Skip to main content

Mengejar Mimpi Sempurna oleh Auni Zainal

Page 1

Mengejar Mimpi Sempurna Auni Zainal

Terbitan:

www.imanpublication.com


Diterbitkan oleh: IMAN PUBLICATION SDN BHD 12 JALAN INDUSTRI KIDAMAI 2/1 TAMAN INDUSTRI KIDAMAI 2 43000 KAJANG, SELANGOR

Tel: +603-8940 7284 E-mel: admin@imanpublication.com Laman web: www.imanpublication.com Facebook: www.fb.com/imanpublication

Diedarkan secara eksklusif oleh: IMAN SHOPPE DISTRIBUTION SDN BHD 12, JALAN INDUSTRI KIDAMAI 2/1, TAMAN INDUSTRI KIDAMAI 2, 43000 KAJANG, SELANGOR.

Penyelaras Penerbitan Editor

No. Tel: +603-8940 6221 E-mel: imandistribution@imanshoppe.com

: Faizah Hamid : Syahira Hozami Umairah Shafei : Intn : Nurhiqmah Mat Saad : Auni Zainal : Husna Ab Rahman : Husna Ab Rahman : Haziq Razack

Editor Naskhah Pruf baca Penulis Pengurus Kreatif Reka Bentuk Kulit Reka Letak

MENGEJAR MIMPI SEMPURNA Cetakan Pertama Ogos 2022

Dicetak oleh : Mihas Grafik Sdn Bhd No. 9 Jalan SR 4/19 Taman Serdang Raya 43300 Seri Kembangan Selangor

Sebarang maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan dan juga ulasan) boleh terus ke pautan ini: tiny.cc/

IMBAS & MENANG!

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana isi kandungan daripada buku ini termasuk artikel, ilustrasi dan foto dalam apa jua bentuk dan cara sekalipun sama ada fotokopi, mekanik, rakaman, cetakan, elektronik atau cara-cara lain tanpa terlebih dahulu mendapat izin bertulis daripada IMAN Publication Sdn Bhd.


Orang kalah membina kubu, Tanak nasi menjadi bubur, Sudah lelah sesal seribu, Tetap mati jasad di kubur.

AUNI ZAINAL | 3


“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr: 1–3)

4 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Nota Penulis

Pada tahun 2017, saya menulis sebuah manuskrip dengan penuh harapan supaya ia berjaya dibukukan sebagai karya pertama. Momen semasa menulis, memegang buku itu buat kali pertama dan mempromosikannya, akan sentiasa tersemat dalam sanubari saya sebagai kenangan indah. Setiap buku sulung akan ada tempat istimewa dalam hati penulisnya. Membaca semula buku pertama saya yang bertajuk Sekali Lagi itu pada hari ini seumpama menyelak album gambar lama diri sendiri. Saya tersenyum melihat penulisan yang belum matang, tetapi kagum melihat perjalanan penulisan itu berkembang daripada titik tolak tersebut. Kini, karya sulung tersebut kembali dengan nafas baru sepertimana naskhah Mengejar Mimpi Sempurna di tangan anda ini. Atas saranan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak IMAN Publication, kandungan cerita ini digubah AUNI ZAINAL | 5


semula, sekali gus tajuknya turut diubah untuk meraikan perubahan isinya. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pasukan IMAN yang bekerja keras untuk buku ini; juga atas kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh mereka kepada penulisan saya. Terima kasih juga buat Syeraho, Umairah, Jannah, Izzaidah, Husna, Faizah dan Fatin Syamimy. Semoga Allah SWT merahmati kebaikan mereka. Buat para pembaca yang saya hargai, terima kasih dan selamat membaca.

Auni Zainal

Buku ini membawakan kandungan berkaitan bunuh diri, kemurungan, buli, darah, bencana, penderaan, pembunuhan, keganasan dan senjata.

6 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Prolog

Seminggu dari sekarang, dia akan datang ke sini. Pengembara masa yang pertama. Mahu berjumpa atau tidak mahu berjumpa?

– Diari Khalis

AUNI ZAINAL | 9


BAHAGIAN I NADIAH


AYAH

Saya perlu menulis semua ini, kerana saya rasa, ingatan saya terhadap kehidupan sebelum ini semakin hilang. Sedikit demi sedikit, ia bagai ditarik keluar daripada minda saya. Sekurangkurangnya, apabila saya menulis di sini, saya akan ingat kembali siapa diri saya tatkala membacanya suatu hari nanti. Dan ibu tidak mahu melupakan kamu, Tanis. – Diari Nadiah

Hospital Syifa’. 2020. MATAHARI sudah meninggi. Cahaya mentari pagi yang menyerbu masuk melalui bukaan langsir kini menghangatkan bilik wad berkenaan. Nadiah bangun dari katil. Dia merapatkan tirai, lantas menjadikan ruang itu redup semula. Kemudian, dia duduk di pinggir katil sambil membetulkan baju hospital yang dipakai. AUNI ZAINAL | 11


Tidak berapa lama setelah itu, kedengaran pintu diketuk perlahan. Daun pintu terkuak, dan muncul seorang lelaki separa abad yang melangkah masuk sambil menjinjing sebakul buah-buahan yang berbalut plastik. Wajahnya ceria. “Assalamualaikum, anak ayah. Dah bangun, ya?” Nadiah memandangnya sekilas tanpa menjawab. “Ayah dah sampai sejam lalu dengan mama. Tapi Nad tidur ....” Kata-kata lelaki itu terhenti. Bakul buah diletakkan di atas meja di sebelah kiri katil. “Jadi, kami tunggu sampai Nad bangun.” Nadiah masih berpura-pura merenung ke arah tirai yang tertutup rapat. Langsung tidak mengendahkan kata-kata lelaki tersebut. Suasana menjadi canggung. “Mama takut Nad tak selesa kalau dia masuk ke sini. Jadi, dia tunggu di luar saja,” katanya lagi. Tak

semena-mena, Nadiah

tertawa

sinis. Dia

mengerling ke arah ayahnya. “ Tak payahlah dia datang kalau dah tahu. Pura-pura tagih simpati, nak tunjuk baik.” “Astaghfirullah al-Azim ....” Nada suara ayahnya yang tadi ceria kini hilang. “Nad, cubalah jangan buruk sangka kepada orang lain. Dia tu mama Nad!” “Dia bukan mama Nad, ayah. Mama Nad meninggal lama dah. Dia cuma isteri ayah. Bukan siapa-siapa bagi Nad!” bentak Nad. Suaranya sebak tetapi lancar sahaja kata12 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


kata pedih itu menghiris hati ayahnya. Nadiah sendiri terkejut dengan kemampuannya mengeluarkan kata-kata sedemikian. Ayah merapati Nadiah. Wajahnya tampak kesal. “Anak-anak wajib hormat mak ayah, Nad. Kalaupun ayahnya dah meninggal, seorang anak mesti hormat kepada sahabat ayahnya. Apatah lagi kepada isteri ayahnya. Janganlah berperangai macam budak-budak lagi. Kamu tu dah 32 tahun, dah pernah berkahwin dan ada anak pun. Ayah rasa, tak susah bagi kamu untuk terima mak tiri ....” “Nad tak kisah ayah nak kahwin dua ke, sepuluh ke … ayah kahwinlah ikut suka ayah! Cuma Nad tak boleh terima, sebab ayah kahwin senyap-senyap tanpa beritahu Nad! Ayah rasa, apa perasaan Nad bila Nad dapat tahu?” sampuk Nadiah. Dia mengambil bakul buah yang dibawa tadi dan memaksa tangan ayahnya memegang kembali bakul tersebut. “Hormat datang dengan percaya, ayah. Sekali ayah hilangkan kepercayaan tu, sampai bila-bila pun tak akan ada rasa hormat antara kita!” Si ayah tersentak. Mata tuanya kini berkaca-kaca, mengempang air mata daripada jatuh. Nadiah tidak sanggup melihat wajah ayahnya lagi. Dia berjalan terus ke arah pintu. Tangannya menggenggam kemas tombol tetapi dia berhenti seketika dan berkata sebak, AUNI ZAINAL | 13


“Lagi satu, ayah jangan ingat yang Nad akan pergi pada ayah hanya kerana Nad dah tak ada sesiapa sekarang.” Pintu dibuka. Nadiah berjalan keluar dari bilik berkenaan, meninggalkan si ayah terdiam kaku.

 LANGKAH Nadiah dibawa ke hujung koridor sebelum dia naik satu tingkat menggunakan tangga. Dia masuk ke dalam salah sebuah bilik kecil. Pada pintunya tertulis: DR. NURILYANI ABDURAZAK – TIADA DR. NADIAH KHAIRIAH NADZMEY – TIADA

Nadiah berjalan terus ke arah tingkap; mengintai ke luar. Setelah beberapa ketika dia memerhati, akhirnya muncul kelibat dua orang manusia yang ditunggu. Mereka berjalan beriringan menuju ke tempat parkir kereta. Nadiah memandang belakang badan lelaki tua itu. Lelaki sama yang berjumpa dengannya tadi. Itulah belakang badan yang dia tunggangi semasa kecil. Belakang badan itu jugalah yang dipeluknya setiap kali dia menerpa dengan rasa sedih mahupun gembira. Kini, belakang badan itu sudah sedikit kurus dan bongkok. Rambut di kepalanya juga sudah dipenuhi uban.

14 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Lelaki itu dipimpin seorang wanita sebaya. Mereka berdua berjalan dengan sangat perlahan dan berhati-hati, seolah-olah sebarang gerakan laju akan menyebabkan tulangtemulang mereka jatuh bertaburan. Suatu masa dahulu, terdapat sebuah keluarga yang bahagia. Melihatkan bakul buah yang dibawa pulang ayahnya, Nadiah tidak dapat menahan sebak. Terus dia meledakkan tangis yang ditahan sejak tadi. “Nad minta maaf. Nad minta maaf ....” Dia memang rasa bersalah kepada ayahnya sejak awal lagi. Akan tetapi, amarah dan egonya lebih besar. Dia menganggap ayahnya layak mendapat layanan begitu; setimpal dengan kesalahan. Hakikatnya, Nadiah terbeban dengan rasa terluka dan sakit hati.

 “MASIH tak terlambat untuk kau baiki hubungan dengan ayah kau. Aku yakin, dia masih dan sentiasa sayangkan kau. Aku kenal kau dan keluarga kau dah lama, Nad ...,” kata doktor wanita yang duduk di hadapan Nadiah. Rakan sekerja dan sahabat baik sejak universiti, Ilyani. Ilyani menongkat siku di atas meja. Dia masuk ke dalam bilik itu beberapa minit selepas Nadiah masuk.

AUNI ZAINAL | 15


“ Tak ....” Nadiah menggeleng laju. “Aku dah sakitkan hati dia tadi. Mesti dia benci aku sekarang. Aku dah tak ada sesiapa sekarang, Yani. Khalis dah tinggalkan aku. Tanis pun dah tak ada. Mesti mereka pergi sebab tak tahan dengan aku, kan Yani?” Nadiah menekup muka. Kedengaran esak tangisnya semakin lama semakin kuat. Sejak pemergian Khalis dalam kemalangan itu, Nadiah merasakan bahawa semua yang berlaku adalah disebabkan dirinya. Dia kesal kerana melayan Khalis dengan teruk semasa Khalis masih hidup. Khalis pergi dulu tanpa sempat dia meminta maaf. Ilyani bingkas bangun dan berjalan ke arah Nadiah lantas menepuk-nepuk perlahan belakang sahabatnya itu. “Nad ... jangan seksa diri kau macam ni,” kata Ilyani, tenang. “Aku tak tahu kenapa aku rasa macam ni. Aku selalu lukakan hati orang yang aku sayang. Mungkin sebab tu, Allah tarik mereka daripada aku.” Nadiah mendongak ke wajah Ilyani. “Kenapa aku macam ni?” Dia mengharapkan jawapan. “Nad, semua yang jadi ni dah tertulis dalam takdir Tuhan. Kau tak buat apa-apa salah pun,” kata Ilyani. “Kalaulah aku boleh balik semula macam dulu ....” “Nad ....” 16 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


“Aku nak anak aku semula, Yani.” Ilyani mengeluh perlahan. Nadiah juga diam. Hanya esakannya yang berbunyi perlahan di dalam bilik tersebut. “Nad, aku tahu ... betapa berat ujian yang kau hadapi ni. Tapi tak guna kau dera diri macam ni, Nad. Sampai tak makan, sampai masuk hospital,” nasihat Ilyani. “Aku tak tahu apa yang patut aku buat, Yani.” Suara Nadiah kedengaran pasrah sepenuhnya. Ilyani tersenyum tawar. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah meja kerjanya. Anak mata Nadiah mengekori. Ilyani mengeluarkan sebuah buku dari laci dan menghulurkannya kepada Nadiah. “Kawan aku yang kerja di perpustakaan sebelah bagi diari ni kepada aku. Katanya, diari kosong ni ditinggalkan dan tak dituntut sampai sekarang. Dia sayang nak buang. Jadi, dia bagi pada aku.” Nadiah mengesat hidung seraya mengambil diari tersebut. Diari berwarna merah hati itu mempunyai calitan corak berwarna kuning keemasan pada kulitnya. Unik. Tidak seperti diari-diari yang dijual di kedai biasa. “Kau suka menulis jurnal, kan Nad? Apa kata kau mula menulis semula? Bila kau rasa sedih saja, kau tulis dalam buku ni. Okey?” AUNI ZAINAL | 17


Ilyani tidak perlu menjelaskan lanjut tujuan dia memujuk Nadiah menulis jurnal kerana Nadiah sendiri merupakan seorang doktor. Nadiah tahu bahawa menulis merupakan

sebahagian

daripada

kaedah

yang

dapat

membantunya sembuh. “Kau sendiri kata yang menulis itu memberi penawar, kan?” sambung Ilyani dengan tersenyum. Beberapa minit kemudian, setelah Nadiah lebih bertenang, Ilyani keluar dari bilik untuk memaklumkan kepada jururawat bahawa Nadiah ada bersamanya. Ketika masa bersendirian itulah, Nadiah merenung diari tersebut. Untuk apa dia sembuh lagi? Untuk apa pula dia berusaha untuk hidup? Sedangkan mati itu lebih dekat dengan orang-orang yang disayanginya. Tangan Nadiah menggapai sebatang pen di atas meja. Diselak diari itu ke muka surat pertama. Memang ia masih kosong. Cuma terdapat beberapa helaian di bahagian hadapan yang telah dikoyakkan. Perlahan-lahan dia menulis. Menyesal. Dan perlahan-lahan juga air matanya menitis.

18 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Kalaulah dia tahu Tanis akan mati, pasti dia akan berusaha untuk menjaga anaknya itu sebaik-baiknya selama mana anak itu hidup. Biarlah Tanis sakit atau apa-apa pun, dia sepatutnya lebih memahami, lebih berkorban, lebih lembut dan lebih penyayang. Dia juga sepatutnya lebih banyak tersenyum kepada Tanis. Kenapa dia tidak senyum? Kalaulah dia berusaha, mungkin Tanis masih hidup. Jika Tanis masih hidup, maka mungkin Khalis juga tidak akan mati. Dia akan berusaha menjadi isteri paling baik buat Khalis pula. Semua ini tertulis dalam takdir Tuhan, tetapi kenapa takdir ini sungguh menyakitkan? Nadiah menggenggam pen dengan kuat kerana tangan menggeletar. Giginya digetap. Perkataan “menyesal” pada muka surat itu direnung. “Kenapa aku yang kena tanggung semua ni? Kenapa aku yang kena menyesal ...?” bisiknya. Takdir yang sebenarnya sangat tidak adil. Tidak semena-mena, Nadiah merasakan kepalanya berpusing. Sehingga terasa hendak muntah. Pandangannya menjadi kabur. Badan terasa ringan melayang. Lalu semuanya menjadi gelap.

AUNI ZAINAL | 19


Apabila Nadiah tersedar semula, keadaan bilik itu seolah-olah sudah berubah. Bunyinya berbeza, baunya berbeza, suhunya juga berbeza. Nadiah mengerutkan dahi. Bilik tersebut tiba-tiba dingin semacam. “Ilyani, tolong perlahankan air-cond. Aku rasa tak sihat sangat ni,” pinta Nadiah. Matanya masih terpejam. Tiada balasan. Nadiah membuka mata perlahan-lahan. Dia sedang terbaring mengiring di atas katil. Fikirnya, mesti Ilyani yang memapahnya ke sini. Nadiah mengurut pangkal hidung. Dia berpusing menghadap siling, namun pandangannya dihalang selapis papan lebar di atas. Ini … katil dua tingkat, bisik hati Nadiah. Dia kalih badannya ke kiri pula. “Aduh!” Kedua-dua siku dan kaki kanannya terasa sakit. Dia membelek siku lalu ternampak lebam dan luka yang masih belum sembuh. Luka apa pula ni? Seingatnya, kali terakhir sebelum dia tidak sedarkan diri, dia sedang menulis diari. Dia tidak ingat apa yang berlaku. Tiba-tiba sahaja semuanya gelap. 20 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Namun, perhatiannya beralih cepat ke sekeliling kerana seperti ada sesuatu yang tidak kena. Terdapat banyak lokar besi dan katil dua tingkat berderetan. Dia bingkas duduk dan menghalakan pandangannya ke hadapan. Ada kelibat seseorang yang dikenali, Farah, sedang mengemas katil. “Farah?” tegur Nadiah. Seingatnya, sudah lama mereka tidak bertemu. Farah nampak masih muda seperti dulu. Farah menoleh ke arahnya seraya berkata,“Nad, pukul 6.15 pagi dah. Bangunlah. Dah empat kali aku kejut kau ni.” Nadiah menurunkan kaki ke atas lantai. Sejuk! “Kenapa? Ada apa?” tanya Nadiah kebingungan. “Bangun nak pergi sekolahlah. Kau mamai, ya?” “Sekolah?” tanya Nadiah. “Yalah.” Nadiah memandang sekeliling. Ini bilik dormnya semasa dia berada di tingkatan empat dahulu. Dia tahu tempat ini. Namun, oleh sebab imejnya sudah tenggelam sebagai kenangan lama dalam muatan memori, pemandangannya menjadi begitu asing pada mata Nadiah. “Kenapa nak kena pergi sekolah?” Nadiah keliru. Dia tidak tahu bagaimana tiba-tiba dia berada di sini. “Nak berkebun,” balas Farah. Dia berhenti mengemas dan menghela nafas. Wajahnya menerbitkan riak jengkel. AUNI ZAINAL | 21


“Nak buat apa lagi? Belajarlah. Menuntut ilmu. Ambil SPM. Kau mamai ni. Pergilah basuh muka, mandi apa semua.” Bebelan Farah berdengung sahaja dalam pendengaran Nadiah. Dia merenung kosong lokar besi di sebelah. Sekolah? Adakah dia bermimpi?



22 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


BUKTI

Ibu masih ingat bagaimana mata kamu berkerdip saat doktor meletakkan kamu di atas dada ibu sejurus kamu dilahirkan. Mata yang sangat bulat, fikir ibu. Pada masa itu, ibu menoleh ke arah ayah kamu dan kami berkongsi detik yang sama. Ayah namakan kamu Tanis Yamnuska, bersempena Gunung Yamnuska; dengan harapan semoga kamu menjadi seteguh batuan gunung tersebut tatkala mendepani segala cabaran dalam hidup kamu. – Diari Nadiah

Sekolah Menengah Islam Tun Hussien. “PENGUMUMAN kepada semua pelajar puteri SMITH, sila kosongkan asrama sekarang. Pengumuman ulangan. Kepada semua pelajar ....”

AUNI ZAINAL | 23


Nadiah menutup telinga sambil menjeling ke atas. Dia terlupa yang pembesar suara asrama berada betul-betul di atas kepalanya. Dia mengerling ke arah pondok telefon di hadapan asrama berkenaan, lalu ternampak kelibat seseorang yang ditunggu-tunggu sejak tadi. “Ilyani!” laungnya dari jauh. Kelihatan Ilyani mencari-cari dari arah mana suara yang memanggilnya. Selain wajah yang nampak muda, tubuh yang lebih kurus dan cara lipat tudung yang tidak kemas, Ilyani yang berada di hadapannya itu masih kelihatan sama dengan Ilyani yang sudah menjadi seorang doktor. Tatkala Ilyani ternampak Nadiah, dia memusingkan badannya ke belakang, berpatah balik menjauhi blok asrama. “Yani! Tunggu dulu!” Nadiah berlari-lari anak, cuba mengejarnya. Mendengar laungan itu, Ilyani terus berhenti. Nadiah yang sudah berada beberapa meter di belakangnya juga berhenti mengejut. Tergamam. “Kau nak apa?” bisik Ilyani. Wajahnya nampak resah. “Dah dekat seminggu aku cuba jelaskan kepada kau. Kau dengarlah dulu cerita aku ni!” pujuk Nadiah. “Kau ni kenapa? Sikit-sikit nak mengekor aku.” Ilyani

menyengetkan

bibir,

24 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA

berusaha

menunjukkan


ketidakselesaannya. “Kalau nak cerita, carilah orang lain. Aku bukannya kawan kau pun!” Ilyani

terus mengatur langkah sambil bibirnya

termuncung-muncung meniup ke atas untuk membetulkan tudung sekolahnya yang sudah kelepet. Nadiah belum mahu berputus asa. “Yani, umur aku memang 32 tahun. Kita berdua doktor. Lepas aku tulis dalam diari yang kau bagi masa tu, terus aku sampai ke tahun 2004! Takkan kau tak ingat?” “Gila ke apa kau ni? Jangan ikut aku, boleh tak?” kata Ilyani. “Yani, kalau kau tak percaya, kau tanyalah apa-apa yang kau nak tahu pasal masa depan kita. Aku boleh beritahu semua!” “Apa yang kau tahu pasal masa depan aku?” duga Ilyani. Dia mengangkat kening sebelah kiri. Mereka berhenti di bawah bayang sebatang pokok. Gaya Ilyani kelihatan seperti sudi mendengar, tetapi nadanya masih tidak serius. “Aku tahu semua!” Nadiah tersenyum kerana berjaya mendapatkan perhatian kawan baiknya itu. Kepalanya terangguk-angguk ingin meyakinkan. “Misalnya ... aaa ... contohnya, hujung tahun ni, tsunami akan melanda Aceh, Indonesia! Ia tragedi yang sangat besar dalam sejarah. Sepuluh tahun lagi pula akan ada kapal terbang Malaysia yang hilang AUNI ZAINAL | 25


daripada radar dan tak dijumpai sampai bertahun-tahun lepas tu. Ada juga kapal terbang Malaysia yang ditembak jatuh dan ....” “Kau ni gila ke apa?” sampuk Ilyani. Dahinya berkerut, menyesali keputusan untuk memberi peluang kepada Nadiah. Dia terus melangkah meninggalkan Nadiah. “Yani, kita kena buat sesuatu!” Nadiah terkocoh-kocoh mengejar. “Kita bagi amaran kepada semua orang. Kepada Perdana Menteri! Tragedi ni belum berlaku. Kita boleh selamatkan ramai orang!” Ilyani berpatah balik, membuat isyarat senyap dan membunyikan “syyy” sebelum mencubit lengan Nadiah. Matanya mengerling ke sekeliling. Nadiah mengaduh kesakitan. “Jangan cakap kuat-kuat, boleh tak?” bisik Ilyani. “Kau nak apa sebenarnya? Hari tu, nak aku tolong kau ‘balik’. Sekarang, cakap pasal tsunamilah, kapal terbanglah, bagi amaran kepada Perdana Menterilah.” Ilyani menjeling dengan ekor mata. Bibirnya mencebik. “ Memang betul apa yang semua orang cakap, kau ni dah tak betul sejak kena langgar. Pergilah hospital. Periksa kepala kau tu!” Tersentap

Nadiah

mendengar

kata-kata

Ilyani.

Wajahnya berubah sugul. Badannya condong ke hadapan. Kepalanya pula tertunduk.

26 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Melihat Nadiah begitu, Ilyani berasa serba salah. “Kalau betul ... kalau betullah ... kau tahu masa depan, soalan apa yang keluar dalam SPM nanti? Berapa A yang aku dapat? Aku kerja apa bila besar? Laki aku elok macam Halu Satonaka tak?” uji Ilyani. Nadiah diam sejenak sebelum menjawab dengan yakin, “Aku tak ingat soalan apa yang keluar, tapi aku tahu kau dapat 10A. Kau belajar dalam bidang perubatan, sama dengan aku. Lepas tu, kau kerja di Hospital Syifa’, sama lagi dengan aku. Muka laki kau macam Andrew Garfield ....” Ilyani terdiam sebelum tertawa besar. “Kau kata aku kahwin dengan Garfield? Kucing tu? Kurang ajar betul kau ni, kan?” Wajah Nadiah berkerut. Dia keliru sama ada Ilyani sedang marah atau geli hati. Sekali lagi dia cuba menerangkan, “Bukan kucing tu, tapi Andrew Gar ....” Kata-katanya terhenti. Baru dia tersedar punca Ilyani tertawa. Sekarang ini baru tahun 2004, maka pelakon bernama Andrew Garfield belum wujud di Hollywood. “Dahlah, gila. Kalau kau nak orang dengar kau merapu, panggillah budak tingkatan satu, okey?” kata Ilyani. Jari telunjuknya menolak bahu Nadiah sehingga terundur beberapa tapak. “Yani ....” AUNI ZAINAL | 27


“Sudah!” bisik Ilyani. Dia berjalan meninggalkan Nadiah. Kali ini, Nadiah tidak lagi mengejar Ilyani. Wajahnya tertunduk menekur tanah. Sejak dia terjaga di tempat ini seminggu lalu, dia cuba meyakinkan Ilyani bahawa dia memang kembali ke masa lalu. Bahkan, dia juga cuba menjelaskan kepada Farah, jiran sekatilnya. Namun, semua orang di sekolah ini seolah-olah cuba mengelak daripada berkomunikasi dengannya. Mereka akan berpura-pura memandang ke tempat lain apabila berselisih. Ada juga yang sanggup membelok ke laluan lain. Mereka semuanya kelihatan kekok. Nadiah tidak tahu apa yang berlaku. Adakah dia telah melakukan sesuatu yang pelik? Sejak bila pula dia dilanggar oleh kereta seperti yang mereka maksudkan? Dia mengerling ke kiri. Kelihatan beberapa orang pelajar perempuan junior yang beratur di pondok telefon awam dan yang duduk di meja taman sedang menjeling-jeling ke arahnya. Mereka berbisik lalu ketawa. Tentu mereka fikir dia tidak waras. Nadiah memandang ke arah langit yang cerah. Hukuman apa lagi yang hendak diberikan oleh Tuhan kepadanya?

28 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


Dia mengepal buku lima. Langkahnya diatur laju mengekori Ilyani. Dari belakang, dia menarik bahu Ilyani. Ilyani berpusing mengejut. Matanya membulat kerana terperanjat. “Kenapa kau buat macam ni?” tanya Nadiah. Matanya berair. Suaranya pula serak. “Aku buat apa?” “Kau yang buat aku ada di sini, Yani! Apa yang kau dah buat pada aku ...?” Ilyani kaget melihat perubahan pada wajah Nadiah. Dia jadi kelu. Mulutnya terbuka dan tertutup berkali-kali tanpa sebarang kata. Melihatkan respons Ilyani sebegitu, Nadiah kembali dibawa sedar. Ilyani sememangnya tidak tahu apa-apa tentang perkara yang sedang berlaku. Perlahan-lahan Nadiah duduk ke posisi mencangkung. Kedua-dua lututnya dipeluk. Ilyani yang masih kaget hanya memerhati. “ Tolonglah .... Aku tak faham apa yang berlaku ...,” rintih Nadiah. Sedang mereka jeda di situ, terdengar suara seseorang memanggil Ilyani dari jauh. Ilyani menoleh ke arah orang tersebut. Nadiah turut mendongak.

AUNI ZAINAL | 29


“Mama! Sekejap!” Ilyani melaung balas kepada orang itu. Kemudian dia mengerling ke arah Nadiah dengan serba salah sebelum akhirnya berjalan laju ke arah wanita bertudung putih yang sedang menghampiri mereka. Apabila ternampak kelibat wanita yang sedang berjalan di kaki lima asrama itu, mata Nadiah membuntang. Perlahanlahan dia berdiri. “Mak Cik Yasmin ...?” Matanya terkedip-kedip untuk memastikan dia tidak salah melihat. Memang benar. Wanita itu ialah Mak Cik Yasmin, ibu Ilyani. Kening Nadiah berkerut. Tak mungkin, fikirnya. Ilyani memandang Nadiah buat kali terakhir sebelum menuruni tangga ke arah kantin. Menyedari tingkah anaknya, Mak Cik Yasmin juga menoleh. Ketika itu, pandangannya dan Nadiah bertemu. Bagai air terjun, darah di dalam tubuh Nadiah menujah ke dada. Air matanya mengalir tanpa sebab. Dia melangkah ke hadapan untuk mencari sudut pandang yang lebih jelas. Kelibat dua beranak itu kelihatan berjalan sambil saling berpeluk bahu. Ilyani kelihatan amat gembira.

30 | MENGEJAR MIMPI SEMPURNA


“Kenapa boleh jadi macam ni ...? Mak Cik Yasmin masih hidup?” bisik Nadiah. Anak matanya bergerak ke sana sini kerana berfikir. Jika begini situasinya, adakah semua orang yang sudah mati pada masa hadapan masih hidup pada hari ini? Termasuk ibu Nadiah sendiri? Termasuk Khalis? “Khalis ...?” Dia bertanya diri sendiri.



AUNI ZAINAL | 31


Ingin baca lagi? Dapatkan buku ini di www.imanshoppe.com dan juga kedai-kedai buku seluruh Malaysia

Terokai buku-buku terbitan IMAN Publication yang lain di:

www.imanpublication.com @imanpublication Kak Iman https://t.me/KakIman


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
Mengejar Mimpi Sempurna oleh Auni Zainal by imanpublication - Issuu