E M M I YYA
Diterbitkan oleh: NOVEL IMAN SDN BHD 12 JALAN INDUSTRI KIDAMAI, BUKIT ANGKAT, 43000 KAJANG, SELANGOR.
No. Tel.: +603-8751 0333 E-mel: publishing@imanshoppe.com Novel IMAN juga dikenali dengan lebih komersial melalui nama RUMAA Books.
Penyelaras Penerbitan : Faizah Hamid Ketua Editor : Rahmah Pauzi Ketua Unit Perolehan (Novel) : Syahira Hozami Editor Perolehan (Novel) : Qurratul 'Ain Syuhada Lukman Ketua Unit Manuskrip : Nur Izzaidah Abdull Zubi Editor Pembangunan Manuskrip : Intan Nursafirah Maryam Jamilah Editor Naskhah : Amalina Aini Editor Umum : Nor Syamimi Musa Pruf Baca : Fariza Umaira Penulis : Emmiyya Ketua Unit Visual Buku : Husna Ab Rahman Pereka Sampul Buku : Aqil Ng Pereka Letak : Haziq Razack
KONSPIRASI ELITIS Cetakan Pertama September 2026 ISBN 978-629-92179-6-1
Dicetak oleh: Mihas Grafik Sdn Bhd No 8, Jalan SR 4/18, Taman Serdang Raya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Sebarang maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan dan juga ulasan) boleh terus ke pautan ini: bit.ly/NovelIMAN2026
Hak cipta terpelihara. Segala kandungan dalam buku ini — termasuk artikel, ilustrasi dan gambar — tidak boleh disalin, diterbitkan semula atau digunakan dalam apa-apa cara tanpa kebenaran bertulis daripada Novel IMAN Sdn Bhd. Kandungan buku ini juga tidak boleh digunakan oleh mana-mana sistem Kecerdasan Buatan (AI) untuk tujuan latihan atau penjanaan kandungan, tanpa kebenaran.
Bab 1 DRON berlegar-legar di udara mengisi langit Universiti Dar Ilmi. Sekilas, dron yang berterbangan itu kelihatan seperti lebah dalam kawanan, bergerak teratur dalam corak yang seragam. Dari kejauhan, pergerakan dron-dron itu kelihatan sebati dengan kehidupan kampus. Jasmeen kaku melihat dron-dron itu. Selepas berita kematian seorang pelajar menjadi tular, pihak universiti telah memperketat usaha untuk memantau gerak-geri setiap orang di universiti. Kini, dia pula rasa tidak selesa. Rasa diperhati dan dipantau. Usai menutup pintu kereta, Jasmeen menyusun langkah ke lobi utama fakulti. Dia disambut dengan muka bangunan
12 | EMMIYYA
yang gah. Gerbang itu menjadi penanda utama fakulti. Manakala logo universiti tersemat kemas di tengah gerbang utama membawa simbol ilmu dan tradisi. Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Dar Ilmi Ketika dia melangkah ke lobi, diperhatikan ukiran logo yang tersemat perkataan Ilmu, Hikmah dan Ihsan. Bunga bakawali di tengah melambangkan tuah kepada mereka yang berilmu. Logo ini membawa makna ilmu yang dicari harus melahirkan hikmah, dan hikmah itu pula diterjemahkan melalui ihsan dalam kehidupan. Olahan kelopak, sarat dengan sentuhan awan larat Melayu Kelantan, manakala ukiran tebuk timbul bersilat pada permukaannya menterjemahkan kehalusan seni warisan. Kemudian, mata Jasmeen memerhati tiang-tiang yang menjulang tinggi diselangi dengan ukiran motif daun dan bunga cempaka telur. Sebuah ukiran sebagai lambang peringatan bahawa alam adalah penjaga setia kepada manusia, seperti yang dikhabarkan oleh Provost suatu ketika dahulu. “Walaupun tidak berbicara, alam adalah pemelihara yang budiman, seperti kita di universiti ini membawa hikmah untuk berbakti semula kepada masyarakat. Pastikan ilmu yang mengalir menjadi rahmat ke seluruh alam.”
KONSPIRASI ELITIS | 13
Jasmeen sempat memandang suasana lobi Fakulti Sains Kemanusiaan. Ruang ini seakan-akan memberi kesan terhadap dirinya. Sebagai tenaga pengajar yang masih kerdil dalam dunia akademik, Jasmeen merasakan tempat ini mempunyai nadinya tersendiri. Nadi yang menuntut ketajaman akal dan kesantunan budi daripada penghuninya. Di tanah air ini, Universiti Dar Ilmi sentiasa mendapat julukan sebagai sebuah universiti berprestij tinggi. Bukan sembarangan insan diberi peluang untuk berada di sini. Termasuklah dirinya sebagai tenaga pengajar yang bakal dinilai dari segi akademik dan keupayaan untuk bertahan dalam tekanan sistem universiti. Namun, perkara yang berlaku baru-baru ini seolaholah mencacatkan imej universiti berprestij ini. Kemampuan Provost untuk menjernihkan kemelut ini kian diragui oleh ahlinya. Jasmeen
terjerat
dek
rasa.
Universiti
ini
mahu
menterjemahkan hikmah melalui ihsan, tetapi saban hari dia melihat kemelut universiti yang terjerut dek permainan dunia akademik. Puas Jasmeen memujuk hatinya untuk memikirkan halhal yang baik. Namun, setiap kali Jasmeen memaksa diri, pasti akan timbul rasa kurang senang yang menyelinap dalam dada.
14 | EMMIYYA
Naluri seakan-akan enggan bersekongkol dengan kepurapuraan yang sedang berlaku. “Meen!” Suara garau itu mematikan teriak dalam kepala Jasmeen. Terus tubuhnya berpaling. “Dr. Liam!” Senyum Jasmeen melebar saat melihat rakannya melangkah ke arahnya. “Kejap, Meen. Kita gerak sama-sama.” Jasmeen angguk. Kalau Liam tidak menyuruh dia menunggu, dia masih akan tunggu. Kurang sedikit janggal untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat. “Kau ada dengar berita pasal pelajar-pelajar kita?” soal lelaki berusia lewat 30-an itu saat langkahnya menyaingi tubuh Jasmeen. “Berita apa?” Dahi Jasmeen berkerut. Liam menghulurkan telefon bimbitnya kepada Jasmeen. Lalu telefon itu bertukar tangan. Berubah riak Jasmeen saat meneliti isi kandungan media yang dihulurkan oleh Liam. “Protes? Student kita buat protes?” “Ya. Mereka nak buat protes depan pejabat Provost.”
KONSPIRASI ELITIS | 15
Jasmeen menggeleng. Patutlah ada dron berkeliaran di kawasan universiti. Ada yang sedang dipantau. Ada yang mengawal gerak-geri mereka. “Polis Universiti tak hentikan dia orang?” “Kawal selia. Provost beri kebenaran untuk buat protes katanya. Bagus juga Provost tak larang. Mereka nak pastikan anak-anak tu lepaskan rasa hati, maybe,” terang Liam. Jasmeen mendengar sambil menaiki satu per satu anak tangga. “Provost tak takutkan media ke? Kalau salah lapor macam mana?” Kerisauan Jasmeen mula bernada. Liam angkat bahu. Dia tidak tahu sejauh mana kawal selia itu dijalankan. Mungkin juga media tidak dibenarkan berada di dalam kawasan universiti. Video-video yang bakal dimuat naik, mungkin sudah disekat terlebih dahulu. Liam yakin universiti lebih bijak menjalankan buah catur mereka. Liam memandang Jasmeen yang senyap di sebelah. Riak muka wanita itu sedikit keruh daripada biasa. “Kau okey? Ada berita tentang arwah Teja?” Jasmeen menggeleng lembut. “Tak ada, Liam.” “Tak apa. Harap-harap kita dapat jawapannya waktu mesyuarat nanti.”
16 | EMMIYYA
* * *
SUASANA mesyuarat pagi itu sugul. Bilik Musyawarah Fakulti semakin sunyi selepas semua mengesahkan berita tentang pelajar itu. Para pensyarah tertunduk menerima berita ini. Ahli-ahli fakulti semakin bingung untuk menyelesaikan masalah yang masih tergantung. Perkhabaran yang diterima merupakan berita ketiga untuk tahun ini. Dan semalam, seorang lagi pelajar terkorban. Jasmeen tarik nafas dalam-dalam. Tangan yang menggigil digenggam antara satu sama lain. Mata sempat berlaga dengan beberapa orang pensyarah yang berada di dalam Bilik Musyawarah Fakulti dan terbit rasa tidak selesa. Walaupun baru setengah jam mesyuarat bermula, waktu berlalu terasa bagai berabad lamanya. “Dr. Jasmeen,” panggil Prof. Azhar yang sedang duduk di tempat utama. Pada dinding di belakang dekan fakulti mereka itu terpahat lambang Universiti Dar Ilmi. Sejenak mata Jasmeen terpandang akan kalimah Ilmu, Hikmah dan Ihsan yang dikenali sebagai benteng Intelektual Melayu-Islam. Namun pada pagi itu, kata-kata tersebut terasa seperti satu sindiran.
KONSPIRASI ELITIS | 17
‘Apa yang kita dah buat ni?’ Hatinya berdesis sendiri. “Dr. Jasmeen?” Prof. Azhar menyeru namanya sekali lagi selepas dia terdiam beberapa saat. “Ya … ya?” Lambat-lambat Jasmeen menjawab. “Teja ialah pelajar Dr.?” soal Prof. Azhar. “Ya. Pelajar sarjana. Semester akhir, Prof. Azhar.” Suara Jasmeen lembut menyambut pertanyaan itu. “Kami dimaklumkan, orang terakhir yang Teja hubungi ialah kamu.” “Be … betul ….” Jasmeen menggigil menjawab soalan yang diajukan. Pandangannya kembali jatuh pada fail yang berada di atas meja untuk mengelak renungan pensyarahpensyarah lain. “Apa yang dia cakap? Did she share anything?” Jasmeen
mengangguk
perlahan.
“Ya.
Ada.
Dia
kedengaran tertekan tentang kajian yang dia buat sekarang.” Sedikit terketar suaranya. “Jasmeen, what is your theory behind it?” Satu suara menarik perhatian Jasmeen membuatkan dia berpaling ke arah Profesor Ghaffar yang menunggu jawapan. “Theory?” Dahi Jasmeen berkerut.
18 | EMMIYYA
“Ya. Sebagai orang terakhir yang berkomunikasi dengan Teja, what is your theory?” Prof. Azhar pula kembali mencelah membuatkan bahang semakin terasa. Jasmeen terkedu mendengar soalan daripada Prof. Azhar. Teori apa yang mahu diketengahkan dalam keadaan begini? Ini bukan lagi teori. Masalah sudah menjadi nyata. “Saya tak ada teori, Prof. Ini adalah isu kesihatan mental seseorang. Melalui pengalaman saya, Teja memang sedikit pendiam di dalam kelas, tetapi dia bukan pelajar bermasalah. Mungkin malam itu ada hal yang menyebabkan kemarahan dan kekecewaan dia.” Jasmeen terhenti seketika dan dia cuba untuk membaca riak ahli mesyuarat. “Sepanjang semester ini dia ada menyatakan dia tertekan dengan kaedah universiti yang baru. Dia tak mampu untuk ikut kerana kekangan kewangan. Kemudian, tentang kajiannya yang masih tergendala. Semuanya berlaku serentak dan Teja ….” Belum sempat Jasmeen menghabiskan ayatnya, satu suara mencelah. “For me, it’s a shortcut. Biasa la, budak-budak. Mudah terikut. Cepat sangat nak buat shortcut dan dia ingat cara ini jalan mudah?” Suara itu hadir dari satu sudut. Wanita itu dikenali sebagai Puan Widuri, jenis yang tidak gemar memanjakan pelajar.
KONSPIRASI ELITIS | 19
“Dia tak tahu kita pun sama naik gila nak menjaga mereka,” sambungnya lagi. Bebelan itu membuatkan beberapa orang pensyarah tersenyum, tapi bagi Jasmeen, hal ini bukan senda. Hal mencabut nyawa ini, bukan senda! “Tapi puan, kalau sekadar stres, murung … dan membawa kepada pelajar buat perkara yang pelik-pelik seperti masalah sosial dan lain-lain, kita boleh faham lagi. Tapi, ini tentang kematian. Ini bermaksud dia tak ada jalan keluar untuk selesaikan masalah sendiri. Puan tak perasan ke selama ini bukan Teja sahaja yang ada masalah ni? Ramai lagi pelajar yang turut menunjukkan simptom yang sama,” celah Jasmeen tenang. “Ah, pelajar generasi sekarang lembik! Manja! Apa orang zaman sekarang panggil? Generasi strawberi?” Hujung katanya diselangi dengan tawa sinis. Jasmeen tergamam mendengar tohmahan itu. Manja? Lembik? Jasmeen mengurut dada dan bibirnya membisikkan istighfar. Kalaulah Puan Widuri mengenali sisi Teja yang sentiasa kuat dan melawan, Puan Widuri mungkin tidak akan tergamak mengeluarkan kata-kata itu. Teja bukan budak yang manja dan lembik seperti yang diteka. Teja budak yang kuat semangat untuk menanggung
20 | EMMIYYA
semuanya sendiri. Dia dibesarkan oleh ibu tunggal. Mempunyai empat orang adik-beradik yang masih bergantung harap kepadanya. Masalah kewangan sentiasa menjadi isu peribadinya, namun dia tidak pernah mengalah dan lembik. Dia tetap melawan sehingga dia berasakan dia tidak mampu lagi untuk menghadapi semuanya. “Mereka tak lembik, puan. Zaman kita dulu tak sama seperti zaman mereka. Mereka lebih terdedah dengan tekanan. Sekarang, proses pembelajaran juga sudah berubah. Canggih, namun pihak fakulti kena sama-sama mainkan peranan. Kita juga sebagai pensyarah. Kita tak boleh cakap mereka ….” Suaranya bergetar sebelum kata-katanya mati. Dia mahu luahkan apa yang dia rasai, tetapi wajah-wajah yang seakan mengejek membuatkan dia berasa pendapatnya tidak didengari semua. Dada terasa sesak. Dia masih ingat tangisan Teja. Hancur hatinya mengetahui semangat Teja tidak pulih malam itu. “Girl. You are still young. Tak tahu macam mana students kita ni sebenarnya. Jangan terikut-ikutkan sangat ragam students ni,” celah seorang pensyarah yang berada di sebelah Puan Widuri dan akhirnya kata-kata itu membuatkan Jasmeen tidak lagi teringin untuk berbalah. Apabila diberi
KONSPIRASI ELITIS | 21
teguran, itulah yang kerap kali dia dengar. Dia masih muda untuk menilai. Dia masih muda untuk bersuara. Dia tahu dia masih muda. Tahun ini merupakan tahun kedua dia mengajar di universiti ini. Tapi, dia juga pernah menjadi seorang pelajar dan dia tahu mengapa tekanan itu berlaku. Namun, jika terus ditekan dan dihenyak seolah-olah tidak punya rasa, siapa yang mampu untuk bertahan? “Saya tahu apa yang dibuat oleh universiti ni tepat. Menggunakan kaedah terbaru adalah cara yang baik dan bagus. Seiring dengan teknologi. Awak jangan nak menyalahkan fakulti ya, Jasmeen!” Puan Salma pula mencelah. Perdebatan kini beralih kepada satu lagi perkara yang menjadi bualan hangat. Artificial Intelligence (AI) Immersion yang telah digunakan dalam proses pembelajaran baru-baru ini. Sejak beberapa tahun yang lalu, sistem ini baru sahaja diperkenalkan oleh Jabatan Digital dan Inovasi. Jutaan ringgit dihabiskan untuk menaik taraf sistem AI Immersion. Walaupun pada dasarnya, idea perkembangan digital ini mampu membantu universiti ke arah pemodenan, namun pelaksanaannya masih longgar. Pemerhatian yang dilakukan oleh Jasmeen baru-baru ini telah membuktikan tenaga pengajar mahupun pelajar masih belum mampu untuk menjalankan kaedah ini dengan baik.
22 | EMMIYYA
Pelajar mula tertekan, pensyarah mula mengalami kesenjangan digital. Jasmeen sudah banyak menghasilkan artikel dan komentar yang membincangkan tentang kearifan kepenggunaan AI Immersion secara teratur, namun tiada yang ambil peduli. Sehingga tragedi ini berlaku sekali lagi. “Tapi, semuanya terlalu cepat. AI Immersion ialah teknologi yang diperkenalkan secara mendadak tanpa ada pengenalan yang baik. Bukan semua students mampu, puan.” Jasmeen cuba untuk bersuara. Dan mesyuarat itu bertukar tegang. Mula ada suarasuara sumbang yang berbunyi. Walaupun berbisik, ia cukup memberikan impak yang tidak senang. “Dean, saya cuma nak cakap tentang satu perkara.” Suara garau Dr. Liam berbunyi. Jasmeen berpaling ke arah Liam. Terus suara-suara tadi perlahan. “Saya rasa, kita kena fikirkan semula kaedah pengajaran dan pembelajaran kita. Saya rasa, menggunakan AI Immersion sepenuhnya bukan satu idea yang baik. Kami rasa, kami tidak mempunyai hubungan kemanusiaan dengan pelajar.” Cadangan Dr. Liam disambut dengan anggukan beberapa orang pensyarah lain.
KONSPIRASI ELITIS | 23
“Ada benarnya kata-kata Dr. Jasmeen dan Dr. Liam. Saya sebagai pensyarah senior juga turut terkesan. Bantulah kami, Prof. Suarakan kepada pihak atasan tentang pelaksanaan kaedah baru ini. Ini tak. Kami sendiri pun belum diajar betul-betul, dah nak dijalankan ke atas budak-budak. Mana mampu semua nak sempurna!” ulas Prof. Tarmizi yang tekun mendengar. Semua tertumpu ke arah Prof. Azhar yang diam memerhati. Kemudian dia menghela nafas berat. Perlahanlahan dia menegakkan tubuh dan menarik kertas di atas meja untuk mengelak rasa janggal daripada terus diperhatikan. “Buat masa sekarang, pihak universiti belum ambil tindakan untuk mengubah sistem pembelajaran kita. Jadi kita perlu ikut. It is our responsibility to upgrade our teaching style. Banyak kursus yang telah ditawarkan sebelum ini, tapi perlaksanaan ini bukan alasan untuk kita hentikan kaedah yang telah diguna pakai oleh universiti.” Prof. Azhar menjawab dengan tegas. “Tapi pelajar tak mampu, dean.” Dr. Liam mencelah. “Jangankan pelajar, kami pun gi ….” “I know, Liam. I know!” Suara itu sedikit bertempik membuatkan semua yang berada di situ tergamam. Riak wajah Prof. Azhar berubah serta-merta. Terus tiada lagi yang berani untuk bersuara. Prof. Tarmizi memberikan isyarat kepada
24 | EMMIYYA
Dr. Liam untuk diam sebelum lelaki itu bersandar untuk menenangkan diri. “The relevancy depends on the learning outcome. Kaedah ini sesuai untuk subjek teori yang mana pelajar perlu baca sendiri. Platform sahaja berbeza. Apa yang susah sangat nak buat?” Suara Prof. Azhar sedikit meninggi membuatkan tiada siapa yang berani menjawab. Jika dia sudah mula mempersoalkan kebolehan tenaga pengajar, maksudnya soalan ini tidak lagi layak dibincangkan. Setiap kali diutarakan hal ini, Prof. Azhar akan bersifat defensif. Tiada langsung ruang untuk menyuarakan pendapat. Apabila diasak, pasti akan melenting. Kalau mahu berbincang, pasti akan mengelak. Sehinggakan masalah ini sengaja tidak dibincangkan dalam mesyuarat akademik. Dr. Liam terdiam. Prof. Tarmizi pula menggeleng lembut. Dan Jasmeen? Wanita itu kembali menundukkan wajah, tidak lagi mengambil tahu apa-apa yang berlaku dalam mesyuarat ini. Kepalanya kembali terawang-awang dalam dunia sendiri mencari punca bagaimana semua ini berlaku. Sejak dua tahun dia mengajar di universiti ini, memang tidak dinafikan universiti ini serba canggih. Smart classroom? Kelas fizikal berpandukan augmented reality? Semuanya ada. Tapi, saban hari semakin banyak masalah pelajar yang sampai
KONSPIRASI ELITIS | 25
ke telinganya dan salah seorangnya ialah Teja. Teja merupakan pelajar ketiga yang telah membuat keputusan sedemikian atas tekanan belajar. Mana silapnya? Semua serba canggih … tapi …. “Huh …,” keluh Jasmeen. Urusan ini, dia tahu dia tidak patut masuk campur kerana semuanya telah ditetapkan. Tidak boleh dicabar secara mutlak. Kalau bersuara, ia seperti melawan pentadbiran. Dikira seperti pekerja yang memberontak kerana tidak bersetuju dengan segala cadangan universiti. Tapi, itu bukan maksudnya. Segala
kaedah
AI
Immersion
sangat
baharu
diperkenalkan sedangkan sistem yang sedia ada belum pun dapat dikuasai dengan baik. Cara pelaksanaan juga memainkan peranan. Bukan main redah! Lampiran buku yang kosong di atas meja direnung lama. Telinganya dipekakkan daripada terus mendengar kata-kata Prof. Azhar sampai dia tidak sedar mesyuarat sudah berakhir. Dr. Nadiya di sebelahnya mencuit perlahan. “Jasmeen, tak nak naik ofis?” soal Dr. Nadiya yang sudah bingkas dan mengemas beg.
26 | EMMIYYA
“Hmmm … kejap lagi.” Jasmeen panggung wajah memandang Prof. Azhar yang sedang berbual dengan beberapa orang pensyarah. “Sure. Aku naik dulu. Nak kejar class.” Jasmeen balas dengan anggukan lemah. Kemudian, matanya kembali mencari Prof. Azhar. Usai dia melihat perbualan itu berakhir, dia laju-laju merapati Prof. Azhar. “Prof., saya nak cakap sikit.” Prof. Azhar memandang sekilas wajah Jasmeen. Terus dia menggeleng. “Bukan hari ini.” Nadanya tegas menimbulkan rasa tidak selesa kepada Jasmeen. Terus detak jantungnya berlari laju seakan-akan dapat merasakan ada hal yang tidak senang bakal berlaku.
KONSPIRASI ELITIS | 27
Bab 5 LIAM: Contact him. Jasmeen mengemam bibir. ‘Contact him’ itu bermaksud dia perlu berurusan dengan seorang pakar yang berada di bumi Swiss ketika ini. Lelaki itu boleh membantunya membawa kajian ini naik ke pihak atasan seperti yang dikhabarkan oleh Liam. Namun, bukan dia tidak mahu berurusan dengan lelaki itu, dia cuma masih ragu-ragu dengan hasil dapatannya. Jasmeen: Nanti. Aku akan contact dia nanti. Selepas meletakkan kembali telefon bimbitnya ke atas meja, Jasmeen terus membuka laman sesawang fakulti. Bahagian expert dibuka. Dia mahu mencari latar belakang Haz Azri terlebih dahulu sebelum berurusan dengan lelaki itu.
KONSPIRASI ELITIS | 63
Jemarinya berlari-lari di atas papan kekunci. Nama Haz Azri dicari di ruang carian. Dalam beberapa saat, terpapar segala maklumat tentang Haz Azri. Jasmeen membaca profil akademik, penerbitan jurnal dan pembentangan persidangan. Jasmeen klik satu per satu pautan yang terpapar dan akhirnya …. “PhD dalam bidang psikologi kognitif … fokus pada digital behavior dan adaptive learning …,” gumamnya perlahan. Tidak berhenti di situ, Jasmeen terus leka membaca hasil-hasil penulisan Dr. Haz Azri. Selama ini, dia hanya mendengar Liam tidak berhenti memuji lelaki itu. Dr. Haz itu, Dr. Haz ini. Dia sendiri tidak pernah mengenali Haz Azri secara peribadi. Ketika dia mula bekerja di Universiti Dar Ilmi, Dr. Haz Azri sudah mula dipinjamkan ke beberapa universiti lain. Tidak sempat mereka berkenalan secara zahir. Malah, dia tidak pernah pun melihat wajah Dr. Haz Azri. Hanya nama yang terawang-awang disebut oleh semua. Jasmeen berhenti di salah satu laman sesawang. Berkelipkelip matanya membaca biografi Dr. Haz Azri. Jasmeen menatal lagi sehingga terhenti di bahagian maklumat kajian Dr. Haz Azri. “Patutlah .…” Patutlah Liam yakin Dr. Haz Azri mampu berikan impak yang tinggi kepada kajian ini kelak.
64 | EMMIYYA
Dua saat. Terus berderet maklumat tentang Haz di ruangan Google. Carian di bahagian Google Scholar yang ditekan dahulu. “H-index: 109” “Last Five Years H-Index: 99.” “Ranking: 9th.” “Ya Allah! Tinggi H-index dia ….” Jasmeen ternganga kecil. Dia baca lagi. Kertas penyelidikan Haz merata-rata di dalam laman sesawang. Di Jurnal Scopus juga ada beberapa yang tersenarai. “Ha? 35 tahun?” Jasmeen merenung lebih lama daripada yang sepatutnya. Gambar Haz Azri yang sedang berdiri sambil tangannya masuk ke dalam poket dipandang lama. Daripada pengamatan Jasmeen, Haz Azri ialah seorang lelaki yang serius. Riak wajahnya keras, tetapi ada ketenangan pada mata kuyu itu. Rambutnya tersisir kemas walaupun sedikit panjang bagi kebanyakan lelaki. “Inilah dia Dr. Haz Azri?” bisik Jasmeen sendiri. Sekali lagi dia mengamati wajah itu. Wajah lelaki Melayu tulen. Sedetik kemudian, Jasmeen segera kalihkan pandangannya selepas tersedar dia berlebih-lebih merenung profil Haz Azri.
KONSPIRASI ELITIS | 65
Dia berdeham kecil sebelum menutup laman sesawang dan membuka sistem Research Governance Centres (RGC). Selama ini dia membayangkan Dr. Haz Azri adalah lelaki yang berumur. Bzzz! Sekali lagi telefon pintarnya bergetar. Nama Liam terpampang sekali lagi. Liam: This is his email address. Please, contact him. DocAzri@gmail.com Jasmeen senyum membaca mesej yang dikirimkan oleh Liam. Dia masih berkira-kira untuk menghubungi lelaki itu selepas membaca latar belakang Haz. Liam: He is a good man. Trust me. Jasmeen: Okay. Bagi aku masa sikit untuk contact dia. Akhirnya Jasmeen mengalah. Google Docs yang sudah diaktifkan oleh Liam untuknya, dibuka. Kini dokumen tersebut diberi akses kepada tiga orang. Jasmeen, Liam dan Haz Azri. Dada Jasmeen berombak kecil. Dia diserang debar melihat dokumen itu sedang dibaca oleh seseorang yang tidak dikenali. Jasmeen tertarik melihat satu ikon bertanda H sedang aktif di laman itu. Satu notifikasi muncul di penjuru skrin komputer ribanya. Jam analog sedang menunjukkan 12.30
66 | EMMIYYA
tengah malam. Dan komen-komen ditinggalkan oleh Haz adalah pada jam 12.25 tengah malam. Bermaksud, komen yang ditinggalkan ini hanya beberapa minit sebelum dia membuka dokumen itu. Entah mengapa, hatinya menjadi gusar untuk membuat penambahbaikan sedangkan kajian itu adalah miliknya. Kursornya terarah ke bahagian kanan dokumen. Notifikasi komen mula muncul lagi tanpa henti membuatkan dia leka menanti komen daripada pihak sana. Jasmeen menarik nafas dalam-dalam melihat komen yang tanpa henti masuk. “This study will use a qualitative approach ….” Ayat ini disorot dengan berwarna merah dan beberapa ayat dikemaskan. Akhirnya, Jasmeen memberanikan diri untuk menegur lelaki itu. Sengaja dia tekan enter beberapa kali untuk menjarakkan perenggan dan beri ruang untuk dia menaip sesuatu. Meen_FSS: Salam Dr. Azri. Beberapa saat berlalu. Kursor berkelip dalam ruangan muka surat Google Docs. Kemudian, muncul bubble daripada pengguna bernama ‘Dr. Azri_H.’ Jasmeen menunggu ayat itu habis ditaip. KONSPIRASI ELITIS | 67
Dr. Azri_H: Ya, saya ada di sini. Baru nak mula membaca. Jasmeen menggenggam erat tangannya. Debar semakin berkurang melihat lelaki itu membalas. Nafas ditarik dalamdalam sebelum jemari halusnya kembali menekan papan kekunci. Meen_FSS: Dr., saya dah semak semula bahagian data. Boleh Dr. semak sekali lagi? Saya nak pastikan selari dengan objektif kajian. Saya juga dah terangkan mengapa saya pilih semi structured. Beberapa saat kemudian, satu highlight muncul di perenggan kedua. Dr. Azri_H: Better. Tapi masih lemah. Terlalu banyak andaian tanpa ada justifikasi. Jasmeen meneguk liur membaca ayat itu. Kajiannya dikatakan lemah? Meen_FSS: Topik kita agak sensitif, lebih-lebih lagi kepada target responden kita. Mungkin ada di antara mereka mempunyai suicidal thoughts. Dr Azri_H: Kita perlukan bukti secara empirikal. Jika tidak, kajian ini hanya bersandarkan emosi semata-mata. Saya tak mahu kajian ini hanya berasaskan emosi.
68 | EMMIYYA
Bubble komen hilang. Tiada lagi komen yang ditinggalkan walaupun sudah lima minit dia menunggu. Jasmeen menarik nafas panjang. Namun sebelum dia menutup dokumen, satu lagi komen terakhir muncul. Dr. Azri_H: Ethics without methodological support is just opinion. Fix it. Add literature. Don’t expect the methodology to defend itself. Meen_FSS: Adakah saya kena jalankan pengumpulan data semula? Dr. Azri_H: Yes. Meen_FSS: Dr., I need to be honest. The timeline is tight, and several stakeholders are waiting for this outcome. I’m trying to balance quality and urgency, but— Dr. Azri_H: That’s not my problem. Dr. Azri_H: Deadlines don’t justify weak research. If this study is going to the Provost, it has to withstand scrutiny. Not sympathy. Jasmeen garu kepala membaca ayat terakhir daripada Haz Azri. Dapat dirasakan lelaki ini bakal memberikan jalan yang sukar untuknya.
KONSPIRASI ELITIS | 69
Mengapa lelaki ini perlu melayannya dengan dingin? Sedangkan kajian ini dia yakin bakal menyelamatkan pelajarpelajarnya kelak. Jasmeen tidak puas hati. Terus dia berikan mesej kepada Liam walaupun ketika ini waktu sudah menjengah satu pagi. Komputer riba ditutup rapi. Minatnya terus hilang ditiup angin selepas ditegur sedemikian rupa. Jasmeen: Aku rasa dia tidak akan beri kerjasama. Kalau tak nak tak apa, aku panjat naik atas sorang-sorang. Buntu. Entah bagaimana harus dia lakukan ini. Melihatkan tegas dan dinginnya lelaki itu, Jasmeen rasa sukar untuk bekerjasama dengannya.
70 | EMMIYYA
Bab 7 KUTUBKHANAH Darul Hikmah, sebuah bangunan yang berdiri megah di tengah-tengah kampus, ibarat permata yang menyinari Universiti Dar Ilmi. Seni binanya menggabungkan ukiran
kayu
tradisional
dan
moden;
cukup
untuk
membanggakan sesiapa sahaja yang diterima sebagai pelajar di situ. Perpustakaan ini menjadi saksi susah payah mahasiswa mencerap dan mengamalkan segala warisan dan khazanah ilmu yang begitu tinggi nilainya. Derap langkah Jasmeen tenang. Anak tangga didaki satu per satu. Matanya leka memerhati penanda di rak-rak kayu. Derianya disapa dengan bau kertas lama dan aroma pendingin
KONSPIRASI ELITIS | 87
hawa semerta memberikan ketenangan yang dia gemari. Haruman sebuah buku itu sangat unik baginya. Bagi Jasmeen, tempat ini adalah sebuah suaka yang menghidupkan ilmu dan tidak terhenti tugasnya sekadar gedung simpanan. Dia gemar menghabiskan masa di tempat ini. Jiwanya yang dahagakan ilmu berkobar setiap kali berada di sini. Kakinya berhenti apabila dia berdiri di bawah kubah besar. Cahaya yang menerobos masuk ke dalam diperhatikan lama. Cantik. Dahulu, pernah dia bertanya tentang maksud kubah dengan hati yang polos. Mengapa hampir setiap bangunan utama di Universiti Dar Ilmi memilih bentuk yang sama? Seorang pensyarah tua pernah tersenyum sebelum menjawab. “Kerana dunia ini bulat.” Ketika itu, Jasmeen tidak memahami maksudnya. Kini, apabila berdiri tepat di bawah kubah yang menjulang tinggi itu, dia mula memahami bahawa bulatan itu melambangkan dunia yang dihuni manusia.
88 | EMMIYYA
Tempat mereka mencari ilmu, melakukan kesilapan, jatuh dan bangun semula. Namun, di puncak kubah itu berdiri satu menara kecil yang melangit tinggi. Sebagai peringatan bahawa setinggi mana pun ilmu yang dicari, seluas mana pun dunia yang diteroka, tetap ada Yang Satu yang menguasai segala-galanya. Ini yang dikatakan, biar ilmu terus meninggi, namun tidak melupakan siapa yang mengurniakan ilmu itu. Pandangan Jasmeen terangkat ke atas. Cahaya yang menembusi kaca kubah jatuh lembut ke lantai karpet, mengingatkan falsafah yang tersemat di dalam hati ini telah memujuknya untuk terus berkhidmat. Jasmeen berjalan menaiki tangga kayu yang cantik berkilat.
Bahagian
pemegangnya
terukir
kemas
bunga
bermotifkan daun jeruju. Sekujur tubuh sedang duduk bersandar di salah satu tiang sebesar pemeluk dan matanya terpejam rapat dengan sebuah tablet yang masih menyala di atas riba. “Laila?” Terus gadis itu membuka mata memandangnya. “Eh, Dr. Jasmeen! Dr. buat apa dekat sini?” Wajahnya diceriakan.
KONSPIRASI ELITIS | 89
“Saya nak pergi tengok bahan artikel di atas. Kamu buat apa dekat sini?” “Tu …. Saya tengah buat simulasi AI dekat situ.” Laila menunjukkan ke arah satu papan tanda metalik biru di dinding utama yang menandakan Zon Imersi AI. “Oh.” Jasmeen angguk lembut. Inilah teknologi yang dihasilkan oleh Dr. Nourel Aziza. Bilik Simulasi AI untuk pelajar-pelajar sains komputer. “Dah tiga jam saya dalam tu. Otak saya dah penat sangat tadi, jadi saya keluar sekejap.” “Kenapa? Apa yang penat?” Jasmeen bertanya lembut sambil melabuhkan punggungnya di kerusi berdekatan. “Processing data laju sangat. Bila saya minta sistem tu penjelasan, dia cuma hantar link rujukan tambahan. Penat saya nak bercakap dengan robot ni, Dr.” Laila seakan-akan cuba berseloroh, namun wajahnya cuba disorokkan. Matanya kembali membuka tugasan yang berada di laman web universiti. Jasmeen terdiam. Setiap kata-kata anak muda itu dapat difahami dengan jelas dan baik. “Untuk tugasan apa tu?” “Errr … tugasan Dr. Nourel.”
90 | EMMIYYA
Jasmeen mengangguk perlahan. “Dr. Nourel ada di dalam?” Jasmeen memanjangkan lehernya meninjau keadaan di dalam bilik simulasi. Mana tahu, ada rezekinya untuk bertemu Dr. Nourel. Untung-untung, ada hal yang boleh diujarkan kepada wanita itu. “Tak ada. Dr. Nourel baru sahaja keluar,” balas Laila lembut. Mendengar jawapan itu, fokus Jasmeen beralih kepada Laila. Gadis itu kelihatan penat dan tidak bersemangat. Dia perlukan rehat. “Awak okey? Nak rehat dulu? Jom, kita pergi kafe dekat bawah sana,” ajak Jasmeen lembut. “Tapi, saya ….” “Teman saya minum, nak? Kita pergi cari teh o ais kejap. Lepas tu nanti sambung semula,” cadang Jasmeen selepas melihat wajah gadis itu sedikit serba salah. Laila bingkas dari tempat duduknya. Jasmeen mula mengorak langkah dan perlahan-lahan Laila menyainginya. * * *
KONSPIRASI ELITIS | 91
“TERIMA KASIH, Dr. belanja saya makan.” Laila meletakkan kembali gelas air yang telah kosong. Syukur perutnya terisi daripada rezeki yang tidak disangka. Walaupun tidak berduit, tetapi dia direzekikan dengan makanan yang enak. Jasmeen tersenyum nipis. Matanya sempat memerhati suasana kafe ini, tenang sekali. Kemungkinan para pelajar ketika ini sudah mula beransur pulang. Hari juga sudah menjengah lewat petang. Pada awal semester, pengunjung Kutubkhanah Darul Hikmah lazimnya agak lengang. Sampai masanya untuk mengharungi musim peperiksaan, perpustakaan ini akan dihuni dengan pelajar-pelajar. Siang dan malam, perpustakaan ini hidup dengan kehadiran para pelajar datang untuk menelaah. “Sama-sama. Berapa lama lagi simulasi tu nak siap?” Jasmeen kembali bertanyakan hal pelajaran gadis itu. Baginya, tugasan adalah yang paling perit sekali untuk pelajar lakukan. Lebih-lebih lagi ketika banyak tugasan datang serentak. “Dr. Nourel beri peluang sebelum cuti pertengahan semester. Tapi, tak tahulah sempat siap ke tak. Bagi saya susah sangat. Sepatutnya minggu depan dah selesai. Tapi, saya buat beta test pun tak lepas.” Jasmeen senyum. “Kenapa susah? Saya difahamkan, sistem itu untuk memudahkan pelajar-pelajar.”
92 | EMMIYYA
Laila mengeluh lembut. Lama dia mencari-cari ayat yang sesuai untuk diberikan kepada Jasmeen. “Terus terang Dr., sejak sistem AI yang terbaru dikuat kuasa, hidup saya macam terkurung. Algoritma bukan sekadar menjaga komitmen kami dalam kelas tetapi ia jejak kehidupan kami setiap minit. Kalau saya berhenti mengakses sistem selama beberapa jam, sistem akan mengesan komitmen saya menurun. Tarikh akhir tugasan yang ditetapkan pula ikut proses sistem. Bukan ikut kemampuan pelajar ….” Laila menghela nafas dalam-dalam. “Minggu ini sahaja, saya terpaksa berkurung dan asingkan diri daripada rakan-rakan. Saya tak sempat join perjumpaan kelab. Kawan-kawan ajak makan pun, saya terpaksa tolak. Sebabnya … saya takut terlepas milestone yang sistem itu telah tetapkan. Saya risau kalau milestone itu terlepas dan saya kena mula semula. Lama-lama saya penat, Dr.” Suara Laila semakin sayu. Bibirnya juga tidak lagi tersenyum seperti ketika mereka berjumpa tadi. “Mungkin pada pandangan mata kasar, memang nampak mudah. Tapi, bagi saya AI tu tak sama dengan benda hidup. Saya lebih suka macam ni, Dr. Saya boleh berbual, tengok muka Dr. Dr. boleh faham nada suara saya dan ada human connection. Sepanjang saya buat simulasi tu, saya nampak AI ni macam try hard nak jadi manusia. Padahal jiwanya kosong,” seloroh Laila. KONSPIRASI ELITIS | 93
Jasmeen tersenyum nipis mendengar kata-kata Laila. Try hard, ya? Robot pun pandai try hard untuk menjadi manusia. “Awak rasa interaksi fizikal lebih membantu proses penghadaman ilmu?” “Ya. Manusia ada empati. AI ada data, tetapi dia tak ada empati. Bila saya buat salah dengan Dr., Dr. akan tegur saya dengan hikmah. Tapi, simulasi tu tak dapat buat perkaraperkara macam tu.” “Manusia memanusiakan manusia,” ulas Jasmeen lembut. “Kita semua perlukan itu.” “Dr., tak boleh ke kita belajar macam dulu? Hibrid. Dua-dua diguna pakai.” Laila meluahkan rasa hatinya. Sejak sistem ini diperkenalkan, hidupnya jadi tidak keruan. Dahulu hidupnya rasa susah juga, tapi kini lebih susah. Hilang minatnya untuk mendalami ilmu. “Saya sedang usahakan. Insya-Allah.” “Bantu kami, Dr. Tak terkejar kalau penat begini. Pelajarpelajar sudah ada yang mula memberontak. Cuma, mereka masih belum berani bertindak secara nyata.” Laila menarik nafas dalam-dalam. Jasmeen bersandar mendengar kata-kata Laila. Ketakutan gadis itu berasas. Universiti seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk mereka menimba ilmu. Jika semuanya terus bertelagah, pelajaran mereka akan terkesan. 94 | EMMIYYA
* * *
USAI menghantar Laila semula ke Zon Simulasi AI, Jasmeen mengorak langkah untuk mencari bahan bacaan yang diperlukan. Sesekali telinganya terdengar bisik-bisik pelajar yang sedang berbual. Di salah satu sudut, dia menelusuri rak-rak yang menempatkan pelbagai cabang ilmu. Kemudian, dia berhenti di sudut zon sumber digital yang terletak di balik rak rujukan. Beberapa terminal utama disediakan untuk mengakses jurnal elektronik, pangkalan data penyelidikan dan arkib akademik universiti. Kebanyakan bahan di situ tidak boleh dicapai dari luar kampus atas faktor lesen dan keselamatan data. Selesai
Jasmeen
mendapatkan
segala
data
yang
diperlukan, dia mengatur langkah ke arah lif utama membawa kembali ke lobi. Namun, ketika dia sedang leka berdiri, satu susuk tubuh menghampirinya. “Dr. Jasmeen?” Suara Dr. Nourel Aziza mengejutkan lamunannya. “Ya, saya.” Riak Jasmeen tergamam melihat wanita ini berdiri dekat dengannya.
KONSPIRASI ELITIS | 95
“Dr. Nourel,” ujarnya dengan nada yang tegas memperkenalkan diri. Wajahnya keras dan kaku sambil menghulurkan salam. “Oh …,” Bibir Jasmeen membulat. “Nice to meet you, Dr. Nourel.” Jasmeen menyambut ramah dengan senyuman lebar. Kebetulan ini sangat-sangat indah baginya. “Dr. Nourel sihat?” tanyanya ramah seolah-olah bertemu rakan lama. “Sihat, alhamdulillah.” Dr. Nourel berkerut dahi melihat kemesraan Jasmeen. “Sebenarnya, sebelum saya masuk tadi, saya bercadang nak jumpa Dr. Banyak yang saya nak bincangkan dengan Dr. Tak sangka akhirnya kita berjumpa.” Ramah Jasmeen menuturkan kata-kata. “Really? I rasa tak perlu. Banyak yang I dengar tentang you.” Senyum Dr. Nourel, nadanya sinis. Nama Jasmeen sudah berada dalam radarnya dan hari ini dia tidak berniat untuk berpura-pura mesra. “Banyak hasil penulisan you, I sempat baca. Nice insight walaupun banyak yang I tak setuju.” Jujur Dr. Nourel bersuara. “Tentang pembelajaran AI?” teka Jasmeen.
96 | EMMIYYA
“Ya.” Kemudian mata Dr. Nourel beralih memandang susuk Jasmeen dari atas hingga ke bawah, seolah-olah memberikan tanda tidak senang kepada wanita itu. “Muda lagi orangnya,” ujar Dr. Nourel lagi. “Berapa tahun dah mengajar?” tanyanya laju. “Dua tahun ….” Lambat-lambat Jasmeen menjawab. “Oh, patutlah. I ingat you student tadi.” Jasmeen kaku. Dia cuba menahan riak agar tidak nampak terkesan dengan kata-kata Dr. Nourel. Namun, dia dapat merasakan pipinya menegang. Kalau nampak macam student sebab nampak muda, dia boleh terima, malah suka. Tapi, kata-kata Dr. Nourel ini seolah-olah mencabar kredibilitinya sebagai seorang tenaga pengajar. Nampak macam student? Ayat itu sinis. “I mati-mati ingat you pensyarah yang berbelas tahun ada di sini. I dengar boleh tahan hebat you mengkritik pembelajaran digital. I ada baca artikel you tentang pembelajaran digital juga. Rupanya baru dua tahun. Sebelum ni ada pengalaman bekerja di mana-mana?” Dr. Nourel tanya lagi. “Hmm … saya … sambung belajar. Degree hingga masters dan kemudian PhD.” “No wonder.”
KONSPIRASI ELITIS | 97
Jasmeen semakin berkerut dahi mendengar ayat itu. Kemudian, dia cuba membaca riak Dr. Nourel yang keras dan senyuman manisnya yang kian hilang. “Apa maksud Dr. no wonder?” “I’ve heard about you a lot. Dekan you banyak bercerita tentang you yang bersuara tentang pembelajaran digital. Tapi, I nampak you tak setuju. You percaya semua masalah mental dalam universiti ni disebabkan pendigitalan dan teknologi. Kan?” “Ya. Saya percaya masalah pelajar sekarang berpunca daripada sistem teknologi yang begitu padat. Pelajar saya sendiri yang terkesan, Dr. Sebab itu saya berani buat andaian begitu.” Suara Jasmeen tegas. Tubuhnya semakin tegang mendengar dakwaan Dr. Nourel. “You tak pernah kerja luar sebelum ni, kan? Nampak macam semua pengalaman you sekadar dalam bidang akademik.” “Ya. Kenapa?” Jasmeen hanya mengangguk perlahan. Entah mengapa dia semakin tidak selesa dengan kata-kata Dr. Nourel. Tutur katanya seperti berbaur sesuatu. Hala tuju perbualan ini mungkin akan memerangkap dirinya.
98 | EMMIYYA
“That explains a lot. Cara you fikir … terlalu ideal. Dunia sebenar tak macam yang ada dalam buku, Jasmeen.” Sinis Dr. Nourel bersuara. Dada
Jasmeen
mula
berdetak
laju.
Tangannya
menggenggam fail dengan erat, seakan-akan menyalurkan marahnya. “Tapi, saya percaya pelajar kita perlukan ruang belajar yang lebih manusiawi.” Tenang Jasmeen menyusun ayat, membidas tegas dengan nada yang lembut. Tidak berniat untuk mengajar Dr. Nourel, tapi itu yang dia rasakan. Pelajaran secara manusiawi itu paling relevan untuk memanusiakan insan. Bukan diharapkan digital dan maya untuk memanusiakan pelajar-pelajar. Lebih-lebih lagi pelajar ini masih muda untuk dibentuk. “Manusiawi?” Dr. Nourel ketawa kecil. “Kita dalam universiti, Dr. Jasmeen. Pelajar tugasnya ialah belajar. Kita bukan ahli terapi mereka, bukan tempat untuk bantu mereka selesaikan masalah peribadi. Itu bukan tugas kita.” Dada Jasmeen semakin berat mendengar tohmahan itu. Menjalar rasa marah dalam dadanya. Bibirnya mahu terus menutur kata, namun perbualan ini terbantut apabila pintu lif terbuka. Dr. Nourel sudah melangkah masuk ke dalam lalu menekan butang agar pintu kekal terbuka beberapa saat.
KONSPIRASI ELITIS | 99
“Silakan masuk, Dr. Jasmeen.” Jasmeen teragak-agak untuk melangkah masuk. Sejurus pintu tertutup rapat, Jasmeen menekan butang G. “Anyway, saya dengar Dr. Jasmeen tengah buat kajian.” Jasmeen tergemap. Dahinya berkerut mendengar soalan itu. Dari mana pula Dr. Nourel mengetahui tentang tugasnya? “Menarik, tapi agak berisiko. Salah seorang daripada responden awak sebenarnya pelajar saya. Dia ada hubungi saya semalam.” Jasmeen tergamam. “Siapa?” Ting! Pintu lif terbuka dan Dr. Nourel melangkah keluar. Manakala Jasmeen masih terpinga-pinga menuntut penjelasan daripada Dr. Nourel. “Dr.!” Jasmeen memanggil, namun wanita itu hanya tegak berdiri di hadapan lif. “Tapi, saya doakan yang terbaik. Jabatan Digital dan Inovasi mengalu-alukan hasil dapatan.” Sempat dia memandang Jasmeen sinis sebelum melangkah meninggalkan kawasan lif itu.
100 | EMMIYYA
Jasmeen masih kaku. Dia tidak mengenali Dr. Nourel secara peribadi, namun dia mempunyai pandangan yang tinggi terhadap wanita itu. Dr. Nourel ialah pensyarah yang berkaliber dan disegani. Sebagai seorang pensyarah muda, Dr. Nourel menjadi idolanya. Tapi, pengalaman tadi benar-benar mengubah persepsinya tentang Dr. Nourel. Merendahkan semangat orang lain bukan sifat ahli akademik! * * *
PELAKSANAAN SISTEM AI IMMERSION OLEH DR. NOUREL AZIZA. Jasmeen bersandar saat meneliti program yang bakal dilancarkan oleh Jabatan Digital dan Inovasi. Selepas kejadian pagi tadi, dia jadi tidak tenteram. Terus dicari segala maklumat tentang usaha Dr. Nourel. Kepala Jasmeen semakin berat. Jasmeen gerakkan tetikus lalu membuka laman sesawang milik Jabatan Digital dan Inovasi. Ikutkan hati, dia mahu sahaja tulis aduan terhadap jabatan ini, memberikan realiti sebenar keperitan semua orang mengikut kemahuan mereka. “Burnt out,” omel Jasmeen meluahkan hatinya. Keletihan kronik yang melampau ini membuatkan dirinya semakin hilang
KONSPIRASI ELITIS | 101
rasa mahu memberikan yang terbaik. Motivasinya telah hilang sejak sistem baru diperkenalkan. Belum lagi tugas-tugas hakiki yang telah menggunung tinggi. Jika terlalu difikirkan, dia akan keresahan dan hilang pertimbangan. Pekeliling mengenai sistem AI Immersion itu, dibaca dengan teliti. Mengikut pengamatannya, sistem ini akan diguna pakai sepenuhnya tidak lama lagi. Draf penggunaannya telah kemas disusun di dalam laman web itu untuk rujukan para pensyarah dan pelajar. Kertas kajian yang belum disemak dan buku-buku di atas meja itu dipandang sepi. Kemudian, dia lepaskan tetikus di atas meja sebelum meraup wajah. Rasa takut mula menguasai diri. Bagaimana
jika
selama-lamanya
dia
tidak
dapat
melakukan tugas ini dengan baik? Bagaimana jika lebih banyak kejadian yang menimpa arwah Teja akan berulang pada masa hadapan? Lantas jemarinya mencapai semula tetikus. Kajian yang masih belum sempurna di Google Docs itu dibuka. Walaupun hatinya masih sebal dengan komen yang ditinggalkan oleh Dr. Haz Azri, dia tidak boleh mengalah.
102 | EMMIYYA
Kajian ini ialah kajiannya. Kajian ini akan membantu universiti untuk menyusun semula kaedah digital agar lebih kemas dan teratur. Itu niatnya. Jasmeen memerhati kursor yang berkelip di dokumen Google Docs. Kelihatan nama Dr. Azri_H di salah satu baris ayat. Kemudian, lelaki itu meninggalkan komen di bahagian tepi. Jasmeen hanya memerhati perkataan “Typing” itu keluar di sisi Google Docs. Dr. Azri_H: Ayat ini menimbulkan kekeliruan. Letak data. Spesifik. Jangan letak ayat umum begini. Dr. Azri_H: Terlalu banyak pengulangan. Apa point sebenar? AI bantu atau bebankan pelajar? Sedikit keliru pada ayat penyata ini. Dr. Azri_H: Most of it is vague. Letak nombor. 44.8%. Don’t be lazy with precision. Dr. Azri_H: Are you analyzing or just copying students’ voices? Dr. Azri_H: Buang intro awak. If your middle section sounds like this, don’t ruin it with a weak opening. Buang. Tulis semula.
KONSPIRASI ELITIS | 103
Jasmeen berdeham membaca ayat-ayat yang diberikan oleh Dr. Haz Azri. Kali ini dia tidak mampu lagi menahan rasa. Terus dia berikan tanda pada dokumen Google Docs itu untuk memberitahu dia wujud di situ. Meen_FSS: Salam, Dr. Azri. Do you ever give feedback without sounding like you’re trying to destroy someone? Dr. Azri_H: Kenapa? Kalau saya tak berikan komen awak tak akan belajar. Awak nak selesa atau jadi lebih baik? Liam beritahu kajian ini mahu dibawa ke atas. Kalau nak bawa ke atas, buat elok-elok. Kemaskan penulisan. Jasmeen tidak membalas. Tidak mahu untuk membantah lagi, terus dia buang semua bahagian yang Haz berikan komen. Meen_FSS: Berikan saya sedikit masa untuk tulis kembali. Kalau ikutkan hati, bukan itu yang mahu dia tulis. Mahu diberikan sumpah seranah kepada lelaki ini. Hilang minat dan semangatnya buat seketika. Hilang ditelan rasa. Dr. Azri_H: Saya akan ada di Malaysia minggu depan. Mungkin berbincang semeja lebih baik. Jasmeen
menghela
nafas
membaca
ayat
terakhir
daripada Haz Azri. Tidak mampu dia bayangkan duduk semeja bersamanya. Mungkin meja, kertas dan buku bakal berterbangan kerana ego mereka tidak senada. 104 | EMMIYYA
Jasmeen dihimpit rasa tidak selesa. Dr. Nourel yang berkuasa. Dr. Haz Azri yang tegas dan garang. Kini Jasmeen berasa kerdil, hilang harapan untuk bergaul dengan mereka lagi.
KONSPIRASI ELITIS | 105
Ingin Baca Lagi? Dapatkan buku ini di www.imanshoppe.com dan juga kedai-kedai buku seluruh Malaysia.
Terokai buku-buku terbitan IMAN Publication yang lain di:
www.imanpublication.com
@imanpublication
https://t.me/KakIman