Skip to main content

CUAK oleh Dr. Hazreen A. Rashid

Page 1

Dr. Hazreen A. Rashid

Diterbitkan oleh:

www.imanpublication.com


Pendahuluan

Pada hari ini, dada kita sering kali berasa sesak membaca berita di paparan media utama dan media sosial – kejadian banjir dan bencana alam; perubahan iklim dunia; kenaikan harga barang dan inflasi yang menggila; kejadian bunuh-membunuh yang tidak lagi mengejutkan kita; serta konflik agama dan perkauman. Kita boleh mendapat gambaran bahawa betapa ramai manusia yang tidak bahagia dan menderita. Apabila diperhatikan kiri dan kanan, kita akan mendapati bahawa majoriti orang pada hari ini mengalami masalah kemurungan dan bermacam-macam masalah mental. Pertambahan gejala masalah mental dalam masyarakat ini merupakan suatu fakta yang disokong oleh statistik dan nombor; juga daripada pemerhatian harian saya yang bekerja rapat dengan golongan ini. Perkara ini menghairankan kerana fakta dan statistik juga menunjukkan bahawa manusia pada zaman sekarang hidup dalam keadaan yang jauh lebih selesa berbanding nenek moyang kita. Kita tidak pernah merasa hidup dalam zaman pendudukan Jepun dan

6 | DR. HAZREEN A. RASHID


bertahan dengan makan ubi kayu. Kadar kemiskinan dan kebuluran kini jauh lebih rendah berbanding dekad-dekad yang lepas. Kadar kematian akibat penyakit seperti TB dan malaria juga amat rendah dengan perkhidmatan kesihatan yang semakin murah dan mudah diakses. Ibu-ibu yang melahirkan anak mempunyai peluang untuk hidup lebih tinggi berbanding orang zaman dahulu. Alat elektronik serta gajet seperti komputer dan telefon pintar semakin murah dan mampu dimiliki oleh golongan marhaen. Selain itu, peluang untuk menyambung pelajaran selepas SPM dan menamatkan pengajian tinggi adalah berlipat kali ganda besar berbanding apa yang dialami oleh mereka yang sezaman dengan ibu bapa kita. Kita juga boleh mengakses semua maklumat hanya di hujung dari, malah lebih banyak daripada isi kandungan pelajaran yang diterima secara formal di sekolah dan universiti. Dari segi ukuran-ukuran di atas, kalau mengikut logik, hidup pada zaman sekarang adalah jauh lebih baik berbanding zaman dahulu. Jadi, kenapa begitu banyak manusia zaman sekarang yang hidup penuh menderita dan tidak bahagia? Semua peristiwa dan bukti yang menunjukkan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan muda-mudi pada hari ini merupakan suatu fenomena yang dipanggil sebagai kegelisahan atau anxiety. Premis buku ini secara keseluruhannya ialah hujah saya untuk menegaskan perkara tersebut. Dari segi takrifan mengikut kamus Cambridge, anxiety membawa maksud perasaan bimbang dan resah yang tidak menyelesakan; mengenai sesuatu perkara yang sedang berlaku atau akan berlaku pada masa hadapan.

CUAK | 7


Persatuan Psikologi Amerika pula mentakrifkan anxiety sebagai sejenis emosi yang bersifat tegang, fikiran penuh bimbang dan disertai perubahan-perubahan fizikal pada tubuh badan seperti kenaikan tekanan darah, sebagai satu bentuk respons terhadap ancaman sekeliling dan juga ancaman pada masa hadapan. Saya bukanlah seorang ahli bahasa tetapi saya merasakan tidak ada perkataan dalam bahasa Melayu yang boleh membawa maksud yang sama dengan anxiety seperti yang difahami dalam pengajian psikologi atau perubatan kontemporari. Mungkin yang paling dekat ialah kegelisahan, keresahan, kebimbangan, kerisauan, gundah-gulana, cemas, atau cuak. Sebenarnya, kegelisahan merupakan salah satu komponen utama dalam kelangsungan hidup manusia. Ia jauh lebih berkuasa daripada apa yang diketahui oleh kita. Ia mengawal semua tindak-tanduk kita sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kegelisahan menentukan cara kita berinteraksi dengan orang yang tersayang (atau benci). Kegelisahan mengejutkan kita pada setiap pagi untuk bangun mencari rezeki. Ia juga membuatkan kita ingin menjadi insan yang lebih baik, kreatif dan produktif. Kegelisahan yang sama juga membuatkan kita takut mencuba pengalaman baru, tidak boleh tidur malam atau berkurung di dalam bilik kerana takut berjumpa dengan manusia lain. Kegelisahan ialah punca seorang ibu berkorban nyawa untuk melindungi anaknya; dan dalam masa yang sama menjadi punca seorang manusia baik bertukar menjadi jahat. Kegelisahan itu menghidupkan tetapi ia juga mampu melumpuhkan dan membunuh.

8 | DR. HAZREEN A. RASHID


Setiap daripada kita pasti mempunyai rasa cuak dan bimbang masing-masing; sama ada berpunca daripada sesuatu yang wujud secara nyata seperti penyakit kronik dan bencana alam, ataupun daripada sesuatu yang tidak nyata; masih belum berlaku dan cuma wujud dalam kepala seperti gagal dalam peperiksaan atau dikecewakan oleh orang yang disayangi. Kalau kita menyedari, sebenarnya tidak ada manusia normal yang tidak pernah mengalami kerisauan. Kita cuma berpindah daripada satu bentuk kerisauan kepada kerisauan yang lain. Selepas satu masalah, datang satu masalah lain. Berharap supaya hidup 100% bebas daripada masalah dan kegelisahan merupakan satu ilusi yang cuma akan mengecewakan kita. Rasa cuak ini bukanlah untuk terus dielak atau dihilangkan tetapi mesti diuruskan dan difahami, terutamanya punca perasaan tersebut. Beza antara seseorang yang tenang dan serabut sebenarnya bergantung pada cara dia menguruskan stres; bukannya pada jumlah masalah atau punca stres tersebut. Tujuan saya menulis buku ini adalah sebagai satu percubaan untuk mengisi ruang kefahaman supaya kita boleh bersama-sama mempelajari bagaimana perasaan cuak, takut, bimbang, resah dan gelisah itu berlaku. Bagaimanakah cuak yang dianggap normal dan tidak normal? Apakah faktornya? Perlukah kita berasa cuak dengan perasaan cuak? Adakah cara untuk menguruskannya? Pada tahap apa seharusnya kita perlu mendapatkan bantuan?

CUAK | 9


Memahami kegelisahan dalam diri boleh menjadikan kita insan yang lebih baik untuk diri sendiri dan orang lain yang dekat dengan kita.

10 | DR. HAZREEN A. RASHID


Kenapa anda perlu membaca buku ini?

Anda boleh membaca buku ini atas 1,001 alasan peribadi. Walau bagaimanapun semasa proses menulis, saya tekad memasang niat dan sedaya upaya tidak mahu buku ini menjadi sebuah buku motivasi yang membuatkan anda rasa semangat berkobar-kobar. Buku ini bukanlah buku untuk penyelesaian cepat. Tidak ada tip jalan pintas seperti ‘7 langkah mengatasi kegelisahan’ atau ‘30 hari tanpa kegelisahan’. Tidak ada juga kisah inspirasi untuk membuatkan jiwa anda berbunga-bunga. Saya mendapati banyak sumber bacaan umum yang wujud terutama dalam bahasa Melayu hanya mengupas kegelisahan dari perspektif permukaan. Seolah-olah masalah kegelisahan ialah penyakit spontan yang datang secara rawak dengan tiba-tiba (dalam istilah perubatan disebut idiopathic) tanpa ada asal usulnya. Buku ini ialah percubaan saya untuk menerangkan punca fikiran negatif itu datang; punca kita membuat tindakan yang kita buat; punca kita merasakan perasaan yang kita rasa; cara kita berhubung dengan orang

CUAK | 11


yang disayangi; dan punca kita masih rasa menderita walaupun sudah cuba melakukan yang terbaik. Separuh daripada masalah kita sudah dianggap selesai apabila kita boleh memahami dan mengenal pasti akar umbinya.

12 | DR. HAZREEN A. RASHID


Penafian

Sebelum itu, saya ingin membuat beberapa penegasan penting berkenaan buku ini. Kebanyakan kisah yang dimuatkan di sini adalah berdasarkan kutipan pengalaman saya ketika mengendalikan pesakit-pesakit dengan pelbagai diagnosis di klinik psikiatri saya. Nama pesakit dan maklumat-maklumat terperinci diubah untuk melindungi kerahsiaan. Buku ini juga ditulis sebagai satu langkah untuk memberikan pendidikan umum tentang kesihatan mental kepada masyarakat. Maklumat yang didapati dalam buku ini tidak sama tarafnya dengan diagnosis dan rawatan profesional yang diberikan oleh petugas kesihatan mental. Buku ini juga merupakan pandangan peribadi saya dan tidak mewakili mana-mana institusi yang dikaitkan dengan saya.

CUAK | 13


Saya berharap buku ini sekurang-kurangnya menjadi titik tolak kepada perbincangan awam terhadap masalah kegelisahan dengan lebih menyeluruh dan mendalam. Saya mendoakan agar kita mendapat manfaat dengan membaca buku ini. Selamat membaca.

14 | DR. HAZREEN A. RASHID


BAB 1:

Kegelisahan Bersifat Universal

Setiap manusia sebenarnya berpotensi untuk mengalami serangan kegelisahan. Hal ini kerana terdapat satu mekanisme atau sistem dalam diri kita yang berfungsi untuk melindungi diri kita daripada perkara yang berbahaya. Kegelisahan asalnya ialah satu bentuk mekanisme pertahanan semula jadi yang ada di dalam badan kita. Ia bertujuan membuatkan kita sentiasa peka pada ancaman di sekeliling dan seterusnya bertindak balas terhadap ancaman tersebut (mekanisme ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam bab dua). Apabila sistem atau mekanisme ini dicetuskan secara berlebihan, maka pada ketika itulah berlakunya serangan kegelisahan yang luar daripada kebiasaan. Kegelisahan bukan sahaja sejenis perasaan yang dialami oleh manusia, tetapi juga wujud pada kebanyakan haiwan untuk

CUAK | 15


kelangsungan hidup mereka; bertahan dalam persekitaran yang penuh cabaran. Cuba anda ganggu anak-anak ayam yang sedang berjalan mengikut ibu mereka, sudah pasti ibu ayam itu akan mematuk anda. Ia merupakan tindak balas langsung yang sudah tersedia dalam naluri ibu ayam tersebut untuk melindungi anak-anaknya. Tindak balas itu berlaku secara semula jadi. Begitu juga dengan anjing yang menyalak kepada anda apabila ia merasakan bahawa anda ialah ancaman buat dirinya. Menyalak itu ialah tindak balas langsung daripada rasa gelisah anjing terhadap bahaya.

16 | DR. HAZREEN A. RASHID


Kegelisahan Menjamin Kelangsungan Hidup Manusia Sepertimana haiwan, manusia juga merupakan makhluk biologi yang wujud dalam dunia yang penuh dengan bahaya dan ancaman; sama ada benar-benar wujud di hadapan mata atau cuma dalam bentuk andaian. Pada zaman awal kemunculan manusia, nenek moyang kita berteduh di dalam gua atau berpindah-randah dari sebuah tempat ke tempat yang lain mengikut perubahan persekitaran. Sumber tenaga daripada makanan didapati daripada binatang yang diburu atau hasil hutan yang diraih. Ancaman boleh datang dalam bentuk cuaca buruk, binatang buas atau manusia lain sewaktu dalam pergaduhan atau peperangan. Cuaca buruk atau binatang buas merupakan ancaman yang boleh membunuh mereka dalam sekelip mata. Namun, ada juga bentuk ancaman yang lebih perlahan, seperti kehabisan makanan akibat musim kemarau atau konflik perang yang berterusan dengan sekumpulan manusia lain. Apabila dikejar anjing, kita lari. Apabila kehabisan makanan di sesuatu habitat, kita akan berpindah ke habitat lain untuk mencari sumber makanan yang baru. Tindakan lari dan berpindah ini menyelamatkan nyawa nenek moyang kita dan menjamin kelangsungan spesies manusia sehingga generasi kita. Kegelisahan ialah emosi dan tindak balas fikiran yang memungkinkan tindakan-tindakan atau kelakuan tertentu dapat diambil untuk menjamin kelangsungan hidup.

CUAK | 17


Persamaan Antara Kegelisahan Dahulu dan Sekarang Walaupun rasa kegelisahan itu sendiri merupakan satu tindak balas yang kompleks, ia tidak mempunyai banyak perbezaan antara spesies atau zaman. Semasa zaman nenek moyang kita dahulu, ancaman binatang buas; bencana alam; atau pembunuhan sesama sendiri merupakan sebab mereka mendapat kegelisahan dan perlu berikhtiar mengatasi ancaman. Pada zaman sekarang, manusia zaman moden masih dikejar binatang buas (seperti dikejar anjing semasa berjalan di taman) atau diancam bencana alam seperti banjir yang melanda banyak tempat di negara kita. Meskipun begitu, punca dan tindak balas kegelisahan berubahubah mengikut kadar bahaya, jenis persekitaran dan peredaran zaman. Seiring dengan perkembangan tamadun manusia, ancaman yang dihadapi sekarang bersifat lebih moden, seperti kehilangan pekerjaan (ancaman kehilangan sumber rezeki); kecurangan pasangan (ancaman kemusnahan rumah tangga dan kebahagiaan zuriat); atau ancaman kegagalan dalam peperiksaan (ancaman masa hadapan dan sumber rezeki juga). Dengan kata lain, kita lebih banyak diancam dengan perkaraperkara yang bersifat halus dan tidak langsung. Kes Sara yang akan diceritakan selepas ini menggambarkan contoh kegelisahan zaman moden yang mungkin boleh difahami oleh ramai antara kita.

18 | DR. HAZREEN A. RASHID


Kisah Sara Sara merupakan seorang pelajar kejuruteraan di sebuah universiti awam di Selangor. Berasal daripada sebuah keluarga yang sederhana, bapanya bekerja sebagai seorang pemandu lori manakala ibunya membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual nasi lemak. Disebabkan stres daripada kesempitan ekonomi keluarga, bapa dan ibu Sara sering bergaduh. Perbalahan itu kadangkala bertukar agresif apabila bapa Sara memukul ibunya kerana hilang sabar. Sifat bapa Sara yang baran itu menyebabkan Sara cuba mengurangkan interaksi dengan bapanya kerana tidak mahu menerima nasib seperti ibunya. Walaupun dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak stabil, Sara tetap berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM. Dia seterusnya layak menerima bantuan pinjaman untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti. Sara menjadi harapan tunggal keluarga untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Oleh sebab itu, bapanya sering mengingatkan Sara supaya belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa. Peringatan itu ada kalanya menjadi satu ancaman pula kepada Sara apabila bapanya mengatakan:

CUAK | 19


“Kalau kau tak mahu belajar rajin-rajin, baik berhenti saja. Tolong mak kau jual nasi lemak lagi bagus.” Sara sangat gelisah dan mulai tertekan sekiranya dia tidak dapat memenuhi tuntutan orang tua. Apabila sesi pengajian semester pertama bermula, ternyata Sara tidak berjaya mengekalkan momentum dari zaman persekolahan. Dia belum mampu menyesuaikan diri dengan cabaran baru; berjauhan dengan keluarga. Pertama kali perlu mengurus diri sendiri. Pertama kali perlu mengurus wang sendiri. Pertama kali perlu tinggal sebilik dengan orang yang tidak dikenali. Ditambah pula dengan tekanan daripada keluarga supaya dia mendapatkan keputusan yang bagus untuk setiap semester. Dengan keputusan yang baik tersebut, Sara berharap boleh menukar pinjaman pelajaran yang diterimanya itu kepada biasiswa. Belajar di universiti tidak sama dengan belajar di sekolah. Dia perlu lebih banyak berfikiran kritis berbanding menghafal nota semata-mata. Akhirnya disebabkan semua tekanan ini, Sara gagal mendapatkan keputusan yang baik untuk semester pertama. Cita-citanya untuk menggenggam anugerah dekan nampaknya semakin sukar. Oleh itu, bermula sahaja semester kedua pengajian, Sara tekad untuk melipat gandakan usahanya. Dia menghabiskan lebih banyak

20 | DR. HAZREEN A. RASHID


masa di perpustakaan, mengurangkan waktu bersosial dengan rakanrakan dan tidur lewat malam untuk mengulang kaji kuliah yang dipelajari pada waktu siang. Walau bagaimanapun, hasil yang diperoleh seolah-olah mengkhianati semua usahanya itu. Sara tetap merasakan dia tidak mampu menghadamkan semua pelajaran yang diajar di dalam bilik kuliah; seperti tiada guna dia berkorban masa dan tenaganya untuk belajar. Situasi ini menambahkan lagi perasaan cuak dan tekanan Sara. “Apa masalah aku? Apa nak jadi dengan aku ni? Bolehkah aku dapat anugerah dekan?” Tekanan daripada keluarga, cabaran menyesuaikan diri, dan kesukaran memahami pelajaran menjadi beban yang menghantui Sara. Perkara ini menyebabkan Sara mula mengalami beberapa simptom fizikal yang lain. Dia kurang selera makan sehingga berat badannya turun dengan mendadak; sukar tidur kerana asyik memikirkan masalah pelajaran; dan sakit perut yang kuat disebabkan senggugut. Simptom-simptom ini memberikan kesan yang buruk pada kesihatan Sara secara keseluruhannya. Bahkan pernah suatu ketika, semasa di dalam kelas, Sara tibatiba mengalami serangan cuak. Sukar bernafas; dada terasa sempit; isi perut terasa bergelora – ibarat sedang menaiki roller-coaster – semua rasa itu berlaku secara serentak dalam satu masa. Selain kesesakan tersebut, perasaan paling kuat yang dirasakan Sara pada ketika itu ialah keinginan untuk hilang dari dunia dan tidak wujud.

CUAK | 21


Sara kemudian bangun dari tempat duduknya, mengabaikan pensyarah yang sedang mengajar, terus keluar dari dewan kuliah, dan berlari menuju ke tandas perempuan. Dia melepaskan tangisan yang tertahan sejak di dalam dewan kuliah tadi sepuas hatinya. Tindakan tanpa kawalan tadi juga menjadikan seluruh dewan kuliah tertanya-tanya punca Sara bertindak sedemikian. Secara tidak langsung, peristiwa tersebut menambahkan lagi tekanan kepada Sara, kerana dia berasa malu dengan rakan kuliah dan pensyarah akibat tindakannya itu. Sara yakin dan percaya bahawa semua orang pasti bercakap-cakap di belakangnya tentang kejadian tersebut. Sejak peristiwa berkenaan, Sara akan mengelak daripada pergi ke kelas dan hanya meminjam nota daripada kawan sekuliahnya. Dia takut peristiwa yang sama berulang lagi. Resah, malu dan takut seakan-akan berpakat untuk menghuni fikiran dan perasaan Sara, sekali gus mengganggu kesihatan fizikal dan mentalnya.

22 | DR. HAZREEN A. RASHID


Ingin baca lagi? Dapatkan buku ini di www.imanshoppe.com dan juga kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Terokai buku-buku terbitan IMAN Publication yang lain di:

www.imanpublication.com

@imanpublication

Kak Iman https://t.me/KakIman


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook
CUAK oleh Dr. Hazreen A. Rashid by imanpublication - Issuu