Cikgu Sam Masuk Kampung Aidil Ghazali
Diterbitkan oleh: RUMAA BOOKS 12 JALAN INDUSTRI KIDAMAI, BUKIT ANGKAT, 43000 KAJANG, SELANGOR.
Penyelaras Penerbitan Ketua Editor Ketua Unit Perolehan (Novel) Editor Junior (Novel) Ketua Unit Manuskrip Editor Pembangunan Manuskrip Editor Naskhah Pruf Baca Penulis Ketua Unit Visual Buku Reka Bentuk Kulit Reka Letak
No. Tel.: +603-8751 0333 E-mel: admin@imanpublication.com RUMAA BOOKS adalah nama komersial bagi Novel IMAN Sdn. Bhd
: Faizah Hamid : Rahmah Pauzi : Syahira Hozami : Qurratul 'Ain : Auni Zainal : Umairah Shafei : Fira : MAZ : Aidil Ghazali : Husna Ab Rahman : Asyraf Azulia : Haziq Razack Nabil Waldan
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG Cetakan Pertama Januari 2026 ISBN
Dicetak oleh: Mihas Grafik Sdn Bhd No 8, Jalan SR 4/18, Taman Serdang Raya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Sebarang maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan atau ulasan) boleh terus ke pautan ini: bit.ly/novelrumaa
Hak cipta terpelihara. Segala kandungan dalam buku ini — termasuk artikel, ilustrasi dan gambar — tidak boleh disalin, diterbitkan semula atau digunakan dalam apa-apa cara tanpa kebenaran bertulis daripada Novel IMAN Sdn Bhd. Kandungan buku ini juga tidak boleh digunakan oleh mana-mana sistem Kecerdasan Buatan (AI) untuk tujuan latihan atau penjanaan kandungan, tanpa kebenaran.
Cikgu Sam Masuk Kampung Aidil Ghazali
Dedikasi
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikgu Mazlan dan Cikgu Zaid bagi semua maklumat dan penerangan tentang kerjaya guru di kawasan pedalaman. Juga buat Cikgu Hanisah atas perkongsian pengalaman mengajar anak-anak Semai. Tidak lupa kepada guru Bahasa Melayu saya di SMS Johor, almarhumah Cikgu Zanariah binti Abdol. Terima kasih kerana telah melorongkan saya ke jalan ini. Budi baik cikgu akan saya kenang hingga ke hujung hayat.
4 | AIDIL GHAZALI
Ini cerita seorang guru dan anak muridnya yang berperangai aneh-aneh.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 5
Bab 1 Litar Hutan Belantara
‘Sumpah penat!’ Sam tahu dia tidak patut mengeluh kerana ini baru hari pertama, tetapi zahir dan batinnya rasa sangat terseksa. Tekaknya
dahaga,
perutnya
lapar,
pergelangan
tangannya lenguh, pipinya berdebu dan punggungnya pegal kerana duduk terlalu lama di atas kusyen motosikal yang keras. Cuaca panas menyebabkan setiap inci badannya berpeluh. Kulitnya pula melekit-lekit. Seluruh tubuhnya terasa berlengas. Sam memejamkan mata untuk meredakan rasa lelah.
6 | AIDIL GHAZALI
Sudah hampir tiga jam konvoi motosikal yang disertainya meredah laluan kering yang bertanah merah. Sam merasakan dirinya umpama robot Voyager yang dihantar oleh NASA untuk menjelajah planet Marikh. Debu-debu merah naik tinggi ke udara sehingga mengelabui pandangan mata. Nafasnya terasa sempit. Lebih teruk lagi, jalan ini juga menjadi laluan utama lori yang tidak memiliki cukai jalan atau digelar sebagai lori hantu. Lori-lori ini membawa batang-batang pokok balak bersaiz dua kali pemeluk orang dewasa. Atau mungkin lebih besar. Sam kurang pasti. Namun, apa yang pasti, saiznya menakjubkan dan akan diangkut keluar setelah ditebang. Setiap kali motosikalnya berselisih dengan lori itu, terasa seperti mahu melayang dilibas angin. Sebegitu kuat momentum sebuah lori bermuatan berat. Sam jadi gerun dan teringatkan dosa-dosa silam. Ingatannya mengimbau adegan ngeri dalam filem Final Destination yang pernah ditonton semasa di universiti. Ketika sebuah lori membawa balak di lebuh raya, rantai besi yang mengikat batang-batang kayu putus lalu mengakibatkan bencana kepada semua pengguna jalan raya.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 7
Bayangkan betapa azabnya mati dalam keadaan tertimpa kayu balak. Belum lagi dihimpit tanah ketika seksaan malaikat di dalam kubur. Sam jadi insaf sekejap. Kecut perut. Di telinganya terngiang-ngiang lagu Pergi Tak Kembali oleh kumpulan nasyid Rabbani. “Sam okey?” Sam membuka mata. Khayalannya bubar. Seorang lelaki menghulurkan botol air mineral di depan mukanya. Namanya Mazlan. Atau lebih senang dipanggil Abang Lan. Badannya berbau getah hangus. Mereka baru berkenalan dua jam yang lalu di pekan Raub. Mereka sedang berhenti rehat di bawah teduhan daun-daun pokok mahang selepas habis mendaki jalan berbukit. “Err, okey … saya okey,” jawab Sam, tergagap-gagap kerana sedang berbohong. Hakikatnya, dia langsung tidak okey. Sangat tidak okey. “Penat?” “Letih sikit. Sebab jauh sangat.” “Hari ni memang terasa bahangnya. Tapi lagi bagus panas,” kata Cikgu Mazlan.
8 | AIDIL GHAZALI
Sam terus menoleh. “Kenapa pula?” “Kalau hujan, lagi seksa kita nak bawa motor. Sepanjang jalan ni habis berselut. Becak lagi. Silap-silap tergolek tengah jalan.” Cikgu Mazlan melabuhkan duduk di sebelahnya. “Jauh lagi ke kampung tu, Abang Lan?” tanya Sam semasa membuka penutup botol. Dia meneguk air hingga tersisa setengah. “Setengah jam lagi sampailah. Sabar sikit aje lagi.” Cikgu Mazlan mengesat peluh di dahi. Mata Sam mengecil. Sangsi dengan jawapan itu. Kali terakhir mereka berhenti rehat pun dia mendengar jawapan yang sama. Sudah dua kali. Mereka berhenti rehat kali pertama selepas dua jam meninggalkan pekan Raub. Sejam kemudian mereka berhenti rehat lagi. Maknanya, perjalanan mereka sudah memakan masa selama tiga jam. Sudah begitu lama pun masih belum tiba ke destinasi. “Sam larat bawa motor lagi, kan?” soal Cikgu Mazlan. Tangannya mengesat peluh yang menitik hingga ke hujung janggut.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 9
“Larat.” Sam tersenyum kelat. Itu bukan jawapan ikhlas. Dia cuma kata begitu untuk memujuk hati sendiri. “Memang dah biasa bawa motor berjalan jauh?” “Bi … biasa.” Sam angguk perlahan. Bohong kali kedua. Sedangkan, Sam tidak pernah menunggang motosikal menempuh jarak jauh. Biasanya dia cuma naik skuter. Dia kurang gemar motosikal jenis kapcai. Leceh kerana perlu kerap menukar gear. Skuter lebih memudahkan. Sam tidak suka merumitkan hidup sendiri. Motosikal anggota konvoi ini rata-rata terdiri daripada motosikal jenis kapcai kerana tahan lasak. Harganya murah. Jadi, sangat sesuai untuk dilanyak di jalan tidak berturap, beralun, berlopak-lopak dan berbonggol-bonggol. Jika rosak sekalipun, mudah dibaiki dan alat-alat gantinya tidak memerlukan biaya yang besar. Mereka sudah berhenti lima kali. Dua kali kerana rantai motosikal putus, sekali tayar kempis kerana melanggar batu kerikil tajam dan yang terakhir rehat untuk melegakan penat. “Kalau biasa, maknanya tak terasa sangatlah, kan?” tanya Cikgu Mazlan lagi.
10 | AIDIL GHAZALI
Sam
tidak
menjawab.
Soalan
itu
seperti
mahu
memerangkap. Matanya berkelip-kelip. Peluh menitis di hujung bulu mata. Kepala pula dibasahi keringat seperti baru habis mandi. “Sebab Sam dah biasa, ayuhlah kita gerak. Tak boleh rehat lama-lama, bimbang sampai terlalu lewat nanti.” Cikgu Mazlan berdiri. Tangannya menepuk-nepuk debu merah pada seluar. “Motor semuanya ada lampu, kan?” tanya Sam, sedikit hairan. “Masalahnya bukan pada gelap atau terang,” sambung Cikgu Mazlan. “Saya tak faham.” “Saya bukan nak menakut-nakutkan, tapi di sini ada ‘Maybank’,” pesan Cikgu Mazlan sebelum pergi ke motosikal. Nada suaranya ditekan pada perkataan terakhir itu. Sam terpinga-pinga sendiri. ‘Maybank?’ Awalnya, Sam kurang mengerti. Mengikut logik, mana mungkin wujud cawangan bank di tengah-tengah hutan?
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 11
Logo bank tempatan berbentuk kepala harimau terlintas dalam fikirannya. Sam teringat pesan orang tua-tua. Apabila berada di dalam hutan, perkara nombor satu yang perlu dikawal ialah lidah. Sentiasa jaga tutur kata. Jangan celopar. Hatta mahu menyebut perkataan harimau sekalipun dilarang keras. Mungkin itu sebabnya Cikgu Mazlan berkias tadi. Sam menelan air liur. Tidak semena-mena datang gerun. Matanya melihat rimbunan semak di kiri dan kanan jalan. Siapa tahu di sebalik daun lalang itu ada pak belang yang mengintai? Ini rimba belantara. Bukan hanya harimau, janganjangan ada gajah yang sedang bersembunyi. Atau mungkin ada babi hutan yang mengintai-intai peluang untuk menyondol. Tanpa berfikir panjang, Sam terus melompat naik ke atas motosikal. Topi keledar disarung. Ikatan tali diketatkan. Cermin pelindung diturunkan. Kunci diputar. Kakinya pula terburu-buru menendang engkol bagi menghidupkan enjin. Hati nurani Sam sungguh-sungguh berdoa agar Allah menjaga keselamatan dirinya.
12 | AIDIL GHAZALI
Sam datang ke sini untuk mengajar. Niatnya baik, tulus dan
murni.
Moga-moga
dijauhkan
daripada
musibah.
Janganlah sampai dia dibaham harimau, diinjak gajah, dicakar beruang, diterkam binturung atau digigit siamang. Ngeri sekali membayangkan taring siamang yang runcing itu mengokak bahunya. Nauzubillah min zalik. Semoga
Allah
melindunginya
daripada
segala
marabahaya. Tangan Sam memerah pendikit minyak. Ekzos mula berdengung. Enjin menderum-derum. Hajat Sam hanya satu, dia ingin tiba di Pos Besau dengan selamat dan bertemu bakal anak-anak muridnya. Roda motosikal yang dinaikinya berpusing laju. Kabel pendikit minyak semakin tegang kerana dipulas sehingga habis. Sam memecut di atas jalan tanah merah yang berdebu. “Sam!” Terdengar suara Cikgu Mazlan menyeru namanya. Sam langsung menoleh. “Kau nak pergi mana?”
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 13
“Hah?” Sam terpinga-pinga. “Kita nak ke atas, bukan balik semula ke pekan. Salah jalan tu, Sam … kau salah jalan!”
14 | AIDIL GHAZALI
Bab 3 Orang Baharu
Selepas tiga jam setengah menunggang motosikal di sepanjang laluan hutan sehingga punggungnya terasa kebas-kebas seperti dibius, akhirnya Sam tiba juga di perkampungan orang asli Pos Besau. Air mata Sam nyaris-nyaris tumpah. Terharu rasanya. Banyak sekali pancaroba yang terpaksa dihadapi. Bermula dengan tayar bocor, rantai motosikal putus, jatuh tergolek kerana melanggar lubang, brek tercabut, hinggalah insiden memalukan tersalah arah jalan. Nasib baik Cikgu Mazlan sempat memanggil. Jika tidak, sudah tentu Sam tersesat jauh sampai ke perkampungan bunian.
24 | AIDIL GHAZALI
Kehadiran konvoi pimpinan Cikgu Mazlan disambut sekumpulan orang kampung yang menunggu di jalan masuk. Mereka mengalu-alukan kedatangan Sam seperti wakil rakyat semasa musim berkempen. Bezanya, Sam datang tanpa membawa beras, telur, sardin dan janji-janji pilihan raya yang tidak pernah ditepati. Seorang lelaki tua tidak berbaju datang merapati mereka. Tubuhnya kurus tetapi ototnya kelihatan pejal. Kulitnya pula berkilat kerana tetesan keringat. “Kenapa lambat sangat, cikgu?” tanya lelaki itu. “Traffic jam, tok.” Cikgu Mazlan bergurau tipis-tipis. “Lama kami tunggu.” “Ada orang baru, tok. Tak boleh bawa motor laju-laju. Terkejut dia nanti,” balas Cikgu Mazlan sebelum menuding ke arah Sam, menandakan dialah orang baharu itu. “Eng sampai mau bed1 tau.” Cikgu Mazlan hanya tersenyum. Kemudian, matanya mencari-cari seseorang dalam kerumunan, lehernya menjengukjenguk. “Pak haji mana?” tanya Cikgu Mazlan. 1
Tidur.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 25
“Dia dah balik. Cikgu lambat sangat.” Cikgu
Mazlan
menghembus
nafas
keluhan.
Jari
telunjuknya dikait-kait, sebagai tanda supaya Sam datang lebih dekat. “Wahwei2 juga,” puji tok batin. Sam tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh ketua kampung orang asli itu. Bunyinya aneh seperti jenama telefon pintar dari China. “Kenalkan Sam. Ini Batin Ebal, ketua kampung orang asli Pos Besau.” Cikgu Mazlan mendorong bahu Sam. Sam datang dekat. Tangan Batin Ebal menjabatnya dengan kuat umpama pegangan tangan calon mentua menerima pinangan. Kemas tetapi terasa garangnya, seakan-akan memberikan amaran di telapak tangan. Telapak ketua kampung itu pula kasar dan berkematu seperti tapak tangan beruang madu. Batin Ebal memandang guru baharu itu dari hujung rambut sampai hujung sepatu. Dia tersengih. Gusinya hitam kemerah-merahan.
2
Kacak.
26 | AIDIL GHAZALI
“Siapa nama hek?” tanya Batin Ebal. Perkataannya basah dengan tembakau. Warna giginya seperti warna bas sekolah. Sam terpinga-pinga mendengar pertanyaan itu. “Nama hek?” Sam ulang semula. “Dalam bahasa Semai, hek itu maksudnya ‘awak’.” Cikgu Mazlan masuk campur selepas melihat Sam terkulatkulat. “Saya kena balas apa?” “Sam jawab, ‘nama eng Sam’. Eng itu maksudnya saya.” Sam angguk mendengar panduan Cikgu Mazlan. Dia memperkenalkan diri, “Nama eng Samsul, tok.” “Nama kecil hek?” soal Batin Ebal lagi. “Samsul aje, tok.” “Yalah, nama kecil hek Samsul. Nama besar hek mesti SAMSUL!” usik Batin Ebal sebelum ketawa terkekeh-kekeh seperti rusuknya digeletek.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 27
Orang lain ketawa mendengar gurauan Batin Ebal. Sam tersenyum simpul. Walaupun kurang gemar lawak bapakbapak, dia menghargai usaha tok batin itu yang mahu bermesra. “Mari naik rumah eng dulu, cikgu. Ada makan-makan sikit. Cikgu mesti ce’mes3,” pelawa Batin Ebal. Sam dan ahli konvoi lain singgah ke rumah Batin Ebal. Isteri ketua kampung itu menghidangkan ubi kayu rebus dan air kopi. Mula-mula Sam rasa malu. Namun, rasa segan diketepikan kerana lapar selepas menempuh perjalanan jauh. Wap yang mengasap naik buat perutnya bergendang. Seleranya tergoda melihat ubi kayu di sini. Besar-besar dan empuk. Apabila dijamah, rasanya cukup berlemak. Makan dicicah kelapa parut ditabur garam pun sedap. Habis makan, Sam tersandar di dinding. Lima ketul ubi kayu disuap ke mulut. Perutnya senak kerana terlalu kenyang. “Se’tut?” tanya Batin Ebal tiba-tiba. Mimik wajah Sam berubah. Tersinggung dengan tuduhan itu.
3
Lapar.
28 | AIDIL GHAZALI
“Eh, bukan … saya tak kentut.” Sam langsung menafikan. Mereka semua pakat tergelak ramai-ramai. Cikgu Mazlan pun menjelaskan, “Dalam bahasa Semai, se’tut maksudnya sedap. Tak sedap, mereka cakap ka se’tut.” Muka Sam bertukar merah. Malu sungguh. “Manalah saya tau,” gumam Sam perlahan. “Saya sangka Batin Ebal tuduh saya kentut.” “Itu bihek.” “Apa?” Sam tercengang lagi. “Dalam bahasa Semai, bihek maksudnya kentut. Tapi ada juga orang sebut gahem,” jelas Cikgu Mazlan. Sam memicit dahi yang mulai berdenyut. Pening kepala. Penat selepas merempit di sepanjang jalan hutan belum lagi kebah. Sekarang, dia terpaksa belajar bahasa orang asli Semai pula. Selesai makan di rumah Batin Ebal, konvoi mereka berpecah mengikut haluan masing-masing. Cikgu Mazlan membawa Sam ke rumah kuarters guru lelaki.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 29
Laman rumah itu dihiasi bunga kertas berkelopak ungu dan merah muda. Orkid liar bergantungan di pasu kecil yang terisi ketulan arang. Sam seakan-akan mampu menebak jenis karakter bakal rakan serumahnya. “Awie!” Cikgu Mazlan menyeru. Seorang lelaki berambut afro keluar tergesa-gesa dari dalam rumah. Tubuhnya tinggi lampai, memakai singlet dan berseluar tiga suku. “Kenalkan Sam … nama dia Asnawi. Tapi kami panggil dia Awie.” Cikgu Mazlan memperkenalkan. Awie menghulur tangan untuk bersalam. “Lepas ni jangan merungut bosan lagi tau. Sebab dah ada kawan serumah,” seloroh Cikgu Mazlan. “Nasib baik. Sikit lagi saya nak berborak dengan dinding,” gurau Awie sambil tersengih-sengih. Selepas misinya selesai, Cikgu Mazlan angkat tangan tanda mahu beransur. Awie menurunkan beg yang diikat di atas motosikal. Barang yang dibawa Sam cuma pakaian, kasut dan sebuah novel berjudul Kai di Lembah Urda. Semuanya dimuatkan ke dalam dua beg baju.
30 | AIDIL GHAZALI
“Mana lagi barang?” tanya Awie selepas selesai memasukkan beg ke dalam bilik tidur. “Ini aje.” “Sikitnya.” Awie tidak percaya. “Cuma baju dua tiga helai, cukuplah. Err, nak panggil apa ni? Abang Awie?” “Abang? Kita bukan duduk asrama nak berabangabang.” “Habis tu?” “Panggil aku kau cukup,” jawab Awie selamba. Sam mengacukan ibu jari tanda setuju. Senang jadi orang lelaki. Syarat berkawan untuk orang lelaki cuma satu iaitu makhluk hidup yang tidak menggigit. “Rumah ni cuma ada bilik tidur, dapur dan satu bilik air. Tak mewah mana, tapi bolehlah.” Awie keluar sebelum kembali semula membawa dua buah bantal. “Cukup selesalah ni.” Sam menepuk tilam. Habuk halus berterbangan. Tangannya menutup hidung. Di biliknya cuma ada sekeping tilam tipis, almari baju dan cermin bulat sebesar tapak tangan.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 31
“Rehatlah dulu. Mesti penat, kan?” “Sangat.” Sam merebahkan badan di atas tilam. Awie ketawa. “Samalah macam aku masa kali pertama datang sini dulu,” cerita Awie lalu bernostalgia tentang kenangan lama. “Rasa nak patah pinggang. Jauh pun jauh. Tapi lama-lama nanti terbiasalah.. Tiap-tiap minggu merempit jalan hutan pun selamba aje.” “Memang tiap-tiap minggu ke keluar?” “Mestilah.” “Biasanya buat apa?” tanya Sam lagi. “Untuk orang bujang, makan sedap sikit, jalan-jalan beli barang. Untuk cikgu-cikgu yang dah berkahwin, balik rumah jumpa anak isteri,” beritahu Awie. Apabila Awie sebut tentang keluarga, Sam teringat emak dan abahnya. Telefonnya dikeluarkan dari poket beg. Sam mengeluh. Kecewa melihat bar isyarat telekomunikasi yang hampir-hampir tidak wujud.
32 | AIDIL GHAZALI
Awie cekap membaca riak di wajah Sam. Dia segera memberitahu, “Dalam rumah ni tak ada signal. Kalau nak guna telefon, kena usaha lebih sikit.” “Usaha lebih? Macam mana tu?” Sam kurang faham. “Ikut aku.” Awie beri isyarat supaya Sam mengekorinya. Sam akur. Entah kenapa, senyuman di bibir Awie tampak mencurigakan. Mereka berdua pergi ke belakang rumah. Sam terasa seram-seram sejuk kerana hari sudah lewat petang. Meremang bulu tengkuk. Mereka berjalan hingga tiba di depan sebatang pokok rambutan. “Reti panjat pokok?” tanya Awie. “Boleh tu boleh. Tapi kenapa?” “Kau cari signal telefon, kan?” Mata Awie membulat. Mata Sam berkelip-kelip tanda mengeyakan. Dalam hati terbit bermacam-macam pertanyaan. “Di Pos Besau ni, isyarat telefon cuma ada di tempat tinggi,” jelas Awie. Riak mukanya serius menandakan dia tidak bergurau.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 33
“Maksudnya?” “Kena naik atas.” Jari telunjuk Awie menuding ke salah satu dahan. Kejutan budaya pertama buat Sam di Pos Besau. Jika mahu menggunakan telefon di kawasan pedalaman, maka belajar-belajarlah cara memanjat pokok. Mengetahui perkara itu, buat Sam terpempan. Hilang kata-kata. Dunianya seolah-olah gelap. Bagaimana dia mahu hidup di sini jika perlu menjadi Tarzan setiap kali mahu guna telefon? Apa ertinya hidup tanpa talian Internet? Tanpa Internet, Sam tidak boleh melihat atau membalas story kawan-kawan di Instagram, menonton video kucing lucu di TikTok, merungut di Threads atau membaca status orang marah-marah di WhatsApp. Baru satu jam di sini tetapi Sam mulai ragu-ragu dengan keputusan menerima tawaran mengajar di sekolah yang terletak jauh di tengah-tengah hutan belantara. Adakah ini pilihan yang tepat? Sam tidak tahu. Dia benar-benar tidak tahu.
34 | AIDIL GHAZALI
Bab 4 Langkah Pertama
Malam pertama Sam di Pos Besau berlalu pantas. Sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal, Sam terus terlelap. Tubuhnya dipagut keletihan selepas berjam-jam menunggang motosikal di laluan lori balak. Tidurnya nyenyak sehingga langsung tidak mendengar bunyi jam penggera. Dua kali Awie masuk ke dalam bilik supaya Sam bangkit menunaikan solat subuh. Seluruh rumah kuarters itu gelap. Hanya diterangi cahaya lampu daripada bateri janaan solar. Sesudah bersolat, Sam menjengah ke luar rumah. Kampung Pos Besau berada di luar jalur grid tenaga. Jadi,
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 35
mereka tidak memiliki sambungan tenaga elektrik daripada syarikat jana kuasa. Rumah orang-orang kampung rata-rata masih gelap-gelita. Tidak terang benderang seperti rumah kediaman di bandar. Suasana pagi hari di pedalaman juga dingin. Seluruh kampung diselimuti kabus tipis. Hawa udaranya nyaman. Nafas yang dihembus mengewap seolah-olah berada di Pergunungan Alps ketika musim semi. “Sejuk gila!” Awie berdiri sambil berpeluk tubuh di sebelahnya. “Pergilah mandi dulu,” suruh Awie semasa Sam menikmati pagi pertamanya di Pos Besau. “Habis mandi kita sarapan. Tapi hati-hati sikit masa mandi.” “Kenapa?” “Sumber air paip kita datang daripada mata air bukit tau. Menggigil kau nanti,” beritahu Awie. Sam mencemik tanda meragui amaran Awie itu. Lagipun, bukankah sejuk itu sifat alamiah air? Air paip di bandar pun sejuk juga waktu pagi.
36 | AIDIL GHAZALI
Ternyata tanggapan itu meleset. Sam terlalu memandang rendah Pos Besau. Saat menjirus air ke tubuh, Sam terpekik terlolong di dalam kamar mandi seperti orang yang diseksa tentera kempeitai. Air di sini dingin seperti ais. Kulitnya jadi kecut lisut. Tubuhnya menggigil. Gigi atas dan bawah berlagalaga terketar. Sejuknya minta ampun. Sam memutuskan untuk mandi ala Bujang Lapok tanpa perlu membasahkan satu badan. Memadai sekadar mencuci muka dan hujung kelopak mata. Agar Awie tidak mengesyaki apa-apa, Sam terpaksa membuat bunyi cebok air. Malu sekiranya rahsia dia tidak mandi pagi terbongkar. Selepas mandi dan bersiap, Sam menikmati sarapan pertamanya. Nasi goreng buatan Awie cukup sederhana. Cuma nasi sejuk lebihan yang digoreng bersama bawang putih, cili padi dan segenggam ikan bilis sebagai hiasan. Sam reda. Di tengah-tengah hutan begini, dia tidak boleh cerewet. Dia perlu melatih lidah dan memujuk perut supaya tidak memilih. Dapat makan pun sudah cukup bersyukur. “Kenapa? Tak sedap?” Awie menegur.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 37
Inilah masalah Sam. Raut wajahnya seperti tertulis sari kata yang mencerminkan isi hati sebenar. “Bukan tak sedap, Wie. Err ….” “Tak sabar nak jumpa anak murid baru?” Awie cuba meneka. Sam mengunyah perlahan-lahan. Lalu dia mengangkat muka, melihat Awie dan menggumam, “Adalah sikit.” Sam akui gementar mahu berdepan anak-anak muridnya untuk kali pertama. Lagipun dia masih baharu. Bimbang dirinya kurang persediaan untuk menjadi seorang guru. Pada masa yang sama, dia juga risau tidak berupaya mendidik anakanak di sini dengan sebaik-baiknya. Walaupun memiliki pengalaman mengajar semasa praktikum, tetapi itu di sekolah bandar yang serba lengkap dengan kemudahan. Di sini? Sam belum tahu lagi keadaan Sekolah Kebangsaan Pos Besau. Bilik darjahnya bagaimana, kebersihan tandasnya seperti apa dan paling penting makanan di kantin.
38 | AIDIL GHAZALI
Untuk itu, Sam enggan berharap terlalu tinggi. Dia sudah ikhlas menerima seadanya. Harap-harap dia takkan terkejut dengan apa-apa jua yang bakal dihadapinya nanti. “Pernah jalani latihan praktikum, kan?” tanya Awie sebelum menyuap sesudu nasi goreng. “Pernah.” Sam mengiakan. “Dah tu? Apa isunya?” “Risau aku tak faham mereka nanti.” “Tak faham?” Awie berhenti menyuap. Sudunya tergantung di depan mulut. “Bahasa di sini lain sikit. Hah, contohnya masa aku baru datang semalam. Tiba-tiba aje Batin Ebal tuduh aku kentut.” Sam teringat pertemuan bersama tok batin di jalan masuk kampung kelmarin. “Mesti sebab se’tut, kan?” Awie cekap menangkap maksud rakannya. “Yalah. Kau bayangkan, aku ni baru aje sampai, mana tau apa-apa. Alih-alih kena tuduh macam tu. Malu siot. Kena gelak lagi dengan orang kampung.” Sam menjuihkan bibir.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 39
Awie mengakak ketawa. Sampai tersembur nasi goreng di dalam mulut. “Cuma soal bahasa aje. Sikit punya hal.” Awie menyengir. Ibu jarinya mengesat bucu bibir. “Budak-budak ni cakap bahasa Melayu biasa dengan kita. Cuma, dia orang selitkan sikit-sikit bahasa Semai. Biasalah tu cakap rojak.” Sam menguis-nguis butir nasi di atas pinggan. “Tugas mengajar ni sama aje, Sam. Di mana-mana pun ada cabarannya. Bezanya, ragam di bandar lain, di pedalaman lain.” “Beza di sini apa, Wie?” “Banyak.” “Contohnya?” Awie diam sejenak. Matanya terkelip-kelip ketika memikirkan situasi yang sering dihadapinya semasa mengajar. Tidak lama, dia pun berkata, “Kau mungkin terkejut sikit bila berdepan perangai anak-anak Semai.” “Kenapa?” Kening Sam ternaik. “Biasalah. Tak ada yang aneh-aneh. Cuma budak-budak sini panjang akal sikit. Alah, nanti kau tahulah macam mana.”
40 | AIDIL GHAZALI
Sam menggaru dagunya yang dicukur licin. “Santai aje. Tak perlu beri tekanan pada diri kau sendiri. Hah, anggaplah sekolah di Pos Besau ni sama macam sekolah lain. Bezanya, kita berada di tengah-tengah hutan. Ibu bapa murid di sini tak garang. Yang garang di sini cuma harimau!” Awie ketawa dengan jenakanya sendiri. Dia berdiri membawa pinggan ke singki. Sam menjamah nasi gorengnya sampai habis. Nasihat Awie sebagai guru lebih senior, serba sedikit memberi gambaran tentang situasi yang bakal dihadapinya nanti. Hanya satu yang Sam harapkan. Semoga hari pertama di sini akan membuka jalan yang sempurna bagi memulakan langkah kariernya sebagai seorang guru.
CIKGU SAM MASUK KAMPUNG | 41