki itu terangkat. Kagum. “Wah, tak sangka. Peminat Salman Khan juga kau ni.”
8 | AMAN WAN
“Ew, tak minat aku berketul-ketul macam tu! Aamir Khan baru ada taste. Jambu tapi macho.” Ledakan tawa bergema. “Tapi serius … terima kasih, Hayyan. Selalu rajin hantar depan rumah macam ni. Kau aje la yang sanggup naik tingkat empat. Cuba orang lain, mesti tinggal je parcel kat bawah.” Asrama jururawat itu dahulunya ialah pangsapuri awam biasa. Akibat lambakan pegawai perubatan, pihak hospital nekad untuk menyewa sebahagian besar pangsapuri lama tersebut untuk menjadi blok asrama jururawat. Oleh sebab itu, beberapa kemudahan agak uzur, termasuklah keadaan lif yang asyik rosak. Banyak kali penduduk buat aduan, tetapi ada saja alasan daripada pihak pengurusan. Sekiranya ada penghantaran makanan dan barang daripada pihak kurier, semuanya ditinggalkan di meja khas di blok bawah. Kalau lambat ambil, silap-silap ada yang panjang tangan tolong ‘simpankan’. Fuh, naya! Hayyan menoleh semula, tersenyum senget. “Tak ada hal. Aku kan … kurier tetap hati kau.” Deena mengecilkan mata lalu mengangkat kening, sedikit sinis. “Eh, perasan sangat!”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 9
“Lagipun, takkan aku nak biarkan barang kau hilang lagi. Tak sanggup aku kena tengking dengan Kak Deena. Takut adik tau!” Mata gadis itu membulat. “Weh, itu cerita lama! Tak payahlah nak ungkit lagi. Malulah!” Hayyan terkekek-kekek melihat wajah gadis itu mula berubah merah. Sekali gus memori kepalanya mengimbau kembali pertemuan mereka setahun yang lepas. “Apa hal salah saya pula?” “Dah kerja kau, kaulah salah!” “Saya cuma hantar ikut alamat tertulis.” “Tapi rumah yang kau hantar tu salah!” “Mana saya nak tahu. Siapa suruh pengirim tu tulis nombor 3 nampak macam nombor 8. Saya hantar je!” Dahi Hayyan berkerut seribu. Kering anak tekaknya petang itu, apabila terpaksa berbalas kata dengan penghuni asrama jururawat tersebut. Mata lelaki itu melirik ke sekeliling. Rupa-rupanya, perbualan mereka mendapat perhatian beberapa penghuni
10 | AMAN WAN
asrama yang baru habis syif. Manakan tidak, hampir lima minit mereka berdua bertekak di ruangan parkir itu. Hayyan perasan, ada antara penduduk yang mula berbisik-bisik. Deena mengurut kepalanya, masih tidak puas hati. “Mana boleh hantar macam tu! Lain kali pastikan dulu penerima. Betul ke tak. Ini, kau main campak saja bungkusan dalam grill. Kerja apa macam tu, dik!” Kening Hayyan terangkat sebelah. ‘Eh, minah ni. Dia ‘adik-adik’kan aku?’ Sudahlah dia terpaksa menapak ke tingkat empat garagara lif sedang dibaiki. Penat belum hilang, tiba-tiba jadi mangsa amarah pula! Hayyan menjeling tajam kepada gadis berhud yang kini berwajah resah. Gadis itu kelihatan tidak duduk diam. Kakinya berpusing-pusing di sebelah kereta Alza berwarna putih milik Hayyan. Dahi berkerut, tangan bersilang. Jelas sedang berfikir keras tentang nasib bungkusan yang kini tersilap rumah. “Parcel penting tu, dik! Aku beli barang tu bukan murah, tahu!”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 11
“Cik kak ….” Hayyan menghela nafas panjang. “Daripada marah saya, baik pergi je ambil parcel tu kat rumah nombor 8A tadi.” Lelaki itu pelik. Selepas dia hantar gambar bukti penghantaran, terus dirinya mendapat panggilan telefon daripada gadis tersebut. Rupa-rupanya dia tersilap hantar ke pintu 8A yang berdekatan. Hayyan sudah menyatakan maaf, dan meminta gadis itu ambil sahaja dari pintu jirannya. Tetapi, kenapa gadis ini sanggup meminta Hayyan untuk tunggu sebentar, lalu turun empat tingkat semata-mata nak bergaduh dengan dia? Sedangkan lagi senang kalau dia minta saja daripada jiran yang satu tingkat itu. Deena berhenti. Pandangannya tajam menikam Hayyan. “Aku?” “Yalah. Kaulah. Barang kau.” Hayyan sudah tidak mampu bernada formal lagi. Dia turut sama beraku-kau dengan gadis tersebut. Namun, Deena sedikit pun tidak kelihatan terganggu dengan panggilan itu. Kepalanya lebih serabut memikirkan keberadaan barang pembeliannya. “Rumah 8A, kan? Tapi masalahnya orang dalam rumah tu ….” Deena menggeleng perlahan. Lalu pandangannya menajam kepada Hayyan. “Kau teman aku.”
12 | AMAN WAN
Hayyan menjongketkan kening. “Kenapa pula?” Deena tarik nafas. “Sebab kakak dalam rumah 8A tu psiko! Housemate dia pun semua tukar ke rumah lain. Dalam banyak-banyak tempat, di situ jugalah kau hantar parcel aku, dik! Aduh! Kau ikut sajalah. Jadi bukti dan saksi.” Hayyan terkebil-kebil. Dia malas mahu bergaduh. Sepatutnya ini penghantaran terakhir sebelum dia boleh berehat di rumah yang betul-betul seberang jalan sahaja dari bangunan asrama jururawat ini. Namun, tidak sangka tersangkut sebegini lama pula. Mahu atau tidak, dia ikutkan sahaja gadis cerewet itu bertemu dengan penghuni rumah 8A tersebut. Mereka melangkah semula ke tingkat empat. Suasana senyap seketika, hanya kedengaran selipar Deena menapak dan bunyi kunci Hayyan bergemerencing di dalam poket seluar. Masing-masing menahan rasa geram. Sampai sahaja di depan pintu 8A, loceng rumah ditekan. Sekali. Dua kali. Hayyan laung salam. Tiada jawapan. “Tak ada orang kut.” Hayyan bisik.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 13
Deena mencebik. “Kalau tak ada, parcel tu sepatutnya masih kat luar pagar. Tapi sekarang dah lesap! Sah, dia dah ambil bawa masuk!” Hayyan sempat tunduk ke lantai. Kosong. Hanya ada kesan tapak kaki dan habuk-habuk yang tidak bersapu. Dia memberi salam lagi. Kali ini lebih kuat. Tidak lama kemudian, daun pintu kayu terbuka perlahan. Seorang wanita separuh usia muncul. Rambut pendek, berbaju kemeja-T labuh dengan corak hati. Di pipinya ada tompok merah samar. Bibir pula separuh saja berlipstik, macam baru sapu tetapi belum sempat blend. Matanya terkebil-kebil memerhati Hayyan dan Deena. Lalu dia bertanya, “Ya?” Deena berdeham kecil. “Emm …. Kak Pah, sorry. Tadi ada barang tersalah hantar ke rumah ni. Saya beli barang mekap sikit. Kak Pah ada terambil tak?” Wanita itu senyum segaris. Jari menyebak rambut pendeknya ke belakang telinga. “Barang?” soalnya dengan nada mendatar.
14 | AMAN WAN
“Haah. Parcel sederhana besar. Ada tulis nama saya. Siti Wardeena binti Firdaus. Warna parcel tu pink dan ada pelekat ‘FRAGILE’ kat tepi.” Wanita itu buat muka berfikir. “Akak tak nampak pula apa-apa parcel.” Ketika itu Hayyan dan Deena ternampak ada plastik merah jambu yang ditiup angin keluar dari pintu rumah tersebut. Namun, cepat-cepat kaki wanita separuh usia itu menarik plastik itu ke dalam. Apabila mereka berdua pandang penghuni rumah, wanita itu senyum segaris. Seolah-olah tiada apa-apa berlaku. “Serius. Akak tak nampak.” Hayyan tidak puas hati. ‘Main-main akak ni!’ Lalu jejaka itu mengeluarkan telefon bimbit dan segera membuka aplikasi kurier, mencari dalam galeri gambar. “Ada, kak. Tadi ni saya ada ambil gambar masa saya letak parcel depan pintu. Nampak ni?” Dia tunjuk telefon, tetapi gambar itu fokus terlalu dekat pada bungkusan. Langsung tidak nampak nombor rumah, tidak nampak pintu, tidak nampak sekeliling. Cuma terlihat latar jubin lantai warna krim yang sama seperti di rumah orang lain.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 15
Penghuni rumah 8A itu sekadar tengok sekejap, lalu tersenyum manis. “Ah, tak ada nombor rumah akak pun dalam gambar tu. Itu boleh jadi rumah orang lain. Tak baik main tuduhtuduh. Berdosa.” Deena tarik nafas. “Tapi Kak Pah ….” Belum sempat nak membidas, tuan rumah itu terus memotong kata. “Serius, akak tak nampak. Eh, kalau tak ada apa-apa, akak tutup pintu, ya? Tengah masak ni, nanti hangus lauk.” “Kak Pah, sekejap. Saya ….” “Tak boleh sekejap. Rosak lauk nanti, membazir. Berdosa.” “Kak ….” “Sudah, ya? Bye!” “Parcel saya!” “Ber. Do. Sa.” Lalu, daun pintu 8A itu tertutup sopan. Membiarkan Hayyan dan Deena terkulat-kulat di luar.
16 | AMAN WAN
“Kurang ajar.” Deena mula bersuara perlahan. Urat kepalanya menegang. “Kau tengok psiko dia tu! Semua orang di blok asrama ni dah kenal sangat dengan Kak Pah Perampas! Dia seorang je yang suka rembat harta dan makanan orang. Itu tadi tu. Macamlah aku tak perasan pipi dia sebelah merahmerah pekat, mesti tengah cuba blusher baru aku! Lipstik pun sama!” Hayyan tergelak perlahan. Memang wajah penghuni rumah tadi bagaikan badut separuh siap. “Aku ingat pipi dia kena tampar. Merah-merah macam tu.” “Memang. Bakal kena tampar … dengan aku!” “Tadi pun ada plastik merah jambu ….” “Aku punyalah tu! Geramnya!” Lelaki itu terbahak-bahak. Terbayang kembali kaki Kak Pah yang laju bagaikan kilat menyapu segala bukti hilang daripada pandangan mereka! Deena menjeling bengang. “Kau pun satu, dik! Patut lain kali ambil gambar banyak sikit. Ada nombor rumah, ada nampak wajah penerima. Ambil pelbagai view atas bawah kiri kanan! Baru senang jadi bukti. Aduh!”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 17
Hayyan tergelak melihat gadis itu menggaru-garu kepala bagaikan penuh kutu. Ditambah pula dengan bayangan wajah Kak Pah yang merah sebelah pipi. Benar-benar terhibur dengan drama yang terjadi petang itu. Hilang segala penat, bertukar jadi geli hati! Deena mendengus. “Kau berani gelakkan aku?” “Sorry! Sorry! Lawak weh!” Gadis itu buat muka menyampah, tetapi akhirnya ikut ketawa juga. “Kau jangan gelak lebih, ya? Ini semua salah kau! Kalau kau salah hantar lagi, muka kau yang aku solek sama macam Kak Pah!” “Eh, lelaki mana boleh pakai mekap! Ber. Do. Sa.” Hayyan melakon ulang gaya Kak Pah, lalu ledakan tawa bergema.
Kedua-dua
mereka
menghabiskan
sisa
tawa,
melepaskan segala duka. Mahu bergaduh pun buang masa sahaja. Deena sudah tahu, dia perlu reda saja kehilangan parcel oleh si wanita perampas, Kak Pah. Setelah mengambil nafas, Deena memandang Hayyan. “Lain kali kalau ada nama aku, kau hantar betul-betul! Ingat pintu rumah warna biru ni. Jangan kau berani nak salah hantar lagi!” Kening gadis itu terangkat. Matanya menajam
18 | AMAN WAN
pada lelaki kurier itu. “Kali ni aku maafkan. Jadi, kau tak payah nak ganti rugi. Tapi aku anggap ini sebagai hutang, ya!” Hayyan mengangguk. “Faham … faham. Maaf, ya. Takkan ulang lagi.” “Siapa nama kau, dik?” Lelaki itu tersenyum senget. “Nor Hayyan Norudin. Panggil je Hayyan.” Deena mengangguk. “Ingat ya, Hayyan! Kau hutang aku hari ni. Lain kali kalau aku minta tolong, kau kena ‘bayar’ balik.” Hayyan mengangkat sebelah tangan bagaikan mahu mengangkat sumpah. Bebola matanya tajam memerhati riak wajah gadis yang sedang riang tertawa dengan aksinya itu. ‘Comel ....’ Entah kenapa, degupan hati si jejaka terasa terhenti sedetik. Usai ketawa, gadis itu melepaskan keluhan kecil. Bibirnya melirik senyuman yang teramat manis kepada Hayyan.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 19
“Aku, Wardeena. Panggil je Kak Deena.”
*** “Kak Deena. Ooo …. Kak Deena.” “Diamlah!” Deena mendengus sambil gelak kecil. “Yang kau dulu muka licin macam budak baru SPM tu kenapa? Mana aku tahu, kau sebenarnya tua tiga tahun daripada aku. Sekarang ni baru muka padan dengan umur!” Hayyan menepuk dada sendiri, buat gaya terkejut. “Excuse me! Orang baru dapat kerja, mestilah kena clean look. Kalau aku berjambang macam sekarang, silap-silap dulu kau tuduh berkuman. Tak pasal-pasal kena sembur dengan sanitizer kau tu, cik kak oi.” “Tahu pun!” Deena tersengih puas. Mereka sama-sama ketawa, mengingati detik awal yang penuh kecoh, sekali gus menjadi permulaan persahabatan antara Abang Kurier dan Kak Jururawat. Deena menjeling jam di pergelangan tangan. “Eh, sudahlah! Bukan nak halau tapi kalau kau tak gerak sekarang, habislah cendol kat gerai bawah tu. Selalunya jam enam lebih macam ini memang tinggal baki je.”
20 | AMAN WAN
Hayyan tarik nafas panjang. “Okey, aku gerak dulu. Dua, tiga hari lagi aku datang. Kau mesti ada parcel baru lagi, kan?” Deena buat gaya bangga, tangannya buat-buat melibas imaginary hair ke belakang. “You know me so well.” Hayyan angkat kening tinggi-tinggi. “Well, aku kan kurier tetap hati kau.” Deena ketawa. “Syukriya, Hayyan Sab!” Hayyan melambai. Pintu biru itu akhirnya ditutup perlahan. Bunyi klik kunci bergema di ruang legar tingkat empat. Namun, Hayyan masih berdiri sejenak, menatap pintu itu dengan lirikan senyuman yang belum hilang. Dia kemudiannya menuruni tangga satu demi satu. Langkahnya kembali menuju ke kereta Alza berwarna putih. Matanya mengintai ke belakang ruang simpanan. Tiada lagi bungkusan atau parcel yang berbaki. Semuanya sudah selesai untuk hari ini. Memang kebiasaan, parcel Deena sentiasa menjadi parcel terakhir yang akan dia hantar, sekali gus menjadi asbab untuk dia meluangkan masa seketika dengan gadis tersebut.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 21
Dulu, dia malas mahu lepak berlama-lama. Sekarang, berbual sekejap begitu, jadi tidak puas rasanya. Sudah setahun lebih dia menjadi penghantar separuh masa, namun, masih ada satu ‘parcel’ yang tersimpan kemas dalam jiwa. Parcel hatinya. Sehingga hari ini, Hayyan masih belum ada keberanian untuk mengirimkan hatinya itu kepada sang penerima. Siti Wardeena binti Firdaus. Hayyan melabuhkan duduk di dalam kereta. Dia melepaskan rasa lega. Tugasnya sudah selesai untuk hari itu. Hatinya juga terubat segala rindu. Tanpa sedar, lelaki itu berbisik riang. ‘Kuch kuch hota hai, Hayyan Sab.’
22 | AMAN WAN
Bab 3
Bunyi enjin van sekolah menderu di luar sana. Perlahan-lahan, Hayyan membuka mata. Dia tidak perlu menoleh ke arah jam dinding kerana sudah pasti jam menandakan tepat enam pagi. Jiran sebelahnya seorang lelaki berbangsa Bugis yang memang sentiasa bekerja menepati waktu. Setiap hari, tidak pernah terlepas menghidupkan enjin pada awal pagi. Memang itu bunyi wajib di kawasan parkir Vista Kita ini. Seolah-olah loceng rasmi untuk memulakan kehidupan warga di situ. “Aduh, belikat aku.” Dia menggeliat malas di atas sofa ruang tamu yang kusam. Terlihat beberapa naskhah komik Jepun berselerak di atas lantai, cawan koko tinggal berbaki seteguk dan bantal
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 33
peluk yang tersorok di bawah sofa. Malam tadi dia sibuk membaca komik-komik tersebut sehingga lewat pagi. Tahutahu, dia sudah terlena sendiri. Tinggal sendirian di sebuah unit kecil dua bilik, Hayyan sudah biasa bangun tanpa bunyi sudip di dapur, tanpa bunyi tumit ibu di ruang tamu. Sejak dua tahun lepas, keluarganya membina rumah di Tawau. Kononnya, lebih mudah menikmati masakan laut. Hayyan yang dahulu tinggal di rumah bujang, meminta izin untuk menjadi penjaga pangsapuri kecil ini. Selepas subuh, dia kembali merebahkan tubuh ke atas sofa lapuk. Itu saja lokasi tetap dia melepaskan lelah. Katil di bilik, bagaikan perhiasan saja. Hayyan lebih selesa di sini. Apatah lagi ruang tamunya itu ada tingkap besar yang mengundang bayu dingin. Terasa nikmat kesejukan waktu pagi yang membuatkan dirinya kembali mahu menyambung mimpi. Esok aku ada parcel lagi, tahu? Ayat itu terngiang-ngiang semula dalam benaknya. Suara itu, dengan senyum manja dan tudung hoodie ungu, cukup menjadi sebab untuk Hayyan bangun semula. Tidak lama, lelaki itu sudah pun mandi, berpakaian uniform dan bersarapan roti sejuk sambil memakai kasut.
34 | AMAN WAN
Semuanya berlaku dalam tempoh kurang daripada 15 minit sahaja. Sememangnya seorang lelaki tipikal yang asal siap. Dia membuka pintu perlahan, melihat sekiranya ada tetamu yang tidak diundang menumpang di hadapan pintu jeriji. Pernah dua kali, ada cicak kubin tidur di dalam kasutnya. Kelmarin pula, ada kucing tinggalkan baki kepala ikan di bawah pintu jeriji. Mentang-mentang rumahnya di aras paling bawah, sememangnya mudah diakses oleh haiwan yang sentiasa mahu menemani dirinya yang tinggal sendiri. “Uish, gelap lagi?” Mata lelaki itu melihat langit. Walaupun jam menunjukkan pukul 7:15 pagi, tetapi keadaan cuaca yang mendung menjadikan pagi itu sedikit kelam berbanding biasa. Ditambah lagi lampu koridor yang asyik berkelip-kelip. “Aduh! Mister Alex tak baiki lagi ke? Sakit mata.” Hayyan mendongak sambil mengecilkan matanya. Sudahlah suasana kelam, ditambah keadaan lampu rosak begini … membuatkan Hayyan terasa bagaikan watak dalam filem seram. Tunggu masa sahaja akan ada lembaga mahupun raksasa yang menyerang. Hayyan menggeleng. Awal-awal pagi sudah berfikir yang bukan-bukan. Pasti kesan membaca komik seram malam tadi!
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 35
Tiba-tiba telinga lelaki itu menangkap sesuatu bunyi. Tak, tak, tak …. Bunyi itu datang dari tangga berhadapan rumahnya, seolah-olah bunyi bola kecil yang bergolek menuruni anak tangga. Sedikit demi sedikit bunyi itu semakin mendekat. Hayyan menjeling ke arah dinding tangga. Dalam redup cahaya lampu yang berkelip-kelip, dia melihat sesuatu …. Tak, tak! Satu kepala anak kecil sedang terjulur di hujung anak tangga. Mata anak kecil itu memandang tepat ke arah Hayyan. Mulutnya ternganga luas dan satu suara ilaian yang nyaring keluar. “Heee!” Hayyan merenung makhluk kecil itu tanpa ekspresi. Dibiarkan ilaian itu berbunyi beberapa saat. Lalu lelaki itu mendengus kecil. “Tak kotor ke baring macam tu?” Sunyi. Sekejap kemudian, kepala itu bangkit perlahan. Dari sebalik dinding tangga itu, keluar seorang budak lelaki
36 | AMAN WAN
beruniform sekolah rendah, dengan pipi bulat dan senyuman nakal. Tangannya memegang sebiji bola plastik biru yang penuh calar-balar. “Isy, bosanlah Abang Yan ni! Sikit pun tak takut! Cubalah buat-buat menjerit sikit,” rungut Jiji, budak darjah tiga yang tinggal di tingkat paling atas. Memang budak ini paling rajin bertegur sapa dengan Hayyan sejak dia pindah ke sini. Terlebih peramah. Hayyan bersandar di dinding, bersilang tangan. “Nak takut kenapa? Mana ada hantu budak pipi pau macam kamu.” “Ada! Toyol pun budak juga. Seram, tau!” Jiji menjulingkan mata, lalu membaling bola tersebut ke arah Hayyan. “Seram? Kalau mat salih tengok, dia orang ingat Mini Hulk. Confirm diajak jadi Avengers!” Hayyan tergelak perlahan, menolak bola budak itu dengan hujung kaki. Jiji kutip bola semula. “Bang Yan ada komik baru lagi tak?” Lelaki
itu
mengangkat
kening. Tangannya
sibuk
mengunci pintu jeriji. “Kamu nak yang seram-seram, kan?” “Haah. Lagi seram lagi best!”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 37
“Ada dua abang baru beli semalam. Malam tadi abang baru habis baca. Kalau kamu nak pinjam, bolehlah.” Tangan lelaki itu menarik kunci dari pintu jeriji lalu dimasukkan ke dalam kocek seluar. “Balik sekolah nanti, datang.” “Alaa, pagi ni la! Boleh baca dalam kelas.” “Banyak cantik kamu. Kalau kena rampas, abang tuntut ganti rugi tiga kali ganda! Itu koleksi mahal tu. Sudah, abang nak gerak kerja ni.” Langkah kaki Hayyan terus menuruni dua anak tangga kecil dan menuju ke kawasan parkir, meninggalkan budak darjah tiga yang mencebik apabila hasrat tidak dipenuhi. Langkah kakinya menuju ke ruangan parkir yang terletak di blok sebelah. Vista Kita, itulah nama pangsapuri kediaman Hayyan. Ia bukanlah sebuah pangsapuri besar. Kawasan itu hanya ada dua blok bangunan empat tingkat. Di antara dua blok itu, terdapat laluan bertaman yang menjadi kawasan kanak-kanak bermain ataupun warga tua duduk berehat. Kawasan parkir pula mengelilingi dua blok tersebut. Dahulu, ia digelar sebagai Pangsapuri Damai Kita. Dalam tempoh 15 tahun, pelbagai pembangunan pesat dijalankan di sekeliling pangsapuri itu. Ada hospital, ada pasar raya, malah laluan flyover, sekali gus membuatkan pihak pangsapuri dan penduduk sepakat menukarkan namanya menjadi Vista Kita. Biar sepadan moden dengan keadaan semasa.
38 | AMAN WAN
Ketika melintasi laluan taman, dia nampak seorang wanita tua sedang tunduk memberi makan kepada kucingkucing jalanan. “Morning, Auntie Mei.” Suara Hayyan lembut sambil angkat tangan. Wanita berbangsa Cina itu menoleh dan tersenyum mesra. “Hari ni ada parcel si dia lagi?” Hayyan senyum. “Semestinya!” Auntie Mei geleng perlahan. “Patut muka banyak senyum.” “Isy, hari-hari pun saya banyak senyum juga, kan? Lagilagi nampak Auntie Mei awal pagi!” jawab Hayyan sambil buat gaya mini love. Wanita tua itu tertawa senang. Lalu dia kembali menyambung rutinnya, memberikan makanan kepada kucingkucing liar yang sudah lama menunggu. “Aiyo, Mister Alex! Amacam?” Tumpuan Hayyan beralih kepada lelaki kurus berkaca mata yang sedang fokus memanjat kotak elektrik. Lelaki itu tersenyum. “Macam biasa. Baiki itu ini.”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 39
“Lampu masih rosak, ma. Itu, di blok saya.” “Kejap nanti saya tengok. Dua minggu lepas sudah tukar. Tapi itu cicak banyak. Asyik gigit wayar!” Mister Alex mengeluh kecil, namun, mata dan tangannya tetap fokus kepada kerja. “Nak buat macam mana? Auntie Mei sudah kasi kucing makan hari-hari. Jadi, kucing-kucing tak nak kejar cicak lagi, ma. Selera sudah high taste!” Mereka berdua tertawa. Lalu Hayyan menoleh pada wanita tua di belakang. “Auntie Mei, lain kali bagi cicak makan juga. Kasihan, mereka makan wayar!” Laungan jejaka itu hanya dibalas dengan tawa kecil oleh Auntie
Mei.
Setelah
mengucapkan
selamat,
Hayyan
meneruskan perjalanan menuju ke keretanya. Ketika di ruangan parkir, dia juga sempat melambai kepada Che Sham, pengawal pangsapuri yang sedang buat rondaan dengan motosikal. Dia kemudian tiba di tempat letak kereta. Alza putihnya pegun di bawah pokok rendang. Serpihan daun kering bertaburan di atas bonet. Sambil membuka pintu pemandu, Hayyan pandang sekeliling sekali lagi. Sunyi. Aman.
40 | AMAN WAN
Hidup di Vista Kita tidak mewah, tetapi cukup segalanya. Tepat dengan namanya, penduduk Vista Kita yang kecil ini terasa bagaikan keluarga. Oleh sebab itu, Hayyan selesa di sini, menikmati hari-hari penuh santai dan tanpa stres. Tenang setiap hari. “Okey, harapnya jalan tak sesak hari ni,” bisiknya perlahan sambil menarik nafas panjang, bersedia untuk rutin seharian. Tiba-tiba bunyi telefon memecah suasana. Hayyan lihat skrin. MAMA IS CALLING. Dia termenung sejenak. Tangan capai telefon, tetapi dia tidak terus jawab. Hanya renung skrin, sambil jari mengusap belakang tengkuk. Akhirnya, dengan satu keluhan kecil, dia tekan butang hijau. “Ya, ma.” Suaranya hambar. Diam seketika. Dari hujung talian, suara mama sayup kedengaran. Namun nada ceria itu langsung tidak berjaya menceriakan wajah Hayyan.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 41
Dia balas seadanya. Sekali dua. Tanpa tanya balas. Wajahnya yang ceria tadi perlahan-lahan bertukar kepada wajah tanpa perasaan. Setelah beberapa minit berbual, Hayyan meminta izin untuk memandu ke tempat kerja. Talian dimatikan. Hayyan kemudian sandar kepala pada penyandar. Pandangan matanya kosong ke depan. Satu hela nafas berat dilepaskan. ‘Mereka takkan faham.’ Hayyan ambil masa sekejap sebelum menghidupkan enjin. Perlahan-lahan, Alza putih itu bergerak keluar dari Vista Kita meninggalkan pagi yang belum sepenuhnya cerah dan satu beban yang makin lama makin berat di dalam dada.
*** “Please, please. Jangan ada sesiapa ambil! Please!” Alza putih itu memasuki satu-satunya ruang parkir di belakang bangunan pejabat urusan kurier, WePost. Kelihatan beberapa pekerja kurier tetap sudah mula keluar satu demi satu. Semuanya sedang sibuk memenuhkan barang hantaran ke dalam ruang kenderaan masing-masing. Mereka memakai seragam yang sama dengan Hayyan.
42 | AMAN WAN
Sebaik keretanya mendapat ruang parkir, Hayyan menjeling pada paparan skrin telefon. Jam menunjukkan tepat 9:25 pagi. Keluhan kasar dilepaskan. “Aduh, lambat! Kalau tahu kecoh macam ni, aku ikut jalan lain!” Pandangan dilemparkan ke cermin sisi, ke arah selekoh kecil di hujung lorong masuk tadi. Di situlah punca segala kekecohan, tempat letaknya sebuah gerai Keria Kreamy yang viral sejak minggu lepas. Gerai yang dahulunya suram tiba-tiba
menerima
populariti
apabila
ada
seorang
pempengaruh TikTok membuat video tarian di hadapan gerai tersebut. Sejak hari itu, setiap hari ada saja anak-anak muda yang tidak mahu ketinggalan hadir ke gerai tersebut untuk menghasilkan konten. Ramai-ramai pasang tripod, makan kuih keria sambil menari, seolah-olah adanya sesi rakaman MTV! Jalan yang biasanya lapang, terus jadi sesak sedari awal pagi lagi. “Okey, cepat-cepat! Tolonglah, ada lagi parcel tu!” Lelaki itu bergegas membawa beg dan keluar dari kereta. Sistem clock in untuk penghantar separuh masa seperti Hayyan hanya dibuka selepas pukul 8:30 pagi. Siapa lambat, bungkusan yang tinggal pun hanyalah sisa. Sudah tentu, komisen harian pun pastinya akan berkurang. Tetapi Hayyan
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 43
tidak mengejar komisen. Ada sesuatu yang lebih berharga daripada itu. Gudang barang pagi itu masih bising. Bising dengan bunyi bungkusan diseret, bunyi barcode diimbas dan suara orang bergelut dengan troli masing-masing. Sebahagian pekerja Bangladesh baru saja habis syif pertama mereka. Syif paling awal bermula sebaik azan subuh selesai. Mereka ini tugasnya menyusun dan mengasingkan bungkusan di bahagian sorting line. Kemudiannya, barulah dipindahkan ke bahagian delivery hub, tempat kesemua pekerja kurier berkumpul untuk mengutip bungkusan masing-masing. Hayyan berjalan cepat-cepat ke kawasan punggahan barang. Pelbagai jenis bungkusan dengan pelbagai saiz kini menanti untuk dibawa kepada penerima, tetapi tidak sebanyak satu jam yang lepas. Ini hanyalah saki-baki yang belum diambil oleh pekerja kurier hari ini. Dia mengambil satu per satu bungkusan dan menyemak setiap alamat yang tertera. “Mana dia? Mana ….” Jari-jemarinya menyelak bungkusan satu demi satu. Namun, apa yang dicari tidak muncul jua. Satu perasaan
44 | AMAN WAN
kecewa menjengah jiwa. “Aduh, tak dapatlah nak jumpa dia hari ni. Mesti dah ada orang ambil tadi! Alahai.” Di setiap delivery hub, termasuk tempat Hayyan bekerja, kawasan penghantaran biasanya dibahagi mengikut zon poskod. Kebiasaannya, setiap zon boleh ada dua atau tiga orang penghantar, bergantung pada jumlah barang di kawasan itu. Apatah lagi kalau musim minggu gaji dan musim raya, satu zon boleh capai lima penghantar dalam satu hari! Hayyan sudah separuh kecewa. Dia pasti bungkusan yang dicari sudah beralih kepada pekerja kurier awal pagi. Ah, terasa sia-sia saja rasanya bergegas dan meredah sesak jalan raya! “Oi, masamnya muka!” Seorang lelaki berkaca mata muncul dari arah rak bertentangan. Seragamnya berbeza warna, menandakan jawatannya yang lebih tinggi berbanding Hayyan. Tag nama di dadanya tertulis, Mohd Adam. Hayyan angkat kepala, cuba senyum sedikit. “Morning.” “Lambat hari ni, bang. Selalunya kau yang catwalk paling awal ke gudang ni.”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 45
Hayyan melepaskan keluhan, wajahnya menunjukkan rasa bengang. “Salahkan gerai keria hujung jalan sana. Macam tak ada hari lain nak viral! Habis semua laluan tersekat. Kereta aku pun sepuluh minit berhenti.” Dia mengangkat beg plastik di tangan. “Dah alang-alang tu, takkan tak beli. Nak satu?” Adam mencapai kuih keria itu tanpa segan. “Nak dua.” Dia terus menggigit sebiji. Matanya membulat di sebalik kaca mata. “Hah! Not bad. Rangup luar, lembut dalam!” Hayyan tertawa kecil. “Kau dah ada gaya jadi duta keria!” “Sedaplah. Nanti balik nak singgahlah. Nak beli untuk anak.” “Kau ni, memanglah bapa mithali. Semua benda teringat anak bini.” Hayyan menumbuk bahu penyelianya itu. Lelaki berkumis nipis itu hanya ketawa. Adam dulu junior Hayyan semasa sekolah menengah. Setelah 10 tahun, dia tidak sangka boleh jumpa semula sebagai rakan sekerja di syarikat penghantaran WePost. “Orang kata, makan sedap tanpa ajak keluarga … sama macam
curang,
bang.”
Adam
tertawa
kecil
sambil
menghabiskan kunyahannya. “Lagipun anak aku yang nombor
46 | AMAN WAN
dua tu baru elok demam, bolehlah bawa something sweet untuk bagi dia happy sikit.” “Lah, apa susah? Tunjuk je gambar aku.” “Dah kenapa?” “Wajah aku kan sweet,” balas Hayyan, berkelip mata laju-laju macam watak gadis komik shoujo. Adam berpura-pura mahu muntah, lalu terus sumbat baki keria ke dalam mulut. Sebiji keria lagi diambil. Dalam
lirikan
senyuman,
Hayyan
menjelingnya.
“Cemburunya aku. Hidup kau bagus, Adam.” Adam tergelak. “Bagus apa?” “Tengoklah …. Kau muda tiga tahun daripada aku. Tapi hidup kau semua dah tersusun. Macam parcel-parcel ni. Semua dah tersedia. Tinggal nak jalankan je. Patut jugalah kau jadi supervisor!” “Ah, mana ada. Sama je macam semua orang. Macam kau, bang.” “Tak sama. Baju kita pun dah lain warna, Adam. Aku belum capai tahap tu lagi. Kau ada jawatan tetap, ada isteri, ada dua anak lagi. Untuk umur sekarang, kau memang 90 peratus sukses sebagai manusia!” OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 47
Hayyan mengangkat ibu jari. Adam ketawa. “90 peratus je?” “Yup. Kalau kau tak habiskan kuih keria aku, confirm dapat 100 peratus!” Kedua-dua mereka meledak dengan tawa. Adam mengambil keria terakhir tanpa serba salah. Seketika, tawa mereka mula perlahan. Hanya kedengaran bunyi bungkusan digeser dan troli berdecit di antara rak. Hayyan tunduk, menyusun kotak-kotak ke dalam troli, tapi tangan itu makin perlahan. Adam memandang, nada suaranya mula lembut. “Bang, kau pun akan sampai juga.” Hayyan tidak terus menoleh. Matanya masih tertumpu kepada label alamat di tangan. “Sampai mana?” Adam melihat sekeliling ruangan delivery hub itu. “Macam parcel semua ni, semuanya ada masa masing-masing. Satu hari nanti, kau pun akan dapat sorting life kau sendiri. Setiap orang jalan dia lain, bang. Ada orang kena matang cepat sebab tanggungjawab datang tak tunggu masa. Tapi ada orang, Allah bagi masa lebih panjang untuk faham diri. Aku
48 | AMAN WAN
ada jawatan, keluarga … itu rezeki. Kau ada masa dan kebebasan … itu pun rezeki juga.” Hayyan senyum sipi, memandang bawah. Jari-jemarinya menguis pita pelekat di tepi troli. “Kau ni pandai betul bagi ayat, Adam. Oleh sebab tu, markah kau aku naikkan jadi 92 peratus.” Adam ketawa kecil, tetapi suaranya tetap tenang. “Mungkin kau belum jumpa hala tuju sekarang. Tapi percayalah, Allah tu bekerja dalam rahsia. Setiap apa yang kau buat sekarang, pasti Dia dah plan something untuk kau.” Hayyan berhenti bermain dengan pita. Dia angkat kepala perlahan, menatap Adam. “Something sweet?” “Maybe.” Beberapa detik senyap. Hanya bunyi forklift bergerak di hujung gudang. Hayyan akhirnya menghela nafas, bahunya jatuh sedikit. Dia senyum. “Baiklah. 95 peratus.” Adam tergelak. “Bang, kau ni memang tak boleh serius, kan?” “Of course not. Sebab aku sweet.”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 49
Sekali lagi ledakan tawa mereka bergema. Troli Hayyan juga sudah penuh. Kotak-kotak sudah pun siap disusun ikut kawasan. Dia meminta izin untuk meneruskan tugasnya. Namun, langkah kakinya lemah sahaja menuju ke kereta Alza. Misi utama yang dia kejarkan hari ini, tidak tercapai. Terus terasa hilang semangat. Tetapi belum sempat dia menolak troli keluar gudang …. “Hayyan!” Hayyan
menoleh.
Terlihat
Adam
seperti
mahu
campakkan sesuatu. “Something sweet for you!” kata penyelianya itu sambil senyum penuh makna. Hayyan menyambut bungkusan kecil berwarna hitam itu. Ada pelekat kecil tertulis nama penerima. Siti Wardeena binti Firdaus. Serta-merta bibirnya terukir hingga ke telinga. Hari yang mendung terasa cerah semula. Hayyan mengangkat tangan. “250 PERATUS!”
50 | AMAN WAN
Bab 4
“Deena, awak dengar tak?” Gadis kecil itu angkat muka. Dia memandang kawan serumahnya, Simran, yang kini sudah bersiap kerja. Wajah gadis India itu berkerut. “Eh, apa? Sorry.” “Lanyard saya? Dari tadi saya keluar masuk tak jumpa.” “Oh, ada dalam novel di bawah laci TV tu. Semalam Safura nampak awak sepahkan atas sofa. Jadi dia selit di dalam.” “Isy, lain kali bagi tahu awal-awal.”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 51
Gadis itu mendengus. Sudah lebih sepuluh minit dia berulang-alik di ruang tamu itu. Sekejap tunduk, sekejap bangun. Silap hari bulan, dia pula yang terbaring atas katil pesakit! Simran cepat-cepat membuka laci. Hatinya lega apabila lanyard itu dijumpai. Gadis itu menjeling kepada Deena yang sudah kembali fokus kepada skrin telefonnya. “Amboi, fokus betul awak, ya? Saya yang ulang-alik ni pun awak tak peduli. Tengah tunggu mesej daripada Mr. COD ke tu?” Nada Simran nakal. Lanyard itu disarungkan ke leher, sambil matanya sempat mencuri pandang skrin Deena. “Mr. COD?” Dahi Deena berkerut. Sekilas, matanya naik memandang wajah Simran. “Siapa tu?” “Itulah, abang kurier kau tu. Mr. Cinta-On-Delivery! Dari tadi kau asyik renung skrin. Tunggu mesej dia, kan?” Deena menjongket kening. “Hayyan? Isy, merepek! Ini …. Saya call ibu saya. Tapi dari tadi asyik tak angkat-angkat.” Nada suaranya berubah sedikit serius. “Selalunya kalau nampak saya buat missed call, mesti dia akan telefon atau mesej. Tapi hari ni senyap. Risau sikit.”
52 | AMAN WAN
Simran pandang Deena sejenak, sebelum buat gaya rolling eyes. “Ya ke? Awak betul-betul risau ibu atau risau kurier DAN abang kurier yang tak sampai-sampai?” Deena gelak kecil. “Risau kurier tak sampai, itu memang ya. Risaukan abang kurier? Itu mengarut namanya. Hayyan tu datang semata sebab kerja ya. Tak adanya kami ada masa nak berskandal. Isy, mengadalah awak ni! Itulah, suka sangat baca novel romcom. Berangan bukan-bukan! Ber. Do. Sa.” Mata Simran membulat. “Amboi, macam Kak Pah Perampas!” Dua gadis itu ketawa. Namun, Simran masih tidak puas menyakat. “Saya bukan saja-saja nak buat cerita. Sekarang ni stres sangat kerja di hospital tu. Lagi-lagi ada virus outbreak sekarang. Asyik kerja, kerja, kerja. I need some romance drama! Especially from you and Mr. COD!” “Oh, please! Jauh sangat angan-angan awak. Nonsense!” “It’s not nonsense. It’s hope.” Deena mencebik. “Tak payahlah nak hope-hope sangat. Tak kenyang perut pun! Baik lagi makan ayam gepuk!”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 53
Kening Simran terangkat. “Awak nak belanja?” Telefon yang tadinya ditenung, kini disimpan ke dalam kocek seluar. Deena mencebik. “Huh, tak berbaloi belanja mulut yang suka buat cerita!” “Saya bukan buat cerita. Ini realiti, ya!” Gadis itu menghampiri Deena dan menghulurkan jari kelingking. “Okey, jom kita bertaruh. Kalau dia datang hari ni, lepas tu puji-puji, awak mesti belanja saya.” “Kalau Hayyan puji?” “Yes! Satu kali dia puji, satu nasi ayam gepuk.” Deena ketawa, jari kelingking mereka bertaut. “Okay, you got a deal! Tapi awak jangan harap sangat. Dia bukan datang tiap-tiap hari pun.” “Parcel!” Bagaikan
tahu-tahu,
terus
sahaja
orang
yang
melihat
teman
diperkatakan sudah tiba. Deena
mendengus
geram
apabila
serumahnya itu sudah menahan tawa, mulut ditutup-tutup dengan jari. Dia membaling bantal kecil ke arah Simran yang sedang buat gaya ala-ala memakan nasi ayam gepuk.
54 | AMAN WAN
“Hei, belum lagi! Kalau dia puji baru ada deal!” Simran angkat tangan tanda akur. Deena tersenyum senget lalu terus membuka pintu. Mujurlah dia belum menukar pakaian kerja, jadi dia tidak perlu mencari hoodie atau kain untuk tutup aurat rambutnya. Kelihatan Hayyan sudah tercegat dan pasang muka tersengih macam biasa. Tatkala terlihat sahaja gadis pujaan hati, mata Hayyan membulat. “Uish, cik kak lawa-lawa nak pergi ke mana?” Pujian lelaki itu hanya dibalas dengan bunyi tawa Simran dari dalam rumah. Deena tarik nafas. Geram. ‘Dah kenapa mamat ni good mood sangat?’ Gadis itu menoleh kepada Hayyan dengan senyuman. “Aku baru balik hospital. Belum sempat tukar hoodie.” “Patutlah manis.” Tawa Simran meletup lagi. ‘Habis duit aku!’
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 55
Deena buat-buat tidak dengar. Dia mengambil bungkusan yang dihulur Hayyan. Seperti biasa, sanitizer ditarik dari tepi pintu dan disembur ke bungkusan plastik berwarna ungu itu. “Awalnya datang hari ni? Baru pukul lima. Selalunya waktu nak maghrib baru muncul.” Hayyan senyum senget. “Saja. Hari ni ada pasar malam kat bawah tu. Nak singgah awal.” “Hari-hari makan beli? Sekali sekala masaklah.” “Nak masak apa? Bahan-bahan pun tak ada kat rumah tu. Apatah lagi suri rumahnya.” Nada Hayyan bersahaja, tetapi mukanya tersenyum nakal. Gadis itu mendengus. “Oi, nak memasak tu tak payah nak tunggu ada suri rumah! Lelaki pun kena belajar masak. Zaman sekarang ni bukan semua benda nak harap orang perempuan. Perempuan pun ada kerja lain. Nak uruskan diri, nak bayar bil, nak jaga pesakit, nak ….” “Beli barang online?” Sekali lagi, Deena libas bungkusan itu perlahan ke bahu Hayyan.
56 | AMAN WAN
Lelaki itu buat-buat sakit, gosok bahu sambil gelak kecil. Seronok dapat menyakat gadis itu. Kemudian, Hayyan ambil gambar dan key in data. Ketika itu, Simran menjenguk dari dalam. “Hai, Mr. COD!” Hayyan yang keliru, hanya angkat tangan kecil. “Hai …?” Simran tersengih melihat wajah blur Hayyan sebelum menoleh kepada Deena. “Saya dan Safura nak ke pasar malam. Kami dua outcall malam ni. Malas nak masak. Lagipun ada orang janji nak belanja nasi ayam gepuk, kan?” Kening Simran terangkat-angkat. Deena melagakan gigi. Geram. Tak lama, dia mengeluh perlahan. “Ya, bolehlah.” “Orait, kami bersiap! Sekejap, ya?” Simran masuk semula. Kedengaran suara riuh dua gadis yang mengalahkan bunyi di reban ayam. Deena menggeleng. Dia toleh semula ke arah Hayyan yang kini berwajah ceria. Lelaki itu tiba-tiba nampak teruja berbanding tadi.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 57
“Kau nak turun pasar malam bawah? Kebetulan aku pun nak ke sana. Boleh la temankan jalan-jalan.” “Isy, nanti orang tengok!” “Kalau aku belanja?” Deena mengecilkan matanya. Dia terdiam seketika. “Betul nak belanja?” Anggukan penuh keyakinan diberikan kepada si gadis. Hayyan terkembang kempis hidung, buat riak bangga apabila terlihat riak Deena yang bercahaya. Gadis itu buka pintu rumahnya sedikit dan jerit ke dalam. “Simran! Safura! Jom ke pasar malam. Hayyan nak belanja kita makan nasi ayam gepuk!” “Weh, bukan. Aku cuma nak belanja ….” Tapi belum sempat dia betulkan, Simran sudah muncul semula. “Oh, my God, really? Awak nak belanja kami?! Aww, thank you so much, Mr. COD!”
58 | AMAN WAN
Deena tersengih apabila dia terlepas daripada janjinya dengan Simran tadi. ‘Selamat duit aku!’ Hayyan mengeluh kuat. Mahu atau tidak, dia terpaksa akur. Padahal diam-diam, hatinya sudah menari riang!
*** “Jadi, macam mana? Sedap?” Mata Hayyan memandang Deena yang sedang menggigit hujung corn dog keju leleh yang masih berasap sedikit. Suasana pasar malam yang panas dan riuh itu menjadi dendangan latar. Namun, fokus gadis itu hanya pada makanan di tangan. Gigitan pertama membuatkan matanya membulat seketika. Ekspresi yang mencuri debar Hayyan. Namun, sepantas itu juga, air mukanya bertukar sinis. “Biasa je, nyah,” komennya, malas. Hayyan berkerut. “Takkanlah. Ini gerai viral ni. Tengok, panjang lagi orang beratur.”
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 59
Dia menunjuk dengan muncung mulut ke arah gerai kecil yang masih dikerumuni orang ramai walaupun senja sudah menghampiri. Kelihatan lampu neon berkedip dengan tulisan ‘Corn Dog Meleleh Letup’ dan hiasan lukisan maskotmaskot comel. “Ah, kau percaya sangatlah viral. Sekarang ni semua benda nak claim viral. Aku rasa, orang senang kena tipu je yang suka beli makanan-makanan macam ni.” “Betul. Aku pun tak berapa suka makanan-makanan viral ni.” Hayyan ketawa kecil. Pada masa yang sama, dia tolak baki Keria Kreamy yang sempat diulang beli tadi dalam-dalam ke hujung poket. Petang itu mereka duduk di satu sudut taman kecil bersebelahan jalan besar, tidak jauh dari pintu masuk pasar malam. Deretan bangku batu yang sudah pudar catnya menjadi tempat mereka bersila. Di belakang, terdengar suara kanakkanak menjerit di taman permainan. Kadang-kadang, terdengar juga suara penjaja dari seberang jalan melaung, menjual air balang dan bihun sup. Safura dan Simran sudah lama naik ke rumah di tingkat empat. Kononnya mahu cepat-cepat makan dan kembali ke
60 | AMAN WAN
hospital. Padahal Deena perasan dua gadis itu sudah terkekekkekek kerana dapat mengenakan dia. Sengaja membiarkan Deena menemani Hayyan duduk berdua di tepi pasar malam. ‘Esok, aku sorok lanyard dua-dua dalam tong sampah!’ Deena mencebik diam-diam. Dia kemudian menghirup perlahan air asam boi dari cawan plastik besar. Sesekali matanya melirik ke arah pangsapuri yang terletak di seberang jalan. “Kalau dari sini, nampak ke rumah kau yang mana satu?” soal gadis itu tiba-tiba, sambil menggigit hujung corn dog yang hampir tinggal separuh. Hayyan ikut pandang. “Tak. Rumah aku blok satu lagi, menghadap jalan sebelah sana. Kenapa? Kau nak intai aku ke?” “Memang. Senang aku nak cari gaduh kalau parcel aku hilang lagi.” Deraian tawa mereka memecah suasana petang. Deena menyambung kunyahan. Hayyan hanya memerhati suasana pasar malam. Kelihatan ramai warga bercampur baur. Kebanyakan ialah penghuni asrama jururawat.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 61
“Ramai ya, nurse? Dah macam hospital pasar malam ni.” Deena menjeling, “Kenapa? Seronok cuci mata?” “Isy, aku budak baik. Tak baik fitnah tau,” balas Hayyan, sambil menjeling Deena yang masih mengunyah. Corn dog yang dikatakan biasa tadi, sudah berbaki seinci. Kononnya rasa biasa, tetapi habis juga. “Kau kenapa tak pakai uniform?” “Uniform apa? Aku bukan nurse jaga wad. Aku kerja lab. Pakai kot makmal. Takkan nak bawa ke hulu hilir.” “Lah, kalau aku masuk hospital, tak jumpalah kau?” “Boleh je jumpa. Kalau kau jadi kuman, aku la orang yang kau akan hadap hari-hari.” “Demi kau, aku sanggup jadi kuman.” “Geli! Aku spray kau nanti!” Hayyan ketawa besar. Separuh bergurau, separuh berharap. Ada getar halus di hujung suaranya.
62 | AMAN WAN
Deena membalas renungan itu, lalu berpaling ke arah langit. Sisa mentari mula bersinar keemasan di balik daundaun yang bergerak perlahan. “Kau lepak-lepak sini, keluarga kau tak ada?” Soalan itu keluar perlahan, seperti cubaan berbasa-basi. Hayyan hanya menggeleng. Bahunya naik sedikit. Gadis itu berkerut. “Kenapa?” “Aku tinggal sendiri.” “Seorang? Dalam pangsapuri sana tu?” Hayyan angguk lagi. “Tak takut hantu?” Hayyan ketawa kecil, lalu mengangkat kening. “Kau boleh kawan dengan budak kecil kat pangsapuri aku tu. Sama frekuensi!” Tawanya dibiarkan tersisa. “Tak adalah. Hantu mana nak kacau aku. Rumah aku lagi bersepah dari kubur. Komik bersepah atas lantai, baju terselit bawah sofa. Silap-silap, hantu pun sesat!” “Eee, pengotor! Patutnya aku spray kau hari-hari!” Mereka tergelak lagi.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 63
Tetapi Deena sempat terbatuk kecil, mungkin kerana tertelan air asam boi terlalu laju. Hayyan menghulur tisu, namun, ketika itulah telefon jejaka itu berbunyi. MAMA IS CALLING. Dia serba salah. Dibiarkan saja panggilan itu. Deena perasan. “Kenapa tak angkat?” “It’s okay. Biasalah. Orang tua nak membebel.” Jejaka itu matikan bunyi dering. Suasana jadi sunyi seketika. “Tak elok tau, biarkan mama kau tertunggu-tunggu.” “Tak apa, dia dah biasa. Lagipun, nanti dia dengar suara kau, dia ingat suara bakal menantu.” Hampir tersembur air asam boi dari mulut Deena. “Ah, mengada kau, ya!” Hayyan ketawa terbahak-bahak. “Tak adalah. Dia memang suka telefon. Tanya hal aku. Sebab dah tinggal seorang, kan. Tapi itulah …. Hari-hari telefon.”
64 | AMAN WAN
“Dia sunyi tu. Kadang-kadang orang tua ni sensitif sikit. Ibu ayah aku kat kampung pun macam tu. Lagi-lagi ayah aku tu bukan jenis berbual. Tak pandai berkawan.” Hayyan menjeling Deena. “Meh kawan dengan aku. Mesti macam-macam topik boleh sembang.” “Kau jangan cabar.” “Kenapa? Nak bertaruh?” “Tak nak! Eh, sudahlah. Langit makin nak gelap. Kau tu solat asar dah ke belum?” Hayyan menggigit bibir. “Tadi, lepas hantar barang, aku nak solat asarlah. Tapi kau ajak belanja pasar malam.” “Astaghfirullah! Pergi solat! Lagi setengah jam dah nak masuk maghrib. Patutlah mama kau call, kau tak angkat. Panggilan Tuhan pun kau lambat-lambat!” “Hoi, mana ada! Tak sengaja.” “Balik cepat!” “Yalah, yalah!” Mereka bingkas bangkit dan beriringan ke arah jalan besar. Menuju ke laluan masing-masing.
OPERASI MENGAMBIL HATI BAKAL MENTUA | 65
Dari jauh, Deena melihat Hayyan membuka pintu Alza putih. Sempat dia mengangkat tangan dan bergegas memasuki kenderaan. Lalu kereta itu meluncur laju ke Vista Kita di sebelah. Kepala gadis itu menggeleng perlahan. “Macam-macam je.” Tak lama kemudian, telefon Deena pula berbunyi. Skrinnya memaparkan nombor yang tidak dikenali. Kening gadis itu berkerut. ‘Mungkin panggilan dari pejabat pos atau hospital,’ fikirnya. Tetapi saat dia menjawab, suara di hujung talian membuatkan degup jantungnya berhenti seketika. “Abah?”
66 | AMAN WAN