Skip to main content

Biar Sembuh Luka Semalam oleh Aidil Ghazali

Page 1

Biar Sembuh Luka Semalam Aidil Ghazali

Terbitan:

www.imanpublication.com


Port Dickson

Tangan Nita memegang erat pemegang perahu pisang. Kepalanya pula terasa pening kerana sudah terlalu lama teroleng-oleng di atas perahu tersebut. Mulut terasa masin. Sudah terlalu banyak air laut yang tertelan. Jika dihitung, mungkin sudah sesudu garam yang ditelan. Perut juga menggelodak kerana bot yang dinaiki tidak henti-henti dilambung ombak. “Sekali lagi!” teriak si pemandu bot. Kali ini, pemandu bot itu sengaja membuat pusingan U sehingga perahu pisang yang ditarik terbalik. Nita terkapaikapai. Kepalanya tenggelam timbul di dalam air kerana cuba mengapungkan diri. Ketika orang lain naik semula ke atas perahu pisang, dia memilih untuk berenang ke pantai. Sejak kecil lagi dia sudah belajar menguak air semasa mandi di sungai. Jarak kira-kira 20 meter ke daratan bukan satu masalah 10 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


besar. Tudung renang Ogival yang dipakai masih terserkup kemas. Dia berenang dengan bantuan gelembung udara pada jaket keselamatan. Tiba di darat, tubuhnya berbaring menelentang di atas pasir. Nafas turun naik menahan lelah. Tiba-tiba telinganya menangkap suara sepupu yang masih terjerit-jerit di tengah laut. Dia menyepetkan mata, sebelum dipejamkan rapat. Cahaya matahari petang sedikit menyilaukan. “Nita, naik sinilah!” Satu suara melaung dari arah air. Nita bangun. Melihat kakak saudaranya sedang melambai-lambai dari jauh. Tangan kakak saudaranya itu menggawang sebagai isyarat memanggil. Kali ini dia diajak membonceng ski jet pula. Kerana pantang dipelawa, ikatan sarung oren yang membalut tubuh diketatkan. Dia bangun dan terus menuju ke arah ski jet yang dihentikan beberapa meter dari pantai. Nita meranduk ombak kecil lalu melompat di belakang ski jet sebagai penunggang. Pendikit dipulas dan mereka berdua terlambunglambung. Nita tidak sangka seronok juga merempit di tengah laut. Habis lencun baju yang dipakai. Tudungnya juga begitu. Kalau diperah pasti boleh digunakan untuk memperasakan sekawah gulai.

AIDIL GHAZALI | 11


Petangnya

dihabiskan

dengan

menaiki

ski

jet,

menunggang perahu pisang dan berendam dalam air laut. Menjelang maghrib barulah mereka beramai-ramai naik ke pantai dan kembali ke chalet selepas seronok bermain. Hari keluarga menjadi acara tahunan yang wajib dilakukan bersama-sama sanak-saudaranya. Tahun ini, mereka memilih untuk bergembira di Port Dickson. Setiap tahun direncanakan berselang-seli antara pulau dan pantai. Nita terbongkok seorang diri di bawah perdu pokok. Dua tiga kali menjeluak angin. Dilambung di tepi laut buat perutnya sebu. Tekak terasa kering, hidung pula dimasuki air masin. Apabila loya sudah hilang, barulah Nita kembali ke chalet. Dia membersihkan badan dan menukar pakaian. Selepas menepek bedak asas pada pipi, barulah dia menyertai acara makan malam bersama saudara-mara yang lain. Suasana barbeku yang meriah menaikkan selera makan Nita. Apatah lagi dia sudah lapar kerana penat bermain. Pinggannya penuh dengan ayam panggang, kambing bakar dan sate, melantak pada hari terakhir selepas dua hari bersuka ria dengan sepupu dan anak buah. Apabila perut sudah penuh, badannya pun mula menjadi malas. Dia kembali ke bilik, meninggalkan sepupunya yang sedang riuh berkaraoke di hadapan televisyen.

12 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


***

Kembali ke chalet, Nita menjenguk ke bilik sebelah. Melihat bapanya baru selesai bersolat isyak, dia masuk menjengah. “Awak dah solat?” tanya bapanya sebelum berdiri dan melipat sejadah. “Sekejap lagilah,” balas Nita sebelum duduk melepek di kerusi. Jarinya menekan butang alat kawalan jauh. Mata pula menjeling ke arah televisyen yang terpasang. Terkelip-kelip menonton siaran berita di saluran BERNAMA. “Abah dah kemas barang?” tanya Nita. “Awak nak terus balik? Malam ni juga?” tanya bapanya, kurang jelas dengan permintaan si anak. “Yalah.” “ Tapi kenapa?” “Saya tak nak bermalam lagi di sini.” Nita memberikan alasan. “Lagipun dah dua hari kita tinggalkan bakeri. Entah apa yang dah jadi. Kasihan pula saya dengan Kak Cuni. Sebelum ni, dia tak pernah uruskan bakeri tu seorang-seorang. Saya risau budak-budak tu tak tahan dibebel.” “Esok pagi sajalah.”

AIDIL GHAZALI | 13


“Abah dah lupa yang esok kita kena siapkan tempahan Datin Ixora? Kalau kita lambat sangat balik, tak sempat pula nak penuhi permintaan dia. Hah, nanti siapa yang susah? Nama kedai siapa yang rosak? Bakeri kita juga, kan?” Nita meningkah. Dia mengerling bapanya sekilas sebelum bangun dari kerusi dan mula memasukkan baju basahan ke dalam beg. Bapanya membetulkan kopiah yang senget di kepala. Mata pula terkelip-kelip memikirkan kemahuan anak perempuannya. “Awak cukup rehat tak?” “Boleh. Saya larat.” “Kalau mengantuk macam mana?” soal bapanya lagi, kali ini ada nada bimbang. “Nanti saya minum air Red Bull. Gogok setin, mata boleh celik sampai tengah hari.” “Badan awak penat lagi tu.” Nita menggeleng kerana tidak mahu menurut. “Jalan sesak kalau kita gerak pagi esok.” “Boleh ke malam-malam ni?” “Bukan abah yang pandu kereta. Mata abah pun rabun malam, kan? Jangan bimbang, takkan ada masalah punya,” Nita berhujah lagi. Bapanya memang selalu begitu. Cemas tidak tentu hala. 14 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


“ Tapi, kan ....” “Abah janganlah terlebih risau. Bukannya saya tak biasa memandu malam-malam.” Akhirnya, bapanya setuju juga. Itu pun selepas berkalikali Nita memujuk. Perangai kepala batu anaknya memang susah mahu dilawan. Semakin ditentang jadi semakin degil. Kerana enggan terus bertekak, bapanya mengalah juga. Ikut sahaja kemahuan Nita. Mereka berkemas-kemas, bertemu sanak-saudara untuk mengucapkan selamat tinggal dan terus bertolak pulang. ***

Selepas singgah di kedai FamilyMart, Nita meneruskan perjalanan pulang dari Teluk Kemang menuju Shah Alam. Memandu sambil mengunyah kacang dan bertemankan siaran radio. Deejay yang bertugas memainkan pilihan lagu yang kurang sesuai untuk didengar pada tengah malam. Melodinya terlalu melankolik dan lirik lagunya mendayu-dayu. Nita bersenandung sendiri, menghilangkan rasa bosan kerana tiada teman mahu diajak berbual. Bapanya sudah terlena di sebelah. Jalan raya tidak sesak. Terlalu aman tanpa banyak kenderaan. Nita berpuas hati kerana membuat pilihan yang tepat. Jika dia memilih untuk berangkat esok pagi, masa akan

AIDIL GHAZALI | 15


terbuang kerana terpaksa menghadap trafik yang sesak. Mujur dia bijak merancang perjalanan. Daripada membazirkan masa sia-sia di lebuh raya, dia lebih rela keluar awal. Sanggup memandu pada tengah malam yang sunyi. Lagipun memandu pada waktu awal pagi begini lebih sejuk. Tidak terasa berbahang jika dibandingkan memandu ketika siang. Lebih selesa tanpa perlu menghadap panas matahari yang memancar terik di atas bumbung kereta. Tangannya mengemudi stereng tetapi fikiran meluncur jauh ke hadapan. Matanya terkelip-kelip memandang lampu di tepi jalan. Sinar limpahan cahaya menyilaukan pandangan mata. Dia menguap. Semuanya berlaku terlalu pantas. Semuanya berlaku di luar dugaan. Nita terlelap hanya sedetik. Tanpa sedar, kereta yang dipandu hilang kawalan. Kenderaan yang dipacu cuba dikawal daripada merempuh ke laluan bertentangan. Kaki menekan brek. Jantung dipukul debar. Tangannya mengilas stereng supaya kereta tidak terbabas meluncur ke cerun bukit. Kaki memijak pedal brek. Telinganya berdesing mendengar bunyi tayar menggeser aspal. 16 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Proton Iriz yang dinaiki berpusing-pusing beberapa kali di atas jalan. Matanya berpinar. Beberapa saat berlalu tanpa sedar. Untuk seketika, pandangannya jadi gelap. Mata dibuka. Hidung terbau hangit. Kepala jadi pening kerana terhantuk papan pemuka. Berdenyut. Ada cairan hangat yang meleleh di dahi. Kereta yang dipandunya terbalik. Terlentang di laluan kiri. Nita mengaduh sakit. Seluruh tubuh terasa nyeri. Pipinya pedih. Sedar yang dia sedang terlibat dalam kecelakaan. Nita merangkak payah keluar dari kenderaan. Tudung yang dipakai sudah serebeh. Rambut yang terdedah tidak lagi dipedulikan. Lengannya terasa ngilu tercucuk kaca tingkap yang pecah. “Abah ... mana abah ...?” Nita mendesis perlahan. Nita berpaling. Keringat semakin memercik. Terasa mahu pitam apabila melihat kaki bapanya tersepit di celah rangka kereta. Ada bau hanyir yang mengasak hidung. Ada darah yang menyimbah permukaan jalan tar. Ada kebimbangan yang menyergap. Nita tidak mampu menahan diri. Dia menjerit semahumahunya. “Abahhh!”

AIDIL GHAZALI | 17


Dari Rue Ke Rue

Haris menggeliang-geliut. Sekujur tubuh terasa sakit. Bahana duduk terlalu lama di dalam gerabak sepanjang menempuh perjalanan menziarahi Lilou, ibu angkatnya yang kini menetap di Basel. Silap dia juga kerana kurang teliti merancang.

Sepatutnya dia menempah tiket awal-awal. Kalaulah dia tidak meremehkan pesan sahabatnya, Remy, tentu dia

takkan degil menaiki tren malam Thello. Lebih jimat

juga tentunya. Tempahan tiket awal diberikan diskaun 50 peratus jika dibeli di laman web SNCF.

Sekarang tidak sama seperti dahulu. Jadual untuk

tren waktu malam sudah dikurangkan. Semalam, Haris menaiki kompartmen couchette yang boleh memuatkan

empat orang penumpang dan dia terpaksa membayar tiket kelas pertama yang mahal. Dia boleh memilih kompartmen 18 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


enam penumpang tetapi enggan buat begitu kerana tiada ruang tidur peribadi. Boleh rabak matanya jika terpaksa berjaga sepanjang malam.

Tidur berbaring sekalipun, badannya sudah sakit-

sakit belakang. Inikan pula menempuh perjalanan beberapa jam terbenam di tempat duduk. “Tak balik lagi?” Keita menegur selepas keluar dari ruang dapur

bakeri. Suaranya menghentikan lamunan Haris dari dalam gerabak kereta api, kembali ke bakeri tempatnya bekerja.

Haris menggeleng sambil mengurut bahu sendiri

yang tegang.

“Belum,” balasnya dalam aksen Parisienne yang pekat.

“Aku nak kena semak resit sikit.”

“Eh, Didier mana? Sepanjang hari tak nampak.”

tanya Keita sambil mengancing butang kemeja Maison Kitsuné yang melekap elok di tubuhnya. Kulitnya berkilat kerana dioles losyen. Haris selalu cemburu kerana Keita dilahirkan dengan ketinggian seorang model. Rambut

keritingnya pula digayakan berpintal-pintal ala cornrows. Jika tidak menjadi seorang tukang roti, Keita mungkin boleh mempertimbangkan untuk berjalan di pentas peragaan sebagai kerjaya.

AIDIL GHAZALI | 19


“Sophie mengadu sakit perut malam tadi. Luka

pembedahan apendiks dia masih ngilu. Terpaksalah Didier

teman di hospital,” jawab Haris tanpa memandang. Jarinya

menjilat hujung telunjuk. Dia sibuk di hadapan ketuhar

sepanjang hari. Selepas waktu operasi bakeri berakhir, barulah dia sempat menunaikan pesan Didier. kan?”

“Patutlah kau masuk kerja hari ni. Ikutkan esok, “Apa boleh buat?” Apabila Keita mendekat, Haris mengangkat muka.

Ada semburan minyak wangi yang menyengat. Hidung digosok, kurang selesa mencium bau yang terlalu musky.

“Hari ni aku tak boleh balik kerja lambat. Ada orang

yang menunggu,” beritahu Keita tanpa ditanya. Barisan giginya tampak rapi ketika menyengih. “Ada janji temu?”

Keita membetulkan kolar kemeja yang dipakai.

Kemudian, dia mencium ketiak kiri dan kanan, memastikan minyak wanginya sudah disembur rata. Keningnya ternaiknaik tanda mengiakan. “Dengan siapa?” “Cuba teka.”

20 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


“Si cantik tempoh hari? Siapa namanya tu?” tanya

Haris. Dahinya berkerut memerah ingatan.

“Fayette.” Keita menjawab senang. “Tahu tak maksud

di sebalik namanya yang indah tu? Mari sini aku beritahu kau, maksudnya ‘pari-pari kecil’. Seperti orangnya, kan? Cantik genit, BG. Kau faham tak?”

“Mestilah aku tahu. Belle gosse, kan?” Bibir Keita menjuih tanda kagum. Lidah Haris

sudah fasih berbahasa Perancis sehingga mampu mengikuti slanga terkini orang muda.

“Tentu dia buta sebab tergamak keluar dengan kau.” “Fayette aku tak buta, tapi dia bijak.” “Sebab apa?” “Alasannya mudah. Sebab ini kan Seydou Keita?

Siapa yang boleh tahan dengan godaan si kacak daripada keturunan bangsawan Mansa Mahmud?” Kali ini dia

memuncungkan mulut dan membuat bunyi cumbuan. “Lagi-lagi bila dia tengok bibir aku yang seksi ni.”

“Si gila.” Haris mencemik. Malas mahu melayan

orang yang mabuk kepayang.

Haris tidak percaya seorang gadis yang dikenali

semasa mereka bersiar-siar di Jardin de Plantes minggu lepas boleh tersangkut meminati Keita. Bukan main manis

AIDIL GHAZALI | 21


lagi Keita mengurat. Sedangkan baru lima hari sejak mereka

berdua bertukar-tukar nombor telefon. Boleh tahan juga penangan ayat-ayat cinta jejaka Mali.

“Balik dulu,” kata Keita tanda pamit. “Jumpa esok.” Keita

menarik

pintu, melemparkan

senyuman

nakal dan terus berlalu. Haris tidak membalas. Hanya memerhatikan Keita berjalan keluar.

Haris menghembus senafas. Dahinya digaru. Seorang demi seorang rakan sekerjanya sudah

beransur pulang. Suasana di dalam bakeri sepi. Sesekali

hanya kedengaran helaian kertas diselak. Dia sibuk menyemak. Selepas berpuas hati dengan kerjanya, Haris

meletupkan sendi tangan dan memicit tengkuk. Dia masih lagi duduk pegun di kerusi, langsung tidak bergerak.

Matanya menyeluruhi bakeri Le Petit Prince ini.

Bersendirian buat dia larut dalam kesunyian.

Diam tidak diam, sudah hampir sepuluh tahun dia

berada di kota ini. Bermula dari usianya 19 tahun dan sekarang bakal menginjak umur 30.

Dahulu lidahnya pelat dan terkial-kial mahu

memahami arahan ketika belajar meroti di akademi. Sekarang dia boleh bertengkar dengan pembekal keju gruyère tanpa tergagap. Cara dia memaki hamun pelanggan

22 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


yang biadab juga saling tidak ubah seperti seorang Parisienne.

Dahulu dahinya berpeluh dan tangannya terketar-

ketar ketika menggulung kroisan. Sekarang dia boleh

menyediakan semua jenis roti walaupun dengan mata yang ditutup tuala dapur.

Dia tahu cara menyediakan roti jenis brioche, fougasse,

baguette atau pantang larang ketika membuat pain d ’épices. Semuanya dia sudah kuasai.

Sepuluh tahun yang panjang tetapi langsung tidak

terasa.

Siapa sangka semua ini bakal ditinggalkan sedikit

masa lagi?

Ada banyak perkara yang akan dirindukannya nanti.

Gelak tawa Keita yang galak, Jean Marie si pemalu, Remy si serba tahu, Idrissa yang handal memasak jollof dan Mathieu

yang rajin menemaninya menjelajahi kafe di setiap ceruk arrondissement demi mencari hidangan pastri yang paling enak. Dan sudah tentunya rindu untuk bertekak dan mencari pasal dengan Didier.

Bekerja di sini menjadi pengalaman yang dia takkan

dapat lupakan sampai bila-bila.

Kota ini menjadi saksi perit dan jerihnya mengenali

roti dan pastri. Tidak ada perkara yang lebih menyeronokkan AIDIL GHAZALI | 23


di sini selain berjalan di sepanjang rue dan minum kopi di

tepi pesiar kaki. Bagi Haris, kota ini terbina oleh jalanjalan, kafe-kafe dan roti pastrinya. Tanpa ketiga-tiga

perkara ini, Paris hanyalah sebuah kota agam yang tidak berjiwa.

Dia meraup rambut sebelum membuka dompet

kulit buaya dari poket seluar. Sekeping foto yang terselit dikeluarkan. Gambar itu ditatapnya. Haris meluahkan nafas.

Sedar dia tidak boleh berada di sini lagi. Cukup-

cukuplah merantau di negeri orang. Sudah masa untuk pulang. Dia perlu menunaikan janji lama atau dia akan menyesal seumur hidup.

Sebelum keluar, dia membuka beg Le Coq Sportif

yang disandang di bahu. Tangannya meraba-raba sekeping sampul kertas. Surat berhenti kerja itu diletakkan di

atas meja Didier. Suis lampu dipadam lalu dia bergerak menutup pintu dan memasang mangga di jeriji besi.

Langkahnya gontai. Sambil menuju ke stesen

Cardinal Lemoine, Haris hanya membilang hari-hari terakhirnya di sini sebelum kembali ke tanah air.

24 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Roti Kranberi

“Nita, bangun cepat .... Kedai nak terbakar ni!” Suara nyaring Suriani menerjah masuk ke telinga. Nita terjaga. Matanya terkelip-kelip kerana panahan silau cahaya lampu kalimantang yang menyinar terang. Hidung terhidu bau hangit. Apabila matanya dibuka, dia dapat melihat seakanakan ada asap tipis yang terbit dari ketuhar. “ Tunggu apa lagi? Bangun lekas!” Kali ini Suriani lebih lantang. Selepas disergah, barulah Nita tersedar sepenuhnya. Tidak pasti sudah berapa lama dia tertidur. Pada masa sama teringat satu perkara penting. Tadi dia ada membakar roti di dalam ketuhar. Jam di dinding hampir menunjuk ke angka lapan. Hampir sejam setengah dia tertidur. Maknanya sudah kira-kira sejam juga rotinya terpanggang di dalam ketuhar.

AIDIL GHAZALI | 25


“Astaga, roti aku!” Menyedari keadaan itu, Nita terus berlari ke arah Suriani. Kakinya nyaris-nyaris tergelincir kerana memijak lantai simen yang licin. Mujur keadaan sebenar tidak terlalu teruk sehingga mereka perlu terjerit-jerit meminta tolong. Tiada api yang menjilat dinding atau menyambar siling. Ketuhar industri jenis dek berjenama Sinmag juga masih utuh. Nita menarik pintu ketuhar. Seperti yang dijangka, semuanya hangus. Roti kranberi dengan campuran biji chia sudah bertukar menjadi arang. Teksturnya keras dan warnanya hitam. “Awak buat apa semalam?” tanya Suriani. Terasa mahu menengking tetapi masih mampu menahan sabar. “ Tidur lambat?” “ Taklah.” “Dah tu? Kenapa boleh tertidur?” Suriani menguis sisa roti dalam acuan aluminium di hujung spatula. “Pemasa pun tak pasang.” “Entah.” Nita angkat bahu. Sikap acuh tak acuh Nita membuatkan darah Suriani jadi meluap.

26 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


“Senangnya menjawab,” Suriani terus melepaskan amarah. “Nasib baik ketuhar ni tak meletup. Sikit lagi kedai ni nak terbakar. Lain kali kalau dah tahu nak bakar roti, tetapkanlah dulu pemasa. Ini tak. Dibiarkan macam tu saja. Baru masuk kerja semalam ke? Hari pertama buat roti?” Nita jadi bisu. Terkepung dan tidak mampu menjawab sindiran itu. Semalam dia hanya tidur lewat sedikit sahaja. Ralit membaca catatan perbualan dan curahan hati Baek Se-hee yang menghidap dysthymia bersama doktornya dalam buku I Want to Die But I Want To Eat Tteokpokki. Tidak sangka pula hari ini boleh mengantuk. Lebih teruk lagi melarat-larat sampai ke bakeri. “Nasib baik kakak datang awal. Dari rumah tadi kakak dah rasa tak sedap hati. Terasa macam ada benda nak jadi. Sepanjang jalan pun dada kakak ni berdebar-debar, tahu tak? Entah ada apa yang tak kena, entah ada apa yang pelik. Sekali memang betul. Naluri kakak ni memang tak tersilap.” Seperti yang dijangka, mulut Suriani meletup-letup seperti bertih goreng. “Nasib baik roti yang rentung ... nasib baik,” nada Suriani berdesing lagi. “Kalau diri awak yang rentung? Tolonglah, lain kali jangan cuai lagi. Awak ni kan, suka buat orang cemas tau.”

AIDIL GHAZALI | 27


Nita hanya menadah telinga mendengar bebelan. Tidak terdaya mahu melawan. “Bukan sekali dua, tapi berapa kali dah ni? Dulu ingat tak masa kita ubah suai bakeri ni? Siapa yang terlupa nak tutup paip sampai habis banjir satu kedai? Jangan buat-buat lupa, ya? Ingatkan dah hilang perangai tak senonoh tu. Eh, ada lagi rupanya. Alahai, Nita ... bilalah nak berubah ni?” Pandangan Nita jatuh menekur lantai. Sengaja mengelak daripada bertentang mata ketika Suriani sedang rancak membebel. “ Tengok ni, apa yang awak dah buat? Habis bertukar jadi arang. Kita ni bekerja di bakeri tau, bukan di gok.” Nita menggaru kepala. Dia tidak pasti kenapa boleh terlena tadi, sedangkan dia langsung tiada niat mahu tidur. Disebabkan bosan menunggu di hadapan ketuhar, dia duduk di atas kerusi dan berangan-angan sementara roti siap dibakar. Roti kranberi biasanya dibakar matang pada suhu 180˚C selama 20 hingga 25 minit sahaja. Manalah tahu dia boleh terlelap di kerusi. Terlayang sampai bermimpi yang bukanbukan. Suriani pula berdiri mencekak pinggang, masih mengomel sendiri. Nita menguis-nguis hasil tangannya yang gagal. Sudah berapa ringgit modal tepung yang dibazirkan. Belum

28 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


dicampurkan lagi waktu mengaduk dan menguli doh sebelum kembang. Usaha kerasnya sia-sia. Sedangkan pagi-pagi buta lagi dia sudah datang ke bakeri, meredah tetes embun pertama selepas subuh. Bersemangat mahu meroti. Malang sekali usahanya langsung tidak mendatangkan hasil. Lebih teruk, terpaksa menanggung rugi pula. “Bersihkan semua ‘arang’ dalam ketuhar ni,” pesan Suriani sebelum mengelap tangan di sisi seluar. “ Tak siap nanti kakak suap semua masuk dalam mulut awak.” Nita patuh menurut. Tidak betah mahu membantah. “Hah, lagi satu. Shafie datang tak hari ni?” tanya Suriani ketika Nita sedang terbongkok-bongkok di hadapan ketuhar. “ Tak datang.” “Dia ada beritahu sebab apa?” “Sakit kaki katanya.” “Hari ni pun?” Wajah Suriani berubah keruh. “Seminggu entah berapa banyak kali dia cuti sakit. Nak kerja atau tak nak kerja budak tu? Ingat kedai ni bakeri bapa dia ke apa?” Nita pura-pura tidak mendengar. Tangannya sibuk mengikis sisa kerak yang melekat di loyang aluminium. “Cubalah awak tegas dengan dia. Tengking sesekali kalau perlu. Ini tak. Awak bagi muka sangat,” kata Suriani lagi.

AIDIL GHAZALI | 29


“Perlu ada hukuman sikit. Tak pun potong gaji sebagai denda. Supaya dia kenal makna tanggungjawab. Lagi awak berlembut ... hah, makin naik lemaklah dia.” Nita mendiamkan diri. “Kasi dia faham, kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan pun bekerja. Ajar dia supaya lebih tekun.” Dahi Nita mula berdenyut. Staf yang bekerja di kedai ini tidak ramai. Sejak mengambil alih tugas menguruskan bakeri ini daripada bapanya, Nita mampu menggaji tiga orang pekerja sahaja. Cukup dengan dirinya sebagai pemilik, Suriani sebagai pembantu kanan, serta Shafie dan Julia sebagai pekerja rencam. Sekadar yang terjangkau oleh kantung kewangan kedai ini. Lagipun jualan harian bakeri Roti Jalan Tiung ini tidak terlalu laris sehingga memerlukan jumlah pekerja yang ramai. Sekadar cukup-cukup menanggung kos operasi, membeli bahan mentah, membayar sewa ansuran premis dan gaji bulanan empat orang pekerja. Selagi tangan Shafie dan Julia masih larat mengerjakan pesanan sedia ada, selagi itulah tenaga kerja di bakeri ini akan kekal berempat. “Dengar tak apa yang kakak beritahu ni?” Suriani mengeraskan suara kerana Nita kurang memberi perhatian.

30 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Nita angguk bena tak bena. “Jangan setakat dengar saja. Ambil tindakan. Lagi awak biar Shafie buat sesuka hati, lagi menjadi-jadi nanti. Daripada awak dukung biawak hidup tu, lebih baik cari lain. Ambil orang yang betul-betul nak bekerja.” “Isy, apa Kak Cuni kata ni.” Dahi Nita berkerut. “Salah ke?” “Kenapa sampai nak menyekat rezeki orang?” kata Nita, kurang selesa mendengar Suriani lancang menutur. “Kakak cuma cakap perkara yang betul.” “Memanglah. Tapi, kan ....” “Inilah masalah awak dari dulu sampai sekarang,” Suriani terus menegur. “Susah nak ambil keputusan. Takut sangat.” Muncung Nita menjuih sedepa. “ Teguhkan sikit pendirian tu. Jangan tunggu bakeri ni melingkup baru awak terhegeh-hegeh nak ubah sikap.” Riak wajah Nita berubah. Suriani membidas tanpa berlapik. Langsung tidak mahu menjaga hati orang. Tidak salah menjadi jujur tetapi janganlah terlalu jujur sehingga menyinggung. Tangannya bergerak semakin pantas mengikis kerak yang melekat di dasar loyang, menunjuk perasaan dalam diam. AIDIL GHAZALI | 31


“Dengar tak ni?” “Esoklah saya tegur dia,” Nita bersuara lirih tanda mahu menamatkan perbincangan.

32 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Tak Bisa Memilih

Nita menjenguk langit. Semakin mendung. Nasib baik dia keluar dari rumah lebih awal. Kalau terlambat lima minit tentu basah kuyup. Ada gerimis yang gugur di baju. Angin bertiup semakin kuat dan menerbangkan debu kering di jalan. Udara juga terasa lembap. Mungkin hujan lebat akan turun. Baguslah. Minggu ini cuaca dirasakan terlalu berbahang. Tentu lebih baik jika tanah disiram hujan. Basikal merah kesayangannya disandarkan ke dinding. Tangan pula mengibas titisan air di bahu. Dia berhenti, cuba memasang telinga. Ada keriuhan dari dalam bakeri. Suara lantang Suriani bergema jelas. Anehnya tidak kedengaran seperti biasa. Nita hairan. Apa yang mereka sedang bising sampai ke luar? Ada sesuatukah yang berlaku di dalam bakeri?

AIDIL GHAZALI | 43


Langkahnya disegerakan. Masuk ke dalam, dia melihat tiga orang staf bakeri Roti Jalan Tiung sedang berkumpul di dapur. Suara Suriani kuat mengherdik, seperti menengking seseorang. “Kenapa Kak Cuni? Pagi-pagi lagi dah marah-marah begini?” tanya Nita kerana tidak tahu hujung pangkal. Suriani langsung tidak memandang. Bibirnya digetap menahan geram. “Apa yang tak kena?” Nita mengulang soalan. “ Tengok apa yang pekerja kesayangan awak ni dah buat?” Suriani menjegil ke arah Shafie. “Apa yang kecoh sangat ni? Saya dah minta maaf, kan?” Shafie tidak mahu mengalah. “Minggu ni dah berapa kali awak buat silap? Hari-hari ada saja yang salah. Dua hari lepas doh dibiarkan terlebih kembang. Hah, semalam lagi berapa dulang yang hangus sebab awak terlupa nak pasang pemasa. Hari ni pula awak timbang doh tak pakai penimbang digital. Ikut suka hati awak sampai saiz roti pun besar kecil, tak seragam.” “Betul, Shafie?” Nita menuntut kepastian. Shafie hanya angkat bahu. Tanpa mengaku atau juga menafikan. Tanda-tanda orang yang sudah berbuat salah. “Sampai bila nak buat silap?” 44 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Shafie menciut. Satu perkara yang buat kemarahan Suriani semakin meluap. “Bekerja dah lama tapi tak ada kualiti. Nak kena ketuk, baru nak jalan. Selagi tak ditegur ... hah, selagi itulah duduk di belakang sana main telefon.” Suriani belum puas menjerkah. Nita diam di tepi, menunggu masa sesuai. Sedar yang dia tidak boleh tersilap mencelah. Jika tersalah cakap bimbang akan jadi minyak yang mencurah ke api. “Kakak tak boleh nak terus bekerja dengan orang malas.” “Kak Cuni ....” “Pagi ni, Nita kena buat keputusan pasal masa depan Shafie di bakeri ni.” Nita dapat melihat Shafie mengepal tangan. Entahkan menahan geram, entahkan mengempang baran. “Kalau Nita masih nak simpan juga pekerja bermasalah macam ni, terpulang. Tapi Kak Cuni tak sanggup lagi nak berdepan perangai dia hari-hari. Sakit jiwa tau. Cuti berderet, kerja pun masih tak reti-reti. Bila ditegur tak pernah terima. Hah, elok sangat.” Suriani masih belum berhenti memerli. “Bincanglah elok-elok dulu.” “Banyak kali dah kita nasihat dia. Ada perubahan?”

AIDIL GHAZALI | 45


Nita diam. Ada kebenaran di sebalik kata-kata Suriani. Shafie tidak pernah ambil serius dengan teguran mereka. “Sekarang, awak pilih. Sama ada mahu kekalkan Shafie di bakeri Roti Jalan Tiung ni atau tak? Kalau awak masih nak dia di sini...,” Suriani jeda seketika sebelum memberikan kata putus, “... Kak Cuni lebih rela angkat kaki.” Berderau darah Nita mendengar Suriani kata begitu. “ Takkanlah sampai begitu sekali?” Nita bersuara lagi. Seakan-akan mahu merintih. “Keputusan di tangan awak.” Suriani memberi kata dua. Nita tidak pasti apakah yang patut dilakukannya sekarang. Nita belum pernah lagi melihat Suriani sebegini mendesak. Ini bukan kali pertama Suriani melenting kerana Shafie buat perangai. Sudah kerap kali Suriani berleter kerana sikap Shafie yang culas. Tidak serius bekerja. Namun pagi ini lain pula. Ocehan Suriani tidak seperti selalu. Bagaikan ada api di mata Suriani. Naik meremang bulu lengan Nita mendengar Suriani menjerkah. Mungkin sudah lama Suriani memendam rasa dan hanya menunggu masa untuk meletup. Siapa tahu hari ini amarah Suriani meletus. Nita menelan air liur. Kenapa perlu sampai jadi begini?

46 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Dia terkenangkan saat pertemuan mereka tiga tahun dahulu. Sewaktu mahu membuka bakeri, Nita ternampak Suriani dan anak perempuannya tidur di hadapan koridor kedai. Berbaring di atas lantai simen yang sejuk beralaskan helaian kadbod. Ketika Nita datang mendekat, ada benjol yang bertelur di dahi Suriani. Lengannya pula berbirat kesan lebam yang masih membiru. Apabila ditanya, Suriani tidak menjawab. Hanya menangis tidak henti-henti. Selepas dipujuk, barulah Suriani mendedahkan kisah hidupnya yang malang. Tidak pasti di mana silapnya, Suriani bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang panas baran. Harapkan kepala sahaja berkopiah tetapi terlalu mudah naik darah. Hanya berpunca daripada kesalahan kecil, kaki suaminya ringan menerajang dan tidak segan silu melempang. Malah tubuh isteri sendiri dijadikan karung tinju. Satu malam, selepas teruk dibantai, Suriani nekad membawa anak tunggalnya melarikan diri. Tidak sanggup hidup di neraka dunia lagi. Kaki yang melangkah membawa Suriani ke hadapan bakeri Roti Jalan Tiung. Nita membawa Suriani mengadu kepada pihak jabatan agama dan membantu Suriani mendapatkan hak seadil-

AIDIL GHAZALI | 47


adilnya. Sehingga Suriani bebas daripada ikatan perkahwinan yang membelenggu. Suriani pernah berkata kepadanya, perkahwinan ialah satu perjudian. Jika bertemu dengan lelaki yang tepat, seorang perempuan akan melayari bahtera yang teguh menempuh ombak. Jika bertemu dengan lelaki yang salah, seorang perempuan akan menumpang perahu yang teroleng-oleng meredah gelombang. Suriani tidak tunduk tetapi dia bangkit dan mencipta takdir hidupnya sendiri. Nita mengagumi Suriani. Begitu kuat sekali Suriani mendepani ujian paling berat dalam hidup seorang wanita. Malah semenjak Suriani ditawarkan bekerja di sini, tidak sekali pun dia mencetuskan masalah. Kerjanya tekun, disiplinnya bagus dan tidak pernah menyusahkan majikan. Malah semasa seorang demi seorang pekerjanya melangkah pergi, Suriani tetap terus setia di sini. Tanpa Suriani, tentu Nita takkan gagah menongkat bakeri ini untuk terus berdiri. Hari

ini,

Nita

terpaksa

berhadapan

dengan

kemungkinan terpaksa berpisah dengan Suriani. Satu perkara yang tidak pernah terbayang di benaknya. Kalau boleh dia mahu mengekalkan kedua-duanya. Shafie dan juga Suriani. Mereka berdua sudah lama bekerja di 48 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


sini. Hubungan mereka lebih daripada rakan sekerja. Malah mungkin boleh diibaratkan sebagai sebuah keluarga kecil. “Kalau Nita susah sangat nak buat keputusan ... biar Kak Cuni saja yang pilihkan. Kakak nak ber ....” “ Tunggu Kak Cuni!” bentak Nita. “Bagi saya masa untuk berfikir dulu.” “Nak fikir apa lagi? Pilih sajalah!” Nita menelan liur. Entah apa yang sudah merasuk Suriani sampai jadi sekejam ini. Sehinggakan langsung tidak memberi ruang untuk Nita membuat pertimbangan yang waras. Jika dia memilih untuk mengekalkan Suriani, bagaimana pula dengan Shafie nanti? Di mana pula Shafie mahu bekerja? Lagipun, alasan pemecatan Shafie seperti terlalu remeh dan tidak wajar. Biasalah kalau tersilap ketika bekerja. Nita pun pernah memanggang roti sehingga rentung kerana tidak sengaja. Takkanlah Shafie perlu menerima hukuman seteruk itu? Dia juga manusia biasa yang tidak lari daripada kesalahan. Jika dia memilih Shafie, bagaimana dengan Suriani nanti? Tanpa

Suriani,

Nita

tidak

mungkin

dapat

mengendalikan bakeri ini bersendirian. Suriani sudah AIDIL GHAZALI | 49


dianggap sebagai otak kedua yang membantunya menangani masalah berkaitan operasi kedai. Selama ini pun Suriani yang lebih banyak tampil jika mereka berdepan sebarang isu. Susah baginya menguruskan perniagaan ini tanpa Suriani. Melepaskan Suriani pergi samalah seperti berhenti terus mengusahakan bakeri ini. Nita takkan mampu bertahan walau sehari sekalipun tanpa Suriani. Nita tidak pernah terfikir yang dia perlu berdepan dengan situasi seperti sekarang, dipaksa memilih antara dua. Suriani atau Shafie? Nita buntu mahu memilih. Tidak pasti keputusan manakah yang patut diambil.

50 | BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook